
Isi Kandungan
ToggleSetiap agama pastinya ada amalan dan kepercayaan yang tersendiri. Begitu juga dalam kelahiran anak kembar. Sepasang adik-beradik kembar berumur 5 tahun dikahwinkan di Thailand kerana ibu bapa mereka yang beragama Buddha, percaya kedua-duanya adalah jodoh dalam kehidupan lampau, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Washirawit Bee Moosika dikahwinkan dengan adik kembar perempuannya, Rinrada Breem di kediaman mereka di bandar Nakhon Si Thammarat, Khamis lalu.
Kekasih Kehidupan Lampau
Bapa pasangan itu, Weerasak,31 dan isterinya, Rawadee, 30, merupakan berpegang kepada kepercayaan bahawa semua pasangan kembar yang dilahirkan di dunia merupakan pasangan kekasih daripada kehidupan lampau yang terpisah dan tidak sempat berkahwin.
Rawadee percaya perkahwinan anak kembarnya itu dapat mengusir nasib malang atau ‘karma’ daripada kehidupan mereka.
“Saya bersyukur dikurniakan anak kembar namun saya bimbang ada ‘sesuatu’ daripada kehidupan lampau yang akan mengekori mereka.
“Kami percaya pasangan kembar ini perlu berkahwin untuk membuang nasib buruk itu,” ujarnya seperti dilapor akhbar Daily Mail.
Elak Anak Jatuh Sakit
Majlis perkahwinan itu mengikut upacara perkahwinan tradisional Thailand dan dipenuhi dengan perarakan dan tarian.
Menurut Weerasak pula, dia tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengahwinkan anak kembarnya itu mengikut kepercayaan agama dianutinya.
“Kami percaya, jika anak-anak saya tidak dikahwinkan, salah seorang daripada mereka akan jatuh sakit,” katanya.

‘Kahwin’ Tujuan Adat Sahaja
Perkahwinan pasangan kembar itu bagaimanapun bukan bermakna mereka akan menjalani kehidupan sebagai suami isteri normal tetapi diadakan bagi tujuan adat sahaja.
Jelas Weerasak, ia dibuat bagi memastikan keselamatan kedua-dua anak kembarnya itu.
“Kami tak mahu mereka jatuh sakit. Lagi pun, kami tidak rugi apa-apa pun jika mengikut adat ini,” jelasnya.

Baca Lagi Di Sini:
Lahir Sewaktu Perintah Berkurung, Bayi Kembar Diberi Nama ‘Corona’ Dan ‘Covid’!
Umur 73 Tahun, Wanita India Selamat Lahirkan Bayi Kembar Perempuan!
MW: Tak sangka iya ada kepercayaan begini, bahawa kembar merupakan pasangan kekasih dan jodoh dari kehidupan lampau.Apa-apa pun hormati sahaja setiap kepercayaan dan amaln adat berbeza agama lain iya.
Sumber: Kosmo
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Hilang Ingatan Selepas Bersalin Anak Ke-18, Semua Tak Ingat Kecuali Qurannya

Isi Kandungan
ToggleIbu hilang ingatan akibat komplikasi bersalin anak ke-18, “semua benda tak ingat kecuali Qurannya…”. Insiden seorang lelaki kurang upaya dibelasah di Terengganu cukup mendatangkan amarah dari orang ramai.
Dalam video yang tular menyaksikan lelaki berkenaan dibelasah selepas terlanggar peniaga mee di tapak pasar malam hingga semua jualannya berterabur. Akibat insiden ini, seorang anak yang miliki ibu kurang upaya berkongsi kisah ibunya yang mengalami masalah hilang ingatan selepas bersalin anak ke -18.
Ibu Hilang Ingatan Selepas Bersalin Anak Ke-18
Berkongsi kisah ibunya di Tik Tok@ciqaaaaaa atau Fiqah Suha berkata, ibunya mula mengalami masalah hilang ingatan selepas melahirkan anak ke-18.
“Ibuku OKU juga, hilang ingatan kerana alami komplikasi ketika bersalin anak ke-18.
“Jujur cakap, hanya yang ikhlas jaga insan istimewa begini sahaja yang mampu bersabar apa jua berlaku.Takkan semudahnya pukul mereka walau nyawa jadi taruhan,”katanya.
@ciqaaaaaaa Sebagai orang teganu, ku rasa malu dan pilu… #kemaman #okudibelasah ♬ suara asli – yuda
Dirinya turut memaklumkan jantung ibunya pernah terhenti selama 10 minit akibat komplikasi semasa bersalin di mana otak ibunya sedikit terjejas yang membawa kepada masalah dialami hingga ke hari ini.
“Jantung umi terhenti 10 minit ketika melahirkan anak akhir.
“18 orang anak, 3 gugur, seorang meninggal. Sekarang ada 14 orang semuanya,”jawabnya kepada seorang individu yang meninggalkan komen.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Pasangan OKU Selamat Berkahwin, Hidap Cerebral Palsy Bukan Halangan Cipta Bahagia
Suami Isteri Bila Makin Lama Hidup Bersama, Banyaklah Kelemahan Terserlah, Cara Atasi, Ubahlah Fokus
Kiah Propa Kahwin Semula, “Istiqamah Jadi Isteri Jaga Suami Hidap Kanser Fokus Cik Kiah Sekarang”
Semua Tak Ingat Kecuali Qurannya
Di sebalik kisah ibunya itu, Fiqah bagaimana pun memaklumkan walau ibunya pernah lupa sudah berkahwin dan segalanya dalam hidupnya namun satu-satu yang masih diingati Uminya ialah hafalan Al-Quran. Ini kerana semasa sihat ibunya merupakan guru agama mengajar mengaji.

“Semua tak ingat tapi Quran tak lupa. Banyak ayat masih boleh sambung, kekadang baca sendiri. Dulu Umi guru Quran, mengajar anak-anak dan anak-anak- jiran,”katanya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pagi Hantar Bernyawa Balik Tinggal Jasad Jer, Bukan Mudah Baizura & Nain Nak Terima Kehilangan Anak

Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.

Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Kampung Hulu Langat Kena PKPD, Bertenang & Dengar Arahan Supaya Wabak Tidak Merebak

Isi Kandungan
ToggleKes Covid-19 yang tinggi di kawasan Hulu Langat iaitu hampir 71 kes melibatkan 274 penghuni Maahad Tahfiz membuatkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa tengah malam ini hingga 13 April depan.
Selain Simpang Renggam, kini 7 kampung di Hulu Langat mengalami nasib yang sama. Diminta semua penduduk bertenang dan mendengar arahan demi keselamatan bersama.
Langkah ini diambil semata-mata untuk membendung wabak ini keluar daripada kawasan berkenaan dan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari ini.
7 Kampung Di Hulu Langat
Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat, Selangor berkuat kuasa tengah malam ini hingga 13 April depan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.
Katanya, tindakan itu dibuat susulan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.
“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah itu, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui.
“Ia membabitkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tujuan pelaksanaan PKPD itu adalah bagi membendung jangkitan wabak terbabit daripada menular keluar dari kawasan berkenaan.
“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan itu tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
“Selain itu, penduduk dan pelawat yang tidak menetap di situ tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan,” katanya.
Aktiviti Perniagaan Turut Dihentikan
Menurutnya, semua aktiviti perniagaan turut dihentikan, namun beliau memberi jaminan bekalan asas yang mencukupi untuk tempoh PKPD itu akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pengkalan Perubatan akan dibuka dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.
Beliau berkata, semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya dengan petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.
Katanya, penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 atau 03-89114200.
Sumber: Harian Metro
MW: Bukan mudah bagi kita apabila kebebasan kita tersekat, namun demi keselamatan bersama patuhilah arahan pihak berkuasa. PKPD akan berjaya jika semua orang bekerjasama.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI