Kontroversi saman Rita Rudaini & YDP Muafakat MRSM Sg Besar, Dr Ashraf Wajdi panggil kedua belah pihak jernihkan keadaan.
Kontroversi membabitkan Rita Rudaini dan kepimpinan Yang Dipertua serta Naib Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar hangat apabila kedua-dua tokoh akademik ini memfailkan tindakan undang-undang terhadap pelakon ini susulan dakwaan fitnah dan notis tuntutan RM1 juta yang didakwa tidak dipatuhi.
Mohd Roslan Mohd Nor selaku plaintif pertama dan Saidah Haris @ Harith sebagai plaintif kedua memfailkan saman terhadap defendan iaitu Rita Rudaini menerusi firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates yang diwakili peguam Datuk Adnan Seman.
Menurut Adnan, saman tersebut difailkan selepas Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah yang dikongsikan di akaun Instagram, WhatsApp dan di platform media sosial lain.
Ads
“Antara label fitnah yang dipersoalkan termasuk gelaran ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu selain dakwaan plaintif-plaintif sebagai bongkak, narsisis, tidak professional, tidak layak memegang jawatan MUAFAKAT serta tuduhan salah urus wang ibu bapa.
Ads
Kontroversi itu turut menarik perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang dalam hantaran di facebooknya sebentar tadi memaklumkan awal dirinya tidak berhasrat mencampuri urusan dalaman antara ibu bapa dan kepimpinan Muafakat.
Ads
Namun jelasnya, situasi yang semakin panas dan mendapat perhatian umum masyarakat memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan persekitaran sekolah terjejas.
“Peringkat awal saya tidak mahu campur isu perbalahan antara ibu bapa pelajar MRSM. Namun atas rasa tanggungjawab, saya akan panggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan yang tidak sihat; bahkan ia menjadi tauladan yang tidak baik buat pelajar,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan MARA adalah memastikan keharmonian komuniti sekolah dipelihara dan pelajar tidak terkesan dengan pertikaian terbuka melibatkan orang dewasa.
Sesi libat urus antara pihak Muafakat MRSM Sungai Besar dan Rita Rudaini dijangka diadakan dalam masa terdekat sebagai langkah mencari penyelesaian secara berhemah dan profesional.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Walaupun kematian memisahkan, kerinduan terhadap insan tersayang yang sudah pergi tetap terubat buat sebuah keluarga apabila kubur ahli keluarga mereka berada hanya di hadapan rumah. Keistimewaan ini bukan sahaja memudahkan mereka menziarahi kubur dengan lebih kerap, tetapi juga menjadi peringatan berterusan tentang hakikat kematian dan kasih yang tidak putus. Kisah ini turut menarik perhatian ramai apabila ia dikongsikan di media sosial.
Di Beaufort, kisah menyentuh hati ini tular selepas Noorfitri Aina Mohd Zainal, 33, memuat naik gambar dirinya duduk di sisi kubur bapanya, Allahyarham Mohd Zainal Jilun, yang terletak di halaman rumah keluarga mereka di Kampung Pintas. Hantaran itu disertakan kapsyen meluahkan kerinduan terhadap arwah, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang tersentuh dengan keunikan pusara depan rumah tersebut.
“Walaupun bapa (panggilan) sudah tiada, auranya sentiasa ada dengan kami sekeluarga kerana disemadikan di situ,” katanya sambil mengenang detik-detik terakhir bersama arwah. Ramai pengguna media sosial memuji keakraban keluarga ini dan betapa indahnya apabila dapat menziarahi pusara tanpa halangan.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mempersoalkan bagaimana sebuah kubur boleh berada betul-betul di halaman rumah. Menjawab persoalan tersebut, Noorfitri Aina menjelaskan bahawa arwah bapanya meninggal dunia pada 19 November 2022 akibat serangan jantung dan dikebumikan di lokasi berkenaan mengikut permintaan terakhir arwah sebagaimana tercatat dalam wasiatnya.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, arwah bapanya sering menyuarakan keinginan tersebut semasa hayatnya. “Ketika masih ada, arwah bapa pernah beritahu kami sekeluarga yang dia mahu dikebumikan di depan rumah. Setiap kali kami berkumpul, arwah pasti ingatkan kami mengenai permintaannya itu malah tunjuk di mana dia mahu dikebumikan,” katanya.
Beliau berkata, apabila bapanya meninggal dunia, mereka sekeluarga sepakat menunaikan permintaan itu dan bersyukur kerana dapat memenuhi hajat terakhir arwah. Katanya lagi, sebelum melaksanakan wasiat tersebut, keluarga mereka mendapatkan pandangan individu yang lebih arif mengenai hukum mengebumikan jenazah di tanah milik sendiri bagi memastikan ia dibenarkan.
“Kami difahamkan ia bukan satu kesalahan dan tidak ada halangan kerana jenazah bapa dikebumikan di tanah milik keluarga. Cuma biasalah, awalnya penduduk pun terkejut kerana perkara ini tidak pernah dibuat orang di kawasan sini. Namun lama-kelamaan mereka faham,” jelasnya. Menurutnya, hal sama turut berlaku di TikTok, namun beliau memilih untuk tidak membalas komen yang berpotensi mencetuskan perdebatan.
Keunikan pusara depan rumah itu juga memberi kemudahan luar biasa buat Noorfitri Aina. Setiap kali pulang menziarahi ibunya, Norazizah Saidi, 53, dia dapat terus menziarahi kubur bapanya tanpa perlu ke tanah perkuburan. Katanya, rumahnya juga tidak jauh dari kediaman ibunya hanya sekitar 10 minit perjalanan.
“Kubur itu terletak betul-betul di halaman rumah arwah bapa. Senang untuk kami melawat, malah anak-anak serta anak saudara kami pun dapat selalu ziarah kubur datuk mereka. Secara tidak langsung, mereka jadi tidak takut untuk menziarahi kubur walaupun masih kecil,” katanya.
Bagi Noorfitri Aina, kehadiran pusara itu menjadi peringatan lembut tentang kematian yang boleh datang pada bila-bila masa. Sebagai anak, beliau sentiasa mendoakan agar roh bapanya ditempatkan dalam kalangan yang beriman. “Setiap hari, kubur itu mengingatkan kami kepada arwah, dan ia membuatkan kami lebih dekat dengan rasa syukur serta kesedaran bahawa hidup ini sementara,” ujarnya.
Julia Farhana beruntung Dr Che Hafiz sentiasa disisi. Walaupun jadual hariannya padat dengan pelbagai komitmen, pelakon dan pengacara Julia Farhana membuktikan bahawa keharmonian rumah tangga tetap menjadi keutamaan dalam hidupnya. Menggalas tanggungjawab sebagai isteri, anak seni, usahawan serta pelajar bukanlah satu tugas mudah, namun Julia percaya keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi perlu sentiasa dijaga.
Menurut Julia, dia dan suaminya, Dr Che Hafiz, sentiasa berusaha meluangkan masa bersama walau sesingkat mana pun. Baginya, masa berkualiti yang diisi dengan perbualan, sokongan dan saling memahami amat penting dalam membina keserasian hidup berdua.
“Kesibukan itu pasti, tetapi kami cuba untuk sentiasa ada antara satu sama lain. Sokongan suami memberi kekuatan kepada saya untuk terus melangkah dalam apa jua bidang yang diceburi,” ujarnya.
Sambung Julia lagi walau sesibuk mana jangan abaikan pasangan dalam hubungan suami isteri.
“Suami merupakan seorang yang sangat menghargai setiap hubungan bukan saja dengan isteri malah dengan keluarga serta kawan-kawannya. Saya sangat beruntung dengan kehadiran suami disisi. Apatah lagi saya sendiri sibuk dalam kerjaya dan juga sebagai pelajar,” luah Julia yang begitu bahagia disisi suami tercinta.
Julia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak di Dewan Kem Tentera Sungai Buloh anjuran Rejimen 502 Askar Wataniah Negeri Selangor baru-baru ini. Majlis tersebut turut disertai oleh suaminya sendiri, yang merupakan seorang doktor estetik.
Sepanjang acara berlangsung, Julia dilihat setia menemani Dr Che Hafiz, sekali gus memperlihatkan hubungan pasangan suami isteri yang saling memberi galakan dan sokongan dalam apa jua keadaan. Kehadiran mereka bukan sahaja mencuri tumpuan, malah menjadi contoh pasangan moden yang menghargai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Sambutan Hari Kanak-Kanak tersebut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghiburkan kanak-kanak serta pengunjung yang hadir. Program ini turut membuka ruang penyertaan kepada masyarakat awam, sekali gus menjadi medium yang baik untuk mengeratkan hubungan kemasyarakatan antara warga tentera dan bukan tentera.
Bagi Julia, penglibatan dalam program kemasyarakatan seperti ini memberi makna tersendiri, apatah lagi apabila dapat berkongsi masa bersama suami sambil menyumbang kepada masyarakat.
Dalam kesibukan mengejar impian dan kerjaya, Julia Farhana membuktikan bahawa wanita mampu mengimbangi pelbagai peranan dalam hidup, asalkan disertai dengan sokongan, kefahaman dan kasih sayang yang berterusan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Aifat sempat mengucap di hadapan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.”
Demikian luahan penuh sebak Ahmad Hamada Ayueman, 29, suami kepada seorang wanita penghidap kanser yang disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi selepas mengalami sesak nafas.
Menurut Ahmad Hamada, isterinya Siti Nuraifat Bueraheng, 25, yang lebih dikenali sebagai Aifat, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Isteri tercinta bidadari saya telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengampunkan dosanya, merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Mengimbau detik-detik akhir bersama arwah, Ahmad Hamada berkata, saat itu masih segar dalam ingatannya apabila isterinya tetap menghadiahkan senyuman walaupun berada dalam keadaan sangat sukar bernafas.
“Ketika saya sampai di zon merah kecemasan, dia nampak sangat letih dan nafasnya pendek-pendek. Tapi dia masih pandang saya dan senyum. Itu senyuman paling perit pernah saya lihat,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Allahyarhamah sebenarnya telah mengetahui tentang tahap penyakit yang dihidapinya dan sedar bahawa jangka hayatnya semakin singkat.
“Dia cakap perlahan, katanya doktor beritahu hidupnya tak lama. Masa itu hati saya hancur. Saya sebenarnya tahu lebih awal, tapi saya tak pernah sanggup beritahu dia,” katanya.
Ahmad Hamada berkata, dalam keadaan menahan emosi, beliau cuba menenangkan isterinya dengan mengingatkan bahawa soal hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT.
“Saya genggam tangan dia dan cakap, itu kata doktor, bukan penentuan Allah. Kita ini hamba, hidup dan mati semuanya di tangan-Nya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selepas doktor memberikan suntikan morfin bagi mengurangkan kesakitan, beliau setia duduk di sisi isterinya sambil membaca surah Yasin serta beberapa ayat al-Quran sekadar yang mampu dilafazkan ketika itu.
“Itu sahaja yang saya mampu buat ketika itu. Bukan untuk tunjuk apa-apa, cuma itulah satu-satunya harapan yang saya ada,” katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau dimaklumkan oleh doktor mengenai perkembangan terkini keadaan isterinya.
“Waktu itu saya sedar, ujian ini bukan lagi soal kuat atau tidak, tetapi sejauh mana kita benar-benar berserah kepada takdir Allah,” katanya.
Menurut Ahmad Hamada, solat jenazah arwah dijadualkan dilaksanakan selepas solat Asar hari ini di Masjid Tok Guru, Bukit Cina, Kelantan.
Terdahulu media pernah melaporkan pengorbanan Ahmad Hamada yang sanggup menjual hampir semua barangan peribadi termasuk sebuah kereta BMW demi mengumpul dana rawatan isterinya yang menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
Penderitaan arwah bermula apabila beliau mengalami pembengkakan kecil di bahagian lutut kanan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tahun 2021, setahun sebelum pasangan tersebut mendirikan rumah tangga.
Kisah Aifat menyentuh hati ramai kerana perjuangannya melawan kanser sarcoma berlangsung dalam keadaan yang sangat mencabar. Penyakit ini antara kanser tisu yang paling agresif, menyebabkan kesakitan berpanjangan dan perubahan besar kepada kualiti hidup. Dalam situasi seperti ini, sokongan keluarga memainkan peranan besar, dan bagi Aifat, suaminya menjadi sumber kekuatan sehingga ke akhir hayat.
Kanser sarcoma tahap empat selalunya memberi simptom yang semakin teruk dari semasa ke semasa, termasuk keletihan melampau, kesukaran bergerak serta sesak nafas seperti yang dialami arwah pada hari terakhirnya. Inilah antara faktor yang memerlukan rawatan kecemasan secepat mungkin.
Kisah perjuangan Ahmad Hamada menjaga isterinya pernah tular sebelum ini apabila beliau sanggup menjual kereta BMW serta barangan peribadi lain demi membiayai rawatan isterinya. Tindakannya bukan sekadar pengorbanan material, tetapi simbol kesetiaan dan cinta yang luar biasa terhadap wanita yang digelar bidadarinya.
Sepanjang rawatan, beliau sentiasa berada di sisi isterinya dan tidak pernah memberi peluang kepada Aifat merasa berjuang seorang diri. Ramai yang mengikuti perjalanan mereka menyifatkan hubungan ini sebagai contoh ketabahan dan pengorbanan dalam sebuah perkahwinan.
Kisah ini turut membuka mata masyarakat tentang bahaya kanser sarcoma yang masih kurang dikenali berbanding jenis kanser lain. Penyakit ini sering dikesan lewat kerana simptomnya mirip kecederaan biasa seperti bengkak atau sakit tisu. Kes seperti Aifat menunjukkan pentingnya pemeriksaan awal terutama selepas kecederaan yang berlarutan.
Bagi masyarakat, kisah ini menjadi peringatan bahawa sokongan emosi kepada pesakit kanser sangat penting. Setiap pesakit memerlukan kekuatan mental dan rohani, selain rawatan perubatan.
Aifat meninggalkan kisah perjuangan yang penuh ketabahan serta suami yang setia sehingga ke akhir hayatnya. Bagi ramai yang mengikuti perjalanan mereka, kisah ini bukan hanya tragedi, tetapi juga cerminan cinta, iman dan redha terhadap ketentuan Allah SWT.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, serta semoga suaminya terus diberi kekuatan dalam menempuh kehidupan mendatang.
Naluri hati isteri tak pernah salah, ini kisah seorang wanita yang mendapat khabar berita suaminya pergi disebabkan kemalangan. Tiada siapa yang akan menyangka akan terima berita kehilangan insan tersayang.