
Mayat wanita dalam beg disahkan sebagai Suri, percutian ke Switzerland berakhir duka. Perjalanan seorang wanita Suri Narudin yang sepatutnya berakhir gembira ke Switzerland bertukar duka apabila ditemui mati dalam beg di sebuah rumah kosong di di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau pada 18 Disember lalu.
Bermula dari perkongsian rakan karib arwah, Mac Ruhayu Mohd Nor yang mewarkan kehilangannya di media sosial pada 8 Disember 2025 kerana arwah tidak muncul di Switzerland, seterusnya membawa kepada penahanan seorang dua individu termasuk seorang darinya dikatakan sebagai teman lelakinya.
Soal siasat pihak berkuasa kepada dua suspek berikutan penemuan mayat wanita dalam beg itu akhirnya merungkai misteri indvidu yang dibunuh dan dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di sebuah rumah kosong adalah Suri Narudin.

Memetik laporan Harian Metro, polis mengesahkan mayat yang ditemui dalam beg yang ditanam dekat sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, 18 Disember lalu adalah Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperolehi dan ia sepadan dengan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Polis mengemukakan satu set cap jari untuk pemeriksaan dan perbandingan cap jari di Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem JPN.
“Ia atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata, polis turut mengesahkan bahawa laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima.
“Berdasarkan keputusan analisis DNA yang dijalankan, perbandingan profil DNA mendapati bahawa spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat.
“Iaitu sumber spesimen hubungan adik-beradik kandung, dengan kebarangkalian hubungan yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Narudin,” katanya.

Sebelum ini, keluarga Suri Narudin, 53, hanya menyedari kehilangan wanita berkenaan selepas enam hari, apabila beritanya tular di media sosial.
Anak saudaranya, Hafizah Bolhi berkata, kehilangan itu diketahui menerusi rakan mangsa yang berkongsi perkara berkenaan di Facebook (FB).
“Saya adalah ahli keluarga pertama di Kuching yang menyiarkan semula (repost) berita kehilangan Suri selepas melihat perkongsian di media sosial. Waktu itu kami sangat terkejut kerana langsung tidak menerima sebarang makluman sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, ibu saudaranya itu anak bongsu daripada enam beradik, seorang ibu tunggal, dan pernah kehilangan anak istimewanya yang meninggal dunia sekitar tahun 2017.
Keluarga dikatakan turut mengenali suspek dengan baik, malah individu itu sering pulang ke Kuching bersama Suri setiap kali musim perayaan.
“Suspek ini boleh dikatakan sangat dipercayai oleh semua ahli keluarga Suri di Kuching, sebab itu kami sangat terkejut,” katanya.
Dalam pada itu, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau balai polis berhampiran.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




