Datuk Red dan Adira pilih jawapan ‘no comment’. Isu membabitkan hubungan bekas pasangan selebriti, penyanyi Adira dan bekas suaminya Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan Datuk Red sekali lagi menjadi perhatian apabila timbul dakwaan mereka telah rujuk semula dalam tempoh idah.
Terbaru kecoh di media sosial mengenai dakwaan bahawa Datu Red telah memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat dua hari lalu, dengan tarikh sebutan kes dikatakan pada 20 Januari 2026.
Bagaimanapun Datuk Red menafikan mengetahui sebarang perkara berkaitan dakwaan tersebut.
Datuk Red & Adira Pilih ‘No Comment’
Datuk Red lebih selesa memilih untuk tidak mengulas lanjut dan menyerahkan segala-galanya kepada proses yang sewajarnya.
Ads
“Wallahualam, saya tidak tahu. Buat masa ini memang tiada komen,” komennya seperti mana dipetik menerusi Kosmo Online.
Malah diaju tentang tarikh sebutan pengesahan rujuk yang didakwa dijadualkan pada 20 Januari tahun hadapan, Datuk Red tetap dengan pendirian untuk mengunci mulut.
Ads
“Kalau jumpa nanti untuk sahkan, barulah betul. Sekarang ini belum ada apa-apa,” sambungnya.
Adira Enggan Berikan Sebarang Kenyataan
Sementara itu, Adira turut memilih pendekatan sama apabila enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu tersebut.
Ads
“Mengenai hal ini, saya tiada komen. Saya tidak mahu mengulas apa-apa,” ungkap Adira.
Selepas 11 tahun menyandang status ibu tunggal, primadona Erra Fazira akhirnya memilih untuk kembali melangkah ke alam perkahwinan. Namun keputusan itu, menurut Erra, bukan dibuat kerana kesunyian atau keperluan untuk bergantung pada sesiapa, sebaliknya kerana Allah.
“Saya berkahwin kerana Allah. Bukan sebab nak ada orang jaga,” ujar Erra Fazira ketika ditanya mengenai keputusannya menamatkan zaman janda dan membina rumah tangga buat kali ketiga.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, sebagai seorang ibu tunggal, persoalan tentang kesediaan diri dan ketepatan keputusan itu sering menghantui fikirannya. Malah, dia mengakui memahami sepenuhnya perasaan takut dan serik yang dialami ramai wanita senasib dengannya.
“Saya faham kenapa ibu-ibu tunggal di luar sana rasa takut untuk berkahwin lagi. Sejujurnya saya sendiri banyak kali bertanya kepada diri sama ada saya sudah bersedia,”ujarnya jujur.
Tidak menafikan wujud sisa trauma daripada pengalaman lalu, Erra mengakui perasaannya bercampur-baur.
“Nak mengaku saya ada trauma atau fobia, mungkin 40 peratus saya mengaku. Sebab sebelum menerima lamaran ini, saya fikir banyak kali. Sehingga ke saat akhir pun saya masih bertanya kepada orang sekeliling, betul ke aku nak kahwin ni. Beberapa minit sebelum akad pun saya masih bertanya,” luahnya.
Namun akhirnya, Erra memilih untuk berserah dan meluruskan niat. “Ini semua aturan Allah. Saya pasang niat yang baik—Ya Allah, aku nak berkahwin kerana-Mu. Saya rasa kalau kita jaga niat, Insya-Allah. Bukan niat berkahwin sebab nak ada orang jaga. Itu semua belum tentu,” katanya penuh makna.
Apabila ditanya tentang perasaannya menerima doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk rakan selebriti, Erra tidak dapat menahan sebak. Baginya, kasih sayang yang diterima itu sangat besar ertinya.
“Bila bercakap tentang perkara ini saja saya rasa sedih. Saya bersyukur sebab saya menerima begitu banyak kasih sayang dan doa. Walaupun saya datang daripada keluarga yang kecil, saya rasa hidup saya besar dengan kasih sayang semua orang. Saya bukan manusia yang sempurna,” ujarnya dengan suara bergetar.
Terdahulu, Erra Fazira sah bergelar isteri kepada usahawan, Ezwan Zain, 44, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang pada pukul 9.19 pagi tadi.
Lebih istimewa, Erra menerima kejutan mas kahwin berupa 24 keping dinar emas yang disusun indah dalam bentuk bunga emas, simbol cinta, penghargaan dan permulaan baharu yang penuh harapan.
Seorang lelaki tidak menyangka mesej dihantar isterinya mengenai kucing kesayangan mereka merupakan mesej terakhir daripada wanita itu sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Pengawal keselamatan, Shahrin Not, 50, berkata isterinya, Norehan Abdul Ghani, 50, memaklumkan mengenai haiwan peliharaan mereka itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga kira-kira jam 4 pagi sebelum menaiki van untuk ke tempat kerja.
Dia yang tinggal di Kampung Masjid, Teluk Bahang berkata arwah langsung tidak menunjukkan perubahan sikap dan menjalankan tanggungjawab rumah tangga seperti biasa.
“Ketika saya mendapat panggilan daripada rakan-rakan anak memberitahu isteri terlibat kemalangan, saya ingat kemalangan biasa sahaja.
“Namun selepas mendapat tahu isteri telah meninggal dunia, lembik lutut, rasa tak boleh berdiri. Seperti tidak percaya isteri sudah tiada kerana dia sihat, tak ada sakit apa-apa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, Norehan maut di lokasi kejadian manakala tujuh lagi cedera parah selepas van kilang yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini. Kes kemalangan van kilang itu mengejutkan penduduk setempat kerana ia melibatkan ramai pekerja yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Arwah meninggalkan tiga orang anak iaitu Siti Shahida Shahrin, 25; Muhammad Shahidan Shahrin, 23; dan Siti Shahidani Shahrin, 21.
Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam wanita yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Baru. Kesemua yang terlibat berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun.
Bercerita lanjut, Shahrin yang telah berkahwin dengan arwah isterinya selama 26 tahun berkata dia berasa ralat apabila tidak dapat tidur bersama arwah isterinya kerana tertidur di sofa di ruang tamu.
“Nak jadi cerita, semalam saya tak berapa boleh tidur jadi saya baring di sofa tetapi akhirnya saya tertidur juga. Apabila saya terjaga kira-kira 3.30 pagi, saya nampak arwah dah siap-siap nak pergi kerja.
“Saya tanya dia kenapa nak pergi kerja kerana pada mulanya arwah kata nak ambil cuti pada Isnin dan Selasa. Tetapi arwah kata tak jadi, dia nak cuti Selasa dan Rabu. Saya pun tak fikir apa-apa lah sebab semuanya seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, isterinya bekerja di kilang berkenaan sejak 2004 dan menggunakan perkhidmatan van yang disediakan majikan untuk ke tempat kerja.
“Dulu dia naik bas tetapi apabila pekerja di kawasan Teluk Bahang dan sekitarnya berkurangan, pihak kilang menukar bas kepada van.
“Sejak itu, setiap hari dia akan naik van bersama rakan sekerja untuk ke kilang. Saya betul-betul tak sangka dia akan terkorban dalam perjalanannya untuk ke tempat kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Shahidani berkata arwah ibunya tidak menunjukkan perubahan sikap malah mereka sempat menonton televisyen bersama pada malam Ahad.
Tambahnya, dia, kakak dan abangnya tidak sempat berbual dengan ibunya pada pagi Isnin kerana arwah keluar awal untuk ke tempat kerja.
“Ibu langsung tidak menunjukkan perubahan sikap. Kami bergurau ketika menonton televisyen seperti biasa.
“Cuma ibu ada cakap esok (Selasa) nak balik kampungnya di Permatang Bogak, Butterworth. Siapa sangka ibu benar-benar akan ‘pulang’ ke kampungnya pada hari ini kerana jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya sendiri.
“Kami pun tidak pasti lagi bila akan dikebumikan, kemungkinan selepas waktu Asar,” katanya sebak.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemalangan van kilang sering mendapat perhatian kerana melibatkan pekerja yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan tersebut. Kejadian seperti ini mengingatkan masyarakat tentang kepentingan aspek keselamatan, penyelenggaraan berkala, serta pematuhan prosedur keselamatan jalan raya. Ramai majikan turut digesa memastikan kenderaan yang digunakan untuk membawa pekerja berada dalam keadaan baik dan selamat.
Tragedi ini sekali lagi menyentuh hati rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa. Isu kemalangan van kilang terus menjadi perbincangan hangat dalam usaha meningkatkan keselamatan pekerja di negara ini.
Berbelas tahun bersahabat baik, pereka fesyen tersohor Rizman Ruzaini akhirnya merealisasikan impian lama mereka iaitu menghadiahkan busana perkahwinan buat primadona tanah air, Erra Fazira.
Istimewanya, busana bernuansa biru itu bukan sekadar pakaian akad nikah, tetapi simbol persahabatan yang terjalin sekian lama, penuh hormat dan kepercayaan.
Menurut Rizman Nordin, hasrat untuk mereka busana buat Erra sudah lama tersimpan, namun hanya kini menjadi kenyataan.
“Saya mengenali Erra sejak lama. Ketika itu, dia sudah pun berumah tangga. Jadi apabila dia ingin berkahwin lagi, sudah semestinya kami mahu menghadiahkan busana perkahwinan kepadanya. Ini tanda persahabatan kami yang sudah berbelas tahun terjalin,” katanya.
Mengulas inspirasi rekaan, Rizman menjelaskan Erra mahukan sesuatu yang sederhana, baju kurung moden yang polos dan ‘simple’. Namun, sentuhan Rizman Ruzaini tetap hadir melalui sulaman manik yang halus dan kemas, menjadikan rekaan itu bersahaja tetapi tetap anggun.
“Erra sangat mudah bekerjasama. Dia terbuka dengan idea dan percaya pada hasil kerja kami. Dan Erra ini memang cantik—pakai apa pun cantik,” ujar Rizman.
Soal harga busana pula, Rizman memilih untuk berdiam diri. Bagi mereka, nilai persahabatan jauh lebih mahal daripada angka. Melihat Erra kembali melangkah ke alam perkahwinan, Rizman mengakui turut menumpang bahagia.
“Setiap kali ‘fitting’ dulu, saya selalu tanya bila Kak Erra nak kahwin. Dia pula selalu minta saya carikan calon. Bila akhirnya dia bertemu jodoh yang sesuai, saya benar-benar gembira untuknya. Alhamdulillah, semoga perkahwinan ini berkekalan hingga ke syurga,” katanya penuh makna.
Terdahulu, Erra Fazira selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Ezwan Zain, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang pada pukul 9.19 pagi tadi.