Mas kahwin atau mahar wajib diberikan oleh pihak suami kepada isteri sebagai pemberian hadiah ketika akad nikah. Nilai serta jenis pemberiannya pula bergantung pada persetujuan bersama. Tidak semestinya kena bagi wang ringgit atau barang kemas, apa yang penting ia tidak membebankan.
Surah Al Ikhlas & Cendol
Uniknya mas kahwin yang menjadi pilihan pasangan dari Indonesia ini. Pasangan ini memilih hanya Surah Al-Ikhlas dan segelas cendol sebagai pemberian mas kahwin di hari perkahwinan mereka.
Video pernikahan pasangan ini menjadi viral di media sosial apabila ia dikongsikan oleh Bagus Yudhistira di laman Facebooknya pada 30 Januari lalu. Berwalikan bapa pengantin, pasangan ini sah diijabkabulkan dengan surah Al-Ikhlas dan segelas cendol.
Selepas selepas akad nikah, pengantin lelaki telah menyerahkan segelas cendol kepada pengantin perempuan. Sebagai tanda ‘terima’, pengantin perempuan meminum cendol tersebut.
Ads
Simbolik ‘Motosikal Cendol’
Lebih istimewa lagi, sebagai simbolik pada perkahwinan ini, pengantin lelaki telah menunggang sebuah motosikal yang telah diubah suai untuk kelengkapan jualan cendol menuju ke rumah pengantin perempuan. Pasangan pengantin diraikan dalam majlis serba sederhana bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Ads
MW: Selamat Pengantin Baru buat pasangan ini. Perkahwinan itu memudahkan, apa yang penting bersederhana dan ikut kemampuan diri.
Tidak dinafikan wanita perlu lebih berhati-hati dengan keselamatan diri kerana ancaman bahaya berada dimana-mana.Baru-baru ini viral rakaman CCTV seorang wanita dibelasah sebelum disamun oleh seorang lelaki di dalam sebuah lif di Stesen MRT. Cukup menakutkan, dibelasah tanpa perasaan simpati!
Sebenarnya dalam situasi yang boleh mengundang bahaya wanita perlu mengambil langkah lebih bijak yang boleh menyelamatkan diri.
1. Apa patut seorang wanita lakukan jika dia berseorangan dengan seorang lelaki asing ketika dia masuk ke dalam lif pada waktu lewat malam di sebuah bangunan tinggi?
Saranan Pakar: Masuk ke dalam lif, sekiranya mahu ke tingkat 13, tekan semua butang setiap tingkat hingga ke tingkat yang hendak pergi. Tidak ada siapa berani menyerang anda jika lif itu berhenti di setiap tingkat.
2. Apa perlu dilakukan jika seseorang asing cuba menyerang ketika berseorangan di rumah?
Saranan Pakar: Larilah ke dapur, kerana diri sendiri tahu dimana letaknya serbuk cili dan kunyit disimpan dan dimana simpannya pisau dan pinggan mangkuk.
Semua ini boleh menjadi senjata yang membahayakan. Jika tidak ada senjata lain, baling saja pinggan mangkuk kearahnya.Tak mengapa pecah. Jerit! ingatlah bunyi bising adalah musuh utama penceroboh. Dia tidak mahu ditangkap.
3. Apa yang perlu dilakukan jika terpaksa menaiki kenderaan atau teksi pada waktu malam?
Saranan Pakar: Sebelum menaiki teksi pada waktu malam, tulis maklumat nombor teksi dan buat panggilan kepada keluarga atau kenalan, dan maklumkan maklumat teksi itu dengan lengkap dalam bahasa yang difahami oleh pemandu teksi.
Walaupun tidak ada jawapan kepada panggilan anda, berpura-pura anda sedang berbual dengan ahli keluarga anda.Sekarang pemandu itu tahu maklumat mengenainya diketahui oleh orang lain. Dia sangat bermasalah jika cuba berbuat tidak baik.
4. Apa perlu dibuat jika pemandu itu membawa anda ke arah lain, dan anda merasai diri anda dalam bahaya?
Saranan Pakar: Guna tali pada bag tangan atau sesuatu tali untuk menjerut leher pemandu dan sentap kuat tarik ke belakang sekuat hati. Dalam masa singkat dia akan tersedak dan tidak bermaya.
Jika tidak ada tali bag dan sebagainya, tarik kolar bajunya ke belakang, butang bajunya akan melakukan muslihat yang sama.
5. Apa yang perlu dilakukan jika anda diekori pada waktu malam?
Saranan Pakar: Masuk ke mana-mana rumah atau kedai yang terbuka dan jelaskan keresahan anda kepada pemilik rumah atau kedai.Jika kedai tutup, carilah tempat ATM kerana di situ ada CCTV. Orang yang cuba menggangu mungkin tidak berani, kerana tidak mahu dikenali.
Bagaimana pun, tidak panik dan berwaspada, adalah senjata yang terbaik yang boleh dimiliki. Ia membuatkan diri lebih tenanng dan dapat berfikir dengan rasional, tindakan wajar paling tepat boleh dilakukan ketika menghadapi situasi kecemasan yang boleh membahayakan keselamatan ini.
Sila sebarkan maklumat ini kepada wanita (ibu, kekasih, isteri, adik perempuan, kakak dan kenalan) yang anda ambil berat mengenai keselamatan mereka.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan pesanan ini menjadi peringatan penting buat setiap wanita.
Laporan berita nahas tragis melibatkan 3 beradik perempuan yang berlaku semalam benar-benar menyentap tangkai hati. Pasti luluh rasa hati mak dan ayah kepada tiga beradik ini apabila merasai kehilangan 3 orang anak yang ‘pergi’ secara serentak, terlebih dahulu meninggalkan mereka.Malah anak sulung mereka sempat menabur bakti pada ibu bapa apabila sempat memberikan separuh gaji kepada ibunya dan belanja makan semua ahli keluarga.
Ibunya, Zubaidah Shafie, 49, berkata anak sulungnya, Allahyarham Fatin Arina Mohd Asri, 23 baru sebulan bekerja di Bank Islam, Pasir Mas dan akan berkahwin pada Jun ini.
“Sebaik menerima gaji pertamanya baru-baru ini, kak long (Fatin) memaklumkan selepas ini mungkin dia sudah tidak boleh beri (gaji) sebab ingin membuat persiapan perkahwinannya.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa malah bersetuju dengan keputusannya itu kerana sejak beberapa bulan lalu dia sudah mula membeli semua barang hantaran.
“Selepas berlaku tragedi semalam, baru saya teringat semula katanya itu yang seolah-olah menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Gading, di sini hari ini.
Katanya, persiapan perkahwinan Fatin Arina bersama jejaka dari Pasir Puteh sudah hampir keseluruhan dibuat kecuali kad kahwin sahaja yang belum dicetak dan diedarkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kereta Perodua Myvi yang dipandu Fatin Arina bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluannya menyebabkan dia serta dua adiknya, Haifa Amira, 22 dan Anis Suraya, 10, maut.
Fatin Arina dan Anis Suraya maut di tempat kejadian manakala Haifa Amira meninggal dunia di Hospital Pasir Mas ketika mendapatkan rawatan.
Tiga beradik ini dikatakan dalam perjalanan ke Pasir Mas untuk menjemput ibu saudaranya yang tinggal di sana sebelum ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mengambil ubat.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata dalam kejadian itu, pemandu Proton Wira, Mohd Helmi Mustafa, 21, parah.
Katanya, kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun gagal lalu masuk ke lorong bertentangan pada masa yang sama Perodua Myvi yang dinaiki tiga beradik berada di lorong bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, dua mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.
“Pemandu Proton Wira yang parah turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya
Terdahulu, jenazah Fatin Arina selamat dikebumikan bersama dua adiknya, Haifa Amira, 22 dan Anis Suraya, 10, dalam satu liang pada jam 12 tengah hari, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading.
Suasana pilu menyelubungi sepanjang proses pengebumian dengan kehadiran kira-kira 200 saudara mara serta penduduk kampung yang mengiringi jenazah selepas disembahyangkan di Masjid Mukim Bukit Gading.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa nahas ini. Semoga bersabar dan redha dengan percaturan takdir yang telah ditentukan ini. Pengajaran insiden menyayat hati ini,betapa anak-anak merupakan satu anugerah yang dipinjamkan olehNya, malah bila-bila masa boleh ‘diambil’ kembali bila telah tiba ajal mereka. Kita kena sentiasa bersedia.
Hidup berjiran ini kenalah saling sepakat, bertegur sapa. Biar pun berbeza bangsa, jangan sampai tak kenal siapa jiran sebelah rumah kita.
Sebab bila kita bercuti panjang atau balik kampung, jiranlah orang paling dekat dengan kediaman kita. Bila kita tiada, dialah nanti yang boleh kita minta bantuan untuk tengok-tengokkan rumah.
Indahnya hidup berjiran ini, ditunjukkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Apabila beliau sendiri meraikan jiran cina dengan memberikan buah tangan berupa sebiji kek.
Tiada batasan bangsa, keharmonian hidup bermasyarakat dapat dinikmati dengan aman jika kita sendiri mencorak pemikiran kita ke arah yang positif.
Inilah yang cuba disampaikan oleh Mufti Wilayah dalam perkongsiannya di laman facebook miliknya.
Hidup beragama ini sebenarnya indah dan sudah jika kita memahami kehendak agama, juga batasannya.
Islam meraikan kepelbagaian agama dan keberagaman bangsa. Betapa sejarah kehidupan Rasulullah SAW sendiri membuktikan bahawa tembok bangsa dan agama boleh diketepikan dengan akhlak dan kesantunan.
Hari ini saya meraikan jiran-jiran saya yang berbangsa Cina dengan kek sempena Tahun Baru Cina.
Mungkin ini hanya hadiah tahunan yang kecil, namun saya amat berharap ianya mampu menyumbang sesuatu kepada keharmonian rakyat Malaysia berbilang bangsa.
Marilah kita kembali kepada asas yang hakiki bahawa kita sebenarnya satu keluarga besar yang bernendakan Adam dan Hawa.
MW : Jika Mufti Wilayah pun boleh menghulurkan salam silaturahim dengan jiran cina nya, mengapa kita tidak usahakan ke arah yang sama. Semoga Malaysia jauh dari sengketa.
Tiga anak perempuan bergelar hafizah al-Quran menjadi hadiah paling bermakna buat seorang ibu. Di sebalik kejayaan itu tersimpan pengorbanan, kesabaran dan doa yang dipanjatkan tanpa henti sehingga menyentuh hati ramai.