
Nampak macam remeh, namun setiap tahun beratus orang datang ke pusat zakat untuk membayar KAFFARAH PUASA. Ini yang didedahkan oleh Ustaz Faisal Rahim yang juga merupakan Amil Zakat serta berpengalaman 10 tahun bekerja di institusi zakat.
Buat pasangan suami isteri semoga lebih berhati-hati dengan hukum ‘bersama’ dan melakukan persetubuhan di siang hari ketika berpuasa pada bulan ramadan kerana boleh dikenakan kaffarah puasa.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian daripada Ustaz Faisal Rahim ini sebagai rujukan;
Bayar Kaffarah Puasa.
Secara asasnya :
1. Kaffarah Puasa dikenakan bila berjimak siang hari Bulan Ramadan.
2. Kaffarahnya, berpuasa berturut-turut selama 2 bulan. Jika tak mampu bagi makan 60 orang miskin.
3. Kaffarah Puasa BUKAN tanggungjawab Pusat Zakat. Mereka TIDAK TERIMA BAYARAN untuk selesaikan Kaffarah .

Bagaimana nak selesaikan Kaffarah?
1. Kena usaha juga berpuasa 2 bulan berturut-turut. Tak boleh terus pilih no 2.
2. Cari 60 orang miskin untuk diberi makan.
3. Bayar kepada Majlis Agama. Kadarnya RM600 untuk SATU HARI. Kalau 5 hari maksudnya RM3000.

Artikel Menarik: 6 Golongan Kena Bayar Fidyah & Cara Pengiraannya, Salah Satunya Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Bagaimana orang buka puasa dulu kemudian berjimak?
1. Dosa besar buka puasa dengan sengaja & dimurkai Allah!
2. Mazhab Hanafi, Makili, Hanbali : Tetap kena Kaffarah.
3. Mazhab Syafie : Tidak dikenakan Kaffarah. Helah itu tetap berdosa.
Info Lanjut:
Baca di sini: IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 145: ADAKAH DIKENAKAN KAFFARAH BERJIMAK SELEPAS SENGAJA MEMBATALKAN PUASA DENGAN MAKAN
Mungkin sebab tu ramai orang dulu-dulu tak bagi berkahwin bila nak hampir Ramadan.
Benda ni nampak macam remeh dan lawak. Tapi setiap tahun, BERATUS orang datang nak bayar Kaffarah kat zakat.
Ramai fikir SIANG HARI BULAN RAMADAN?! Biar betul. Takkanlah.
Tapi sebenarnya, ramai yang bersama tu ketika waktu Subuh. Ada yang lepas sahur.
Kesimpulannya:
1. Berjaga-jaga.
2. Pusat Zakat memang TIDAK TERIMA bayaran Kaffarah Puasa.
Semoga bermanfaat!
Baca Lagi Di Sini: Masih Ada Pasangan Nikmatilah Ramadan Ini Sebaiknya, Solat, Berbuka & Bersahur Bersama!
Mesti Baca: Bukan Semua Wanita Hamil Dan Menyusu Dikenakan Fidyah, Fahamkan Penjelasan Ustaz
Mingguan Wanita: Jadi buat suami isteri semoga lebih berhati-hati iya. ‘Bersama’ di bulan ramadan tak salah, malah merupakan satu ibadah, namun pastikan pada waktu yang betul dan bukan ketika sedang berpuasa.
Sumber: Twitter Faisal Rahim
Begini cara Alif Satar ajar anak-anak puasa.
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita
Hati-hati tiga golongan yang tak dapat masuk syurga ini iya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu Ayah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita. Marah Anak, Sebenarnya Kita Marah Diri Sendiri

Sebagai ibu ayah sudah tentu kita mahu yang terbaik buat anak-anak. Sebenarnya ibu ayah sedarilah 90 peratus tabiat anak mengikut tabiat kita.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun (UAH) menerusi perkongsiannya di laman sosial, Facebook, Ustazah Asma’ memberi tips untuk ubat tabiat anak.

Ibu Ayah Sedarilah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita
Ternyata ilmu yang dikongsikan ini cukup bermakna boleh menjadi panduan buat para ibu bapa.
TIPS UBAH TABIAT ANAK

“Iya, kita semua mahu anak kita suka buku, membaca dan menambah Ilmu. Atas sebab itu, kita jadi sedih dan marah bila anak-anak tunjuk muka tak minat dengan buku, mengantuk dan baca sekejap sahaja.
“Berbeza pula bila mereka tonton tv, main game, main luar rumah, dll. Mereka menunjukkan minat dan memberi tumpuan sepenuh hati.
Jadi. Siapa dan dimana silap.
DUHAI IBU AYAH

“90% tabiat anak mengikut tabiat kita, Jika marah anak tentang sesuatu, sebenarnya kita sedang marah diri sendiri. Apabila kita mengadukan perihal anak, seolahnya kita sedang mengadukan tentang perangai sendiri.
“TABIAT IBU AYAH, contohnya solat di awal waktu, kerap baca Quran, zikir dan doa selepas solat, bersedekah, dll Amal soleh yang diperlihatkan kepada anak-anak akan lebih kuat mempengaruhi tabiat anak, berbanding hanya melalui perintah perkataan.
Apa yang dilihat dengan mata lebih kuat terakam dalam memori daripada apa yang didengar dengan telinga.
“Jadi, IBU AYAH SEKALIAN, ketika kita melakukan suatu amal soleh boleh perlihatkan kepada anak-anak dengan niat untuk menjadi ikutan dan salah satu bentuk pendidikan.
“Ada sesetengah ibu suka solat dan baca Quran di dalam bilik, katanya lebih tenang dan boleh fokus. Anak-anak jarang sekali melihat ibunya duduk atas sejadah, zikir, baca Quran dll.
“Ada baiknya jika kita boleh kerap perlihatkan, InsyaAllah tidak timbul isu bimbang riya’, ujub, takabbur dll. Dengan anak sendiri, insyaAllah kita boleh hindari penyakit hati.
“Begitu juga tentang amalan sunat, contohnya sedeqah, ada ketikanya perlihatkan dan terangkan tentangnya. Begitu juga solat sunat, biarkan anak bertanya, ibu solat apa lagi tu?. Ambil peluang dan jelaskan. Dll.
“Ada kisah ibu yang hebat, beliau bercerita kepada saya. Dia sangat penat untuk mengajak anak-anaknya suka baca Quran, jika baca mesti laju-laju dan cukup 1ms sahaja. Jika minta tambah terus buat muka.
“Satu ketika, beliau nekad tidak mahu mengajak lagi. Rasa ingin merajuk. Dalam waktu yang sama, beliau melakukan solat Taubat kepada Allah atas dosa kelalaiannya dalam mendidik sehinga anak-anaknya ketagihan gajet.
“Doa dan istighfar diulang, mohon petunjuk daripada Allah swt. Akhirnya beliau mula membaca alQuran setiap kali lepas solat 1 juz. Dilakukan secara rutin, di ruang utama rumah yang mana semua boleh melihatnya.
“Diulang lagi, dibuat dengan ikhlas hati untuk mengubah diri. Beliau percaya, untuk orang yang disayangi berubah, diri sendiri perlu berubah dahulu. Dan InsyaAllah, pertolongan Allah akan tiba bagi yang benar² ikhlas.
“Akhirnya dalam tempoh lebih kurang seminggu dua, seorang demi seorang anak-anaknya datang tanpa diajak untuk sama-sama membaca alQuran.
“Daripada beberapa helai sahaja, sehingga peringkat beliau berkata, anak-anak dah mula “ketagih” alQuran. Allahu Akbar. Dengan air mata beliau bercerita.
“Ustazah, dulu saya banyak bebel, marah, ajak dengan paksa, akhirnya saya penat dan rasa nak mengungkit itu ini, selalu nak salahkan suami dan melepaskan marah pada suami.
“Rupanya Allah sebenarnya nak saya berubah menjadi seorang yang mencintai alQuran, barulah anak saya akan mengikuti jalan yang sama. Saya syukur Allah uji anak-anak saya begitu dahulu, jika tidak mungkin saya hanya sekadar meminta anak untuk cintai alQuran, sedangkan saya sendiri jauh sekali”.
“Allahu Akbar. Begitulah.
Kita Tak Boleh Ubah Hidup Selagi Tak Ubah Rutin Harian
“Ingatlah, kita takkan boleh mengubah hidup kita selagi tidak mengubah rutin harian. Kita tidak boleh mengubah insan yang disayangi selagi tak mengubah diri sendiri.
“Rupanya Allah ingin kita berubah dahulu, bukan fokus ubah orang lain. Anak dan pasangan, adalah perantaraan Allah untuk membentuk diri kita menjadi siapa.
“Saya selalu cuba amalkan doa ni, bila lihat wajah anak, atau teringatkan mereka, juga ketika teruji dengan sikap atau kerenah anak, sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS :
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Robbi hablii minash shoolihiin”
[Ya Rabbku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang saleh]”.
(Surah AsSaffaat: 100)
“Semoga bermanfaat. Nukilan hati muhasabah diri seorang Umi kepada 7 orang anak, yang selalu juga terduduk lemah, marah dan kalah. Tapi tetap bangkit untuk perbaiki diri tanpa henti, insyaAllah sampai mati,” kongsi ustazah Asma’.

Sumber/ Sumber Foto: Facebook Ustazah Asma’ Harun
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Luangkan Masa Dua Jam Setiap Kali Lepas Solat, Dapat Khatam 160 Kali Dalam Penjara

Siapa kita untuk menghakimi seseorang, segalanya adalah Ketentuan Ilahi. Biarpun pernah dipenjarakan, namun insan ini tidak pernah lupa tanggungjawabnya pada agama. Malahan dirinya sudah tentu menjadi lebih baik daripada kita yang berada di luar.
Bayangkan di penjara, dirinya dapat luangkan masa dua jam setiap kali lepas solat, akhirnya dapat khatam 160 kali dalam penjara sepanjang menjalini hukuman 20 tahun. Cukup mengagumkan bukan. Ikuti kisah yang penuh inspirasi ini.
Luangkan Masa Dua Jam Selepas Solat
Meluangkan masa sehingga dua jam setiap kali waktu solat fardu membolehkan Ahmad Sarkawi Sulong, 50, bekas ahli Al-Maunah khatam sebanyak 160 kali sepanjang 20 tahun berada di penjara.
Ahmad Sarkawi yang mesra dengan panggilan Awie itu dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana menyertai kumpulan Al-Maunah pada tahun 2000.
Bagaimanapun, pada 17 Ogos tahun lalu, dia mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sekali gus dibebaskan selepas 20 tahun di penjara.
Menurut Awie yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 24, Kuala Berang, Terengganu, dia pernah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama lapan tahun dan 12 tahun di Penjara Marang juga mampu khatam tiga kali setiap Ramadan.
Dapat Khatam 160 Kali Dalam Penjara
“Saya biasanya membaca al-Quran sebelum dan selepas menunaikan solat fardu selain turut membaca al-Quran ketika waktu rehat berkerja.
“Hidup saya hanya dengan al-Quran, ia umpama teman saya ketika di penjara.
“Setiap kali Ramadan, saya akan meningkatkan jumlah juzuk al-Quran yang dibaca supaya mampu khatam lebih banyak, lagipun ganjaran membaca al-Quran pada Ramadan jauh lebih besar berbanding hari biasa dan oleh itu berasa lebih bersemangat untuk mengamalkannya.
“Masa terluang hanya dihabiskan dengan bacaan al-Quran sahaja. Jika tidak bekerja sebagai pengukir kayu di penjara, saya akan membaca al-Quran dan tidak pernah jemu menjalani rutin berkenaan sepanjang tempoh itu,” katanya.
Baca Juga Di sini:
Baca AL-Quran, Solat Awal Waktu, Sejak Amal Rezeki Makin Luas
Merdunya Suara Zizi Kirana Mengaji Al-Quran, Akuinya Gementar, Gigil Lutut
Syatilla Melvin Usaha Khatam Al-Quran, “Sehari 4 Muka Surat Pun Sudah Rahmat. Doakan”
Baca Al-Quran Beri Nikmat, Ketenangan
Menurutnya, dia amat merindui amalan membaca al-Quran ketika berada di Sel Banduan Hayat Nombor 16 di Penjara Marang kerana memberi pelbagai kenikmatan dan ketenangan kepadanya.
“Walaupun 20 tahun di penjara dan terpaksa berpisah dengan dunia luar namun perasaan saya sentiasa dalam keadaan tenang serta tenteram.
“Cuma perasaan rindu kepada keluarga serta ingin menjalani kehidupan bebas itu tetap ada namun kerana terikat dengan hukuman saya perlu akur dan memujuk hati sendiri untuk terus bersabar,” katanya.
Seronok Sambut Ramadan Di Luar
Menurutnya, rutin Ramadan yang dijalani pada tahun ini agak berlainan berbanding ketika di penjara, berbekalkan ilmu agama yang dipelajari di Penjara Marang, dia diberi kepercayaan menjadi bilal di Surau Al-Falah di sini.
Katanya, ia membuatkannya berasa bersemangat dan terharu dengan layanan serta kepercayaan penduduk kampung.
Bercerita lagi, dia juga berasa sangat seronok menyambut Ramadan buat kali pertama selepas dibebaskan kerana dapat bersama ahli keluarga dan paling gembira kerana dapat menunaikan solat sunat tarawih berjemaah bersama penduduk kampung.
“Sepanjang menjalani hukuman penjara, saya hanya menunaikan solat sunat tarawih sendirian di bilik pengasingan.
“Pada Ramadan tahun lalu saya berbuka puasa, bersahur dan menunaikan solat sunat tarawih di penjara, siapa sangka pada tahun ini saya menjalani semua ibadah itu bersama keluarga,” katanya yang sudah bertunang dengan seorang gadis dari Kampung Sekayu di sini.
Berbeza Sambutan Ramadan Di Dalam Penjara
Menurutnya, walaupun tidak mampu untuk meluangkan masa sepenuhnya dengan amalan membaca al-Quran ketika ini kerana masanya perlu diseimbangkan mengikut tuntutan hidup seperti berkerja dan membuat amalan kebajikan lain.
“Tidak bermakna saya melupakan amalan membaca al-Quran, cuma tempoh waktu untuk amalan itu lebih singkat berbanding ketika berada di penjara.
“Sekarang saya bekerja sebagai tukang kebun di ladang durian milik rakan di Bukit Diman sejak akhir tahun lalu.
“Walaupun pendapatan diperoleh tidak seberapa, tetapi tetap berasa seronok dan wang gaji boleh disimpan untuk majlis perkahwinan pada Jun akan datang.
“Saya bersyukur kerana perjalanan hidup selepas dibebaskan daripada penjara dipermudahkan.
“Saya baru sahaja dapat lesen memandu kenderaan dan sekarang sudah bertunang serta bakal mengakhiri zaman bujang tidak lama lagi,” katanya.
MW: Setiap manusia tidak lari daripada membuat kesilapan. Malahan jika sekali seseorang itu tersalah langkah tidak bermakna dia akan terus-terusan membuat salah. Hentikan prasangka negatif dan sentiasa berbaik sangka dengan orang. Renung-renungkan.
Sumber: myMetro
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40

Simpan Kira-kira Dan Urus Kewangan, Silap Urus Bisnes Lingkup
Klik sini untuk mendaftar : https://toko.ideaktiv.com/product/simpan-kira-kira-dan-urus-kewangan-silap-urus-bisnes-lingkup/

Bisnes Kencang Di Shopee Bersama Coach Zul Dan Master Noorul
Klik sini untuk mendaftar : https://toko.ideaktiv.com/product/bisnes-kencang-di-shopee-bersama-coach-zul-dan-master-noorul/
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita – https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Instagram Mingguan Wanita – https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Twitter Mingguan Wanita – https://twitter.com/MingguanWanita
Telegram : https://t.me/bangkitwanitaMW
Youtube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak Boleh Guna Duit Raya Anak KECUALI Dalam Keadaan Ini

Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.

HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
- Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
- Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)

Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
يَأْخُذُ الْأَبُ وَالْأُمُّ مِنْ مَالِ وَلَدِهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِ ، وَلَا يَأْخُذُ الِابْنُ وَالِابْنَةُ مِنْ مَالِ أَبَوَيْهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِمَا
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)

Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

