Jika mak-mak mengalami masalah usus kotor yang boleh menyebabkan sembelit, kerap rasa lapar kerana ketidak seimbangan keadaan usus, mudah masuk angin, keletihan, sering sakit kepala dan sebagainya, ada baiknya cuba minum air pegaga dan daun kucai yang dikisar.

Ini kerana petua semulajadi tersebut dikatakan berkesan dalam membersihkan usus. Menurut perkongsian Puan Suzy Honey, petua ini diperolehi daripada bidan lama dan dikongsikan kepada beliau.

Berikut perkongsian tersebut;

Kebiasaan saya suka jelajah keluar masuk kampung mencari mak bidan lama. Pengalaman berjumpa dengan seorang mak bidan lama yang di panggil Tok di Kampung Minda, Hulu Dungun yang berusia lebih kurang 80an dan diberikan petua olehnya tidak saya lupakan.

Tok ini memang sudah tidak mengurut orang lagi kerana sudah tidak larat di sebabkan usianya. Secara kebetulan saya membawa adik ipar untuk diurut, disebabkan kami datang dari jauh dan kebetulan Tok kenal keluarga suami saya maka dia sudi untuk menolong urut adik ipar saya. Itupun cuma di urut di bahagian perut sahaja.

Walaupun sudah berusia cara urut dan pegangan tangan Tok masih lagi berbisa.

Sambil mengurut Tok memberitahu kepada kami kerana kebetulan adik ipar memang jenis sembelit dan ada masalah pada ususnya.

“Nanti ambik pegaga 1 genggam dan daun kucai 1 genggam. Air 1 cawan. Orang dulu tumbuk kesemua ini. Laa ni, blender ajelah. Kemudian tapis. Minum airnya beberapa hari hingga hilang rasa sakit. Ini cara nak bersihkan usus”

Kebiasaanya usus kotor boleh menyebabkan boleh jadi sembelit, kerap rasa lapar kerana ketidak seimbangan keadaan usus, mudah masuk angin, keletihan dan sering sakit kepala. Hingga kadang kala boleh menyebabkan sakit perut.

Berikut resepi yang Tok berikan :

Bahan-Bahan:

1 genggam pegaga segar
1 genggam daun kucai
1 cawan air

Cara Membuat:

1. Basuh bersih daun kucai dan pegaga, campurkan dengan 1 cawan air.

2. Kisar halus bahan-bahan tersebut.

3. Tapis airnya, kemudian minum setiap hari hingga sembuh.

Resepi ini juga sesuai untuk menjaga kesihatan usus.Menurut kajian yang dilaporkan oleh Journal of the National Cancer Institute pada tahun 2002 memang kandungan di pegaga dan daun kucai mengandungi sejenis bahan yang boleh mengelakkan terjadi cancer perut atau usus.

Rasa ramuan ini memang sedap. Jika ada kelapangan memang saya akan amalkan minuman ini.

SuzyHoney
Cegah sebelum parah dengan kaedah alami lebih baik.

Baca Di Sini: Amalkan Jus Pegaga Sekali Seminggu, Kesannya Kulit lebih Anjal, Sihat & Cantik Secara Semulajadi

MW: Semoga perkongsian petua semulajadi ini bermanfaat, terutama jika mengalami masalah berkaitan kesihatan usus. Namun demikian, petua alami ini hanya sebagai sampingan, paling utama jika sakit perlu berjumpa doktor terlebih dahulu, mengenal pasti punca untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: Suzy Honey