Sebenarnya bila berumah tangga cuba selarikan cara berfikir suami isteri walaupun perkara ini tak mudah. Maklumlah suami dan isteri bukanlah berkongsi hidup sedari kecil sebaliknya pabila masing-masing dah berusia puluhan tahun.
Pasti masing-masing dan sikap yang dibawa sejak kecil, begitu juga dengan pasangan. Tak sama sedikit cara berfikir, sekurang-kurangnya belajar memahami perbezaan. Barulah bahagia rumah tangga.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik.
Suami,
Setiap kata-kata kebaikan yang kau arahkan kepada isteri dengan niat mendidik adalah dinilai sepenuhnya kebaikan oleh Allah. Sekali pun isteri belum mahu turut untuk taat dan patuh, teruskan memimpin dan mendidik.
Isteri masih belum menutup aurat dengan sempurna, teruskan nasihat mendorong beri semangat.
Isteri masih belum sepenuhnya faham kehendak diri kau, tunjuk ajarkan bagaimana cara yang sesuai dengan kau. Mungkin selama ini kau sekadar menyuruh tanpa sempat untuk fahamkan cara apa yang kau suka. Jadi untuk kali ini, tunjukkan sekali.
Selarikan Cara Pemikiran Suami, Isteri
Suami,
Isteri kau tidak hidup dengan kau semenjak kau lahir. Dia hidup dengan cara hidup keluarga dia, kau dengan cara kau sendiri.
Bertemu di umur puluhan tahun. Yang masing-masing sudah ada cara hidup dan pegangan sendiri. Sudah ada tabiat sendiri. Bila berumah tangga, selarikan dan selaraskan cara berfikir kamu dan isteri. Supaya tindakan kamu dan isteri sama dan tak banyak yang menyanggah antara satu sama lain.
Dan proses itu bukanlah mudah. Biasa kadang-kadang ada langkah berlainan arah, jangan mudah marah dan menyalahkan isteri. Pegang lembut tangan isteri, tunjuk cara yang kamu setuju. Berlembut itu lebih mudah daripada mengarah kasar.
Suami,
Ingat, kau ketua.
Setiap apa yang kau dan ahli keluarga kau lakukan akan Allah pertikaikan atas kau.
Selamatkanlah diri kau sendiri dan ahli keluarga kau daripada api neraka. Itu arahan Tuhan dalam kitab suci kita.
Tidak ertinya mencintai isteri kau jika jejak langkah kau seolah merelakan dia berlari laju menuju ke pintu neraka.
Itulah.
Firdaus Mokhtar,
Saya pun suami.
MW: Memang tak mudah tapi berusahalah untuk memahami perbezaan pemikiran suami dan isteri. Berbincanglah dengan baik jika tidak dapat menerima sikap pasangan, raikan perbezaan supaya hidup berumah tangga lebh bahagia, aman dan sentosa.
Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nak suami sentiasa ingat akan dirinya dan mengutamakannya daripada hal-hal lain. pasti impian tiap isteri. Betul tak? Sebab itu, ada yang cuba kawal atau kontrol suami. Ops! Itu silap ye puan-puan!
Ada isteri yang terang-terang mengaku, dia memang ‘queen control’. Tapi, benarkah dia bahagia dan hati suami sentiasa melekat pada dirinya? Tidakkah itu hanya membuatkan isteri itu sentiasa stres kerana sentiasa cari jalan supaya suami ‘tunduk’ kepadanya. Bukan dalam erti kata pakai ilmu sihir, tapi dengan cara mengawal suami.
Sekejap-sekejap telefon suami walau pun tahu suami sedang kerja. Semua perkara suami kena lapor pada dia. Kalau ‘lupa’ memang perang besar. Kalau di rumah, suami tak dibenarkan keluar tanpa dirinya. Walau pun suami hanya nak keluar bawa anak-anak ke taman permainan, tetap tak dibenarkan. Diajak, tak nak pergi pula dengan alasan penat! Aduh, macam mana tu? Jauh sekali nak benarkan suami keluar dengan kawan-kawan.
Belum lagi bab semak semua call dan whatsapp suami dan sebagainya. Alasan caring, tapi buat suami tertekan. Uih. Tak penat ke asyik nak kontrol suami? Dah masuk bab cemburu buta pun ada. Apakah dengan cara ini hati suami akan sentiasa melekat pada isteri?
Walau pun ada anak-anak kecil yang perlu diberikan sepenuh perhatian, jangan abaikan suami hingga dia berasakan dirinya bukan lagi jadi keutamaan. Nampak tak logik. Takkan suami cemburu dengan anak sendiri. Bukan soal cemburu, tapi suami tetap ingin isteri mendahului dan mengutamakan dirinya dalam segala hal.
Nak ‘gam’ suami agar suami sentiasa ingat kita, bukan dengan cara kawal dia. Bahkan kata orang, lagi kita cuba ikat dia, lagi dia akan jauh daripada kita.
Isteri kena tunjukkan bahawa anda percayakan dia walau pun dia tak ada di depan mata. Tiap kali suami nak keluar bekerja, salam, cium tangannya sambil doakan agar segala tugasannya dipermudahkan dalam mencari rezeki untuk kita dan anak-anak. Ha..bila dengar kata-kata tu, mesti suami rasa bersemangat dan dia juga akan sedar bahawa dia keluar mencari rezeki untuk anak isteri.
Berbeza kalau kita cakap; “abang jangan nak mengatal pulak kat tempat kerja. Nahas saya tahu..”. Agaknya kalau suami tak ada niat nak mengatal, terus ada keinginan. Sebabnya, dia geram. Niatnya bangun pagi keluar cari rezeki, tapi awal-awal lagi isteri dah tunjuk tak percayakan dia.
Ramai wanita yang mungkin tak rasa ini penting. Ada yang cakap, sama-sama sibuk cari rezeki, suami kenalah faham. Ye, memanglah suami faham. Tapi tidakkah ada rasa kasihan pada suami (dan anak-anak) kalau asyik makan kedai je?
Paling kurang, masaklah seminggu sekali untuk suami. Tak sempat masak sarapan, masak makan malam. Atau hari cuti, boleh masak kan? Tentu dia akan rasa gembira. Tak percaya? Survey dan tanya suami-suami. Siapa yang tak nak isterinya masak? Tapi, mereka faham kesibukan dan kepenatan isteri kerja, sebab itu mereka tak ‘wajibkan’ isteri masak hari-hari.
Tapi rugi bagi isteri yang tak gunakan cara ini untuk ‘gam’ suami. Kalau begini, jangan salahkan suami kalau asyik nak keluar makan di kedai. Sebabnya, dia dah terbiasa makan di kedai daripada di rumah. Apa pun, belum terlambat. Rajinkan diri untuk masak, walau pun sekadar satu lauk. Tengoklah perubahan suami nanti.
Mungkin ramai isteri yang kurang setuju untuk beri ruang pada suami keluar bersama kawan-kawan. Tapi, kalau nak ‘gam’ suami, ini juga salah satu caranya. Alah, bukan tiap hari, mungkin seminggu sekali je. Anda fikir lah ye, tidakkah lebih baik kalau dia keluar dengan persetujuan dan keizinan anda, berbanding secara diam-diam?
Ada lelaki memang jenis duduk rumah. Tak keluar tak apa. Ada lelaki pula yang suka keluar sebab tapi sebab malas nak gaduh dengan isteri, dia pendamkan saja hasrat. Ini yang kita takut. Nanti dia buat perangai dalam diam lagi susah. Jadi, eloklah bagi ruang untuk dia asalkan kita tahu dia ke mana dan dengan siapa.
Tak semestinya hobi bila dikatakan kena buat aktiviti bersama. Ada suami yang suka ajak isteri keluar walau pun sekadar nak ke pasar. Tapi isteri pulak bagi macam-macam alasan. Malas bersiap lah, banyak kerja rumah lah.
Tak terfikirkah wahai isteri, itu tandanya suami nak luangkan masa dengan anda? Tak apa kalau perlu bawa anak bersama. Bila kita buat aktiviti bersama, ia makin mendekatkan perasaan kita. Tak perlu kawal, kita dah ‘gam’ hati suami.
Adatlah orang perempuan, banyak kehendak. Tapi, tolong tengok kemampuan suami. Kalau pun suami mampu, tapi asyik minta itu ini, tak patut juga.
Mungkin suami tak lafazkan dengan kata-kata tapi di sudut hati tentu dia sedih dengan perangai isteri yang seolah-olah tak pernah rasa cukup. Nak ‘gam’ hati suami, jadilah isteri yang sentiasa bersyukur dan menyejukkan hati suami. Kalau suami ada masalah, ambil tahu walau pun tak mampu bantu. Picit bahunya, pasti dia lebih lega dan rasa anda prihatin pada dirinya.
Mungkin ada yang tak setuju dengan apa yang ditulis ini. Terpulang pada diri masing-masing. Apa pun, isteri adalah individu yang paling ‘kenal’ hati suaminya macam mana. Jadi, pasang strategi ikut kesesuaian. Tapi, KAWAL suami bukan jalan terbaik untuk ‘gam’ hati suami pada isteri. Berapa banyak suami yang kononnya dikawal isteri tapi di belakang isteri bukan main lagi, hingga ada yang sampai kahwin lagi!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap pasangan yang berkahwin, tentunya mengimpikan rumah tangga bahagia dan menjadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak. Itulah impian dan ikrar yang dibuat di awal-awal perkahwinan.
Namun, selepas mempunyai anak dengan karenah anak-anak yang menguji kesabaran mak ayah.membuatkan kita terlupa seketika dengan ikrar yang dibuat awal dahulu. Memang tidak salah menghukum anak tapi kenalah berpada-pada. Tegur cara yang betul.
Begitu juga dalam mendidik anak. Tegur anak tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Hakikatnya, mak ayah yang buat. Macam mana tu? Ingat mak ayah adalah cerminan anak-anak.
Perkongsian daripada Wawa Shauqi boleh membuka mata agar menjadi mak ayah yang terbaik untuk anak-anak. Ingat, sayang diri sendiri dulu.
Sebelum tidur semalam, suami saya katakan sesuatu kepada saya. Katanya, “Kalau kita nak jadi parents yang baik, kita perlu buat baik kat diri kita sendiri dulu.”
Langsung otak saya ‘flashback’ memori satu masa ni.
Memori waktu saya awal-awal tak bekerja dan menjaga anak. Saya benci dengan diri sendiri. Bila tengok kawan-kawan di IG, lagilah saya jadi sedih.
Masing-masing nampak hebat dengan kerjaya yang mereka bina.
Saya pernah rasa diri sangat tak berguna. Tak ada pencapaian walaupun asalnya saya seorang scorer di universiti.
Berbulan-bulan saya tak pandang cermin. Saya dah tak fikir tentang rupa diri. Walaupun hakikatnya saya dulu mekap tebal macam Rozita Che Wawa. I mean, Rozita Che Wan.
Berat badan saya turun dari 50kg ke 36kg. Berat paling ringan pernah dicatat sepanjang dewasa.
Bila berjumpa orang, saya dah tak mampu ramah macam dulu. Awkward sangat. Apatah lagi bila berjumpa kawan lama. Seboleh-bolehnya nak jauhkan diri dari mereka.
Saya pernah menangis dalam perjalanan ke kenduri. Hanya kerana suami saya bercerita salah seorang kawan kami akan berkahwin dengan seorang doktor.
“Wow. Doktor. You kawin dengan loser je babe.” kata saya.
Waktu tu, saya menangis macam kucing hilang anak. Tudung habis basah. Sampai kat kenduri, jenuh nak hilangkan mata bengkak dan sedu-sedan yang berbaki.
Satu-satunya benda yang buat saya rasa bertuah waktu tu, adalah anak dan suami.
Tapi rasa bertuah tu tak cukup. Ia tak membantu saya untuk bertahan bila anak buat kerenah. Ia tak membantu bila saya penat tak cukup tidur.
Saya mudah ‘annoy’. Sikit-sikit hal boleh mencetus marah. Rasa sangat loser dan tertekan.
Semuanya jadi bila saya lupa nak SAYANG DIRI SENDIRI.
Simple je kan! Tapi kesan dia besar kalau kita terlupa. Ya. Sayang diri sendiri adalah satu perasaan yang sangat ‘powerful’.
Bila saya mula berdamai dengan diri sendiri, saya mula berdamai dengan persekitaran saya.
Saya memaafkan diri sendiri, saya mula mampu memaafkan orang-orang yang menjatuhkan saya.
Bila saya berterima kasih kat diri sendiri, barulah saya mampu lihat betapa mahal benda-benda kecil yang saya miliki.
Saya mula menyayangi diri sendiri, barulah saya mampu buang rasa mudah ‘annoy’ kat orang lain.
Selama ni kita selalu terbeban dengan rasa diri-tak-cukup-baik. Dan kita bawa ‘luggage’ itu ke mana-mana kita pergi. Tanpa kita sedar, ‘luggage’ itulah yang melambatkan langkah kita untuk pergi jauh ke depan.
Lepaskan ‘luggage’ tu dan mulalah berjalan.
Ingat ni.
Kita takkan dapat tuang air oren kat anak kita, kalau gelas kita sendiri kosong.
Kita takkan dapat beri kasih sayang pada orang lain kalau kita tak mula menyayangi diri sendiri.
Jadi, mulalah peluk badan. Belai diri dan cakap terima kasih, sebab dah banyak berpenat lelah ikut kehendak hati.
MW: Mak ayah adalah cerminan anak-anak. Berterima kasih dan sayangilah diri sendiri.