Baru-baru ini sewaktu menghadiri sebuah majlis yang menampilkan dirinya sebagai duta, Nad Zainal berdepan detik cemas apabila terpaksa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan segera.
Nad yang kini sedang sarat mengandung anak kedua, menyatakan kejadian tersebut berlaku disebabkan dirinya mengalami kekejangan pada kaki.
“OKlah, kaki saya saja cramp. Jangan risau semua. Saya dah rendam kaki. Terima kasih kakak medic yang urut kaki tadi.
“Sorry buat semua panik. Doakan baby bersabar dah tunggu due datenya,” luahnya menerusi laman Instagramnya.
Nad Zainal Dijangka Bersalin Penghujung Mac
Nad yang dijangka bersalin penghujung Mac ini menjelaskan lagi kakinya mudah mengalami kekejangan pada sebelah malam sejak hamil.
IKLAN
“Sebelum insiden naik ambulans, sebenarnya Nanad kalau malam, kaki mudah kena ‘simpul biawak’.
“Buat yang whatsapp tanya dah bersalin tu, belum. Baby OK!
“Kaki saya semalam masa sidang media dah mula kejung, itu yang duduk saja. Nasib baik ada pasukan perubatan.
“Tak sangka penutup majlis event MommyHana, kita naik ambulans,” tambahnya lagi ketika berada dalam ambulans, dia sempat berbual dan bertanyakan fungsi siren kenderaan perubatan itu.
IKLAN
“Pertama kali naik ambulans, sempat borak apa fungsi single siren dengan double siren tau. Sempat ambil ilmu ambulans,” kata Nad.
Tidak tahan menanggung derita, seorang pelajar perempuan membenarkan sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini untuk memotong lengan kirinya.
Joy Arcilla, 21, yang berasa dari Batangas Filipina mengakui tidak mampu menanggung penderitaan ketika menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi sejak lima tahun lalu susulan ketumbuhan tumor pada lengannya beberapa kali. Lengan Arcilla membengkak hingga menyebabkan otot bisep kiri kelihatan seperti watak kartun kelasi, Popeye.
Pada bulan Oktober 2012, Arcilla mula mendapati terdapat ketulan kecil pada lengannya dan menyangka ia akibat kesan gigitan nyamuk. Sehinggalah ketulan itu semakin membesar dan diagnosis mengesahkan ia merupakan Sarkoma Ewing iaitu sejenis kanser tulang atau tisu otot.
“Saya perasan ada ketulan di lengan kiri dan menyangkakan ia adalah gigitan nyamuk, jadi saya biarkan sahaja. Tetapi selepas berminggu-minggu dan berbulan-bulan ketulan tersebut tidak hilang dan a semakin membesar. Ia rasa keras namun tidak sakit”
“Sejak mendapati saya menghidapi kanser, saya takut dan menangis.Saya fikirkan mengenai masa depan dan segala-galanya. Saya berhenti belajar agar saya boleh fokus untuk mendapatkan rawatan.”jelas wanita ini.
Arcilla menghentikan rawatan setelah melakukan 5 kali pusingan kimoterapi kerana tidak tahan melakukannnya.Dirinya berasa sangat lemah dari segi fizikal, emosi dan mental kesan kimoterapi tersebut.Sekali gus menyebabkan tumor tersebut semakin besar dan datang kembali pada 2015.
Sepanjang tempoh tersebut, tumor itu kembali tumbuh biarpun gadis itu sudah menjalani beberapa siri pembedahan, mendapatkan rawatan alternatif, mengubah gaya hidup malah 17 kali telah melakukan rawatan kimoterapi.
Kali Keempat Tumor Kembali Pada 2017
Akhirnya, kali keempat tumor tersebut tumbuh kembali pada 2017 dan semakin agresif. Tidak tahan menanggung derita Arcilla membuat keputusan drastik membenarkan lengan kirinya dipotong pada Disember lalu, bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk serta tumor berulang dan tumbuh kembali.
Bagi Arcilla, sumber inspirasi dia untuk kekal positif adalah melihat kanak-kanak lain di hospital yang kekal ceria bergelak ketawa dan tetap mampu tersenyum meskipun menghidapi sakit yang kronik.
Ternyata keputusan yang dilakukan oleh Arcilla merupakan keputusan yang paling tepat demi kesihatan dirinya.Semoga wanita ini terus cekal dan kuat menjadi pejuang kanser serta kekal positif dalam kehidupan.
Remaja 13 tahun ini menjadi imam solat sunat tarawih di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang. Mengimamkan puluhan jemaah yang rata-rata lebih berusia dari dirinya.
Inilah antara didikan ibu bapa yang membentuk karakter anak remaja 13 tahun bernama Muhammad Faris Farhan Mohd Jais ini.
Cara Didikan Ibu Ayah Sejak Dalam Kandungan
1. Remaja ini merupakan anak sulung kepada pasangan Mohd Fauzi Mohd Jais, 46 dan Norziyana Yahaya, 39.
2. Sejak dari dalam kandungan, Muhammad Faris sudah dibacakan ayat suci Al-Quran.
3. Ketika usianya 4 tahun, ibu dan ayah telah menghantarnya mengaji dengan mempelajari hukum tajwid.
4. Seawal usia 10 tahun, anak ini sudah menunjukkan minat dengan memasuki nasyid. Ketika usianya, 11 tahun, dia mula menyertai pertandingan tilawah peringkat sekolah.
5. Ibu dan ayahnya tak pernah memaksa anaknya. Disebabkan minat anak, mereka ambil keputusan hantar anak ke sekolah tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Hikmah Denai Alam untuk belajar dengan lebih mendalam.
6. Sebagaimana remaja lain, Muhammad Faris juga melakukan riadah dengan bermain futsal dan gemar bermain permainan di telefon bimbit.
7. Sebelum ini, Muhammad Faris menjadi bilal di masjid menggantikan datuk saudaranya. Dia juga pernah 2 kali mengimamkan solat Isyak di masjid pada tahun ini.
8. Muhammad Faris menanam cita-cita mahu menjadi imam di Masjidil Haram di Makkah.
Keputusan Pilih Imam Solat Sunat Tarawih, Remaja 13 Tahun..
√ Menurut imam di masjid yang juga mudir, Abdullah al-Hakim Zainon, Muhammad Faris merupakan pelajar pertama diberi peluang menjadi imam di masjid sejak maahad tahfiz dibuka empat bulan lalu.
√ Remaja ini cepat belajar, miliki sebutan dan kelunakan suara serta asas yang kukuh. Anak muridnya ini uga tidak gementar, gemuruh malah bacaannya begitu cemerlang.
√ Tiada masalah lantikan imam pada usia muda. Kerana syarat utama mestilah seseorang yang telah mumayyiz, mengetahui bacaan dalam solat dan mampu membacanya dengan baik.
Sumber/Foto : Harian Metro, Utusan Online
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kekurangan diri yang terdapat padanya sejak dari lahir lagi sedikitpun tidak dijadikan alasan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Meskipun keadaan fizikal yang memerlukan Samrul Anuar, 35 menggunakan kerusi roda untuk bergerak, langsung tidak membataskannya untuk mencapai kejayaan dalam bidang jualan yang baru sahaja disertainya sejak dua tahun yang lalu.
Lebih dikenali dengan nama Anuar dikalangan keluarga dan teman-teman, berasal dari Pahang dan merupakan anak pertama daripada enam orang adik-beradik ini tidak sama sekali membebankan keluarga dalam meneruskan kehidupan. Malah Anuar yang kini merupakan Pengurus Jualan bagi sebuah jenama penapis air dari Korea ini lebih suka berdikari dan tidak menyusahkan ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Saya memang dilahirkan tidak sempurna. Tapi saya tak jadikan itu semua penghalang untuk saya teruskan kehidupan. kalau ikutkan memang saya banyak kekurangan, dengan keadaan fizikal tidak normal membuatkan saya tidak dapat bersekolah. Struktur tulang yang tidak kuat membataskan pergerakan saya, kalau tersalah langkah boleh menyebabkan tulang saya patah. Jadi saya banyak belajar dengan arwah ibu saya dan adik-beradik yang lain untuk mengenal huruf dan sebagainya.
“Sepanjang usia saya, saya memang dengan keluarga sahaja di Jengka. Hanya pada tahun 2005 barulah saya keluar daripada kampung dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Itupun kerana saya ingin memajukan diri dan mula belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi, Selangor. Dua tahun saya belajar kemahiran di sana sehingga tahun 2006. Sejak itu saya mula berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai,” ujar Anuar tentang kehidupannya.
Ke bidang jualan
Sebelum memulakan karier dalam bidang jualan, Anuar pernah berkhidmat dengan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, di Pos Malaysia bahagian Pengurusan Wakaf di Putra Heights. Malah menurutnya lagi, dua minggu sebelum memulakan kerjaya sebagai ejen jualan, dia turut mendapat tawaran kerja lain. Tapi oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan, tawaran kerja tersebut terpaksa di tolak.
“Sebelum saya berhenti daripada kerja lama, dua minggu sebelum itu saya dapat tiga tawaran kerja. Dua kerja dalam bidang pengurusan yang memerlukan saya berada di pejabat dan satu dalam bahagian jualan. Tawaran kerja di pejabat membataskan pergerakan saya kerana berada di tingkat atas bangunan dan tidak mempunyai lif, jadi sukar untuk saya bergerak, maka saya terima sahaja kerja dalam bahagian jualan.
“ Selepas ditemuramah oleh bos saya, Encik Muiz, dia ada bertanya betul ke saya nak masuk dalam bidang ini? Saya jawab ya saya nak tapi saya tak berani nak target jualan yang tinggi macam orang lain. Sejujurnya pada awalnya memang saya ada terfikir, boleh ke saya nak yakinkan orang untuk dapatkan produk saya dengan keadaan saya yang berkerusi roda, nak bersaing dengan rakan lain yang sempurna.
“Saya fikir semasak-masaknya, dan saya kuatkan semangat serta mahu beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang tak pernah saya buat dalam hidup. Jadi saya teruskan dan bertekad. Dari situ saya tak pandang belakang lagi dan Alhamdullilah saya berjaya sampai ke tahap ini,”cerita Anuar tentang penglibatannya dalam bidang jualan.
Pengurus Jualan
Dua tahun dalam bidang jualan, dari seorang ejen biasa Anuar kini sudah melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus jualan untuk jenama tersebut. Malah Anuar juga mempunyai rancangan untuk mempunyai booth jualannya sendiri tidak lama lagi.
“Alhamdulilah dua tahun saya menjadi ejen, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Jualan. Dalam team, hanya saya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
“Nak bersaing dengan orang normal itu memang agak mencabar untuk saya. Jika rakan yang lain perlu berusaha untuk mencapai target yang telah ditetapkan dengan mudah, saya pula perlu berusaha dua kali ganda daripada mereka. Kalau mereka kerja enam jam, saya kena kerja 12 jam. Saya masih ingat hari pertama bertugas, 12 jam berkempen barulah saya mendapat pelanggan pertama saya. Tapi itu semua tidak buat saya putus asa, malah saya terus belajar untuk memperbaiki hasil jualan saya setiap hari. Masa saya mula-mula masuk dalam bidang ini, ketua saya Encik Muiz banyak membantu. Dialah yang ajar saya daripada tentang pengetahuan tentang dan sebagainya.
“Cabaran lain yang saya hadapi pada permulaan karier adalah tanggapan rakan-rakan sepasukan sendiri. Melihat kepada keadaan fizikal saya yang serba kekurangan membuatkan mereka mungkin tertanya-tanya dalam hati adakah orang seperti saya boleh berjaya dalam bidang jualan yang mencabar ini? Tapi bagi saya, saya juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain walaupun punya kekurangan daripada aspek fizikal khususnya. Jadi saya bersaing secara sihat.
“Usaha lebih, datang awal, dapatkan ilmu tentang produk yang saya jual. Saya belajar dan samakan diri dengan orang lain. Sebulan lebih saya ambil masa untuk belajar semua itu barulah saya rasa saya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain. Syukur usaha saya itu membuahkan hasil, dan Alhamdullilah kini saya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Anuar penuh bersemangat.
Kekurangan yang ada ditambah dengan menggunakan kerusi roda untuk bergerak tidak membataskan pergerakan Anuar dalam urusan seharian. Menurut Anuar dengan adanya perkhidmatan seperti Grab memudahkan dirinya untuk bergerak dari rumah ke destinasi yang lain.
“Bila kerja dengan Cuckoo sampai sekarang saya banyak gunakan perkhidmatan Grab untuk ke Brand Store di USJ, kadang ke ofis di Kuala Lumpur dan untuk temujanji dengan pelanggan.Memang ia sangat membantu orang seperti saya.
Sentiasa bersemangat.
Tidak menafikan ada ketikanya diri terasa kerdil apabila berada di samping individu normal yang lain, namun Anuar ada cara tersendiri untuk kembalikan semangatnya.
“Tipulah kalau saya kata tak pernah rasa rendah diri dengan keadaan saya. Tapi biasanya kalau saya rasa down, saya akan cari kawan baik saya yang juga OKU. Kami berkawan sejak belajar di ILPP, sejak itu kami menjadi kawan baik. Kepada dialah saya selalu bercerita jika punya masalah dan begitu juga sebaliknya.
“Kawan-kawan yang lain juga memang banyak membantu, terutamanya kawan-kawan dalam bidang jualan. Tapi saya punya prinsip sendiri. Selagi mampu saya akan cuba lakukan sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Kalau betul-betul memerlukan atau terbatas barulah saya minta bantuan rakan-rakan.”
Ingin terus mencipta kejayaan dalam hidupnya meskipun diri tidak sesempurna insan lain, semangat dan tekad Anuar seharusnya menjadi contoh buat OKU lain untuk meneruskan kehidupan.
“Kalau boleh saya mahu lebih berjaya dalam kehidupan walaupun fizikal saya tidak sesempurna orang lain. Itu sedikitpun tidak menghalang saya untuk berusaha seperti orang lain. Saya tengah mencari ejen baru, terutamanya dari kalangan OKU seperti saya. Saya nak buktikan bahawa orang seperti kami juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain. Paling penting rajin berusaha dan tanamkan minat dalam apa yang diceburi,”akhiri Anuar menamatkan perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kakak tak sangka ikan masin & telur goreng menu terakhir adik. Allahu sedihnya apabila mendapat perkhabaran adik kandung kesayangan pergi buat selamanya.Berita sedih itu...