kemalangan maut

Laporan berita nahas tragis melibatkan 3 beradik perempuan yang berlaku semalam benar-benar menyentap tangkai hati. Pasti luluh rasa hati mak dan ayah kepada tiga beradik ini apabila merasai kehilangan 3 orang anak yang ‘pergi’ secara serentak, terlebih dahulu meninggalkan mereka.Malah anak sulung mereka sempat menabur bakti pada ibu bapa apabila sempat memberikan separuh gaji kepada ibunya dan belanja makan semua ahli keluarga.

Bakal Berkahwin Jun

Ibunya, Zubaidah Shafie, 49, berkata anak sulungnya, Allahyarham Fatin Arina Mohd Asri, 23 baru sebulan bekerja di Bank Islam, Pasir Mas dan akan berkahwin pada Jun ini.

“Sebaik menerima gaji pertamanya baru-baru ini, kak long (Fatin) memaklumkan selepas ini mungkin dia sudah tidak boleh beri (gaji) sebab ingin membuat persiapan perkahwinannya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa malah bersetuju dengan keputusannya itu kerana sejak beberapa bulan lalu dia sudah mula membeli semua barang hantaran.

“Selepas berlaku tragedi semalam, baru saya teringat semula katanya itu yang seolah-olah menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Gading, di sini hari ini.

Katanya, persiapan perkahwinan Fatin Arina bersama jejaka dari Pasir Puteh sudah hampir keseluruhan dibuat kecuali kad kahwin sahaja yang belum dicetak dan diedarkan.

Sayunya 3 Beradik ‘Pergi’ Serentak, Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad Yang Sama!
Foto: Ihsan Pembaca

Bertembung Kereta Wira

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kereta Perodua Myvi yang dipandu Fatin Arina bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluannya menyebabkan dia serta dua adiknya, Haifa Amira, 22 dan Anis Suraya, 10, maut.

Fatin Arina dan Anis Suraya maut di tempat kejadian manakala Haifa Amira meninggal dunia di Hospital Pasir Mas ketika mendapatkan rawatan.

Tiga beradik ini dikatakan dalam perjalanan ke Pasir Mas untuk menjemput ibu saudaranya yang tinggal di sana sebelum ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mengambil ubat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata dalam kejadian itu, pemandu Proton Wira, Mohd Helmi Mustafa, 21, parah.

Sayunya 3 Beradik ‘Pergi’ Serentak, Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad Yang Sama!

Katanya, kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun gagal lalu masuk ke lorong bertentangan pada masa yang sama Perodua Myvi yang dinaiki tiga beradik berada di lorong bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, dua mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.

“Pemandu Proton Wira yang parah turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya

Selamat Dikebumikan Satu Liang Lahad

Terdahulu, jenazah Fatin Arina selamat dikebumikan bersama dua adiknya, Haifa Amira, 22 dan Anis Suraya, 10, dalam satu liang pada jam 12 tengah hari, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bukit Gading.

Sayunya 3 Beradik ‘Pergi’ Serentak, Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad Yang Sama!
Kredit Foto: Zaman Huri Isa

Suasana pilu menyelubungi sepanjang proses pengebumian dengan kehadiran kira-kira 200 saudara mara serta penduduk kampung yang mengiringi jenazah selepas disembahyangkan di Masjid Mukim Bukit Gading.

MW: Salam takziah buat keluarga mangsa nahas ini. Semoga bersabar dan redha dengan percaturan takdir yang telah ditentukan ini. Pengajaran insiden menyayat hati ini,betapa anak-anak merupakan satu anugerah yang dipinjamkan olehNya, malah bila-bila masa boleh ‘diambil’ kembali bila telah tiba ajal mereka. Kita kena sentiasa bersedia.

Sumber:Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI