Selama ini mungkin anda tercari-cari menu itik panggang yang halal dan sudah tentu ia sukar dicari. Sesiapa yang masih belum pernah mencuba itik panggang, anda wajib singgah di restoran D’YAYA. Rasanya yang asli pasti membuatkan anda ketagih untuk mencubanya lagi.
Hidangan itik panggang ini bukan calang-calang penyediaannya, ia diperap semalaman dengan rempah terpilih sebelum dipanggang segar setiap hari. Dibakar dalam pemanggang khas selama berjam lamanya bagi menjadikan kulit itik tadi keemasan dan garing.
Daging yang beraroma herba Cina ini kemudiannya dihidangkan bersama tiga jenis sos iaitu sos kicap, sos plum dan sos cili yang dicipta khas serta disesuaikan dengan selera setiap bangsa.
Restoran D’YAYA telah dibuka sejak 7 November 2018 lagi. Menurut pemilik restoran yang mesra dengan panggilan Ida, idea untuk membuka restoran dengan mengetengahkan menu itik adalah ekoran sukarnya mencari restoran itik yang halal.
Ads
.
“Saya sebenarnya memang minat dengan dunia masakan kerana suka masak, suka makan dan mencuba makanan. Oleh itu apabila anak makin membesar, saya merancang untuk membuka sebuah restoran setelah mendapat persetujuan suami.
“Alhamdulillah sambutan cukup menggalakkan pada awalnya. Pada enam bulan pertama, restoran kami penuh hingga ada pelanggan yang terpaksa menunggu di luar. Memang meriah sambutannya. Maklumlah masih baru, tetapi sambutan cukup luar biasa,” cerita Ida teruja dengan samlbutan yang begitu menggalakkan.
.
Ads
Konsep Kampung
Suasana santai, menenangkan dan seolah-olah berada di kampung menjadi elemen utama dekorasi restoran D’YAYA. Ida sengaja memilih buluh untuk mendekatkan setiap pelanggan dengan alam semulajadi.
Apa yang dia inginkan adalah setiap pelanggan dapat menikmati hidangan dalam keadaan tenang dan rilek. Restoran ini sesuai untuk golongan berpendatan sederhana kerana pihaknya menawarkan harga yang berpatutan.
“Dekorasi yang cuba ketengahkan adalah melahirkan suasana kampung di dalam bandar. Bila ada elemen buluh dan juga atap rumbia, jelas teringat suasana seperti di kampung. Jadi konsep ini sesuai untuk mereka yang datang bersama kawan atau berkeluarga.
“Selain hidangan itik panggang, restoran kami turut dikenali dengan keenakan asam pedas claypot yang dihidang panas-panas. Rasanya asli kampung tetapi rasanya tak terlalu pedas, bangsa India dan Cina pun boleh terima. Saya sengaja variasikan supaya kena dengan tekak semua orang.
“Selain tu sambal tumis seafood dengan petai juga sentiasa mendapat permintaan ramai. Lagi satu sayur paku-pakis, mesti ramai pelanggan yang akan order. Gabungan masakan di sini adalah pelbagai bangsa iaitu Melayu, cina dan India. Rasa dan menu memang mengabungkan antara kaum agar dapat diterima,” terangnya satu-persatu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Diuji dengan kehilangan karier secara tiba-tiba, mantan Pengarang Hiburan akhbar Kosmo! ; Tengku Suzana Raja Hamat ini menjadikan lapangan baru ini sebagai medium merawat jiwa dan emosinya. Terbiasa dengan rutin kerja yang sibuk, selaku orang media lebih sedekad lamanya membuatkan Suzanna seperti lompong apabila diuji dengan kehilangan karier.
Foto wajah sugulnya juga pernah menjadi sebahagian bahan berita di blog tempatan dan laman sosial saat syarikatnya diumumkan menamatkan operasi Oktober lalu. Siapa pernah menduga, setelah berlama-lama menabur keringat dan bakti…tiada lagi rezekinya membina karier dalam dunia media. Hanya dengan sekeping memo, kehidupannya berubah 360 darjah.
Ketika dipelawa untuk ditemubual, ibu kepada tiga cahaya mata ini memohon diberikan ruang waktu. Selaku ‘beginner’ dalam dunia pendakian, menurutnya masih banyak lagi ilmu yang perlu digali dan dalami. Ikuti transisi baru yang dilalui Tengku Suzana menerusi komentar yang dititipkannya menerusi e-mel tempoh hari.
“Dalam fasa kehidupan saya sekarang, hilang pekerjaan ketika sedang berada di puncak karier, merupakan satu ujian yang amat dahsyat. Bagi saya situasi ini persis sebuah kematian kecil yang seperti merentap akar jantung saya. Sejujurnya seperti orang lain, saya juga menangis kerana saya lemah.
“Tetapi kata-kata seorang sahabat kembali mengingatkan saya, katanya; “Suzana, kau dah terlebih dahulu bersedia dengan situasi getir ini, Tuhan dah bagi kesempatan untuk kau belajar jadi kuat masa kau mendaki selama ini dan aku tahu kau kuat. Ini survival dan kau akan survive… saya cuba hadam segala dan situasi baru ini.
“Bercerita mengenai penglibatan saya kembali dalam bidang ini, sebenarnya saya seorang gemarkan aktiviti lasak. Dari zaman belajar sekitar tahun 1997 dan 1998, saya pernah mendaki Gunung Ledang dan Gunung Datuk. Namun aktiviti lasak saya terhenti tak terpeduli, sibuk dengan kerja dan mungkin juga tidak berada dalam kelompok hikers menjadikan aktiviti ini agak canggung buat saya.
“Sehinggalah pada awal April 2018, saya terlibat dengan aktiviti riadah anjuran Kosmo! ke Gunung Angsi. Dari situ minat hiking kembali bercambah. Tambahan pula baru saya tahu ramai dalam kalangan teman sepejabat aktif dalam aktiviti kecergasan sebegini.
“Tak lama kemudian kami tubuhkan kumpulan kecil atas nama Kosmo! Hikers, yang mana penyertaannya terdiri dari kelompok teman sepejabat dan kawan-kawan serta siapa sahaja yang sealiran minat. Kami juga membuka sebuah akaun media sosial khas menerusi instagram @kosmohikers dan juga ada page FB Kosmo Hikerss sebagai platform perkongsian minat. Kelab ini umpama rumah kedua kami bersilaturrahim, tanpa ‘garis mati’ biarpun Kosmo! Sudah bubar, tapi semangat kami takkan pernah pudar,”curahnya mengenai obsesi barunya. Ketagihan yang sukar digambarkan
Kemahirannya dalam mengarang masih belum pudar. Antara bait-bait kata terzahir dalam artikel ini juga sentuhan asal darinya. Menurut anak Terengganu ini lagi dunia hiking ini membuatkan dirinya mencari sisi baru dalam kehidupan. Mengakui dirinya masih lagi hijau bak budak baru yang masih tak punya banyak pengalaman, beliau mengharapkan minat baharunya ini datang bersama manfaat dan rezeki baru buatnya.
“Buat masa ini, belum terbit lagi istilah serik, bagi saya setiap pendakian memberikan satu makna dalam pencarian perjalanan hidup saya. Ia juga satu catatan juang yang tidak pernah saya sesali. Tetapi pernah juga bila diri dibalut dengan kepenatan teramat sangat, mulalah ayat-ayat seperti kalau tahu macam ini punya seksanya baik tidur lagi bagus! Situasi jadi berbeza bila dah balik rumah, lepas seminggu dah rindu nak mendaki lagi, macam ketagih pun ada.
“Sepanjang pendakian paling teruk yang pernah saya alami antaranya kekejangan dari paras pinggang sampai hujung kaki. Sakit akibat kejang itu luar biasa seksanya. Kaki tak boleh digerakkan, bongkok atau dibengkokkan. Kejadian menyakitkan itu berlaku selepas saya melepasi kawasan yang dipanggil Batu Hampar di Gunung Ledang,Johor.
“Saya dapat rasakan tenaga saya habis semasa melalui laluan bertali mendaki batu yang terhampar setinggi sekitar tiga tingkat, sesungguhnya saya menangis apabila melepasi laluan getir tersebut.Cabarannya sangat taktikal, saya pula tak pernah sampai situ, takut dan perasaan letih menguasi. Ditambah pula rasa lapar yang tak dapat dibendung menyebabkan saya mengalami kejang menyakitkan.
ABC & EBC yang diidamkan
Cerita Tengku Suzana lagi, setakat ini dirinya pernah menjejakkan kaki ke Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Nuang, Gunung Ledang, Gunung Gap, Gunung Ulu Semangkuk, Gunung Baling, Puncak Wang Gunung dan beberapa bukit antaranya Bukit Batu Kumbang, Bukit Cenuang, Bukit Botak, Bukit Cerakah, Bukit Batu Putih, Pine Tree Hills Twin Peak.
“Hajat dihati kalau boleh nak heret suami dan tiga anak-anak sama-sama mendaki. Walau bagaimanapun komitmen kerja suami sebagai seorang anggota keselamatan menyukarkannya menyertai saya. Saya bersyukur kerana dia sentiasa memberi dorongan dan merestui minat lasak isterinya.
“Saya ada satu perasaan di mana saya rasakan diri ini lemah, tak kuat dan lembik. Tetapi selepas hampir setahun berjinak-jinak dalam bidang ini, saya berjaya menawan puncak Kinabalu sekitar April lalu. Ia merupakan pencapaian peribadi yang membanggakan buat diri ini.
“Setibanya di puncak itu sekitar jam 8 pagi, empangan air mata ini tak dapat ditahan lagi. Saya menangis kegembiraan. Mungkin pada orang lain,
alah Kinabalu, trek mudah! tapi nak sampai ke situ punyalah mental! Tuhan sahaja yang tahu betapa beratnya nak melangkah naik tangga-tangga yang tiada kesudahan ibaratnya nak ke puncak dari Laban Rata ke Sayat-Sayat sebelum sampai ke puncak Kinabalu.
“Di masa depan, saya pun memasang impian untuk menawan Annapurna Base Camp (ABC) dan Everest Base Camp (EBC). Tanyalah mana-mana hikers, itulah dua puncak yang sering diidamkan untuk ditawan. Sebelum ke ABC atau EBC, sasaran saya menawan beberapa puncak tertinggi di Indonesia terlebih dahulu. Penutup tahun 2019, kami akan akhirnya dengan penjelajahan kembali ke Gunung Kinabalu, rindu datang kembali dan bersama Kosmo! Hikers kami ke pangkuannya,”zahir wanita ini mengenai kecintaan yang menjadi kecanduan terbaharu sebaik meninggalkan dunia kariernya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan mudah memegang jawatan dan mendapat kepercayaan sebagai Perdana Menteri. Jawatan tertinggi ini memerlukan kriteria terbaik seperti kebijaksanaan, kepintaran, pengalaman, kejujuran dan sebagainya bagi menjadi pemimpin, mengetuai sesebuah kerajaan.
Jika di Malaysia mempunyai Perdana Menteri Tertua di dunia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Finland terdapat Perdana Menteri Termuda di dunia iaitu Sanna Marin yang baru sahaja dilantik memegang jawatan ini.
Pemilik nama penuh Sanna Mirella Marin ini dilahirkan pada 16 November 1985 dan mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere. Pada usia 34 tahun, Marin menjadi Perdana Menteri Termuda Di Dunia dan sekali gus menjadi wanita ketiga yang menjadi Perdana Menteri di Finland.
Wanita hebat ini sebenarnya telah menceburi bidang politik pada usianya 27 tahun dan menjadi Ahli Parlimen Finland sejak 2015.
7 tahun menempuhi pelbagai laluan berliku sejak menyertai dunia politik, pada 6 June 2019 lalu, wanita ini baru sahaja dilantik menjadi Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland.
Menariknya hanya 6 bulan selepas memegang jawatan tersebut, Marin telah dicalonkan oleh Parti Demokratik Sosial (SDP) sebagai Perdana Menteri Finland. Ia sekaligus menggantikan penyandang sebelum ini, Antti Rinne.
Jawatan Perdana Menteri kosong apabila Rinne meletak jawatan selepas mendapat usul undi tidak percaya gara-gara gagal menguruskan masalah mogok pekerja pos negara itu. Konfederasi Industri Finland menganggarkan mogok kali ini akan mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat terlibat sebanyak 500 juta Euro (RM2.3 bilion).
Sebelum ini, Marin juga timbalan pengerusi SDP memimpin parti itu semasa Rinne melanjutkan cuti sakitnya pada musim sejuk lalu.
Pemilihan Marin, 34, susulan undian dilakukan Majlis Parti Demokratik Sosial (SDP) kelmarin dan keputusannya diumumkan menerusi siaran televisyen nasional. Dalam pemilihan itu, Marin mengatasi Pengerusi Kumpulan Anggota Parlimen SDP, Antti Lindtman menerusi undian 32-29.
MW: Tahniah buat wanita hebat Sanna Mirella Marin atas perlantikan sebagai Perdana Menteri yang juga termuda di dunia. Semoga maju jaya dalam memimpin kerajaan dan negara.
Bayi masih kecil, apatah lagi baru pandai merangkak dan berjalan memang memerlukan penjagaan dan perhatian rapi.Cukup menyayat hati, apabila dilaporkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut akibat lemas selepas terjatuh dari katil lalu tersembam dalam bakul sampah di rumah pengasuhnya di Taman Pasir Pinji, di sini kelmarin.
Bayi itu disedari terjatuh dari katil pada jam 6.15 petang oleh pengasuhnya yang berusia 24 tahun dalam keadaan kepalanya berada dalam tong sampah di tepi katil.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata laporan berhubung kematian bayi itu diterima pada jam 8 malam hari kejadian yang dibuat pihak pengurusan sebuah hospital swasta.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan dihantar oleh bapanya untuk dijaga oleh dua pengasuh, masing-masing berusia 45 dan 24 tahun, sejak anaknya itu berusia 30 hari.
“Kedua-dua pengasuh wanita itu tidak mengenali siapa ibu bayi berkenaan dan bapanya hanya datang melawat mangsa sebanyak empat kali sebulan.
“Pengasuhnya yang berusia 45 tahun bekerja pada hari kejadian dan sepanjang dia bekerja, bayi berkenaan dijaga oleh anak perempuannya yang berusia 24 tahun,” katanya
Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati mangsa baru pandai merangkak dan pada hari kejadian, pengasuhnya itu menidurkannya di atas katil dalam bilik dengan meletakkan bantal sebagai penghalang.
“Bayi itu ditinggalkan tidur di atas katil dengan dikelilingi bantal tinggi pada jam 5 petang dan 30 minit kemudian pengasuhnya ada menjenguk di bilik dan dapati mangsa masih tidur dalam keadaan baik.
“Pada jam 6.15 petang, pengasuhnya sekali lagi meninjau keadaan bayi itu dan mendapati mangsa jatuh dalam keadaan tertonggeng dalam tong sampah yang berada di tepi katil. Tiada sebarang bunyi atau tangisan didengari sebelum kejadian berlaku,” katanya.
A Asmadi berkata, semasa kejadian hanya pengasuhnya itu sahaja berada di rumah.Hasil pemeriksaan bedah siasat mendapati sebab kematian adalah kerana ‘Asphyxza’ iaitu lemas.
“Bayi itu tertonggeng masuk ke dalam tong sampah dan darah terkumpul di paru-paru menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan juga tidak menemui sebarang kesan penderaan atau elemen kecederaan lain pada tubuh mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pengasuhnya kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
MW: Semoga perkongsian ini menjadi iktibar buat mak ayah, agar lebih berwaspada menjaga anak-anak terutamanya yang baru belajar merangkak. Elakkan bayi sendirian dan tidur ditempat tinggi yang boleh menyebabkan risiko bayi jatuh. Salam takziah buat keluarga mangsa. AlFatihah.
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.