Musim sekarang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ditambah dengan wabak penyakit yang menular sekarang ini, tentu merisaukan semua pihak. Bagi anak-anak, rasa bosan mula melanda, nak tak nak bermainlah mereka depan rumah, tak boleh nak keluar sesuka hati.
Main hingga berpeluh dan ada pula anak-anak yang terus bersihkan muka menyebabkan panau mudah tumbuh. Setengahnya tidak sedar, ada panau yang datang menyinggah kat muka. Bagi anda yang bernasib baik, panau mungkin tumbuh di belakang atau anggota badan yang tidak dapat di lihat. Tapi kalau tumbuh di muka tentu memalukan jugak ye!
Sebab itu, orang tua cakap, kalau badan berpeluh, jangan basuh muka, panau cepat melekat. Satu hal pula untuk merawatnya. Kalau dibiarkan, makin banyak pula panau akan tumbuh. Sekarang, tak perlu risau, ada cara yang mudah untuk mak-mak rawat panau yang melekat di muka atau mana-mana anggota badan. Cuba cara ini.
Buah Pinang
- Ambil air perahan buah pinang dan sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan selalu.
Daun Kesum Dan Minyak Tanah
- Campurkan segenggam daun kesum dengan minyak tanah. Gosokkan pada bahagian kulit yang berpanau. Amalkan setiap hari.
Halia
- Ambil halia sebesar ibu jari dan tumbuk hingga lumat. Tepekkan halia yang telah ditumbuk pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan selama 15-20 minit. Basuh dengan air bersih. Amalkan selalu.
Bawang Putih Dan Halia
- Tumbuk dua ulas bawang putih bersama sedikit halia. Sapukan pada bahagian kulit yang berpanau. Biarkan sehingga kering. Amalkan setiap hari.
Lengkuas
- Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan ambil air perahannya. Sapu air lengkuas pada bahagian kulit yang berpanau.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Kumpul Tenaga Didik Anak, Mak Kenalah Bertenang, Caranya Lupakan Gosip Di Alam Maya
Percaya kan zaman viral ini proses keibu bapaan makin mencabar. Paling terkesan sekali emosi diri yang kadangkala sukarnya nak dikawal. Nak bagi emosi mak-mak lebih bertenang, dan lebih fokus dengan anak-anak salah satunya adalah lupakan saja gosip alam maya.
Sebab otak yang tak dikelilingi dengan gosip pelik-pelik akan lebih mudah fokus untuk mendidik anak-anak jadi lebih cemerlang dan berjaya. Dalam masa yang sama, tenaga ibu jadi lebih besar dan tak dibazirkan untuk perkara yang tak penting.
Menarik sekali perkongsian Puan Nadiatul Ashikin Binti Abu Bakar (Nadia Bakar), 32 yang mendapat intipati ilmu keibubapaan menerusi talk yang disampaikan oleh Dr Siti Rohana.
“Dah 6 tahun jadi ibu sekarang saya tahu. Aduhai.”
Ingatlah.. Mak Ayah Orang Pertama Anak Kenal Dalam Dunia
Ibu mesti bertenang supaya kita tak menyinga sepanjang masa. Supaya otak kita sempat berfikir dengan baik sebelum bertindak.
Bila anak pecahkan cawan, ibu berhenti sekejap. Rasa nak marah?
Tarik nafas dalam-dalam sampai kita rasa tenang dan otak boleh proses apa yang sedang berlaku dengan rasional.
Bila dah bertenang, baru otak boleh berfungsi sebagai manusia yang waras.
“Oh anak aku tak sengaja.”
“Oh anak aku nak tolong angkatkan.”
“Oh anak aku nak bagi aku cawan cepat-cepat.”
“Oh anak aku tangannya belum cukup kuat angkat cawan kaca yang berat.”
Bagi anak kecil, tiada siapa lagi yang paling dia cintai melainkan ibu. Orang pertama yang dia kenal di dunia ini.
Bayangkanlah kalau anak kecil asyik dimarah, diherdik dan dipukul?
Pada siapa lagi dia nak percaya dan bina kepercayaan diri sendiri kalau bukan pada ibu?
Di hati anak, ibulah segala-galanya.
Kalau ibu bunuh kepercayaan pada diri mereka dengan tempik, herdik dan pukul, kita ingat anak akan jadi orang yang percaya diri (high self esteem) bila perlu keluar hadap dunia luar nanti?
Ini Cara Ibu Belajar Bertenang
Ibu nak bertenang kena elakkan stress.
Lebih-lebih lagi stress yang tak perlu.
Yang tak penting pun. Yang langsung tiada kaitan dengan kita.
Salah satunya, stalk cerita gosip di alam maya ni. Perasan kan macam mana punya sakit hati bila kita baca kisah rumahtangga yang pelik-pelik, tak masuk dek akal? Padahal tu kisah orang lain. Tapi dah curi baaaaanyak tenaga kita.
Tanpa sedar kita stress. Lepas tu senang nak marah-marah. Hal kecil-kecil pun tak boleh nak toleransi.
Sebab? Kita tak bertenang. Otak kacau-bilau. Cloudy.
Teringat tuan Bukhari Ramli cakap.
“Otak ni tempat yang suci. Jangan masukkan sampah!”
Dulu saya tak faham juga apa yang tuan Bukhari cakap.
Lama-lama baru nampak, boleh kaitkan otak dengan mindset dan akhlak kita sebagai manusia.
Apa yang kita lihat dan dengar masuk ke otak. Tambah pula dengan emosi, memang dahsyat penangannya. Lalu tercipta belief system kita sendiri.
Nak Tak Nak.. Ibu Mesti Bertenang
Ibu, tak kita yang berubah, siapa lagi?
Anak tak ada orang lain untuk diharapkan, melainkan pada ibunya sendiri. Tak mungkin ibu orang lain tiba-tiba datang nak offer diri.
“Meh sini meh. Acik boleh jadi ibu yang bertenang untuk awak, nakkkk.”
Ibu, mesti bertenang.
Anak kecil tak lama mana.
Sampai masa dia dah pandai buat keputusan sendiri. Dah keluar pergi belajar, tak lama tu akan bina rumahtangga dengan orang lain. Tinggallah kita sendiri.
Sekarang ni masa untuk kita cipta sebanyak mungkin memori yang indah dan baik dalam hidup mereka.
Kita cuba, ya.
Tak jadi sekali, buat sampai sejuta kali.
Tak dosa pun. Asalkan kita tak putus asa. Tuhan nampak usaha kita.
Nadia Bakar : Paksa diri cuba tenang setiap masa walau banyak lagi cacat celanya.
Sumber/Foto : Nadia Bakar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Ini Jelaskan 2 Sebab Tidak Galakkan Minum Air Selusuh Untuk ‘Mempercepatkan’ Proses Bersalin
Biasanya bagi orang Melayu air Selusuh seringkali digunakan sewaktu tanda-tanda awal bersalin berlaku. Ia dipercayai untuk membantu ‘mempercepatkan’ proses bersalin. Namun, menurut perkongsian ilmu oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan seorang Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, beliau tidak mengalakkan penggunaan Air Selusuh ini atas sebab-sebab tertentu.
Berikut antara perkongsian oleh beliau yang boleh dijadikan panduan;
Boleh minum air selusuh ke doktor?
Biasanya orang Melayu kita lebih arif berkenaan dengan air tersebut. Air biasa direndam dengan Akar Fatimah ataupun air biasa dibaca dengan mantera jampi serapah atau dicampur sikit dengan herba-herba yang memulakan kontraksi rahim. Juga turut dikenali sebagai Sanggul Fatimah / Rumput Fatimah / Rose of Jericho .
Air selusuh akar fatimah ini dipercayai turun temurun digunakan untuk ‘mempercepatkan’ proses bersalin . Biasanya akan diminum selepas tanda tanda awal bersalin itu berlaku, keluar darah awal bersalin pecah air mentuban pecah atau sakit kontraksi sudah bermula. Bukan sahaja boleh diminum, ada yang boleh disapu pada perut, bersertakan bacaan-bacaan tertentu. Masalahnya, betul ke akar fatimah ini sememangnya mempercepatkan proses kelahiran ?
Selusuh yang melibatkan hanya air kosong dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa, sepatutnya tiada masalah untuk diamalkan. Ada beza tu, doa dan jampi serapah. Jangan keliru!
Air rendaman akar fatimah, minyak selusuh bidan kampung, air jampi, air asam jawa yang dibacakan jampi, rendaman akar kayu dan herba – sekadar menamakan sedikit jenis-jenis selusuh amalan orang melayu. mungkin ada banyak lagi selusuh yang mungkin tidak saya ketahui.
Selusuh jenis ini tidak diketahui cara penghasilan dan bahan kimia aktif di dalamnya – ada kajian membuktikan bahan yang digunakan mempunyai aktiviti seperti hormon oksitosin yang menyebabkan kontraksi pada rahim. Dos bahan ini tidak diketahui dan tak boleh dipantau secara klinikal.
Hormon oksitosin yang digunakan dalam dalam perubatan obstetrik moden diketahui dos nya dan diubah mengikut keperluan pesakit. Dan bukan sewenang-wenangnya diberikan tanpa alasan yang kukuh.
Melihat kepada pengalaman saya yang sekelumit cuma ini sepanjang berkhidmat di bidang ini yang sentiasa berhadapan dengan ibu-ibu yang sedang bertarung nyawa ni, secara peribadinya, saya TIDAK menggalakkan penggunaan air selusuh yg mengunakan bahan-bahan seperti yang saya nyatakan tadi. Ada banyak sebab mengapa saya tidak mengalakkan penggunaannya dan jika ada ahli debat yang sanggup berdebat, saya persilakan.
PERTAMA :
Ibu digalakkan berpuasa sepanjang tempoh bersalin – yakni ibu-ibu yang sudah memasuki fasa aktif bersalin yang berada di dewan bersalin untuk menyediakan ibu jika berlaku sebarang kecemasan yang memerlukan pembedahan ceaserean , ibu itu sudah berpuasa dan boleh segera dilakukan pembedahan ke atasnya. Jadi jika air selusuh diberikan kepada ibu-ibu nak bersalin ini secara tak langsung akan memberikan risiko kepada ibu.
KEDUA :
Air selusuh ini seolah-olah memaksa pintu rahim terbuka sedangkan belum tiba waktunya untuk bersalin. Hal yang demikian akan menyebabkan ibu ibu mengalami kesakitan yang amat sangat. Bukan kepalang sakitnya. Di mana, melalui pengalaman saya, hampir kesemua ibu yang mengamalkan air selusuh ini meracau dan tidak keruan akibat kesakitan yang melampaui biasa.
Tambah menyedihkan, ada di antara mereka terpaksa kami tolak ke dewan bedah untuk pembedahan caeserean kerana pintu rahim langsung tidak terbuka sedangkan ibu tersebut dalam kesakitan yang amat sangat, berjam jam lamanya. kontraksi yang kerap ketika bersalin akibat air selusuh ini kadangkala menyebabkan peredaran darah pada bayi terganggu dan boleh mengakibatkan bayi lemas secara tidak semena-mena.
Pandangan peribadi saya kepada pasangan yang baru berkahwin, terutamanya yang duduk di bandar-bandar besar, kalau boleh, janganlah mengharap kepada air selusuh ini. Lazimnya air selusuh ini bukan buatan sendiri, kadang kadang kita meminta orang lain yang buatkan, jadi kita tidak tahu apa yang terkandung dalam air tersebut.
Memang diakui, syaitan itu ada, bahkan di setiap pembuluh darah kita, syaitan itu akan melaluinya. Jika inginkan kesenangan dan kemudahan dalam bersalin, lakukanlah solat taubat, mohon keampunan kepada Allah, mohon dipermudahkan segala urusan, solat hajat. Minta ampun pada suami, kedua ibu bapa, dan para suami, ampunkan dosa dosa isteri. Insyallah, Allah itu akan ADA untuk kita.
Setiap kali, melihat pesakit yang mengamalkan air selusuh ini , sangat ‘terasa’ kesakitan para wanita itu, tapi apa kan daya. Kadang kala, kejahilan di atas ilmu yang ada membuatkan kita lupa, alpa dan lalai. Oleh itu, Allah sediakan masa 40 minggu bersamaan dengan 9 bulan untuk bersedia menghadapi semua itu.
Dan, yang terakhir pesanan saya, amalkanlah doa ini setiap masa – Laillahha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zholimin
(Tiada Tuhan melainkan Engkau, Masa Suci Engkau, sesungguhnya aku dalam golongan orang yang menzalimi diri sendiri).
Ini adalah doa Nabi Yunus ketika baginda ditelan oleh ikan Nun, di mana pada ketika itu baginda berpaling dari kaumnya yang enggan mengaku Allah itu sebagai Tuhan. Amalkan setiap kali musibah dan masalah melanda, insyallah akan melimpah Rahmat dari Yang Maha Berkuasa.
Saya bukan ler ustaz mahupun alim ulama, hanyalah manusia biasa yang menilai alam sekeliling, yang kadang-kadang lupa dan lalai.
Proses bersalin ni mengajar bakal ibu dan ayah supaya banyak bersabar. TIADA benda yang boleh cepatkan proses ini, tanpa izin Allah.
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Semoga perkongsian ini bermanfaat, kongsikan juga buat wanita lain yang bakal bersalin.Seeloknya dengarlah nasihat doktor, yang lebih arif dalam bidang perubatan dan sakit puan ini.
Sumber: Dr Muhammad Izzat
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Diuji Anak Autisme, Penat Kalau Cari Punca, MakAyah Kuatlah Untuk Bangkit
Segelintir mak ayah diuji anak autisme. Tak mudah untuk mak ayah lalui proses membesarkan anak istimewa ini. Sepanjang masa kesabaran diuji. Malah, jadi penat bila asyik mencari punca.
Guru Besar SK Pekan Nanas, Firdauz Abdullah juga diuji anak autisme. Apabila anaknya, Matiin disahkan autisme. Dan ini yang ayah ini lakukan.
Perasaan Aku Bila Tahu Matiin Seorang Autisme
Pernah ada yang bertanya, apa perasaan aku bila tahu Matiin seorang autisme.
Sedih? Kecewa? Redha?
Jujur aku boleh kongsi disini, semua itu terbit dalam masa yang sama. Ibu atau bapa manalah yang tak akan gusar kan?
Tiba-tiba dunia rasa gelap gelita dan seolah-olah dunia tak adil untuk kita. Pelbagai persoalan mula terbit diminda.
Lagi memburukkan keadaan bila pasangan mula menyalahkan antara satu sama lain, yang ini lagilah menyedihkan.
Korang yang sedang melalui fasa ini janganlah terus menyerah kalah apatah lagi terus menyalahkan apa yang dah pun berlaku.
Patutlah Guru Besar sedia tengokkan, benarkan cikgu bawa anak ke sekolah.
Kalau Cari Punca, Mak Ayah Akan PENAT
Kalau hendak mencari punca, kau akan penat. Yelah, autisme belum ada faktor khusus yang menjadi penyebabnya hingga kini. Kalau ada pun cuma faktor risiko sahaja, itu pun terlalu banyak kemungkinan.
Sedih tu biarkanlah ia berlalu pergi, sampai bila nak ditanggung? Luahkanlah kepada pasangan atau sahabat biar kurang bebanan yang ada.
Kalau disimpan, kuatir ia menjadi punca kepada stress dan seterusnya makin teruk hingga membawa kepada kemurungan. Kesannya, anak syurga kita juga yang akan terabai.
Pesan aku, kita cari kekuatan untuk bangkit. Lihatlah wajah anak itu, dan fikirkanlah masa depan mereka. Cari jalan bagaimana mereka boleh dibantu, apa bentuk sokongan yang boleh diberi.
Mulakanlah dari keluarga, ibu bapa perlu bersama dan mempunyai kesefahaman dalam merancang apa yang perlu dicapai oleh anak ini. Adik beradik perlu tahu bahawa ada antara mereka ini adalah begitu istimewa sekali. Rapatkan jurang dengan kasih sayang.
Masa tidak akan menunggu kita, maka rancangan jangka masa pendek dan juga panjang perlu ada. Pendek kata, rancanglah sesuatu untuk anak ini capai bersama kita. Janganlah dibiarkan sahaja atau menafikan hak anak ini.
Sudahkan anak kita ini pandai mengurus diri? Bagaimana dengan kemahiran mereka ke tandas? Anak kita pandai meminta atau berkomunikasi jika mahukan sesuatu? Adakah anak ini tahu menyatakan perasaan mereka?
Apa Lagi Mak Ayah Boleh Bantu
Persoalan-persoalan di atas perlu ditanya kepada diri kita dan pasangan. Jadikan ia sebagai motivasi untuk membantu anak syurga kita agar dapat mereka menjalani kehidupan bersama-sama orang disekelilingnya.
Usah membanding anak ini dengan yang lain, fokuskan pencapai mereka dengan apa yang telah kita rancangkan. Biarpun perkembangannya tidaklah sebesar mana jika dibanding dengan anak yang lain, ketahuilah.. ia sebenar begitu bermakna buat mereka. Teruskan!
Seterusnya, carilah ilmu dan bina ‘support system’ antara guru – ibu bapa juga ibu bapa – ibu bapa. Dari sinilah kita dapat berkongsi pula pengalaman dan ilmu yang ada.
Banyak kumpulan sokongan yang ada diluar sana, contohnya Autisme Malaysia, NASOM, IDEAS,
Yayasan Faqeh, PPIJB dan macam-macam lagi termasuk yang tersedia di hospital dan sekolah. Lebih mudah juga untuk kita bangkit pabila rasa hampir berputus asa dengan adanya sokongan dari mereka yang faham dan berada dalam situasi yang sama.
Pengalaman kami dahulu, waktu inilah segala jenis bengkel kami sertai untuk memperoleh ilmu dalam intervensi awal serta terapi pertuturan.
Macam-macam jenis kelas juga kami hantar Matiin untuk membantunya serta bagi kami teruskan pula intervensi tersebut dirumah melalui apa yang diperhati dan diajar kepada kami.
Yelah, benda ini bukan hanya usaha sebelah pihak, walau semahal mana sekalipun yuran terapi yang dibayar.. ia bukan jaminan untuk perkembangan anak. Sebaliknya, masa bersama ibu bapa lah merupakan masa terapi terbaik untuk anak-anak ini.
Diuji Anak Autisme.. Jangan Bersedih Terlalu Lama
Paling penting, jangan berputus asa, jangan bersedih terlalu lama, jangan juga menyalahkan sesiapa termasuk anak itu! Jangan! Jangan! Jangan!
Bina kekuatan dari kesedihan, dan ketahuilah anak kita adalah anugerah terindah dalam seluruh kehidupan ini. Pimpinlah mereka hingga mereka mampu berdiri sendiri walaupun ia akan mengambil seluruh masa kita, kerana percayalah.. perancangan Tuhan itu adalah sebaik-baik perancangan.
Kepada ibu bapa yang sedang berada di dalam situasi seperti aku, meh kita sama-sama menyokong antara satu sama lain. Mulakan dengan melayari laman web kami Genius Kurnia di pautan ini,
https://iautism.my/
https://iautism.my/
Pelbagai jenis maklumat yang boleh kau perolehi mengenai autisme dan bagaimana anak-anak ini boleh dibantu. Selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh mendapatkan pelbagai jenis latihan dalam talian di sana.
Segala jenis latihan yang disediakan adalah untuk membantu ibu bapa, guru dan orang ramai bagi memahami apa itu austime dan bagaimana intervensi awal boleh membantu mereka. Semua ini disediakan oleh mereka yang semestinya pakar dalam bidang ini.
Akhir kata, teruskan pejuangan ini. Tanpa anak-anak ini, tidak mungkin kita akan melihat dunia dari pelbagai sudut. Tidak mungkin juga kita akan menghargai sekecil-kecil perkara di sekeliling kita. Tidak mungkin juga kita akan menjadi orang yang sabar dan begitu empati kepada orang disekeliling kita.
MW : Besar pahala mak ayah yang kekal bersabar diuji anak autisme , membesarkan anak-anak istimewa kiriman tuhan ini dengan penuh kekuatan jiwa.
Sumber/Foto : Firdauz Abdullah
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI