Memang mak ayah akan bimbang dan panik bila situasi hidung anak selalu sangat berdarah tanpa diketahui puncanya. Bila berdarah secara tiba-tiba, mulalah bimbang dan segera nak bawa anak ke klinik berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Sebenarnya tak perlu panik. Situasi hidung berdarah disebabkan pelbagai faktor, malah langkah awal dengan melakukan Trotter’s Method boleh menghentikan pendarahan.

Sila fahamkan penerangan daripada Dr Nik Hisyam Amirul Bin Nik Hishamuddin,Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dari NH ENT Specialist ini sebagai panduan;

DOKTOR……KENAPA HIDUNG ANAK SAYA KERAP BERDARAH??

Pernahkah anak-anak anda mengalami situasi begini?

Mak dan ayah selalu panik dan risau bila anak-anak hidung selalu berdarah.Kadang- kadang ada yang jadi masa tengah tidur, bangun-bangun je masa pagi penuh darah atas cadar dan katil anak-anak anda.

Ada yang jadi masa tengah tengok TV, masa tengah main di padang permainan dan pelbagai lagi situasi yang boleh jadi pada bila-bila masa sahaja.

Pada pagi ini saya berkesempatan memeriksa seorang pesakit saya, adik “S” yang sangat comel dan baru sahaja berumur 6 tahun. Adik S mengalami symptom hidung berdarah sejak beberapa minggu yang lepas.

Menurut ibunya, kejadian yang paling panik dan mendebarkan ibu dan ayahnya adalah pada 2 malam yang lepas yang terjadi semasa adik S sedang menonton TV. Darah yang keluar dari hidung tersangatlah banyak, bermangkuk dan berbaldi banyaknya darah yang keluar dan terjadi secara tiba-tiba setelah anaknya menggosok dan menonyoh hidung … Habis panik ibu dan ayahnya, tak tau macam mana nak buat dalam situasi tersebut.

Okay, di sini saya ingin kongsikan sedikit perkongsian berkenaan masalah hidung berdarah di kalangan kanak-kanak.

1. PUNCA DAN PENYEBAB

  • Alahan pada debu hama, seafood dan sebagainya.
  • Suhu yang sejuk dan kering akibat penggunaan air-cond di rumah.
  • Cuaca yang terlalu panas di luar rumah.
  • Jangkitan kuman seperti selsema.
  • Faktor persekitaran yang berdebu.

2. KENAPA IA BOLEH BERLAKU

  • Lapisan hidung anak-anak anda adalah sangat nipis semasa mereka kecil, berbanding dengan lapisan hidung dewasa.
  • Apabila anak mengalami alahan allergi contohnya, ia akan menyebabkan radang pada lapisan hidung dan salur darah utama di bahagian depan hidung dikenali sebagai Little’s Area akan mengembang dan senang tercedera.
  • Apabila anak anda menggosok atau menonyoh hidung kerana hidung tersumbat atau gatal, akan menyebabkan salur darah ini pecah dan darah akan mengalir keluar dengan agak banyak.

Panik Hidung Anak Selalu Berdarah, Pakar ENT Ajar Lakukan Trotter’s Method!

3.JADI,BAGAIMANA NAK BUAT?

Jika hidung anak berdarah, lakukanlah Trotter’s Method iaitu:

a) Dalam keadaan duduk, tundukkan kepala ke bawah.
b) Picit bahagian depan hidung selama 10-15 minit tanpa lepas dan minta anak anda bernafas menggunakan mulut.
c) Ambil ais ketul, minta anak anda hisap di dalam mulut sehingga cair secara berterusan.
d) Ambil lagi ais ketul, balutkan dengan kain nipis, dan letakkan di atas hidung anak anda.

Panik Hidung Anak Selalu Berdarah, Pakar ENT Ajar Lakukan Trotter’s Method!
Trotter’s Method

4. BILA NAK BAWA KE HOSPITAL?

  •  Jika darah yang keluar tak berhenti-henti setelah prosedur Trotters di lakukan.
  • Anak kelihatan sangat tidak bermaya dan lembik akibat terlalu banyak darah yang hilang.
  • Hidung berdarah disebabkan bendasing di dalam hidung (perlu dikeluarkan oleh doktor).
  • Anak ada masalah pembekuan darah.
  •  Anak ada mengambil ubat yang mencairkan darah seperti warfarin atau aspirin dan menyebabkan pendarahan tidak berhenti.

5. JADI APAKAH LANGKAH UNTUK MENGELAKKAN HAL INI BERLAKU?

  • Rawat masalah alahan dan allergi anak anda (boleh berjumpa doktor pakar ENT untuk khidmat nasihat dan rawatan).
  • Jangan tidur dalam air cond terlalu sejuk dan kering.
  • Boleh beli home air purifier dan air humidifier untuk melembapkan bilik.
  • Elakkan bermain dalam cuaca yang terlalu panas.
  • Potong kuku jari anak anda…jangan terlalu panjang, sebab anak-anak ada kecenderungan untuk mengorek hidung dan kuku boleh menyebabkan luka.
  • Sapukan pelembap seperti vaseline gel di bahagian hadapan hidung anak-anak anda sebelum dan selepas tidur.

Untuk dapatkan kepastian yang lebih lanjut dan penerangan serta pemeriksaan yang menyeluruh termasuk pemeriksaan endoskopi kamera, tuan/puan boleh berjumpa Pakar ENT ya.

Pakar ENT juga boleh merawat dengan cara ubatan ataupun “cauterisation” – iaitu menggunakan ubat dan teknik terkini untuk hentikan pendarahan jika perlu.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.

Feel free to share this article with others especially your family and friends.

Dr Nik Hisyam Amirul Bin Nik Hishamuddin
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT)
SALAM Shah Alam Specialist Hospital

Baca Lagi Di sini: Doktor ENT Ini Jelaskan Selain Merokok, Ikan Kering & Makanan Awet Antara Penyebab Kanser Hidung!

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah dalam mengetahui punca hidung anak berdarah. Jangan mudah panik, cuba lakukan saranan yang dikongsikan oleh doktor ini. Namun jika berlaku pendarahan secara berterusan sebaiknya bawa anak berjumpa pakar ENT untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.

Sumber: NH ENT Specialist

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI