Pada 9 Mac baru-baru ini, Puteri Aishah bersama pengarah krew produksi dan pelakon lain drama Demi terbang ke Inverness, Scotland. Mereka kemudiannya memulakan sesi penggambaran sehari selepas tiba disana.
Menurut pengarah drama Demi, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro memaklumkan dia bersama kru seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Rahila juga terpaksa menghentikan penggambaran dan pulang selepas diarahkan berbuat sedemikian.
Semoga Puteri Aishah segera pulih
Iman Tang, pengurus kepada Puteri Aishah memuat naik posting mengenai artisnya itu di instagram rasminya @imantang75.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakathu..Salam Maghrib. Dia (Puteri Aishah) telah disahkan positif Covid-19 sejam yang lalu. Mohon doakan dia kembali sembuh,”…
Ads
MW kemudian menghubungi Iman Tang dan bertanyakan status terkini Puteri Aishah.
“Puteri Aishah terbang ke Scotland pada 9 Mac lalu sebelum Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dia ke sana bersama pengarah, krew produksi termasuk pelakon lain yang terlibat dalam drama Demi. Keesokkan harinya mereka memulakan sesi penggambaran.
“Mereka tak shoot outdoor, dan tukar lokasi shoot indoor. Sekitar 25 Mac, salah seorang jurukamera dilaporkan sudah empat hari demam. Pengarah juga muntah-muntah dan pelakon Puteri Rayyana Rayqa pun demam dua hari.
Ads
“Masing-masing risau dengan keadaan itu. Team produksi dan pelakon lain balik ke Malaysia dan tiba pada 31 Mac baru-baru ini. Sebaik tiba di Malaysia, mereka diminta untuk self-quarantine dan jangan balik ke rumah keluarga.
“Puteri Aishah tinggal sendirian dan menjalani tempoh kuarantin itu. Tetapi sebaik jurukamera dan empat krew produksi telah disahkan positif, saya nasihatkan Puteri segera melakukan ujian saringan Covid-19 drive thru di Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang, 6 April kelmarin. Jam 5.30 petang tadi, result dah keluar dan dia disahkan positif… Kami masih menunggu makluman lanjut dari KKM untuk langkah seterusnya. Doakan Puteri diberikan kesembuhan hendaknya,”terang Iman Tang ketika dihubungi sebentar tadi.
Ads
Selain Puteri Aishah, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa. Drama Demi diadaptasi daripada novel yang diterbitkan 26 episod bagi siaran RTM.
MW mendoakan Puteri Aishah dan semua yang terlibat dalam penggambaran drama ini diberikan kesembuhan.
MW berjaya mendapatkan kenyataan rasmi daripada Ali yang merupakan bekas vokalis popular Terra Rossa dan juga XPDC mengenai keadaan terkini dirinya. Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail mengalami lecur 30 peratus terutamanya di bahagian muka, tangan dan juga bahagian kakinya.
Menurut Ali, kejadian berlaku pada petang Khamis,2 April baru-baru ini. Memandangkan cuti PKP, Ali mengambil kesempatan itu dengan mengemas bahagian belakang rumahnya dan juga membakar sampah.
“Memandangkan tak ada aktiviti nak buat, saya pergi mengemas dan membersihkan bahagian belakang rumah. Selepas itu saya gunakan minyak petrol untuk membakar sampah. Saya akui itulah kesilapan saya di mana akibat menggunakan petrol, sebaik api dinyalakan…ia terus menyambar saya.
“Ketika itu saya memakai baju T dan juga seluar trek dan api terus menyambar bahagian muka, tangan dan juga kaki. Dengan bantuan anak, saya terus dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. Saya juga dimasukkan ke wad semalaman untuk mendapatkan rawatan,”kongsinya ketika dihubungi.
Ali dalam satu laporan lain menafikan dia ditahan di Hospital Shah Alam kerana ada dakwaan yang mengatakan dirinya dijangkiti Covid-19. Sebaliknya dia ditahan kerana mendapat rawatan lanjut akibat kecederaan melecur yang dialaminya.
Memandangkan sekarang kita semua wajib mematuhi arahan PKP, Ali mengakui agak sukar untuk dia bekerja. Di saat beliau ditimpa kesukaran, beliau memohon jasa baik buat mereka yang prihatin untuk memberi sumbangan kepadanya untuk menampung kos rawatan . Buat masa ini Ali akan ke klinik yang masih beroperasi di sekitar kawasan tempat tinggalnya untuk melakukan cucian luka melecur (wound dressing).
MW mengalu-alukan orang ramai yang prihatin menghulurkan sumbangan anda untuk membantu Ali yang sedang kesulitan. Berikut adalah akaun rasmi miliknya; Maybank 162106484056 (MOHD ALI ISMAIL). Syafakallah buat Ali.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Melalui scan yang kita buat tadi, nampak rahim puan mengadap ke belakang atau lebih dikenali sebagai retroverted”.
“Maksudnya saya kena bedah ke doktor?”
“Eh..kenapa pula nak bedah? Puan tidak ada apa- apa symptom kenapa nak bedah?”
“Oh sebab saya baca, kalau rahim terbalik maka saya akan sukar hamil. Ada yang menyatakan kena bedah betulkan kedudukan rahim dahulu baru boleh mengandung”.
“Erm rahim terbalik atau juga dikenali sebagai retroverted uterus ini sebenarnya adalah variasi yang ada. Kalau kita lihat dari 5 wanita, mungkin seorang daripada mereka mempunyai retroverted uterus.
“Ianya seperti ada orang hidung mancung ada orang hidung tak mancung sangat. Macam itu juga rahim. Rahim terbalik tidak semestinya akan menganggu fungsi rahim tersebut”.
“Maksudnya ianya hanyalah perbezaan posisi sahaja. Maksudnya saya memang dilahirkan macam ini”.
“Ya betul tu puan. Maksudnya memang sejak dilahirkan begini. Sebab puan tidak ada apa- apa penyakit. Namun begitu, bagi sesetengah wanita posisi rahim boleh terganggu sekiranya terdapat parut berlaku akibat endometriosis, jangkitan atau parut selepas pembedahan.
“Begitu juga dengan ketumbuhan fibroid, sekiranya fibroid itu besar ia boleh menganggu bentuk rahim tersebut. Maka sekiranya inilah sebab mengapa kesukaran kehamilan berlaku, maka rawatan perlu diberikan.
“Oh. Maksudnya rawatan hanya pada mereka yang mempunyai sebab mengapa rahim tidak berada dalam kedudukan normal ya doktor?”
“Ya betul. Dan bukan semua rawatan rahim terbalik ini memerlukan pembedahan. Masyarakat kena faham dalam rawatan kesuburan, fokus yang utama adalah untuk membantu wanita hamil. Dan bukannya untuk mengubah posisi rahim yang di kebanyakan situasi adalah dianggap variasi yang normal”.
Perbualan antara pesakit dan doktor di atas mungkin pernah diutarakan oleh wanita bergelar isteri yang mahu mendapatkan cahaya mata.
Menurut Pakar Fertiliti Dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea, Dr Salleha Khalid, rahim terbalik adalah variasi normal.
Dianggarkan 1 dari 5 wanita mempunyai rahim terbalik (retroverted uterus). Retroverted uterus berlaku apabila rahim condong ke belakang. Di kebanyakan wanita, rahim akan condong ke hadapan ke arah pundi kencing.
Namun ada juga yang mempunyai rahim yang condong ke belakang, ke arah usus besar. Ini adalah variasi normal. Sebagaimana setiap individu mempunyai bentuk muka yang berbeza, begitu jugalah rahim.
Sebelum ini ramai yang berpendapat bahawa rahim yang condong ke belakang, atau retroverted akan sukar untuk hamil. Ini adalah tidak benar. Kajian menunjukkan mempunyai rahim yang condong ke belakang tidak akan menyukarkan kehamilan.
Tidak kiralah sama ada rahim condong ke hadapan atau ke belakang, sperma masih mampu bergerak di dalam rahim dan terus ke tiub fallopio untuk bersenyawa dengan telur.
Kebanyakan wanita tidak mempunyai apa- apa tanda. Namun sesetengah wanita yang mempunyai rahim terbalik boleh merasakan tidak selesa atau sakit apabila bersama suami. Jika ini berlaku, anda perlu mencuba posisi- posisi lain ketika bersama suami.
Bagi wanita yang menggunakan tampon, anda mungkin mengalami kesukaran untuk meletakkan tampon ke dalam faraj.
Sekiranya wanita yang mempunyai rahim terbalik melakukan saringan pap smear, doktor atau jururawat terlatih mungkin menyatakan yang pangkal rahim (cervix) berada di bahagian ‘depan’ (anterior cervix).
Bagi segelintir wanita, mereka mempunyai rahim terbalik disebabkan oleh penyakit tertentu yang menyebabkan berlakunya parut dalaman (adhesions) akibat dari penyakit tersebut. Ini termasuklah penyakit endometrisosis iaitu sejenis radang di dalam pelvis wanita yang boleh menyebabkan parut berlaku.
Begitu juga dengan jangkitan di pelvis (Pelvic Inflammatory Disease, PID). Selain daripada itu fibroid dan pembedahan di pelvis sebelum ini boleh juga meninggalkan parut sekaligus menukarkan posisi rahim tersebut.
Parut yang terbentuk menyebabkan organ di pelvis termasuklah rahim melekat dan mengambil posisi tertentu sehingga ianya tidak lagi berada dalam kedudukan yang normal. Sekiranya ini berlaku, maka rawatan kesuburan adalah tertumpu kepada penyebab berlakunya lekatan atau parut tersebut dan bukannya membetulkan kedudukan rahim tersebut.
Kebanyakan wanita yang mempunyai endometriosis atau jangkitan pelvis akan mempunyai simptom tertentu. Bagi mereka yang mempunyai endometriosis, mereka akan mempunyai senggugut atau cyst di ovary (endometrioma) ataupun tiub fallopio bengkak atau tersumbat.
Bagi mereka yang mempunyai jangkitan pelvis, mereka mungkin mempunyai keputihan yang banyak, sakit di pelvis dan ada yang demam akibat jangkitan.
Kebanyakan wanita yang mempunyai rahim terbalik dan mengandung tidak mempunyai apa- apa masalah ketika mengandung. Sesetengah wanita boleh merasa sakit belakang atau susah untuk kencing akibat dari posisi rahim yang terbalik.
Namun begitu, apabila mengandung rahim yang terbalik akan membesar dan kecondongannya itu akan menegak ke hadapan apabila kandungan dan rahim membesar. Ini berlaku antara 10- 12 minggu usia kandungan. Seterusnya rahim akan membesar seperti wanita lain.
Komplikasi rahim terbalik ketika mengandung amat jarang sekali berlaku. Kajian menunjukkan 1 dari 3,000 ke 1 dari 10, 000 wanita yang mempunyai rahim terbalik apabila hamil boleh mengalami apa yang dikatakan ‘incarcerated uterus’.
Ia berlaku apabila rahim yang membesar ketika hamil ‘tersekat’ antara tulang belakang dan tulang pinggul. Tanda- tanda ianya terjadi adalah kepayahan untuk buang air kecil dan besar, sakit di bahagian bawah atau dubur.
Wanita yang berisiko untuk mengalami incarcerated uterus adalah mereka yang mempunyai lekatan atau parut di pelvis akibat endomteriosis, PID, fibroid atau parut selepas pembedahan.
Sekiranya ia berlaku, doktor akan membuat teknik urutan tertentu bagi membetulkan posisi rahim tersebut.
Kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah, rahim terbalik bukanlah suatu jenis penyakit. Rahim terbalik adalah variasi kejadian yang normal. Rahim terbalik bukanlah penyebab kesukaran untuk hamil.
Wanita yang mempunyai rahim terbalik akibat endometriosis atau penyakit yang lain, rawatan akan ditumpukan untuk merawat penyakit tersebut.
Namun begitu sekiranya terdapat sebarang persoalan atau keraguan anda digalakkan untuk bertanya dan berbincang dengan doktor pakar fertiliti. Semoga segala urusan dan usaha anda dipermudahkanNya.
MW: Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan di Pusat Kesuburan Sophea dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ya Allah, bukan galakkan buang bayi tapi nak selamatkan nyawa insan tak berdosa ini. Jiwa saya sentiasa diruntun setiap kali membaca berita mahupun mendengar cerita mengenai penemuan bayi. Ada yang ditemui masih hidup dan banyak juga bayi-bayi yang meninggal dunia.
Sedihnya melihat mayat-mayat bayi yang dibuang di longkang di hutan dan merata tempat yang tidak sepatutnya. Mudah air mata ini mengalir melihat insan-insan yang tidak berdosa ini. Apa tidaknya, ada bayi yang ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati…dihurung semut dan ada yang dimakan binatang. Ya Allah…bagaimana menderitanya insan-insan kecil ini sebelum menemui ajal. Apa salah mereka sehingga diperlaku sedemikian rupa?
Adakah insan yang mengandungkan bayi-bayi ini tidak mempunyai hati? Tidakkah mereka mempunyai ihsan, empati, simpati dan kasih sayang sehingga sanggup berlaku zalim terhadap darah daging sendiri.
Berzina sudah tentulah berdosa tapi Allah masih memberi kemaafan jika kita benar-benar bertaubat. Untuk ibu bapa atau keluarga di luar sana, jika ada ahli keluarga atau kenalan rapat yang mengandungkan anak luar nikah. Berilah bimbingan dan bantu mereka kembali ke pangkal jalan. Jangan memaki hamun, jangan menghina dan jangan sekali memulaukan golongan ini.
Benar mereka tersilap langkah, berilah peluang untuk mereka berubah. Jangan menghukum golongan ini, bimbing mereka menjadi hamba Allah yang taat. Insya-Allah dengan bantuan dan ihsan kita golongan ini tidak melakukan dosa besar dengan membuang dan membunuh zuriat.
Golongan ini ada yang hatinya mati sehingga tidak dapat melihat kebenaran. Mereka melakukan maksiat dan membuang bayi tanpa rasa bersalah. Asalkan diri terlepas daripada pandangan serong masyarakat.
Tapi bukan semua insan yang terlanjur ini hatinya mati. Ada yang sangat tertekan dan terdesak sehingga mereka melakukan perbuatan di luar jangkaan…Mereka menjadi insan yang tidak berperi kemanusiaan kerana mahu menjaga maruah keluarga…kerana malu dan kerana takut atas segala kesilapan yang dilakukan. Sebab itu mereka mahu menghapuskan segala bukti dengan cara membuang bayi.
Ya Allah, tiada sekelumit langsung niat di hati ini untuk menggalakkan maksiat. Cuma saya pernah terfikir berkali-kali, sekiranya ada insan yang sangat-sangat terdesak selepas melakukan dosa dan melahirkan anak luar nikah. Jangan dibuang, jangan dibunuh insan kecil yang tidak berdosa ini. Renung mata anak yang dilahirkan…Kasihanilah dia. Anak ini berhak untuk hidup di muka bumi Allah.
Ramai insan di luar sana berhabis wang puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan zuriat. Berilah anak-anak ini kepada golongan yang mahukan zuriat. Jangan dibuang anak ke longkang ke hutan dan sebagainya.
Kini banyak rumah kebajikan yang membantu wanita yang mengandung anak luar nikah antaranya Pusat Kebajikan ORPHANCARE. Beri anak kepada orang jika tidak mampu menjaganya. Doakan agar anak-anak ini menjadi anak syurga.
Maaf jika kenyataan saya tidak disetujui oleh pembaca di luar sana. Saya bukan mahu menggalakkan perbuatan yang tidak baik tetapi saya mahu menyelamatkan nyawa-nyawa insan kecil yang tidak berdosa. Semoga coretan ini membuka mata kita agar menjadi masyarakat yang penyayang dan mengambil berat bukannya masyarakat yang menghukum dan menghina orang.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami kepada pelakon Miera Liyana, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.