Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli ‘bawah karpet’-“Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan.” Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.
Rita Rudaini Dedah Sekolah Sorok Kes Buli ‘Bawah Karpet’-“Pelajar Senior Pukul, Ikat Pelajar Di Pokok Sampai Tak Boleh Berjalan”
Menurut Rita, insiden itu berlaku ketika anak sulungnya berada di Tingkatan Satu. Pada waktu itu, seorang pelajar junior dipanggil oleh pelajar senior dalam sesi ‘roll call’ sebelum dipukul dan diikat pada sebatang pokok sehingga tidak mampu berjalan.
“Bukan di tempat tertutup tetapi di kawasan terbuka.
“Bila ibu pelajar itu buat laporan polis, sekolah memujuk supaya menarik balik laporan dan akhirnya kes disimpan bawah karpet,” katanya dalam ruangan komen di hantaran Instagram Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi bahawa sejak awal beliau diberi amanah sebagai Pengerusi MARA, banyak maklum balas diterima daripada ibu bapa serta pelajar institusi pendidikan Mara (IPMA).
Ada pihak yang enggan mendedahkan kes buli kerana bimbang merosakkan imej sekolah dan menjejaskan peluang meraih pengiktirafan. Namun, beliau menegaskan sebarang maklumat yang sampai kepadanya pasti akan diambil tindakan tegas terhadap pihak pengurusan, termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Ads
Rita turut menambah, pelajar yang berani mengadu kepada ibu bapa apabila menjadi mangsa buli berisiko menerima layanan lebih buruk.
“Siapa mengadu pada ibu bapa kena lagi teruk, kena palau (dipulaukan) dan menjadi sasaran dengan pelajar lain, warden dan cikgu-cikgu.
“Anak saya mereka tak berani sentuh kerana mereka tahu akan masuk surat khabar,” katanya lagi.
Beliau berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma pada anaknya, sehingga menyamakan suasana di sekolah berasrama tersebut seperti penjara, walaupun ia berstatus sekolah agama. Lebih mengejutkan, Rita turut mendakwa ada guru yang bertindak kasar dengan menghantukkan kepala seorang pelajar ke papan tanda di depan mata anaknya.
Sehubungan itu, Rita menyeru ibu bapa supaya tidak takut untuk membuat laporan sekiranya anak terlibat dalam kes buli.
Ads
“Sekarang saya dedahkan, saya tahu bila saya buka mulut, pasti ada yang mengecam. Tetapi ada saya peduli? Kalau ada cerita, tolong laporkan sebelum benda jadi lagi teruk,” tegasnya.
Arwah Zara dimasukkan dalam mesin basuh hanya spekulsi, peguam keluarga minta padam video viral. Peguam yang mewakili ibu kepada remaja perempuan arwah Zara Qairina Mahathir yang ditemui meninggal di asrama sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu tampil menafikan bahawa anak guam mereka pernah mendedahkan sebarang maklumat berhubung kejadian menimpa anaknya seperti yang tular dalam media sosial sehari dua ini.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, dua orang peguam bela, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menyatakan bahawa video seorang wanita yang mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi yang tidak disahkan.
“Kami menegaskan bahawa ibu Zara tidak pernah memberi apa-apa maklumat kepada sesiapa mengenai kejadian tersebut. Maklumat yang tersebar bukan daripada pihak kami,” jelas kenyataan itu.
Bahkan jika perkara itu adalah benar, pihak mereka meminta agar wanita yang menularkan video ini menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis bagi tujuan penyiasatan.
Masa yang sama, keduanya turut menjelaskan penyebaran gambar kronologi yang menyebut Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada pukul 8.00 pagi, 16 Julai 2025 sebagai spekulasi sehaja kerana ibu Zara tidak pernah berkongsi sebarang maklumat dengan sedemikian kepada sesiapa.
“Maklumat itu adalah satu bentuk spekulasi yang memberi gambaran salah kepada orang ramai,” tambah kenyataan itu lagi.
Masa yang sama, peguam ini turut menggesa orang ramai agar tidak menularkan wajah pelajar sekolah yang didakwa terlibat dengan kes tersebut. Tindakan itu, jelasnya adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, perbuatan menyebarkan maklumat peribadi pelajar juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, khususnya Seksyen 130 yang melindungi butiran individu.
Dalam kenyataan sama, peguam mewakili keluarga Zara menyeru semua pihak yang telah berkongsi video atau gambar berkaitan agar memadam kandungan tersebut dengan segera.
“Spekulasi tidak membantu siasatan dan hanya menambah tekanan serta kesedihan kepada anak guam kami,” tegas mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat sahih berhubung kejadian turut diminta menyalurkannya terus kepada pihak polis bagi tujuan siasatan dan bukan membuat sebaran sendiri di media sosial.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Farah tawan puncak G7 & Kinabalu dengan cara unik, pilih berbaju kurung ketika hiking untuk mudah solat. Ramai yang suka mendaki dan hobi ini tidak terhad kepada lelaki semata-mata. Ramai perempuan menyertai aktiviti lasak ini dan berjaya menawan puncak gunung.
Namun berbaju kurung, pario atau jubah ketika melakukan aktiviti pendakian mungkin dianggap pelik kerana dianggap sukar melangkah ketika aktiviti pendakian dilakukan. Hal ini berbeza bagi Norfarahana Azlinda Mohd Nasran, 27 yang sudah menawan tujuh puncak gunung tertinggi di Malaysia iaitu di Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Chamah, Gunung Yong Yap dan Gunung Ulu Sepat (dikenali sebagai Puncak G7)).
Bukan itu saja, dirinya sudah berdiri megah di puncak Gunung Kinabalu dan dia melakukannya dengan cara yang cukup unik iaitu berbaju kurung, pario atau jubah dari awal perjalanan hingga menuju ke puncak.
Bercerita lebih lanjut, anak kelahiran Melaka dan membesar di Taiping ini, Norfarahana atau mesra disapa Farah, sebab utama dia memilih baju kurung yang mungkin dianggap kurang selesa bagi sesetengah pendaki lain, lebih mudah untuk bersolat di dalam perjalanan semasa pendakian.
“Ya, sebab utama saya pilih baju kurung, pario atau jubah yang longgar sebab senang nak solat. Dah tertutup semua aurat. Bila berhenti dan masuk waktu, terus solat semasa pendakian,”katanya ketika dihubungi.
Walaupun ada segelintir yang memandang pelik dan memberi komen negatif, Farah tidak kisah. Baginya, apa yang lebih utama adalah solat tetap terjaga dan setiap langkah pendakian dilakukan dengan penuh keyakinan serta prinsip.
“Saya akui ada yang pandang agak pelik. Mungkin mereka rasa lebih selesa pakai seluar hiking sama seperti lelaki. Tapi saya lebih suka berpakaian longgar begini. Lebih mudah melangkah. Biasanya kalau pendakian ambil masa 5 hari, saya akan tukar lima helai baju sampailah ke puncak.
“Sebab utama tukar baju sebab solat itulah. Pakaian pun bersih berbanding hanya pakai pakaian yang sama hingga ke puncak,”katanya menjelaskan, ada juga dirinya terserempak dengan pendaki wanita yang memakai baju kurung di atas puncak. Namun biasanya mereka menukar pakaian untuk bergambar berbanding dirinya yang sentiasa memakai baju kurung dari awal pendakian.
Mula mendaki sejak usia 16 tahun hingga kini, jelas Farah dia belum berkesempatan meneroka gunung luar dari Malaysia kerana berpendapat, gunung-gunung sedia ada dalam negara sudah cukup indah.
“Biasa saja hiking pada hujung minggu.Kami pun ada kelab, “Kopi Ais Tarik”. Sesiapa pun boleh sertai aktiviti ini. Insya Allah, boleh buat aktiviti lasak ini bersama-sama,” katanya yang bekerja di Pulau Pinang.
Ditanya dalam banyak gunung diterokainya, Farah mengakui laluan paling mencabar adalah pendakian ke Gunung Tahan. Ini kerana ia berliku dan susah namun ketika sampai ke puncak, kepuasan dirasai amat luar biasa.
Ditanya pengalaman misteri ketika pendakian, Farah tidak menafikan hal ini. Jelasnya ketika mendaki di sebuah gunung, dia berborak-borak dengan rakan hiking namun sepanjang perjalanan, rakannya hanya diam tak bercakap.
“Saya memang pelik tengok dia tak balas percakapan. Tapi fikir mungkin dia penat. Masa dah sampai ke puncak, tengah duduk berehat, saya nampak kawan baru sampai. Saya tegur dia, baru sampai ke. Dia kata ya. Aku tertinggal di belakang tadi.
“Ya Allah,memang rasa seram ya. Saya pun tak tahu dengan siapa saya berborak sepanjang perjalanan tadi dan peristiwa ini tak saya kongsikan dengan kawan sebab nanti dia takut pula dan tak nak ikut mendaki lagi,” katanya berkongsi kenangan ini.
Dalam pada itu, jelas Farah menerusi kelab Kopi Ais Tarik itu, biasanya ramai pendaki wanita yang menyertainya.
“Ada juga yang tak biasa rasa nak berpatah balik. Rasa nak turun sebab tak tahan. Tapi biasanya saya akan beri semangat dan tak akan tinggalkan mereka.Kalau ada yang nak patah balik pun biasanya saya akan turun sama kerana ia tanggungjawab saya menjaga mereka.
“Tapi syukut, belum ada yang turun semula dan kekal bersemangat hingga ke puncak,”katanya yang mengakui berbaju kurung langsung tak menghalang langkah dan pecutannya ketika pendakian.
Dalam pada itu, Farah berkata, setiap hari dirinya akan berjoging untuk mengekalkan stamina dan ia hal yang penting buat para pendaki kerana jika kurang stamina,akan bermasalah ketika pendakian ke puncak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang meruntun jiwa. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis.
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Siapa sangka, niat seorang pensyarah untuk mengadakan majlis akikah dan sambutan hari lahir cucu tidak kesampaian apabila mangsa meninggal dunia dalam kemalangan.