
Isi Kandungan
ToggleSebagai seorang wanita kita harus sedar bahawa setelah berkahwin, suami merupakan syurga seorang isteri. Walau siapa pun suami kita, walau bagaimanapun perangainya sesungguhnya itulah yang Allah telah pilihkan sebagai jodoh buat kita.Segala ketaatan haruslah disandarkan pada suami selagi mana ia tidak bertentangan dan diluar batasan perintahNya.
Terkesan sungguh dengan bait kata-kata oleh wanita yang menggunakan nama pena Bonda Nor ini. Pesanannya cukup bersahaja, namun nasihatnya cukup bermakna buat kita para isteri yang sering alpa, agar berubah menjadi isteri yang terbaik buat suami.
Berikut antara perkongsian tersebut;
SYURGA SEORANG ISTERI
Jadi seorang isteri, hal yang amat kritikal bagi kita ialah suami. Kita – makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk kita yang melukai hati suami – sengaja atau tak sengaja.
“Rasulullah sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan – saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah.. betapa ngerinya!”
Banyakkan Minta Maaf
Jadi seorang isteri, banyak-banyakkanlah minta maaf dari suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa..
Allah ya Allah, rendahkan hati kita untuk merayu kemaafan darinya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.
Pandang muka suami kita.. siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat.. itulah juga lorong ujian Allah buat kita.
Jadi Asbab Kebaikan
Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego kita. Mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin untuk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya!
Minta Allah jaga rumahtangga kita. Kalau ada hal tentangnya yang kita tak suka, banyakkan berdoa pada Allah. Kita tak boleh ubah suami kita.. tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.
Redha Suami
Masya-Allah.. indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. Indah sangat, kawan-kawan! Tak teringin ke kita untuk mendapatkannya?
Hari ni, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik dari semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil-kecil usaha kita. Insya-Allah.. biiznillah. Jadikanlah kami isteri yang menyejukkan hati suami kami ya Allah. Amin. Amin.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para isteri, sekaligus menjadikan kita isteri solehah penyejuk mata, pendamai hati yang mampu membahagiakan suami.
Sumber: Bonda Nor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Carilah Bahagia Sendiri Walaupun Berkongsi Kasih

Isi Kandungan
ToggleTiada seorang pun wanita yang sanggup bermadu dan dimadu. Mungkin manis bagi seorang yang bergelar suami, tapi pahit bagi mereka yang bergelar isteri. Namun, tiada siapa yang mampu menolak, jika itu sudah takdirnya untuk dia berkongsi kasih.
Redha dan terima dengan apa yang telah ditetapkan. Walaupun tak semua wanita dapat menerima dengan hati terbuka, sehinggakan ada yang sanggup pilih jalan nak berpisah sebab tak dapat terima kenyataan suami nak kahwin lain ataupun dah dimadukan dalam diam.
Sejujurnya tak semua orang boleh melalui proses kehidupan seperti ini, tidak mudah untuk melalui semua ini tanpa ilmu hati yang betul. Jadi, sebagai wanita yang dimadu jangan pernah persiakan diri sendiri kerana kita masih layak untuk bahagia dan dicintai.
Ada beberapa tip yang dikongsikan oleh Diyana Tahir, pakar Hubungan Dan Keintiman, jika rasa hati tidak mampu untuk berkongsi kasih atau tidak dapat merelakan apa yang telah terjadi. Ini cara untuk cari kebahagiaan dalam hidup anda.
PENERIMAAN
Ramai isteri bila suami dah pun berkahwin lain mereka tidak boleh menerima kenyataan tersebut. Pasti akan satu pengharapan di mana mereka mahu suami kembali kepada asal yang mempunyai satu isteri sahaja.
Sejujurnya bila anda berada dalam kondisi penafian, itu yang menyebabkan anda merasa lagi teraniaya dan terseksa. Bila anda berada dalam energi negatif yang terlalu lama, hal ini mungkin boleh menyebabkan energi negatif itu berubah menjadi “energy sihir” tanpa anda sedari.
Sebagai contoh, bila suami tak beri perhatian, mula timbul perasaan negatif (marah), yang akhirnya mula melepaskan marah pada anak-anak Akhirnya, suami akan melebihkan madu.Bila suami merasa tidak tenang di sisi anda, suami akan mencari tempat lain yang buatkan mereka merasa tenang.
Mengapa ramai tidak boleh menerima hakikat sebab dalam diri ada persoalan yang belum
terjawab iaitu “kenapa aku?, apa salah aku? apa silap aku?”. Bila anda boleh menerima, mudah untuk anda mengubah emosi negatif kepada ketenangan dan orang yang tenang akan menang. Sedar atau tidak sebenarnya anda sedang dipilih dan kekuatan cinta anda sedang diuji.
FOKUS
Ramai yang bila diuji saat dimadukan tanpa rela sering kali terlalu fokus pada benda yang anda tak nak seperti “tak nak suami lebihkan madu”. Bila anda terlalu fokus pada perkara yang anda tak nak, anda sedang membina takdir anda. Lagi anda tak nak perkara itu terjadi, lagi benda itu akan menjadi kenyataan. Jangan mencari kesempurnaan, cipta kesempurnaan dari kekurangan dan kelebihan pasangan. Perkahwinan adalah proses perjalanan ke destinasi, akan ada dugaan di tengah-tengah. Bila anda mula menyayangi diri anda, bahagia akan datang.
Sejujurnya orang yang tenang akan menang. Isteri harus beringat yang suami akan bersama orang yang membahagiakan dan menenangkan mereka, bukan yang sebaliknya. Jadi mula ubah fokus anda dari apa yang anda tak nak kepada apa yang anda mahukan dan harapkan. Tukarkan perasaan sakit, takut kehilangan dan takut tidak disayangi kepada perkara yang anda mahukan.
Contoh bila anda sedih tukarkan kepada perasaan syukur. Anda sebenarnya bukan melupakan perasaan itu tapi menyembuhkan perasaan itu. Anda bukan tak layak merasa bahagia, tapi anda cuma tak ada ilmu sebab itu sangat penting untuk anda mengubah sudut pandang dan cara anda berfikir. Berhenti fokus pada hal-hal yang negatif dan sebaliknya fokus kepada hal yang ingin anda capai.
MERAWAT HATI
Penting untuk anda merawat hati dulu kerana dengan merawat hati anda dapat menaikkan hormon cinta dalam diri. Ramai orang terlalu fokus pada ‘apa yang mereka tak mahu? dengan terlalu obses memikirkan tentang madu.
Anda keliru dengan apa yang anda inginkan, anda sayang suami tapi anda terluka. Sebab itu penting untuk anda melepaskan perasaan negatif dalam hati. Perasaan negatif dalam hati akan membuatkan anda sentiasa ingin mencari salah suami. Yang kesannya akan membuatkan suami merasa terganggu kemudian mencari tempat untuk merasa tenang iaitu dengan madu anda.
Ramai wanita tak tahu cara nak mengendalikan konflik rumah tangga sebab gagal mengurus emosi. Bila wanita gagal mengawal emosi, ianya membuatkan keadaan menjadi semakin buruk. Sebab itu penting untuk mulakan dengan proses penyembuhan.
Rawat hati anda yang sedang rasa sakit, sedih dan kecewa itu. Para isteri harus beringat yang suami akan bersama orang yang membahagiakan dan menenangkan mereka, bukan yang sebaliknya.
Jadi mula ubah fokus anda dari apa yang anda tak nak kepada apa yang anda mahukan dan harapkan. Tukarkan perasaan sakit, takut kehilangan dan takut tidak
disayangi.kepada perkara yang anda mahukan.
Contoh bila anda sedih tukarkan kepada perasaan syukur. Anda sebenarnya bukan melupakan perasaan itu tapi menyembuhkan perasaan itu. Seperti kisah salah seorang peserta saya yang mana dia tak dapat menerima kenyataan saat dia dimadukan tanpa rela. Paling menyakitkan hatinya bila dia telah dimadukan dalam diam hampir setahun, sejak dari itu dia berubah menjadi seorang yang sangat miserable setiap hari hanya bersama air mata dan emosi yang tak stabil.
MW: Memang susah untuk terima tetapi kalau suami mampu dan tak abaikan tanggungjawab, terimalah takdirNya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Banggalah Jadi JANDA BAHAGIA Daripada Ada Laki Tapi Tak Layak Bergelar Suami

Isi Kandungan
ToggleJadilah janda bahagia. Mungkin agak klise dengan perkataan ini. Itulah hakikatnya yang harus diterima daripada hidup menderita bersama lelaki yang tidak layak bergelar suami.
Tidak mampu lagi bertahan dan jalan terakhir yang harus diambil walaupun tidak semua isteri ingin bergelar janda. Tiada lagi cara lain yang mampu untuk selamatkan perkahwinan dan terimalah hakikat untuk jadi janda bahagia dengan bangganya.
Antara kata-kata nasihat oleh Sharifah Zahidah untuk isteri di luar sana. Jadilah janda bahagia dan sayangilah diri sendiri, kalau inilah jalan terbaik.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Realiti Selalu Terjadi, Isteri DIJANDAKAN Suami Untuk Janda Lain!
Suami ‘Berselera’ Pelik, Aku Syukur Akhirnya Bebas Walau Terpaksa Sandang Status Janda
Jadilah Janda Bahagia, Sayangi Diri Sendiri
Boleh kalau nak selamatkan atau pertahankan perkahwinan. Memang itu yang patut dilakukan jika di fasa awal perkahwinan kita diuji. Memang kita mesti cari solusi dan jalan perdamaian sebelum tekad bercerai.
Tapi kena ingat juga, pastikan si suami pun BERMINAT/INTERESTED TO PROTECT THE MARRIAGE.
Bagaimana cara nak tahu jika lelaki itu berminat atau tak untuk pertahankan rumahtangga tu?
Buat perancangan, buat time frame dan letak KPI/ indicator kepada pasangan anda untuk dia turut menyumbang kepada usaha menyelamat.
Rescue Plan namanya. Jangan menonong kata nak selamatkan perkahwinan, tapi nak buat Rescue Plan pun tak ada perbincangan antara keduanya.
Saya teringat nasihat kawan saya.
Beliau adalah seorang peguam lelaki dan juga seorang anak yang membantu ibunya sendiri bercerai dengan bapanya atas isu-isu rumahtangga yang gagal diselesaikan dengan baik, sejak dari mereka kecil dan berpanjangan sehingga mereka dewasa.
Siapa kata bila bercerai anak jadi mangsa? Hakikatnya apabila tak bercerai dalam perkahwinan yang nyata GAGAL, anak-anak lebih TERUK dimangsakan dan melalui episod derita dan trauma sehingga dewasa.
Kesimpulan dari nasihat panjang yang beliau kongsikan ketika kami berjumpa adalah;
“Apabila lelaki cakap, berjanji atau bersumpah sekalipun bahawa dia nak berubah, JANGAN PERCAYA. They can hardly do that. Dengar saja. Tetapi percaya jangan sekali-kali. Kadangkala, lelaki sembang nak berubah ni macam tikus baiki labu. Kata nak berubah, tapi tindakan mereka makin sampah. Jadi apa pun, jangan dengar perkataan mereka, tetapi tengok action mereka. Never trust their words once they lie.”
TINDAKAN, BUKAN PERKATAAN.
========================
Wanita yang diuji dalam rumahtangga, jika anda NAK SELAMATKAN perkahwinan, make sure the other party juga CONGRUENT DENGAN ACTION DIA.
Dan pastikan ‘janji’ bahawa ‘nak selamatkan perkahwinan’ itu bukanlah taktik basi sekadar untuk memanjangkan proses perceraian dan melakukan mental torture lebih banyak ke atas diri isteri yang ditahan dan tak mahu dilepaskan. Ditahan kerana kononnya sayang, hakikatnya si isteri terbuang.
Mempertahankan perkahwinan atau sekadar menunda perpisahan? Anda pasti lebih tahu.
Orang kalau betul dia nak, kalau betul dia sayang, dia akan lebih berhati-hati dengan tindakan dia. Dia akan usaha buat habis-habisan sehingga tiada ego berbaki untuk dipertahankan. Bagaimana dia bertindak dan hadapi situasi akan menentukan segalanya. Bukan apa yang dia janji atau merayu depan anda.
Sayangilah Diri Sendiri
Sebelum melutut hendak suami sayangkan kita, kita perlu belajar sayangi diri sendiri dahulu.
Wanita yang sayangkan dirinya ini berada dalam kelas tersendiri. Tindakan dan gaya mereka classy. Mereka tidak desperate untuk disayangi lelaki sampai dijadikan alas kaki, dia tetap melutut agar disayangi suami.
Wanita yang sayang diri takkan rasa insecure atau hina dengan gelaran janda. Merasa tenang dan bahagia dalam hati lebih utama dari menggalas gelaran isteri tapi menahan derita setiap hari. Saham wanita sebegini masih ada walaupun usia dan muka dah semakin tua.
Apapun, usah terlalu difikir soal berteman jika terpaksa melewati perpisahan. Alah bisa tegal biasa.
Saya bukan menggalakkan perceraian.
Tapi cukuplah.
Cukuplah saya lihat rumahtangga dan ANAK-ANAK MENJADI MANGSA TEKANAN SANG IBU DAN ISTERI yang menderita dalam perkahwinan! Tak ada siapa yang bahagia dalam rumahtangga yang telah LUMPUH fungsinya.
Kita ini wanita.
Jangan kerana takut hidup bersendiri. Takut dituduh tak pandai menjaga laki.
Takut terpaksa berhempas pulas menyara diri dan anak-anak.
Kita biar diri kita diinjak lelaki yang gagal berfungsi sebagai suami dan ketua keluarga.
Pertahankanlah keluarga
Di saat bertahannya keluarga itu membawa lebih kebaikan buat semua pihak.
Tetapi ambillah jalan perpisahan, jika berpisah itu membawa lebih kebaikan buat semua pihak.
Jadilah Hamba Allah Yang Baik
Jika mampu bertahan dalam perkahwinan sebagai hamba ALLAH yang baik, go ahead dan pertahankan.
Syurga menanti buat dirimu yang berkorban. Tapi jika hati menyumpah dan tak mampu lagi redha dengan kezaliman dari sikap pasangan, lantas hanya menjadikan kita isteri durhaka dan kufur; berpisahlah setelah jalan perdamaian menemui kebuntuan.
Bercerai itu ada banyak hukumnya. Kadang haram, kadang wajib.
Bukan semua perkahwinan wajar dipertahankan. Yang penting duhai wanita.
Tolonglah sayangi diri anda.
Anda sayang diri anda, akan ada org yang lebih layak datang untuk menyayangi anda kembali. “You deserved to be loved the way you love…”
Janda Bahagia
Jika takdirnya tiada yang ingin sunting ada lagi dan anda perlu bersendiri sehingga mati, WHO CARES?
Peganglah gelaran Janda Bahagia dengan bangga!
Daripada pegang gelaran isteri durjana, isteri derita, isteri malapetaka segala apa benda title isteri yang akhirnya hanya membuat anda ‘hilang’ diri anda.
Tak berbaloi. Hilang diri kerana seorang lelaki yang tak layak bergelar suami.
Keywordnya, sayangi diri. Sebelum minta disayangi lelaki.
Mingguan Wanita : Gelaran yang memalukan seorang wanita. Tapi kalau itulah takdirnya, terima dan teruskan kehidupan yang lebih baik bersama anak-anak.
Sumber: Sharifah Zahidah
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tamparan Hebat Kehilangan Suami & 7 Anak, Wanita Reda Takdir Satu Keluarga Hidap KANSER!

Isi Kandungan
ToggleTamparan Hebat Hilang Suami & 7 Anak, Reda Satu Keluarga Diuji Hidap KANSER! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Besar sungguh ujian buat keluarga ini, masakan tidak satu keluarga diuji dengan penyakit kanser, malah seorang demi seorang telah meninggal dunia.
Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anak dilahirkan hidup sihat, begitu juga Che Noorsiah Abdul Rashid apabila menerima kehadiran lima anak yang menjadi penyeri hidup bersama suami.
Namun, takdir Allah SWT ‘menuliskan’ sebaliknya apabila semua anaknya bersama tiga anak tiri serta suami diuji penyakit kanser, malah dirinya dan seorang cucu lelaki juga diuji penyakit sama.
Lebih menyedihkan tujuh anak dan suaminya kini sudah meninggal dunia kerana penyakit mereka.
Suami, Abdul Latif Md Jali yang menghidap kanser paru-paru dan tumor otak meninggal pada 1998 manakala anak kandungnya, Nur Hidayati Ayu yang menghidap kanser adrenal meninggal dunia pada 1995, Irfan Effendy meninggal dunia pada 2013 kerana kanser limfoma dan Nur Aqilah Atiqah menghidap kanser payudara yang meninggal dunia pada 2019.
Seorang lagi anaknya, Shaheedy Effendy yang meninggal dunia kerana jangkitan bakteria salmonella tahun ini juga mempunyai ketulan di tulang selangka namun tidak sempat membuat ujian dan pemeriksaan lanjut.
Tiga anak tirinya, Noraini meninggal dunia pada 2002 akibat kanser payudara, Mohd Jefri menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 2018 dan Mohd Musa meninggal dunia pada 2016 kerana kanser darah.
Kini hanya tinggal Che Noorsiah, 69, dan anak bongsunya, Nur Alia Wahidah, 32, yang masih berjuang melawan kanser payudara manakala cucu lelakinya Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy, 11, kanser limfoma, tulang dan leukemia.
Tamparan Hebat Kehilangan Anak & Suami
Bercerita kisahnya, Che Noorsiah berkata, kehilangan suami dan tujuh anak termasuk tiga anak tiri boleh dianggap satu tamparan hebat buatnya, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
“Apabila semua anak sakit kanser, hati saya seolah-olah hancur biarpun tiga anak lain cuma anak tiri, tetapi saya tidak pernah membezakan kasih sayang buat mereka. Rasa itu tetap sama.
“Bagaimanapun saya sentiasa kuatkan semangat dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana perjalanan hidup kita seperti menaiki kereta api yang akan berhenti di hentian stesen, apabila tiba masa kita akan ‘pergi’ dan sakit cuma asbab.
“Kini hanya tinggal saya bersama anak bongsu dan cucu bersama-sama melawan penyakit ini. Bagi saya selagi ada hayat saya akan berjuang dan hidup dengan gembira, malah sokongan ahli keluarga lain sangat menguatkan kami,” katanya ketika ditemui.
Bernasib Baik Kanser Dikesan Awal
Pesara kerajaan itu berkata, dia bernasib baik apabila kansernya dapat dikesan awal dan kini berada di tahap awal namun sudah melakukan pembedahan membuang payudara kanan pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia disahkan menghidap penyakit itu pada November 2020 dan mengakui keluarganya tiada sejarah penyakit kanser, namun penyakitnya itu bukanlah penamat kehidupannya.
“Ketika disahkan kanser payudara saya memang terkejut kerana keluarga saya tiada sejarah penyakit kanser. Ini dugaan keluarga saya apabila kami semua diuji dengan penyakit ini.
“Sebagai pesakit kanser dan ada anak dan cucu yang mempunyai penyakit sama kami perlu positif dan menjalani kehidupan dengan gembira selain melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi diri.
“Tiga elemen penting untuk lawan kanser adalah kuatkan semangat, makan makanan berkhasiat dan buat rawatan disyorkan pakar. Hidup dan mati kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Tidak Salahkan Takdir
Bercerita lanjut, saat paling sukar yang dilaluinya adalah anak perempuan yang lama ditunggu, Nur Hidayati Ayu disahkan menghidap kanser adrenal ketika berusia empat tahun.
Katanya, sejarah keluarga suaminya memang ada yang sakit kanser tetapi dia tidak menyalahkan takdir kerana baginya semua aturan Allah SWT mempunyai hikmah.
‘Hayyan Ada ‘Super Power’ Kuat Lawan Sakit’
“Hayyan, wan (Che Noorsiah) dan mummy (Nur Alia Wahidah) ada ‘super power’ jadi kami kena kuat lawan sakit,” kata pesakit kanser tahap empat, Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy.
Haleef Hayyan Effendy, 11, atau mesra disapa Hayyan diuji penyakit kanser limfoma seawal usia lima tahun sebelum kanser itu merebak ke tulang dan kini turut disahkan mempunyai leukemia pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika disahkan kanser kembali dia menangis, terdiam dan kecewa tetapi sokongan ibu, Mimi Zarina Omar, 48, membuatnya kuat.
“Masa usia lima tahun, Hayyan tak tahu kanser itu apa cuma tahu ABC sahaja dan sakit macam arwah ayah.
“Bila doktor cakap Hayyan ada kanser lagi baru-baru ini saya menangis dan terkedu sebab kena buat rawatan lagi.
“Masa buat rawatan memang sakit tapi Hayyan ada mummy yang selalu temankan di hospital tapi Hayyan harap sangat Hayyan, wan dan mummy terus kuat dan sihat,” katanya.
Kekal Positif Sembuh Daripada Penyakit
Sementara itu ibunya, Mimi Zarina berkata, kekuatan sebenarnya adalah melihat kekuatan anak bongsu kesayangannya kekal positif untuk sembuh daripada penyakitnya.
Menurutnya, Allahyarham suaminya, Irfan Effendy Abdul Latif, 39, meninggal dunia kerana kanser limfoma pada 2013.
“Biarpun ‘sakit’ melihat Hayyan sakit tetapi saya tidak menyalahkan takdir atau genetik sebaliknya menerima dengan reda kerana ini ujian Allah SWT untuk saya dan keluarga kami.
“Sebelum ini saya berjuang bersama suami yang melawan kanser selama tujuh bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan kini bersama Hayyan pula untuk berjuang melawan penyakit.
“Pada mulanya saya tidak kuat tetapi melihat betapa positifnya anak buat saya juga jadi kuat. Kita perlu kuat dan positif untuk menjaga pesakit kanser bukan mereka sahaja kena kuat,” katanya.
Kekal Cekal Lepas Hilang ‘Mahkota’ wanita
Kehilangan ‘mahkota’ kewanitaan dan melalui 12 sesi kemoterapi dan 15 kali radioterapi, tidak membuatkan wanita ini ‘gentar’ untuk berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Nur Alia Wahidah Abdul Latif, 32, menjalani pembedahan membuang payudara kanannya dan kini bakal kehilangan satu lagi ‘mahkota’ apabila akan menjalani pembedahan membuang ovari.
Nur Alia Wahidah berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser payudara selepas baharu tujuh bulan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan bersama suami.
Menurutnya, biarpun mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit kanser tetapi ujian genetik yang dibuat pada 2018 mengesahkannya bukan pembawa gen P53 seperti dua adik beradiknya.
“Pada mulanya kanser berada di tahap dua dan ia berpunca daripada hormon. Saya mengambil keputusan membuang payudara kanan dan ‘membinanya’ semula supaya ia tidak serius. Itu satu keputusan berat kerana ia adalah ‘mahkota’ kita sebagai seorang wanita.
“Kemudian doktor beritahu kanser saya berulang pada Mei lalu dan sudah berada di tahap empat selain merebak ke paru-paru,” katanya yang kehilangan kerja kerana penyakitnya itu.
Menurutnya, dia kini sudah membuat enam sesi kemoterapi dan menunggu untuk membuat pembedahan membuang ovari bagi mencegah kanser kembali kerana ia membabitkan hormon.
“Pembedahan ini akan melenyapkan hasrat saya memiliki anak sendiri. Ini realiti yang dilalui biarpun saya sendiri teringin mahu punya anak sendiri dan ia memang membuatkan saya sedih.
“Semua yang ada pada kita adalah milik Allah SWT dan apabila sedikit yang dipinjamkan itu diambil saya tetap bersyukur kerana Dia masih memberikan peluang saya bernafas.
“Siapa saya untuk mempersoalkan ketentuan-Nya jadi saya perlu positif dan bersemangat untuk melawan sakit ini. Allah SWT mahu lihat saya bersabar dan menerima ujian-Nya. Lagipun saya fikir dugaan mana lebih hebat dan jika dia boleh melaluinya kenapa tidak saya,” katanya.
Mesti Baca:“Jangan Habiskan Duit Beli Ubat & Suplemen Cegah Kanser, Ikutlah Nasihat Doktor..” – Yati
Baca Lagi Di Sini:“Siapa Nak Bantu Tolakkan Kerusi Roda Saya?”, Keluh Pesakit Kanser Payudara Ditinggalkan Suami
Artikel Menarik:‘Mak Mentua Disahkan Kanser’ Menantunya Bekas Pesakit Kanser Meraung Depan Doktor
Mingguan Wanita: Masya Allah, sungguh hebat dugaan buat wanita ini. Bukan mudah untuk berdepan sengan ujian sebegini, kehilangan suami dan anak-anak tersayang akibat penyakit kanser yang cukup ‘digeruni’. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat wanita ini dan diberikan kesembuhan buatnya.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI