Mak ayah tahukan kesan dadah ini bahayanya macam mana. Lebih mengejutkan apabila Puan Nadia Hazmi, Pegawai Anti Dadah di AADK Daerah Kuching, Sarawak berkongsi tip bagaimana mak ayah perlu pantau keadaan anak-anak sejak dari kecil
Sebab bila mereka dah terjebak dengan dadah jenis psikoaktif seperti syabu inilah bila diambil berterusan dalam jangka masa panjang, boleh sebabkan otak mereka mereng serupa pesakit mental. Pendek kata boleh buat jadi GILA.
Pengalaman Kerja Di Serenti
Pernah tengok tak orang mop dinding? Haa.. ini ok lagi. Lebih dahsyat bila tengok budak-budak ini mop karpet siap tabur serbuk pencuci Daia lagi.
Bertambah bisa sel otak cik puan pegawai pemulihan melihatnya.
Di Sarawak ini, kami lebih banyak berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan pesakit mental. Ini kesan pengambilan dadah jenis psikoaktif seperti Syabu atau nama manjanya Batu/ Ice/Kaca yang paling banyak dijual di merata pelosok malahan secara terbuka.
Pengambilan dadah jenis inilah, biasanya sebabkan penagih jadi mental, psiko, skizofrenia, delusi, pendek katanya GILA.
Mereka hilang pertimbangan diri, hilang kewarasan. Setelah pengambilan lama dan berterusan. Bila dah jadi macam ni, harapan untuk pulih tu sangat tipis.
Sakit Mental.. Demi Syabu Sanggup Membunuh
Syabu adalah dadah yang popular di masa kini. Ianya membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresif untuk mendapatkannya.
Paling geram, tokan-tokan syabu ini ada yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kalinya agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).
Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan dari negara kita. Harganya yang mahal (100 miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka.
Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri. Jadi anda, perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.
Ads
Berikut adalah cara-cara untuk anda men’detect’ tanda-tanda penagihan dadah paling durjana abad ini:
Tanda Dan Kesan Pengambilan Syabu, Mak Ayah Kena Ambil Tahu Pantau Anak-anak
1. Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi. Mereka akan menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal mereka pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.
Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.
Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka. Namun ianya hanya untuk seketika. Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai ‘kong’).
2. Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.
Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.
Ads
3. Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang tu dia akan mengetap gigi, ada sesetengah tu akan basuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.
Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.
4. Pada saat “kong” ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.
Masa ini lah tiba-tiba keluar kisah cinta lama lah, sedih dengan masyarakat lah, kawan-kawan aniaya dia lah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.
5. Tanda-tanda fizikal ini diceritakan oleh ramai. orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur. Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.
6. Boleh juga dilihat pada wajahnya seperti di bawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung). Kesan jangka masa panjang.
7. Berdasarkan pengalaman sendiri dalam bidang ni, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh. Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.
8. Di antara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang ‘extreme’ ni boleh jadi gila terus.
Ads
9. Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman. Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.
10. Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan kaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu. Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini. Pada ketika inilah anda boleh lihat bomoh dan pawang-pawang di luar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.
11. Antara perkara yang patut diperhatikan, Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari. Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam tu kena bagi ‘extra care’ lah nampak gayanya.
12. Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat ‘topup’ syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab tu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.
13. Salah sangka di kalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.
Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.
Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru). Namun kalau dah extreme tu susah juga nak sedarkan mereka.
14. Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka. Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.
15, Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang. Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lamanya yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.
PS: Gambar ni (gambar orang mop dinding biru) dari album 6 tahun lepas. Klien dalam gambar ni, ada datang ‘melawat’ kami minggu lepas. Siap speaking london lagi. Soalan pertama dia “Hai doktor! Anak cik puan dah berapa orang? Berapa orang dah suami puan?”
Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mendalam kepada semua terutamanya bagi para pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) komited untuk terus membantu PMKS yang terjejas akibat pandemik kesihatan dan kemelesetan ekonomi ini. Kini ketika ekonomi sedang kembali pulih, sudah tiba masanya PMKS juga bangkit memajukan perniagaan mereka. CGC menawarkan beberapa produk pembiayaan terus dan salah satunya adalah BizWanita-i, khusus untuk usahawan wanita.
Baru-baru ini, Mingguan Wanita telah menemubual Puan Sharifah Attashah Syed Ali, Naib Presiden CGC, Jabatan Pengurusan Cawangan & Penjualan dan beliau telah menjelaskan peranan CGC dalam membantu para usahawan wanita menerusi BizWanita-i dan proses permohonan untuk skim pembiayaan ini.
Puan Sharifah telah mengesyorkan pelbagai usaha dan bantuan perniagaan oleh CGC kepada PMKS untuk terus maju terutamanya pada waktu yang mencabar ini.
“Dilancarkan pada Oktober 2015, BizWanita-i adalah skim pembiayaan terus khusus untuk usahawan wanita yang perniagaannya beroperasi kurang dari 4 tahun dengan menggunakan Dana Bank Negara Malaysia (BNM). Dana ini direka bagi memudahkan akses kepada pembiayaan bagi PMKS yang berdaya maju,” kata beliau.
Menurut Puan Sharifah lagi, BizWanita-i menawarkan pembiayaan bermula dari RM30,000.00 hingga RM300,000.00 dengan kadar keuntungan serendah 6.80% yang sangat kompetitif berbanding produk lain. Kadar keuntungan dimaksudkan sah sehingga 31 Disember 2021.
Sehingga kini, CGC telah meluluskan pembiayaan kepada 1,151 usahawan wanita berjumlah RM78.66 juta.
Syarat Dan Cara Memohon Skim Pembiayaan Terus BizWanita-i
• Bagi permohonan kemudahan BizWanita-i, anda boleh layari laman web www.cgc.com.my, atau www.imsme.com.my, atau kunjungi mana-mana 16 cawangan CGC di Malaysia.
• Pemohon mestilah PMKS yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beroperasi kurang dari 4 tahun.
• Perniagaan dikawal dan dimiliki oleh warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia.
• Sekurang-kurangnya 51% pegangan saham dimiliki oleh wanita dan kakitangan utama adalah wanita.
• Pemohon berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan tidak melebihi 65 tahun.
• Cara bayaran balik Skim Pembiayaan Terus BizWanita-i adalah sama ada melalui Arahan Tetap (Standing Instruction), Auto-Debit atau pembayaran secara dalam talian.
Puan Sharifah sempat berkongsikan kisah seorang usahawan wanita yang boleh dijadikan inspirasi. “Pada mulanya, usahawan ini menjalankan perniagaan sebagai perkhidmatan reka bentuk dapur bagi restoran dan hotel. Akibat pandemik, perniagaan beliau terjejas dan ramai pelanggan terpaksa membatalkan urus niaga dengan syarikatnya. Beliau telah mendekati CGC dan memohon pembiayaan BizWanita-i bagi membantu kelangsungan perniagaannya.
Hasil pembiayaan itu, beliau telah beralih ke perniagaan kafe yang menjual kek dan biskut, dan berpindah ke lot rumah kedai dengan kadar sewa yang lebih rendah.
Perniagaan kek dan biskut yang dijalankan secara bawa pulang dan penghantaran telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya semasa musim perayaan. Hasil jualan itu juga dapat memastikan setiap pekerjanya kekal bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”
Skim BizWanita-i menyediakan kemudahan pembiayaan yang bertujuan untuk menampung modal kerja, kos operasi dan pembelian aset.
“Menerusi BizWanita-i, usahawan wanita PMKS ini dapat dibantu oleh CGC. Mereka boleh menjana pendapatan dengan lebih produktif melalui penambahan stok untuk perniagaan, pembiayaan dan memudahkan pengendalian. Malah, mereka dapat mempertingkatkan pengeluaran produk melalui pembelian aset yang berkenaan untuk perniagaan mereka,” tambah Puan Sharifah lagi.
Pelbagai Kemudahan Pembiayaan Untuk Usahawan & Pelanggan CGC
1. Skim BizJamin SRF & BizJamin-i SRF
• Skim Jaminan sehingga 80% ke atas pinjaman/pembiayaan bernilai sehingga RM1 juta bagi membantu meringankan beban aliran tunai jangka pendek yang dihadapi PMKS yang terjejas. 2. Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF)
• Melalui Dana Bank Negara Malaysia, pihak CGC turut menyediakan Kemudahan
Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) melalui skim jaminan pembiayaan khusus
untuk PMKS dalam sektor perkhidmatan yang terjejas berikutan pelaksanaan
semula langkah-langkah pembendungan Covid-19 sejak Jun 2020. 3. BizBina-i
• Ialah skim pembiayaan terus yang disediakan khas untuk pelanggan CGC yang terjejas akibat bencana alam atau pandemik Covid-19. Ia menawarkan pembiayaan berjangka dengan jumlah minimum RM20,000.00 sehingga RM200,000. 4. BizMula-i & BizWanita-i
• Pembiayaan terus ditawarkan kepada perniagaan baru yang telah beroperasi
minimum 6 bulan dan tidak melebihi dari 4 tahun melalui skim BizMula-i dan
BizWanita-i. 5. Bantuan Bayaran Balik Pinjaman
• Melalui Program PEMULIH, pelanggan CGC telah diberi kemudahan Bantuan
Bayaran Balik Pinjaman bermula pada Julai 2021.
Pembiayaan lain yang ditawarkan oleh CGC
Selaras dengan misi CGC untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menyediakan produk dan perkhidmatan yang kompetitif, PMKS yang mendapati BizWanita-i bukan pembiayaan yang diperlukan, boleh membuat permohonan untuk pembiayaan yang sesuai dalam talian melalui platform rujukan pembiayaan/pinjaman PMKS pertama di Malaysia iaitu imSME.
imSME telah dilancarkan pada Februari 2018 dan adalah platform rujukan pembiayaan/pinjaman PMKS bagi menyuaipadan PMKS dengan Insitusi Kewangan yang terpilih bagi memperolehi pembiayaan/pinjaman.
Sehingga 31 Julai 2021, imSME telah berjaya membantu lebih 4,000 PMKS memperolehi pembiayaan/pinjaman berjumlah lebih RM 405 juta.
Layari laman web www.imsme.com.my untuk mendaftar dan memperolehi peluang pembiayaan/pinjaman bagi perniagaan anda. Rakan niaga CGC melalui imSME terdiri daripada Institusi Kewangan/Pembangunan Kewangan, syarikat Peer-to-Peer (P2P) dan Agensi Penjanaan Kapasiti.
Bagi perniagaan yang memerlukan bantuan Khidmat Nasihat Pembiayaan pula, anda boleh berurusan dengan CGC melalui MyKNP.
Tujuan MyKNP ini untuk mendapatkan pemahaman tentang faktor yang mempengaruhi permohonan pembiayaan dan mempertingkatkan pengalaman PMKS dalam situasi di mana pembiayaan mereka tidak diluluskan. Pada masa yang sama mengesyorkan pembiayaan atau penyelesaian alternatif.
Untuk maklumat lanjut berkenaan produk dan perkhidmatan CGC, anda boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 03-7880 0088 atau anda boleh mengunjungi mana-mana cawangan CGC di serata Malaysia.
Butiran lanjut mengenai lokasi cawangan boleh didapati di laman web www.cgc.com.my.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ruang menunggu ICU Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hampir penuh dengan pengunjung. Pelbagai reaksi ditunjukkan. Ada yang tenang, ada juga yang tak henti mengalirkan air mata.
Penulis mengambil tempat berhampiran seorang wanita berusia lewat 30-an. Kami saling berbalas senyum. Dan perkenalkan diri masing-masing.
Dia Cikgu Ranita dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Hari itu dia datang melawat bekas pelajar sekolahnya yang baru dua hari kemalangan.
Iya, penulis pernah melihat berita mengenainya yang tular di media sosial. Remaja yang dilanggar ketika pulang dari tempat kerja kini terlantar di katil tanpa mampu berbuat apa-apa. Sadis!
Penulis segera dibawa melihat keadaan mangsa, Muhammad Shafirul Mohd Hanafi, 19. Raut wajahnya sedikit bimbang. Cuba disembunyikan dengan perbualan dan senyuman. Dia nampak semakin sihat walaupun masih terbaring di atas katil.
Jari sudah mampu digerakkan cuma tidak boleh terlalu ‘dibeban’ dengan senaman keras. Bimbang mengundang bahaya padanya.
Penulis cuba mengehadkan perbualan supaya Shafirul dapat berehat dengan selesa. Hanya kata-kata motivasi jadi penguat semangat di samping doa kepada Yang Maha Kuasa agar bekas atlet sekolah ini kembali sihat seperti sebelumnya.
“Shafirul seorang pelajar yang baik. Waktu di sekolah dahulu, dia terkenal sebagai atlet dalam sukan bola baling (wakil negeri) selain melibatkan diri dalam Pertandingan Kawad Kaki PKBM (wakil negeri).
“Dia juga rajin dan banyak membantu para guru. Melihatkan keadaannya pada hari ini, hati saya menjadi sayu.
“Saya tahu dia kuat semangat dan saya yakin, dia akan sembuh kembali. Doa saya, para guru dan pelajar-pelajar lain sentiasa mengiringi kesejahteraannya.”
Doa Ketika Anak Di Zon Merah
Kami berjalan seiringan, kembali ke ruang menunggu. Perlahan, penulis menghampiri Rohana Man, 50, ibu Shafirul yang kelihatan sedikit penat.
Semalaman dia di situ, ditemani suami dan anak perempuannya yang kebetulan baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang perubatan. Wajah Rohana nampak biasa tetapi jauh di sudut hati, penulis tahu betapa risaunya hati seorang ibu.
“Shafirul kemalangan pada 11 November yang lalu. Sekitar jam 2.30 pagi, suami terima panggilan telefon daripada kawan Shafirul. Ringkas sahaja ayatnya tetapi cukup menggemparkan kami sekeluarga.
“Pak Cik, Shah kemalangan. Ambulans dah bawa Shah ke hospital ni!”
“Suami tak mampu berkata apa-apa. Ayat yang keluar dari mulutnya hanya “Cepat siap. Kita pergi hospital sekarang!” Jantung saya berdebar seperti hendak pecah.
Sepanjang perjalanan, mulut saya tak putus berdoa mengharapkan kecederaan Shafirul tidak seserius mana. Tetapi, bila diberitakan Shafirul ditempatkan di zon merah, saya sudah tahu jawapannya namun masih mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Shafirul tidak apa-apa.
Nakkan kepastian, suami tanyakan pada rakannya bernama Zul. Memandangkan Zul lah individu pertama yang tiba di tempat kejadian. Kata Zul, dia difahamkan terdapat sebuah kereta membuat pusingan-U lalu melanggar motor Shafirul.
Keadaan motor agak teruk di bahagian hadapan tetapi Shafirul tidak banyak pendarahan. Hanya terdapat sedikit kesan luka dan geselan. Masa tu Shafirul sudah tidak sedarkan diri walaupun namanya dipanggil berulang kali.
Cuma Ibu Seorang Bekerja, Ayah Pula Baru Pulih Dari Angin Ahmar
Kesan daripada kemalangan yang berlaku, Shafirul yang mesra dengan panggilan Abang Ngah dikatakan berdepan masalah retak pada tulang belakang serta pendarahan di bahagian paru-paru (pneumothorax).
Doktor rancang nak buat pembedahan bagi memasukkan besi di tulang belakangnya. Nanti dapatlah Shafirul berjalan semula. Syaratnya, paru-paru Shafirul kena dalam keadaan yang baik.
“Kos pembedahan cecah belasan ribu ringgit. Sekarang ini saya seorang yang bekerja. Suami baru saja pulih dari serangan angin ahmar. tapi kami cuba sediakan mana yang termampu. Demi anak, semuanya mesti boleh.”
Malam itu, Rohana telefon anaknya sekitar jam 11 malam. Tanyakan sama ada anaknya dah makan atau belum. Bila dia jawab sudah. Dia pun lega.
“Sampailah kami terima panggilan telefon jam 2.30 pagi. Waktu itu barulah hati dan fikiran saya berkecamuk.
“Walaupun berat tetapi kami redha dengan ujian ini. Kata orang, benda nak jadi kan. Yang lepas kami tak mahu fikir sangat.
“Fokusnya sekarang pada kesihatan Shafirul. Berikan motivasi dan sokongan agar semangatnya kembali kuat.
Shafirul anak yang baik. Dia baru 8 bulan bekerja. Sepanjang kerja dia tak pernah tak hulur wang pada ibunya.
“Dapatlah beli barang dapur. Adik beradiknya pun dapat ‘habuan’ duit juga belanja makan. Dia memang pemurah dan rapat dengan adik beradiknya.” Iaitu Nur Shafika, 21 dan Muhammad Shahredzuan, 15.
“Dengan kawan-kawan pun macam itu. Setia sangat! Sampaikan kalau kawan telefon pagi-pagi buta minta tolong pun, dia terus pergi walau tak mandi dan bersarapan.
“Mungkin kerana sikapnya yang sebegitu, dia sentiasa disenangi.” Hari itu juga Rohana yang menerima kunjungan wakil guru SMK Seri Pantai bagi menyampaikan wang sumbangan dari para guru.
Inilah Akibatnya
Disebabkan kelalaian, orang lain menerima padah malah kesannya terbekas seumur hidup. Sikap cuai, penting diri inilah yang merosakkan persepsi masyarakat terhadap pemandu-pemandu di Malaysia. Fikirkan sejenak, di rumah ada insan yang menanti mereka pulang dengan selamat.
Penulis: Nazwa Selamat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Alangkah penatnya seorang isteri yang belum pun sempat membesarkan anak pertama dengan sempurna, dalam jarak usia tak sampai 2 tahun dirinya sudah mengandung lagi. Mengandung rapat-rapat, jika disokong oleh bantuan suami yang tersangat prihatin dan bertanggungjawab, akan memberi bahagia buat ibu. Tapi jadi sebaliknya, jika suami lepas tangan.
Apa pun wahai isteri, dalam soal kesihatan diri sendiri sememangnya isteri kena bertegas dan kental. Bila mana Dr. Sakinah Sulong terpaksa berdepan dengan kisah seumpama ini di Klinik Kesihatan, tempatnya bertugas.. lalu hatinya jadi bimbang.
Dalam Kasih Ibu, Taat Seorang Isteri
Saya tak tahu sampai bila saatnya wanita Malaysia akan mendapat keberanian untuk mengatakan TIDAK kepada suami, untuk kesihatan sendiri.
Sedih sendiri hari ini.
Ibu yang masih muda, mengandung begitu rapat jarak kandungannya. Dia pun tak nak begitu. Dia kata dia sudah penat.
Zahir di wajahnya.
Tampak pada air mukanya.
Saya senyap tak mampu nak berkata.
Anak yang paling kecil, masih bayi, tak mampu dipegangnya selalu. Dibiarkan kakak-kakak mengambil alih tugas. Yang abang pun masih kecil, tak puas bermanja lagi. Pantang nampak ribaan ibu kosong, mahu diterkamnya minta dipeluk didakap.
Bukan dia tak cuba merancang,
Ada dia curi-curi beli jamu Indonesia setiap kali lepas bersalin, tapi setiap kali dia gagal.
“Kenapa tak datang klinik jumpa kami?”
“Saya takde duit, transport pun takde.”
Allahuakbar,
Saya pandang dia dan anak-anak.
Semuanya comel-comel. Mata semua tajam memandang saya dan ibu mereka berbicara.
Ada lahir di rumah, ada lahir di hospital.
“Suami?”
“Dia tak kisah sangat, Dr. Saya yang uruskan semua benda. Anak, makan, pakai semua saya.”
Airmata mengalir saat dia berbicara. Saya biarkan emosinya dilepaskan. Dapat merasakan berapa berat beban dalam hatinya bila saya beritahu dia mengandung lagi.
Betul, Anak-anak Itu Rezeki
Tapi ia juga amanah yang datang dengan tanggungjawab.
Betul, Nabi suka umat yang ramai,
Tapi suka kah Nabi andai kesihatan dan kebajikan isteri terabai?
Banyak sebabnya Allah menyebut tentang penyusuan hingga 2 tahun umur anak. Bukan sesuatu yang sia-sia.
Ambil perancang bukan untuk sekat rezeki, bukan untuk hadkan bilangan anak.
Tapi,
Untuk jaga kesihatan isteri,
Untuk jaga hak anak-anak sendiri,
Biar kesihatan dan kebajikan terjaga semuanya. Tambahan kalau isteri dah rasa tak mampu. Manakan nak jaga anak, apatah lagi nak layan suami.
Badan sendiri apatah lagi.
Bermimpi lah nak ‘me time’
Apatah lagi nak cantik-cantik pasang badan.
Keringatnya tumpah sama-sama tolong suami cari sesuap nasi. Ko rasa? Ada masa nak belai diri sendiri?
Allahu,
Wanita-wanita semua, pandai-pandailah jaga diri. Masa kita muda, janganlah dilekehkan nasihat doktor dan jururawat. Memang bukan tangan kami yang menyuap puan-puan.
Rezeki itu datang dari Tuhan
Tapi kami kasihan.
Bila ada jalan, kami cadangkan.
Bukan untuk apa-apa, untuk kebajikan puan-puan.
Pergilah jumpa Dr dan jururawat di KK untuk bantuan.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...