Urusan jaga anak ni boleh jadi panas kalau ada yang tegur. Tambah pula kalau yang petik isu ini ahli keluarga sendiri yang dapat peluang jaga anak-anak, tak bekerja dan memang suri rumah.
Ya, duit pun penting untuk kukuhkan ekonomi rumah tangga. Tetapi kalau sampai mak dah sebut kata-kata ‘azimat’ ini, rasanya kita sebagai anak kena lah berusaha mencari pengasuh.
Kalau ikutkan memang risau nak bagi orang sebab macam-macam kes dera yang terpampang di dada akhbar dan media sosial. Namun, nak tak nak kita kena serahkan pada orang dan yakin dengan ketentuan Allah.
Seperti yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan, mak-mak ini kadang rela jaga cucu sebab nak tolong anak sendiri. Tetapi pernah tak kita cuba duduk dan tanya dari hati ke hati. Nah, jemput renungkan.
Cerita Pasal Jaga Anak Cucu
“NAK, AMBIL LAH MAID, MAK DAH TAK LARAT JAGA ANAK KAMU…”
Duduk berbual dengan ibu ketika pulang ke kampung, sempat ibu berkongsi luahan kenalannya yang rasa sangat penat menjaga cucu-cucunya.
Yang sebaknya, anak-anak ibu yang malang itu, suami isteri bekerjaya hebat, ada rumah sendiri, berkereta import. Namun, anak-anak selang setahun berderet diletakkan di rumah nenek yang sudah sakit lutut untuk menjaga keletah mereka.
Selama ini memang mereka duduk serumah dengan si ibu. Tambahan pula setelah bapa meninggal dunia.
Niatnya memang baik, untuk temankan ibu. Namun, pelaksanaannya lebih kepada mem’bibik’kan ibu.
Setelah bertahun duduk bersama, si ibu lega apabila anak berkata sudah membeli rumah sendiri. Fikirnya anak akan membawa semua anak-anak ikut sekali. Rupanya, hanya yang kecil sahaja dibawa bersama, itupun kerana malam menyusu badan. Yang lain akan ditinggalkan sepenuhnya dalam jagaan nenek.
Tambah berat hati si ibu, apabila dikhabarkan tahun depan akan bertambah lagi cucu yang bakal dijaganya.
Allahuakbar.. hingga akhirnya tercetuslah dari mulut si ibu;
“Nak, carilah maid. Mak dah tak larat nak jaga anak kamu.”
Ini bukan kali pertama saya dengar kisah begini. Lebih dari tiga orang kaum ibu bercerita dan meluahkan perasaan mereka ‘terpaksa’ menjaga cucu-cucu kerana ibubapa kandung terlalu lepas tangan.
Anak-anak buat drama, menakutkan ibu mereka bagaimana sekiranya pengasuh dera cucu mereka. Kemudian acah-acah tak nak balik kampung kerana boikot tindakan si ibu yang sudah ‘surrender’ menjadi pengasuh cucu. Akhirnya, si ibu mengalah jua akhirnya, kerana kasih diri sendiri terkorban.
Buat Mak Ayah Macam Pengasuh
Ada pula yang duduk bersama ibubapa dan menjadikan ibubapa sebagai pengasuh anak-anak tanpa bayaran, malah kadang duit pampers dan susu anak-anak pun atuk nenek yang keluar belanja.
Bila ibubapa ‘sound’ agar jangan beranak lagi, sesetengah anak ni pergi ke media sosial dan ‘membawang’ tentang ibubapa. Katanya apa hak ibubapa nak larang dia suami isteri beranak, seolah tidak sedar diri bahawa hidup dan anak-anak boleh kata ditanggung oleh ibubapa.
Kemudian kita mengeluh kerana keberkatan hidup seakan menjauh benar.Sesetengah ibubapa yang sudah tua dan kesihatan tak berapa baik, mereka cepat serabut bila dengar suara budak-budak menangis, menjerit, bergaduh. Bayangkanlah mereka terpaksa hadap semua ini setiap hari tanpa rela.
Sesekali pulang ke kampung itu tak apalah. Bukannya lepas tangan terus. Anak-anak itu tanggungjawab kita, bukan sekadar beranak semata, yang lain-lain serahkan kepada atuk nenek. Bukan semudah itu. Kita yang kena tanggung di dunia dan jawab di akhirat kelak.
Muhasabah saya sebagai anak juga.
Darjat ibu bapa pada kita anak-anak sangatlah tinggi. Doa ibu Allah angkat tanpa hijab. Jika kita melukakan hati ibu, jangan tertanya mengapa hidup rasa serabut.
Jangan sesekali lupa, kita hidup untuk akhirat juga. Fikirkanlah apa nasib kita di akhirat bila hidup di dunia selalu menyusahkan ibubapa?
Kena Salah Seorang Tegur
Adik beradik yang sayangkan abang/kakak/adik yang membibikkan ibu bapa, tegurlah abang/kakak/adik itu.
Buat semua suami isteri yang bercadang nak menambah anak, fikirkanlah semua hal bersalin, berpantang, susu anak, pengasuh semua itu terlebih dahulu. Jangan dah bersalin baru hendak fikir, oh rupanya kami tak mampu nak jaga anak ini. Lalu lepaskan amanah berat itu buat ibubapa yang sudah tua.
Astaghfirullah.
Rasulullah SAW dalam satu hadis bersabda, antara tiga orang yang celaka ialah orang yang masih ada ibubapa namun masih tak dapat masuk syurga, kerana tak berkhidmat kepada mereka.
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibubapa”.(An-Nisaa 4:36)
Ingat wahai anak-anak.
Ibu bapa adalah harta tak ternilai. Mereka jalan kita ke syurga. Doa mereka doa yang makbul. Maka, perlakukanlah mereka dengan sebaiknya jika mahu selamat dunia akhirat. InsyaAllah.
Muhasabah saya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI