Sekarang ini tak susah sebenarnya nak jumpa orang lelaki yang rajin buat kerja rumah. Rata-rata, ramai dah ada kesedaran itu. Alhamdulillah.
Cuma, nak bagi mereka seronok, ikhlas tolong buat kerja rumah itu kenalah ada cara nak memintanya. Bukan main terjah arah-arah. Memang tak lah nak bantunya.
Bak kata Liza Suhana ini, “orang lelaki pun rajin buat kerja rumah. Cuma ada pantangnya.” Apa agaknya pantang larang itu.
Jemput baca perkongsian ini. Nombor EMPAT paling pantang!
Ada Orang Lelaki Sejenis Tak Boleh Tengok Rumah Bersepah
Gambar ini dibidik sepantas kilat ketika terlihat adik bongsu menyapu halaman rumah.
Baru balik dari pasar, sejenis tak boleh tengok rumah bersepah, terus dicapainya penyapu. Dah clear, barulah dia masuk ke dalam rumah. Barang-barang dalam beg plastik tu pulak disusun dalam almari sebab tak nak nampak meja penuh dengan barang.
Jangan tak tahu, dialah pakar mengemas dalam rumah ni. Habis segala benda clear dibuatnya. Rumah kemas tapi lepas tu cari barang dah tak ada. Tahu-tahu dah dalam tong sampah. Hahah. Stres bab ni.
Tugas cuci pinggan dan jemur kain pun dia buat tanpa excuse. Cuma, tindakan tu cepat atau lambat sajalah. Kadang dah nak melimpah periuk belanga dalam sinki baru dia bersilat.
Apa rahsia dia jadi macam ni agaknya?
Ads
Okey, ni sudut pandang seorang kakak yang tengok dia membesar depan mata. Dia jenis agak rajin buat kerja rumah tapi ada pantangnya.
Syarat Nak Minta Orang Lelaki Rajin Buat Kerja Rumah
Mak-mak dan para isteri tolong alert kalau tak nak stres buat kerja rumah sorang-sorang.
1. Jangan berleter
Orang lelaki memang akan berdesing telinga kalau dengar kita berleter.
Cukup cakap sekali dua, diorang akan buat. Kalau benda urgent, sepantas kilat diorang boleh jadi hero. Kalau benda tak berapa penting, harap bersabar jelah walau sampai bulan depan.
2. Jangan membanding
Dan jangan buat perbandingan antara diorang dengan anak jiran, suami sepupu, menantu Mak Cik Kiah, adik ipar ketua kampung. Jangan!
Diorang akan rasa tercabar dan silap haribulan suruh kita pergi cari adik ipar ketua kampung tu tolong kita buat kerja. Haruuu …. .
Biar diorang teruskan cuci pinggan sendiri lepas makan atau kutip baju kotor masuk mesin basuh walaupun tak ikut SOP kita. Inilah proses untuk biasakan diorang dengan kerja rumah.
Pergi kerja cari rezeki sama-sama, buat kerja rumah pun patut sama-samalah kan. Aman rumahtangga.
4. Jangan bagi arahan
Pantang tok nenek diorang kalau kita suka mengarah-arah. Boleh mencabar maruah tu.
Tukar ayat daripada, “Pi buang sampah yang dok berlonggok tu cepat!” kepada, “Tolong la buang sampah tu sat … .”
Kalau boleh merayu lagi bagus. Diorang akan rasa diri amat diperlukan.
Ads
5. Jangan tak puji
Orang lelaki pun suka kalau dipuji. Diorang akan rasa diri bertanggungjawab dan suka nak tolong kita lagi.
Ucap pulak, “Terima kasih,” dengan senyuman meleret, pasti diorang cair. Esok siap tanya nak tolong apa lagi. Kan bahagia!
Praktikkan lima perkara ini, Insya-Allah suami, adik, anak-anak lelaki kita akan rajin bantu buat kerja rumah. Kadang-kadang tanpa perlu pun kita suruh.
Tapi perlukan kesabaran dan sentiasa diamalkan ye. Ia bukan boleh berlaku sekelip mata.
Adik kesayangan tengah dok cuci pinggan pulak kat dapur tu. Bakal menantu siapalah ni agaknya.
Kalau mak-mak marah anak, rasanya makin menjadi-jadi perangainya. Sampai boleh hilang sabar mak ayah. Kalau jenis yang tak dengar, memang ‘mendapatlah’ anak-anak nanti. Lebih-lebih lagi bila berada di luar rumah. Masa inilah anak-anak uji kesabaran mak ayah.
Cara mak marah anak di rumah berbeza dengan marah anak di di luar rumah. Mak-mak tak adalah marah melulu sampai boleh menjatuhkan air muka anak. Kesian anak-anak. Nakal memang tak boleh dikawal dan itulah lumrah anak-anak nak membesar.
Tapi, kalu mak-mak tahu cara nak kawal marah atau tunjuk isyarat yang biasa buat apabila berada di luar rumah, tentunya anak akan faham. Biasanya, bila bagi isyarat macam ini seperti jengkelkan mata terutamanya, kalau tak dengar, mahunya balik nanti adalah habuannya.
Begitulah yang ingin dikongsikan oleh Noor Afidah Abu Bakar dalam menjaga batasan anak-anak apabila berada di luar rumah dan tempat awam khasnya. Tak perlu nak menjerit atau marah terlampau sebab ia mungkin boleh menjatuhkan air muka ana kitu sendiri.
Ada Batasan
Kanak-kanak walau di mana pun akan tetap menjadi kanak-kanak.
Biasanya, kanak-kanak PERLU diberikan RUANG dan PELUANG untuk bergerak bebas berlari, melompat, memanjat, berguling, dan bergayut.
Pergerakan merupakan satu KEPERLUAN bagi kanak-kanak.
Bagaimanapun kanak-kanak PERLU tahu BATASAN MASA, KEADAAN dan TEMPAT kerana jika tidak kena gaya mungkin akan membahayakan diri mereka ataupun membahayakan dan mengganggu ketenteraman awam ataupun merosakkan harta benda peribadi dan awam.
BATASAN ini perlu diterangkan kepada kanak-kanak agar mereka faham dan tahu sebabnya.
Setelah ditetapkan BATASAN, mereka sentiasa perlu DIINGATKAN kerana kadang-kadang mereka terlupa ataupun kadang-kadang mereka belum terbiasa.
Kadang-kadang mereka juga akan cuba menguji batasan untuk menilai sama ada kita serius ataupun tidak. Jikalau kita hanya sebut tetapi tidak kuatkuasa, maka mereka tahu mereka boleh melakukan apa sahaja sesuka hati kerana kita tidak serius.
Ada masanya mereka juga perlu tahu adanya ISYARAT ‘RAHSIA’ daripada kita yang menunjukkan kita tidak merestui tindakan mereka, terutamanya di TEMPAT AWAM.
Menjerit dan memarahi anak di tempat awam hanya menjatuhkan air muka anak-anak.
Itu perlu dielakkan.
Membiarkan anak tanpa ditegur pula boleh menjadikan anak individu yang tidak sensitif terhadap orang sekeliling.
Isyarat ini hanya anda dan anak yang tahu.
——————————————– Suami saya berkongsi gambar ‘kandid’ yang diambilnya 11 tahun lalu di atas keretapi di Switzerland. Anak-anak saya masih kecil ketika ini dan dengan jelas saya juga masih muda. Saya sendiri tidak ingat apakah kejadiannya.
Baru sekarang saya tahu bagaimana rupanya apabila Ummi menghantar ‘isyarat tanpa suara’ kepada anak di tempat awam.
MW: Mak-mak boleh cipta satu isyarat rahsia yang hanya mak-mak dan anak saja tahu terutamanya bila berada di luar rumah. Kalau anak-anak tak dengar atau di luar kawalan, isyarat rahsia ini mungkin membantu.
Kes kematian akibat tersedak susu atau menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap tahun, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.
Ini sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.
Jadi daripada kes tersedak susu yang berlaku, ini antara faktornya.
Punca Bayi Tersedak Susu
1. Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka. Injap paru- paru anak yang masih kecil.
2. Tabiat ibu bapa meletakkan bantal atau kain untuk menyokong botol susu dan meninggalkan bayi keseorangan.
3. Kedudukan bayi semasa minum susu yang salah.
Biasa berlaku pada bayi berusia 6 bulan ke bawah, sebab baby ni salur pernafasan dan salur makanan yang terletak bersebelahan masih pendek, bayi pulak kerap jeluak/muak, tinggi risiko susu masuk ke salur pernafasan dan peparu.
Jom kita tengok 5 langkah keselamatan daripada Dr Farhanah Ibrahim untuk kurangkan risiko tersedak susu:
1. JANGAN SILAP PILIH PUTING SUSU
Bila menyusukan bayi terutama menggunakan botol, jangan pilih lubang puting yang besar. Terlangkupkan botol berisi susu, kalau susu menitik tanpa ada hisapan, maksudnya puting ni tak sesuai terutama untuk bayi 6 bulan ke bawah.
Bila flow susu terlalu laju, baby boleh terkejut. Bila baby terkejut, salur pernafasan dia akan terbukak sikit. Baby boleh hilang kawalan antara proses bernafas dan menelan. So susu yang laju tadi boleh mengalir masuk ke saluran pernafasan ➡️ tersedak susu.
2. JANGAN TINGGALKAN BAYI SENDIRIAN BILA MENYUSU
Kadang-kadang sesetengah parents/pengasuh tinggalkan botol susu dalam mulut baby. Bagi baby 3 bulan ke bawah, disendal dengan kain supaya botol tak jatuh.
Bagi baby 4 bulan pulak kadang dibiar pegang sendiri botol susu dalam mulut sampai baby tertidur.
INI SANGAT BAHAYA!
Bila flow susu ni berterusan, kadang susu terkumpul dalam mulut baby. Dan bila baby nak bernafas, susu tadi boleh termasuk ke dalam peparu ➡️ tersedak susu.
Bagi yang menyusukan dengan botol, cara betul adalah pegang/dakap baby dengan meninggikan sikit kepala baby 45 darjah.
Botol susu pun perlu condong sikit untuk make sure bahagian depan botol dipenuhi susu. Kalau botol mendatar, bahagian depan ada angin, so baby akan hisap susu + angin. Hisap banyak angin ➡️ baby lebih senang muntah ➡️ tersedak susu (lebih-lebih lagi bila muntah dalam tidur).
3. JANGAN OVERFEEDING
Untuk bayi yang menyusu badan, boleh bagi breastfeeding on demand. Risiko tersedak susu lebih rendah untuk bayi yang menyusu badan, tapi masih ada.
Untuk bayi yang diberikan susu formula terutamanya, elakkan overfeeding.
Sesetengah ibu/pengasuh bagi susu setiap kali bayi menangis, walaupun belum sampai sejam baby baru menyusu.
Ada ibu yang bagi sampai 4-5oz susu formula untuk bayi baru lahir!
Secara amnya boleh rujuk jadual di bawah untuk keperluan susu bayi.
Ada juga ibu yang terpaksa akur bila orang tua-tua cakap anak “tak puas susu” sebab “tercari-cari”, padahal anak baru saja lepas diberi susu.
Rujuk post tentang reflex menghisap di sini:
Overfeeding boleh sebabkan perut baby terlalu penuh dan meninggikan risiko muntah sampai tersedak susu.
4. JANGAN LUPA SENDAWAKAN BABY
Lepas menyusu, sendawakan baby untuk keluarkan angin.
Boleh buat posisi duduk atau dukung atas bahu.
5. JANGAN BAGI BAYI TIDUR TERLENTANG TANPA PENGAWASAN
Lepas baby dah tidur, kalau boleh kasi dia mengiring sikit. Supaya kalau muntah, boleh terus mengalir keluar mulut.
Untuk lebih selamat, mak ayah atau pengasuh kena rajin-rajin jenguk bayi yang tengah tidur, just to check if they’re OK. Semoga bermnafaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isu menantu perempuan dan mak mentua satu ‘masalah’ yang seolah tiada kesudahan. Bila sama-sama keras kepala maka yang jadi mangsa adalah si lelaki. Situasi akan menjadi lebih buruk bila si lelaki tidak tahu memainkan peranan bagi mendamaikan antara isteri dan juga ibunya.
Kisah pergolakan antara menantu dan mak mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu mak mentua mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Menantu Perempuan & Mak Mentua Bila Sama-sama ‘Keras Kepala’
Hubungan mak mertua dan menantu perempuan seringkali tidak harmoni. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena. Hal ini bukanlah sekadar mitos. Kajian membuktikan konflik memang sering ‘tumbuh’ di antara mak mentua dan juga menantu perempuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
MENANTU BUKAN PILIHAN DAN MENTUA PEROSAK RUMAH TANGGA
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang Jadi Mangsa Suami/Anak Lelaki
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Menantu perempuan dan mak mentua, usahlah sama-sama ‘keras kepala’ dan ego. Ingatlah bahawa jika persengketaan itu terus menerus berlaku yang menjadi mangsa adalah seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lala Menyapa, Halia Terpaku! Ramadan ke-23 mak-mak masih tak jemu memasak untuk keluarga tersayang.Hari ini apa kata mak-mak cuba masak menu Lala Menyapa, Halia...