Norazryana risau keselamatan keluarga mentua di Tehran. Selepas 17 tahun hidup bersama komuniti Iran, Norazryana Mat Dawi tidak pernah membayangkan detik yang sering menjadi bualan mereka akhirnya menjadi kenyataan tercetusnya peperangan antara Iran dan Israel.
Wanita kelahiran Johor yang berusia 40 tahun itu mengakui hatinya luluh apabila konflik meletus, lebih-lebih lagi memikirkan keselamatan keluarga mentuanya yang menetap di Tehran.
“Sejak sekian lama kami berbincang kemungkinan ini, tapi bila ia benar-benar berlaku, saya sukar percaya. Hati saya hancur,” kata Norazryana.
Berkahwin dengan lelaki Iran dan kini bermastautin di Republik Czech, Norazryana menganggap Iran sebagai rumah keduanya, memandangkan keluarganya turut berakar di sana.
Berikut antara perkongsian Norazryana di TikToknya @azreen_lifejourney
Ketika konflik 12 hari itu berlangsung, Tehran antara kawasan yang paling terkesan. Walaupun rumah keluarga mentuanya tidak terkena serangan secara langsung, situasi yang tegang menimbulkan ketakutan dan keresahan berpanjangan.
“Mereka dikejutkan daripada tidur oleh bunyi letupan, walaupun peluru berpandu tidak mengenai kawasan rumah mereka, suasana ketika itu sangat menakutkan,” jelas Norazryana.
Tambahnya, tiga hari pertama menjadi saat paling sukar apabila keluarga suaminya tidak dapat meninggalkan ibu kota kerana jalan raya sesak teruk. Hanya selepas hari keempat mereka berjaya berpindah ke kediaman kedua di utara Iran.
Keadaan semakin rumit apabila kerajaan Iran menghadkan capaian internet demi mengelak ancaman serangan siber. Akibatnya, komunikasi dengan keluarga di Tehran terputus selama beberapa jam antara hari keenam hingga hari kesembilan konflik.
“Iran hanya benarkan capaian intranet tempatan, jadi kami langsung tak dapat berhubung atau dapatkan maklumat sahih dari sana,” katanya.
Namun, selepas beberapa ketika mereka berjaya berhubung semula menggunakan aplikasi pesanan buatan tempatan, walaupun sambungan internet sangat perlahan. Akhirnya, panggilan talian tetap daripada keluarga mentuanya memberi kelegaan besar kerana semuanya dilaporkan selamat.
Sebagai pencipta kandungan yang banyak berkongsi perkembangan tentang Iran, Norazryana turut melihat perubahan tanggapan masyarakat Malaysia terhadap negara itu selepas konflik berlaku.
“Sebelum ini ramai yang skeptikal, menganggap Iran sebagai negara yang bermasalah. Tapi selepas tindakan balas Iran terhadap Israel, makin ramai rakyat Malaysia mula tunjukkan simpati dan sokongan,” katanya.
Beliau berharap masyarakat lebih peka terhadap realiti kehidupan rakyat biasa Iran yang tertekan akibat sekatan antarabangsa.
“Iran ada lebih 90 juta penduduk yang cuma mahu hidup seperti kita. Mereka terpaksa berdepan inflasi melampau dan pasport negara itu pun dinilai sangat lemah. Peperangan hanya menambah beban yang sedia ada,” luahnya.
Sumber: Berita Harian dan TikTok Norazryana
Baca artikel lain juga: Juruterbang Wanita Rugi Lebih RM190K, Jadi Mangsa Sindiket Penipuan Pakej Haji Palsu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE