“Pada awalnya berat badan saya  lebih 80kg, pada waktu itu terasa malu nak naik penimbang. Berat terkini 58kg, alhamdulillah berjaya turunkan hampir 20 kg. Paling seronok saya berjaya menukar saiz baju dari XXL ke saiz M,” begitulah kejayaan besar wanita yang bernama Farah Ramly, 34 apabila berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20kg. Apatah lagi kini Farah Ramly, 34, sudah boleh bergaya dengan busana idaman.

Masakan tidak seronok apabila suri rumah yang memiliki dua cahaya mata ini berjaya turunkan berat badan dari 78kg ke 58kg. Malah kini dengan pelbagai aktiviti kecergasan yang diamalkan wanita ini mampu menyarungkan pakaian bersaiz M.

“Masa Berat Lebih 80kg, Terasa Malu Pada Diri Sendiri Nak Naik Penimbang” – Farah Ramly
Beza berat dulu dan kini.

“Pada peringkat awal saya hanya menjaga pemakanan dengan mengawal pengambilan makanan mengikut kalori harian (diet kalori) dan juga amalan pemakanan suku suku separuh. Dalam masa sama saya cuma cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 ribu langkah setiap hari dan cuba berjogging sekurang-kurangnya dua kali seminggu sejauh dua atau tiga kilometer dalam satu larian.

“Selepas hilang hampir 10kg, ketika berat mencecah 68kg, berat mulai statik dan kadar penurunan berlaku sangat perlahan.  Ketika ini saya mula berjumpa dengan rakan-rakan yang mempunyai misi yang sama. Pada awalnya berat badan saya hampir atau lebih 80kg, pada waktu itu terasa malu nak naik penimbang. Berat terkini 58kg, alhamdulillah berjaya turunkan hampir 20 kg. Paling seronok saya berjaya menukar saiz baju dari XXL ke saiz M,” ujar Farah yang begitu teruja rahsia dia menurunkan berat badan.

“Masa Berat Lebih 80kg, Terasa Malu Pada Diri Sendiri Nak Naik Penimbang” – Farah Ramly

Kulit Jadi Gelebeh

Farah juga berkongsi kisah di mana sebelum aktif dalam kecergasan dia lebih mengamalkan penurunan berat badan melalui penjagaan makanan.

IKLAN

“Melalui pengalaman saya, penjagaan makanan sahaja memang akan menurunkan berat badan, tetapi kehilangan lemak yang banyak akan menyebabkan kulit menjadi gelebeh (flabby) di bahagian-bahagian tertentu seperti perut, paha dan lengan. Di sini amat penting untuk kita membentuk kembali bahagian-bahagian tersebut dengan rutin senaman yang betul dari jurulatih yang bertauliah.

“Salah seorang rakan mencadangkan untuk menyertai program kecergasan ‘Fit n Trim Challenge’ di bawah latihan Coach As dari Asfitt Studio. Dan mula menyertai kelas-kelas aerobik harian yang di anjurkan beliau. Pada awalnya agak kekok dan kelakar juga, kerana koordinasi kaki dan tangan yang masih belum selari. Tapi melihat rakan-rakan lain kelihatan gembira dan cergas saya nekad untuk terus menerus menghadiri kelas Coach As.  Sejak dari itu saya mula seronok kerana corak latihannya yang bersesuaian dengan jiwa saya dan memberi kesan kepada penurunan berat dan bentuk badan.

“Dari kelas-kelas itu saya mula seronok untuk terus melakukan aktiviti kecergasan kerana variasi latihannya yang pelbagai seperti aerobik,  aerodance,  aerofit, body toning dan sebagainya. Gerakannya yang pantas tetapi masih boleh di ikuti menjadikan ianya lebih seronok untuk dilakukan.

“Selain terus konsisten dengan amalan penjagaan pemakanan sebelum ini, ditambah dengan rutin senaman mingguan dan kelas intensif yang saya sertai berat semakin menurun dan bentuk badan lebih kemas serta badan lebih cergas,” ujar Farah yang turut mengadakan kelas asas pemakanan secara atas talian melalui whatsApp group bersama beberapa orang rakan lain.

IKLAN

Lakukan Secara Konsisten

Ditanya tentang teknik untuk mengajar wanita melakukan aktiviti kecergasan, Farah menerangkan segalanya boleh dilakukan secara perlahan-lahan.

“Mulakan dengan pergerakan ringkas seperti berjalan keliling rumah, lakukan banyak pergerakan. Perlahan-lahan banyakkan aktiviti berjalan di waktu pagi atau petang secara konsisten.

IKLAN

“Usaha perbanyakkan langkah dalam setiap aktiviti harian,  seperti pilih naik tangga berbanding lif,  parkir kereta lebih jauh agar boleh berjalan ke kedai. Sertai kumpulan kecergasan berhampiran lokasi anda.  Bila berada dalam kumpulan kita akan lebih bermotivasi untuk buat bersama-sama berbanding buat sendiri yang mana kita akan lebih mudah berputus asa.  Cari coach yang berhampiran supaya dapat bantu membetulkan senaman-senaman rutin yang kita lakukan,” kata Farah yang turut membantu suaminya menurunkan berat badan.

Farah juga mengakui aktiviti kecergasan ini sangat berbaloi diamalkan dan juga boleh menambah linkungan rakan-rakan dalam misi yang sama.

“Aktiviti jadi lebih menyeronokkan dan saling sokong menyokong dan memberi nasihat. Saya juga menganjurkan kelas asas pemakanan secara atas talian melalui whatsApp group bersama beberapa orang rakan lain. Kami membimbing mereka untuk mengawal kalori dan tips pemakanan seimbang serta beberapa aktiviti kecergasan ringkas yang boleh di lakukan di rumah. Selain itu kami juga merancang untuk melakukan perkhidmatan memasak, menyedia dan menghantar makanan seimbang dan sihat ke kawasan sekitar Hulu Selangor, terutamanya di Batang Kali, Rasa, Kuala Kubu Bharu dan kawasan berhampiran,” terang wanita yang bersemangat waja.

Bergilir Dengan Suami Menjaga Anak

Farah juga menerangkan dia tidak mempunyai masalah untuk menyertai aktiviti mendaki dan marathon.

“Tiada masalah kerana sukar untuk beri komitmen pada tarikh dan tempoh masa yang di jalankan, memandangkan suami bertugas pada masa yang tidak tetap dan kami menguruskan sendiri anak-anak tanpa bantuan pengasuh. Aktiviti kecergasan sekarang pun saya bergilir dengan suami untuk menjaga anak-anak. Ada masa saya yang mengikuti program suami yang membantu saya menguruskan keluarga. Dan sekarang mula berjinak-jinak untuk menyertai aktiviti Fun Run yang boleh melibatkan seluruh ahli keluarga,” kata Farah yang menasihati agar kurangkan pengambilan garam, gula dan minyak dalam pemakanan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI