Realiti kehidupan mak ayah hari ini, nak sangat anak soleh dan berjaya tetapi hidupnya cukup sibuk dengan gajet. Lagi teruk, demi diamkan anak rela sumbat gajet walau hakikatnya itu akan mendatangkan kesan negatif pada anak.
Allahurabbi… janganlah pandang remeh soal mendidik anak soleh, tak susah pun tapi kalau ini sikapnya memang robohlah tiang kasih sayang dalam rumah tangga. Untuk jentik sedikit kesedaran dalam diri mak ayah, jemput baca perkonsgian Ahmad Hisyam Sabrani ini…
Kau mengharapkan anak-anak besar esok jadi anak soleh, huffaz quran, orang berjaya, taat mak bapak., pemimpin negara… Tapi hari-hari dalam hidup kau mengadap handphone lebih lama daripada masa kau mengadap anak-anak. Kau senyum depan gajet lebih banyak daripada kau senyum depan anak.
Pergi kedai makan sama-sama dengan anak, tapi kau mengadap Telegram sepanjang waktu. Anak yang duduk berhadapan dengan kau terpinga-pinga tak tau nak buat apa sementara tunggu makanan yang dipesan sampai. Kalau dia meragam sikit, kau jerkah dia depan orang ramai.
Ads
Anak kau demam, kau bawa pergi klinik. Sementara tunggu no.giliran naik, kau layan Insta sampai terabai anak yang sedang menahan sakit. Terkapai-kapai anak tu takda kawan nak bersembang. Paling kuat pun kau bagi dia tengok Youtube atau main game dalam handphone. Janji kau tak terganggu.
Hari sukan sekolah, anak kau semangat berlari, melompat, bersaing dengan kawan-kawan. Dapat pingat dan piala nak tunjuk kat mak ayah dia. Tapi anak tengah berpanas, berentap di padang, kau berteduh bawah khemah layan Whatsapp sambil tersenyum sorang-sorang.
Ads
Bawa anak pergi taman permainan, anak-anak kau lepaskan main sendirian. Main papan gelongsor, jongkang-jongket, buaian… Kau di mana? Duduk atas bangku sambil kemas kini status Facebook, “Petang ni seronok bawa anak-anak bermain di taman mainan” dan tunggu komen rakan-rakan. Anak-anak menunggu kau turut serta, tapi sayangnya hajat mereka tak kesampaian.
Kau letakkan harapan pada masa depan anak kau setinggi gunung, nak dia jadi anak soleh, insan berjaya dunia akhirat, tapi nilai gajet kau letak jauh lebih tinggi. Komunikasi dengan anakpun melalui “perantaraan” Youtube dan Ipad. Kalau takda gajet, kau pun buntu macam mana nak melayan karenah anak dan berkomunikasi.
Ads
Hakikat yang pahit, tapi senario harian yang boleh diperhatikan di sekeliling kita. Sekarang anak masih kecil mungkin kau tak nampak kesannya. Tapi setelah 20 tahun akan datang baru kau nak sedar, setelah kau nampak kesannya depan mata, ketika itu nak patah balik pun dah tak dapat. Jadi sementara masih punya masa dan kesempatan, gunakan peluang sebaiknya.
Kau adalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak kau…
كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya. (HR al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz al-Bukhari)
إِنَّ اللهَ سَائِلٌ كُلَّ رَاعٍ عَمَّا اسْتَرْعَاهُ أَحَفِظَ ذَلِكَ أَمْ ضَيَّعَ؟ حَتَّى يَسْأَلَ الرَّجُلَ عَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ. Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa-apa yang dipimpinnya. Adakah ia pelihara atau ia sia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya. (HR an-Nasaa’ie dan Ibn Hibban, daripada Anas bin Malik. Ibnu Hajar mensahihkannya)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri dalam rumah tangga, apabila terlalu berkira, rumah tangga akan jadi hambar, hilang seri. Sejak sekian lama, isu tentang siapa yang sepatutnya patut membuat kerja-kerja rumah terus menjadi topik hangat.
Suami isteri masing-masing menunding jari antara satu sama lain. Si isteri menganggap kerja-kerja rumah bukan tugas hakiki seorang isteri. Si suami pula menganggap isteri yang patut membuat kerja rumah apabila si suami menyuruh isteri berbuat demikian.
Suami Isteri Bila Sudah Terlalu Berkira & Materialistik
Berikut ulusan daripada Ustaz Dr. Kamilin Jamilin yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Saya memang cukup tak setuju dengan coretan seperti dalam poster yang tersebar ini. Ia menggambarkan betapa berkiranya kita dengan pasangan dalam rumah tangga. Ia bukan soal tugas siapa, tapi soal persefahaman dan keharmonian melalui interaksi yang baik di antara suami isteri.
Percayalah, kalau masing-masing mula untuk berkira dan bersikap materialistik, rumah tangga pasti akan hilang serinya.
Beginilah saya jelaskan:
1. Asas bagi sebuah rumah tangga sebagaimana yang digariskan oleh Allah ialah:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
“Bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik” [al-Nisa’].
“Dan isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)” [al-Baqarah].
2. Kedua ayat di atas ialah asas bagi segala jenis interaksi dalam menunaikan suatu amalan dalam rumah tangga, iaitu suami isteri perlu saling melakukan kebaikan YANG TERBAIK dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing terhadap pasangannya selagi tidak melanggar batasan syarak sama ada dari sudut perbelanjaan, interaksi, kegembiraan, kerja rumah dan sebagainya.
Pasangan yang bersedia untuk mendirikan rumah tangga seharusnya sudah memahami pelbagai komitmen yang bakal ditempuhinya baik untuk diri, pasangan, anak-anak, keluarga dan pelbagai lagi. Bukan sekadar ikatan yang menghalalkan antara dua insan atau hanya untuk berjimba sakan.
4. Asas kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga ialah PERSEFAHAMAN
Maka tugasan rumah tangga baik sudut luaran dan dalaman perlu kepada komunikasi, persefahaman dan toleransi yang tinggi antara pasangan.
5. Tiada nas yang mewajibkan isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak, mencuci baju dan seumpamanya, malah Islam tidak mensyariatkan perkahwinan buat lelaki untuk menjadikan isterinya seperti khadam/pembantu rumah, bahkan sebagai tulang rusuk yang perlu didampingi.
Kredit foto: Pexels
Namun ada ketikanya ia menjadi tuntutan atau kewajipan dalam beberapa situasi berikut:
a) Jika wujud perjanjian antara pasangan untuk membahagikan tugasan masing-masing, contoh: Suami berjanji akan bekerja sebaiknya untuk menjana ekonomi rumah tangga, manakala isteri pula menjadi suri rumah dan berjanji akan menguruskan tugasan dalaman rumah tangga.
b) Jika suami sudah memikul tugasan luaran seperti mencari nafkah, menyediakan keperluan rumah, makanan, menguruskan kenderaan dan seumpamanya, manakala isteri pula sebagai suri rumah. Maka dalam situasi ini wajar untuk isteri membantu menguruskan tugasan dalaman rumah tangga.
Hal ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang mafhumnya Fatimah RA mengadu kepada Rasulullah SAW akan bebanan menguruskan rumah tangga yang dialaminya, lalu Rasulullah menasihatinya supaya bersabar kerana Ali RA suaminya gigih dan sibuk dengan tanggungjawab urusan luaran rumah tangga.
c) Jika suami mengarahkan isterinya seperti memintanya secara khusus untuk membuat kopi untuknya atau masakkan sesuatu misalnya atau apa-apa sahaja yang makruf, itu merupakan hak suami yang perlu ditunai oleh isteri.
Sama halnya seperti seorang anak lelaki itu perlu taat pada kedua ibu bapanya dalam hal yang tidak melanggar syarak baik dalam keadaan yang senang buatnya atau tidak.
Dalam sebuah hadis: “Jika seorang wanita itu (mampu menjaga) solat 5 waktunya, berpuasa pada bulannya, menjaga kemaluan (maruah)nya, dan taat pada suaminya, nescaya akan masuk syurga dari mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya” [riwayat Ahmad & Ibn Hibban].
d) Jika suaminya seorang yang sangat tidak mahir atau tidak gemar dan tegar tidak mahu melakukan kerja-kerja rumah atau membantu isteri melakukannya. Maka dalam hal ini, jika isteri bertoleransi untuk melakukannya dengan penuh kebijaksanaan, ia akan dianggap satu amalan dan khidmat besar sang isteri kepada keluarganya.
Rumah Tangga Jadi Hambar
Seorang isteri yang berhadapan dengan suami yang “liat” membantu kerja-kerja rumah tetap perlu menjaga adab interaksi dengan suami tanpa perlu menyindir, memberontak dan sebagainya. Bukan mudah suatu pahala “birr (bakti)” itu dicapai lagi-lagi ketika ia menyelisihi keinginan diri.
6. Suami yang bijak dan baik ialah suami yang sangat perihatin terhadap isterinya. Terutama dalam suasana zaman kini di mana para wanita dan isteri ramai yang berkerja membantu ekonomi keluarga. Maka apa salahnya urusan dalaman rumah tangga juga dikongsi bersama?
Cukuplah Rasulullah SAW sebagai teladan kita. Pernah Aisyah RA ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah di rumah baginda? Jawab Aisyah RA: “Baginda sering berkhidmat untuk keluarganya, lalu jika tiba waktu solat, baginda akan keluar bersolat”.
Dalam riwayat Ahmad mafhumnya: “Baginda juga manusia, yang membasuh bajunya, memerah susu dari kambingnya”.
Dalam riwayat lain: “Baginda juga menjahit bajunya, menguruskan kasutnya, dan melakukan kerja-kerja lelaki di rumah mereka.”
7. Sebahagian ulama juga mengatakan, perlu untuk diperhalusi ‘urf (tradisi) masyarakat setempat, dan keluarga isteri itu sendiri. Jika isteri pilihannya itu sememangnya dari kecil jenis goyang kaki bak puteri yang dikhidmat orang gaji, maka jika mampu, suaminya perlu menyediakan orang gaji juga untuk membantu isteri dan rumah tangganya. Jika tidak, masakan para sahabat RA dahulu mempunyai “jariyah-jariyah” di rumah mereka? Sudah pasti untuk berkhidmat kepada isteri dan rumah tangga mereka.
Jangan lupa para isteri dan wanita itu wasiat Rasulullah SAW buat kaum lelaki dan suami untuk dipelihara sebaik-baiknya.
استوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع…
“Berpesan-pesanlah untuk berbuak baik kepada wanita, kerana mereka itu diciptakan daripada tulang rusuk..”.
8. Meskipun demikian, biasanya seorang isteri yang pandai menguruskan rumah tangganya dan menyediakan makanan pada suaminya dengan air tangannya sendiri lebih disayangi suami dan membantu mengukuhkan “bonding” suami isteri.
Anak lelaki yang berbakti kepada ibu bapanya insyaAllah akan mendapat isteri yang berbakti kepadanya. Manakala isteri yang berbakti kepada suaminya pula insya-Allah akan mendapat anak-anak yang berbakti kepada mereka jua. Begitulah biasanya kitaran alam ini.
Mak ayah kita dulu selalu beri pesanan pada anak-anaknya. Jika mahu berjalan ke mana-mana, balik rumah sebelum maghrib.
Anak-anak patuh mengikut. Peredaran zaman menenggelamkan pesanan sebegini. Malah, menjadi alah bisa tegal biasa pula segelintir anak-anak keluar baik waktu maghrib mahupun selepas maghrib.
Ini pesanan Ustazah Asma’ Harun tentang kenapa disarankan sebelum maghrib pastikan dah balik rumah.
Balik Rumah Sebelum Maghrib
“Sebelum maghrib pastikan dah balik rumah”.
Zaman dahulu, ibu ayah kita biasa pesan seperti ini. Jangan balik lewat maghrib. Apabila maghrib pastikan sudah balik dan mandi, pastikan tutup pintu dan tingkap.
Sebenarnya ungkapan mereka adalah berasas di dalam agama kita. Daripada Jabir r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Daripada hadis ini, ada 3 pesanan yang Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada kita:
1. Tahanlah anak-anak ketika maghrib daripada berada di luar rumah. 2. Tutuplah pintu-pintu rumah. 3. Sebutlah nama Allah.
Subhanallah. Bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada sebab dan alasannya.
Sahabat, saya ingin kongsikan doa yang sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan. Doa ini adalah petikan daripada Surah al -Mukminun ayat 97 dan 98.
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ
Maksudnya : “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan”.
وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya : “Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”
(Surah al-Mukminun: 97-98)
Doa ini tidaklah terikat pada sesuatu masa untuk dibaca. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan.
Semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.
Semasa memandu mulut suami tak berhenti berleter. Marah-marah pemandu lain. Isteri di sebelah dah mula rasa lain. Rimas dengar suami membebel. Dia pun ada masalah sendiri. Dekat pejabat, kerja menimbun. Balik rumah uruskan hal rumah dan anak-anak.
Isteri tahan emosi. Tak kuasa nak marah-marah. Tiba-tiba anak yang sihat, suhu badan naik mendadak. Kena bawa pergi klinik, duit ubat bukan kecik-kecik anak. Mahu terbang dekat 70 ke 80 ringgit. Allah.. hujung bulan duit pula makin menyusut.
Stressnya hadapi ujian hidup berumah tangga. Sudahnya konflik pasangan jadi makin memuncak. Keluarga mentua pula seakan tak memahami. Mendesak-desak agar pulang ke kampung sebab ada kenduri sebelah keluarga mereka.
Nak balik kampung juga bukan 50 ke 100 ringgit belanjanya. Kalau sorang di Utara sorang di Selatan, beratus-ratuslah duit minyak dan makan nak kena belanja. Jadi? Apa solusinya.
Sebelum itu, pasangan muda kena faham inilah antara beban dan ujian rumah tangga yang nak tak nak mak ayah kena hadapi dengan cekal dan kuat emosi.
1. Duit Akan Jadi Masalah Utama
Bila baru berumah tangga, pendapatan masih belum stabil sepenuhnya. Masa inilah tekanan kewangan untuk pasangan muda. Sebab itu kena bijak kawal perbelanjaan. Amalkan simpan 10 peratus daripada duit gaji untuk keperluan masa depan.
Jangan sentuh langsung duit 10 peratus ini. Kalau bimbang terguna, masukkan dalam akuan tanpa kad. Cara ini buatkan anda malas nak beratur panjang di kaunter. Satu lagi cara, tukarkan kepada barang kemas atau simpan emas fizikal.
Hutang memang pasangan muda tak dapat nak lari. Rumah, kereta malah gajet. Ambillah hutang ikut kemampuan. Kalau gaji suami isteri digabung baru RM5000, janganlah dibeli rumah lebih RM600K nanti bebannya makin terasa. Biar berdikit-dikit asalkan konsisten.
2. Fikirkan Upah Pengasuh
Bila ada anak, ada 2 pilihan. Sama ada nak minta isteri berhenti kerja atau hantar anak di rumah pengasuh. Jika anda mampu, benarkanlah isteri menjaga anak-anak. Tapi keperluan dapur dan duit pakai isteri jangan diabaikan.
Jika isteri masih perlu bekerja, saling bekerja samalah dalam urusan kewangan. Bahagikan siapa yang perlu membayar bil-bil tertentu. Misalnya, isteri bayar duit rumah tapi suami bayar segala macam utiliti lain. Pantang! bebankan semua bayaran hutang pada isteri.
Konon isteri bekerja, dia perlu bantu semua itu. Cop.. cop.. suami kena faham. Isteri cuma membantu, tanggungjawab masih di bawah suami. Tolong fahamkan maksud tanggungjawab suami terhadap anak isteri ya.
Jika suami mampu bayarkanlah upah pengasuh itu. Tapi isteri janganlah ambil kesempatan, biarkan suami lunaskan bayaran yang betul-betul keperluan dulu.
Emosi semasa bercinta dengan selepas menjadi pasangan suami isteri sememangnya berbeza. Apatah lagi, perasaan itu akan hadir dengan tanggungjawab.
Gagal memahami tanggungjawab dan peranan suami mahupun isteri akan menyebabkan diri dibebani dengan tekanan.
Oleh itu, berilah masa bertenang untuk suami mahupun isteri memahami sikap dan perangai pasangannya. Jangan sesekali anda berusaha untuk mengubah pasangan. Itu adalah hal yang paling tidak mereka gemari. Sebaliknya, berusahalah untuk mengubah diri anda sendiri agar mampu beradaptasi dengan sikap pasangan.
Kekok Jadi Sebahagian Dari Keluarga Mentua
Mana-mana keluarga sekalipun akan berkumpul beramai-ramai. Sama ada ketika majlis kenduri, hari raya atau sekadar majlis makan-makan santai keluarga. Bagi keluarga induk, perkumpulan sebegitu tidak berhadapan dengan masalah.
Bagaimana pula halnya penerimaan seorang menantu. Apatah lagi, menantu itu baru sahaja memasuki alam rumahtangga berasma pasangannya. Pasti dirinya gementar dan bimbang dengan penerimaan ahli keluarga terhadap dirinya.
Sebab itulah kena bertanya pada mentua. Jangan segan ambil hati mereka. Paling tidak pun perhatikanlah gaya hidup mereka. Nanti lama-lama anda akan faham rentaknya. Ingat sekali lagi, jangan cuba hendak ubah cara itu. Andalah yang kena beradaptasi.
4. Belajar Budaya Pasangan
Tiada istilah terlambat untuk memahami budaya pasangan. Cara hidup anda dan pasangan sudah tentu berbeza. Jadi, belajarlah dengan lapang dada untuk memahami perbezaan itu. Cari titik persamaan agar jurang yang jauh dapat didekatkan.
5. Rancang Strategi Elak Bergaduh]
Andai berlaku pertelingkahan dalam keluarga, jangan sesekali anda menyibuk tentangnya. Jika mahu meluahkan pandangan, luahkanlah pendapat anda dengan penuh hemah. Jadilah menantu yang sentiasa menjalin hubungan silaturahim yang erat dengan keluarga pasangan.
6. Elakkan Bergaduh Dengan Ipar Duai
Hubungan baik antara anda dan adik beradik pasangan perlu untuk anda menjadi sebahagian daripada keluarga mentua. Pertengkaran dengan adik beradik pasangan juga boleh menyebabkan hubungan anda semakin tidak tenang dan harmoni.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...