Amalan berbekam ternyata mempunyai banyak kelebihan yang tersendiri. Selain sunnah Nabi yang telah diamalkan semenjak ribuan tahun dahulu, amalan berbekam ini merupakan rawatan alternatif yang dipercayai berkesan dan baik untuk kesihatan diri.
Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.
Bekam sudah wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun dahulu dan pada zaman Nabi Muhammad SAW para pengamal menggunakan tanduk kerbau atau sapi, tulang unta dan gading gajah.
Orang-orang di Eropah pula dikhabarkan menggunakan lintah sebagai alat berbekam. Pada satu masa, 40 juta lintah diimport ke negara Perancis untuk tujuan itu. Lintah-lintah itu dilaparkan tanpa diberi makan. Jadi bila ditempelkan pada tubuh manusia yang sakit, dia akan terus menghisap darah tadi dengan efektif. Setelah kenyang, lintah tersebut tidak berupaya lagi untuk bergerak, lantas jatuh dan mengakhiri penghisapannya.
Jenis-Jenis Bekam
1.Bekam Kering
Bekam kering juga disebut sebagai bekam angin, metod bekam ini adalah menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah dari dalamnya. Bekam ini biasa digunakan untuk mengatasi rasa nyeri yang disebabkan oleh reumatik dan rasa nyeri yang terjadi di punggung.Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas bekam berupa lebam warna merah kehitam-hitaman pada tempat yang dibekam dan akan hilang beberapa hari kemudian.
Ads
2.Bekam Basah
Bekam basah adalah sebuah metod bekam yang dilakukan dengan melakukan bekam kering dulu kemudian permukaan kulit yang dibekam dilukai dengan jarum yang disterilkan, kemudian disedut dengan menggunakan alat cupping set dan hand pump untuk mengeluarkan darah kotor melalui luka yang dibuat dengan jarum tadi.
Biasanya dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak boleh lebih dari 9 minit. Penyedutan darah dapat dilakukan sebanyak maksima 7 kali dan tidak boleh lebih. Biasanya pada bahagian yang disedut akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.Selepas berbekam, pada 3 jam yang pertama tidak boleh terkena air dan bekam cara ini juga tidak boleh kerap dilakukan dan diunjurkan jarak waktu selama 3 minggu sekali.
3.Bekam Api
Kadang disebut sebagai Fire Cupping, seperti namanya bekam ini menggunakan medium api sebagai bahan untk membuat ruangan hampa pada alat penyedut. Bekam ini dilakukan dengan gelas yang direkabentuk khusus untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam. Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas terbakar dan kemudian gelas akan ditempelkan ke permukaan kulit.
Ads
Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya.
Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.
Ads
Faedah Berbekam
Membantu menghilangkan pening dan migrain.
Membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
Membantu memecahkan lemak.
Membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
Membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah tersumbat.
Kesemua faedah yang dinyatakan di atas adalah bergantung kepada individu. Ada yang mengalami salah satu atau pun sebahagian darinya. Rawatan hendaklah dibuat beberapa kali sehingga menampakkan hasil.
Kesan Sampingan Bekam
Sepertimana kaedah perubatan lain, bekam juga mempunyai kesan sampingan sekiranya tidak dilakukan dengan kaedah yang betul. Antara kesan sampingan yang boleh timbul ialah jangkitan kuman serta penularan penyakit yang disebabkan oleh peralatan yang tidak disteril.
Kepada yang ingin mencuba kaedah rawatan bekam hendaklah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dari pengamal perubatan tradisional serta doktor anda. Umumnya, individu yang tidak digalakkan untuk berbekam ialah wanita mengandung, wanita haid, wanita yang kerap keguguran, individu yang terlalu lemah, orang tua uzur, pengidap kanser darah, pengidap tekanan darah rendah serius dan pengidap penyakit kulit serius.
Norida Barudin
Pen.Peg. Belia dan Sukan S38
Semoga bermanfaat perkongsian ini. Selain sunnah nabi, berbekam sangatlah digalakkan untuk menjaga kesihatan diri.
KEJAM, itu yang perkataan pertama yang akan keluar dari mulut apabila tahu seorang ibu sanggup campak bayi lelakinya dari tingkat dua sebuah bangunan di Hentian Bas Kajang semalam.
Thayalan Paliand, 33 mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat di belakang restoran berkenaan ketika berada di dapur premis itu sebelum bergegas ke lokasi terbabit
Cerita lelaki yang mahu dikenali sebagai Ajey, walau panik dia tetap bawa bayi itu ke klinik.
“Tengok keadaan bayi itu dalam keadaan biru, saya panik dan badan saya menggigil.”
Terdengar Bunyi Dentuman Kuat
Ketika makan, dia terdengar bunyi kuat dari bumbung restoran itu dua kali. Tiba-tiba dia terdengar pekerja wanita restoran itu menjerit sebelum bergegas ke bahagian belakang premis berkenaan.
“Saya terkejut apabila menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel berhampiran besi konkrit. Pada mulanya, saya menyangka bayi itu sudah mati, namun tangannya bergerak.”
Balut Dan Bawa Bayi Ke Klinik Berdekatan
Ajey berkata, dia kemudian berlari mendapatkan apron yang bersidai di premis berkenaan untuk membalut bayi terbabit.
“Saya melihat kaki dan tangan bayi itu biru, ada darah di kepala dan hidung selain kesan calar di bahunya. Saya terus berlari ke depan restoran dan menahan sebuah van lalu mengarahkan pemandunya membawa saya ke klinik berhampiran.
“Sepanjang mendukung bayi itu, saya rasa panik dan badan mengigil melihat keadaannya seperti susah bernafas. Saya risau tidak sempat sampai ke klinik untuk menyelamatkan nyawanya,” katanya yang juga seorang peniaga.
Sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor meminta saya membawa bayi berkenaan ke hospital untuk rawatan lanjut kerana kecederaan parah dialaminya.
“Pihak Hospital Kajang yang dihubungi mengambil bayi berkenaan dari klinik berkenaan.
Difahamkan bayi itu dicampak oleh pekerja kilang warga asing dari tingkap bilik air sebuah rumah di tingkat dua bangunan lima tingkat terbabit sebelum jatuh pada bumbung restoran berkenaan dan berguling jatuh ke bawah.
“Dentuman yang saya dengar itu dipercayai bunyi bayi berkenaan dicampak dan kali kedua pula (bunyi) uri yang dibuang dari tingkap berkenaan,” katanya.
Bayi Hidup Tapi Masih Kritikal
Menurutnya, dia ada melawat bayi berkenaan yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Saya terlihat status dimuat naik di Facebook yang memaklumkan bayi itu sudah meninggal dunia. Namun, doktor memaklumkan keadaan bayi itu ktitikal tetapi stabil.
Apa yang cukup menyedihkan, keadaan bahu kanan bayi itu patah dan dia turut mengalami pendarahan di bahagian kepala.
Namun dia tetap berharap bayi berkenaan sihat dan dapat memberikan sumbangan kepadanya.
“Sekiranya dia sudah sihat nanti, saya mahu memberikan bantuan dari segi sumbangan bahan keperluan kepadanya. Namun jika hayatnya di dunia ini singkat (meninggal dunia), saya sanggup membantu urusan pengebumiannya,”akhirinya.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mungkin atas faktor ekonomi keluarga mahupun mematuhi dasar kerajaan, sesetengah pasangan seperti di negara Singapura dan China, menghadkan bilangan jumlah anak-anak yang dilahirkan, sejak sekian lama. Kini, kesan tindakan ini mula dirasai di negara tersebut apabila penurunan kadar kelahiran bayi semakin membimbangkan.
Laporan Hindustan Times menyatakan, China menghapuskan dasar satu anak pada 2016, semenjak dasar tersebut dilaksanakan dari tahun lewat 1970-an lagi.Jika sebelum ini, China mengenakan penalti atau ‘Sosial Maintenance Fees’ bagi mereka yang mempunyai lebih 3 orang anak.Kewujudan penalti tersebut memberi tanggapan rakyat bahawa kelahiran boleh menggangu kemajuan negara dan demografi.
Terbaru, China yang bimbang dengan penurunan kadar kelahiran telah menjanjikan subsidi kewangan, perubatan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang bagi menggalakkan pasangan suami isteri memiliki anak kedua.
Naikkan Cuti Bersalin
Semua 31 wilayah, daerah dan perbandaran, hampir keseluruhan China, menaikkan mandat 98 hari cuti bersalin kepada antara 138 dan 158 hari, lapor laman web thepaper.com.
Elaun kewangan dan perkhidmatan perubatan juga dimasukkan sebagai insentif bagi pasangan di beberapa daerah.
“Ibu turut dibayar gaji sepanjang cuti bersalin manakala bapa diberi kelayakan mendapat cuti daripada 15 hingga 30 hari secara purata.
“Di bandar raya Shihezi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, ibu yang mempunyai anak kedua ditawarkan subsidi sehingga 1,000 yuan (RM599) selain membekalkan mereka dengan subsidi susu formula bayi sehingga tiga tahun,” menurut laporan.
Pada masa sama, bandar raya Xiantao di wilayah Hubei juga memberikan subsidi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada ibu yang melahirkan anak kedua.Bagaimanapun, pakar menyifatkan ia tidak mencukupi kerana kadar kesuburan di China pada 2016 cuma 1.7, yang dianggap rendah.
Menarik sungguh insentif yang ditawarkan oleh Negara China buat rakyatnya agar menambah kelahiran.Setiap anak itu memberi rezeki, namun mak ayah juga perlu membuat perancangan yang terbaik dalam membesarkan mereka serta keperluan mereka pada negara.
Kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun manalah dia tahu ular itu berbisa atau tidak. Hendak mengadu pun belum pandai. Tetapi itulah yang berlaku pada Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus
Pada awalnya dia hanya mengadu jatuh dan ibunya ingatkan anaknya terseliuh. Rupanya kaki anak bengkak kerana dipatuk ular ketika berbasikal sendirian. Mujurlah cepat di bawa ke hospital dan anak ini selamat.
Mengadu Jatuh, Ingatkan Terseliuh
Aktiviti berbasikal menjadi mimpi ngeri buat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Pulai Mutiara, Gelang Patah di sini, apabila kaki kanannya dipatuk ular yang melingkar di rantai basikal.
Ibu kanak-kanak itu, Aida Dalila Damia Zulkipli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam ketika Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus, 3, bermain sendirian di pekarangan rumah.
Menurutnya, dia tidak mengetahui anaknya dipatuk ular sehinggalah melihat kaki anak kedua itu bengkak dan menelefon suami untuk pulang serta membawa Nur Safia ke hospital.
“Sebelum itu Nur Safia minta nak main basikal dan tak lama kemudian masuk ke dalam rumah serta cakap dia terjatuh, tetapi dia main macam biasa dengan kakaknya di dalam rumah.
“Cuma selepas itu, dia mengadu kaki sakit dan minta disapukan minyak. Saya pula tidak syak apa-apa dan menyuruhnya mandi dahulu. Selesai mandi, dia masih bermain dengan kakaknya sebelum datang kepada saya untuk menyapu ubat.
“Ketika itulah saya melihat kakinya sudah bengkak tetapi tidak fikir lain, sebaliknya bimbang dia terseliuh atau patah. Saya menelefon suami yang bekerja supaya pulang dan kami ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terkejut Kepala Ular Di Bahagian Rantai Basikal
Aida Dalila berkata, semasa menyapukan minyak pada kaki anaknya, dia melihat ada kesan gigitan dan bertanya berulang kali sama ada Nur Safia benar-benar jatuh atau sebaliknya.
Katanya, dia kemudian terkejut apabila terlihat kepala ular di bahagian rantai basikal anaknya yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
Menurutnya, suaminya yang pulang segera memukul ular itu dengan dengan kayu dan mereka membawa Nur Safia ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Gigitan Ular Tidak Kena Abdomen
“Alhamdulillah Nur Safia dalam keadaan baik dan pemantauan 24 jam dilakukan doktor mendapati darahnya baik (tiada bisa) dan gigitan ular tidak mengena abdomen.
“Lebam yang sehingga lutut itu juga sudah berkurangan, cuma kakinya masih bengkak. Dia masih dalam pemantauan,” katanya yang memberitahu rumah sewa didiami empat bulan itu berdekatan kawasan paya.
Dia juga memberitahu pakar ular yang hadir memaklumkan ular menggigit Nur Safia berkemungkinan spesis ular kapak bakau.
MW: Semoga Nur Safia kembali sihat dan sembuh seperti biasa. Biar pun mak, ayah rasakan anak selamat bermain sendirian tetapi jangan ambil mudah kerana malang tak berbau. Harapnya kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.
Tukar duit raya di mesin ATM tanpa stres beratur, ini 29 lokasi khusus untuk pengguna CIMB. Masuk je penghujung Ramadan, antara difikirkan ialah misi...