Cuba belek handphone mak ayah, dalam banyak-banyak grup whatsapp mesti ada terselit satu dua grup whatsapp dengan cikgu atau sekolah anak-anak. itu medan cikgu berkongsi maklumat tentang aktiviti sekolah, pembelajaran atau hal-hal berbangkit yang cikgu risau maklumat tak sampai dekat mak ayah.
Bilangan ahli bukan sedikit, jika anak muridnya 40 orang, itulah jumlah mak ayah yang ada dalam grup itu. Kadang lebih pun. Macam-macam kisah boleh jadi dalam grup whatsapp ni.
Cerita tak puas hati pasal cikgu atau sekolah pun boleh diluahkan secara terbuka dalam grup. Belum hal anak bercuti, barang anak hilang yang mak ayah mahu adukan pada guru. Dalam hal ini ada adab dan aturannya. Fahamkan perkongsian Dr Sakinah Sulong ini.
Grup WhatsApp Cikgu- Parents
(POSTING KHAS UNTUK IBUBAPA)
Pagi-pagi dah check whatsapp, setelah handphone charged semalaman. Berdesup messages, macam-macam hal dan isu ada. Kena scroll cari yang paling penting untuk dijawab. Memang trend sekarang pakai whatsapp nak komunikasi hal-hal kerja mahupun urusan famili.
Tapi I need to talk about whatsapp sekolah anak. Sesiapa yg ada anak sekolah, hatta tadika akan ada group whatsapp. Satu anak, sekurang-kurangnya satu group whatsapp. Belum campur group PIBG or ko kurikulum or group sekolah agama lagi tu.
Terfikir jugak, kalau mak saya dulu, who was a teacher dgn 14 anak, jenuh rasanya kalau whatsapp wujud zaman tu! ??????????????
Ads
Sure tak sempat nak blue tick ?
Apa yang saya nampak memang ada kebaikan ada group sebegini. Sekurang-kurangnya ibubapa dan guru boleh brkomunikasi tanpa bertemu muka. Sebarang maklumat pun boleh disampaikan dengan segera seperti jadual cuti, yuran sekolah atau sebarang pengumuman mengejut dari pihak sekolah.
Tapi,
Tapi..nampaknya ibubapa pun suka juga buat pengumuman mengejut. Pagi-pagi mesti ada mesej yang inform anak tak datang sekolah. Memanglah cikgu perlu diberitahu tapi ada caranya.
Ads
“Cikgu, anak saya cuti ye hari ni.”
Aik, macam tu ke cara kita brkomunikasi? Cara kita cakap tu, macam sekolah tu kita yang punya, padahal kita sepatutnya memberitahu apa sebab anak terhalang ke sekolah. Sakitkah? Demam ke? Or ibubapa yang ada hal? Cuti anak ni bukan kita yang suka-suka create sendiri.
Kalau segan di group, boleh pm cikgu.
Kalau petang-petang pulak, ada ibubapa yang tak sabar-sabar mengadu “cikgu, songkok Ali asyik hilanglah. Cikgu tolong cari ye”
Ads
“Cikgu, kenapa barang alat tulis anak saya asyik hilang je, cikgu tolong pantau” Dan seribu macam isu yang tidak urgent.
Sedangkan guru pun penat mengajar belum habis. Mereka pun ada keluarga yang perlu diberi perhatian selepas waktu sekolah. Ada cikgu pernah mengadu, tudung di kepala belum tanggal, dah kena mnjawab isu yang ibubapa tanya di group. Kesiannya..
We as parents la kena tunjuk sifat hormat guru, pada bekas guru kita mahupun guru anak-anak kita sekarang. Biar jadi contoh untuk anak-anak. Tunjukkan cara berkomunikasi yang baik dan cara menghargai jasa cikgu. Bukan dengan memberi hadiah mahal-mahal seperti telekung Siti K (nak bagi apa salahnya) cukuplah bagi cekodok yang kita masakkan atau anak kita tolong bawa buku ke bilik guru. Sure cikgu pun sayang, barulah ilmu tu dapat keberkatan! ??
Kita risau anak kita tak dapat straight A, Tapi kita tak pernah check markah anak dalam beradab dengan cikgu. Kita cuma hantar anak ke sekolah untuk lahirkan ‘robot’ yang pandai tapi pincang akhlaknya.
Nak ubah generasi akan datang? Ubah lah kita, generasi sekarang
Buat mak ayah yang berhasrat untuk menghantar anak-anak berumur 12 tahun ke bawah tinggal di asrama, sewajarnya pertimbangkanlah sebaik-baiknya keputusan tersebut. Tak kiralah atas apa juga pendirian yang dirasakan betul.
Ini kerana anak-kanak berusia di bawah 12 tahun masih tidak sesuai untuk tinggal di asrama. Sama ada alasan untuk mengajar mereka hidup berdikari mahupun atas tujuan pendidikan. Pada usia ini anak terlalu mentah untuk menguruskan diri sendiri dan tempat paling sesuai untuk mereka adalah di rumah bersama keluarga dengan bimbingan ibu bapa sepanjang masa.
Perlu Sentuhan Kasih Sayang Mak Ayah
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata pada usia ini kanak-kanak memerlukan sentuhan kasih sayang ibu bapa bagi membolehkan proses tumbesarannya seimbang, terutama dari segi emosi dan pemakanan.
Beliau berkata, anak perlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang sebagai sokongan untuk membesar dengan sempurna.
Katanya, selepas mencecah usia 12 tahun ibu bapa perlu menilai semula tumbesaran fizikal dan emosi anak, mereka perlu rasional membuat keputusan sama ada membenarkan anak tinggal di asrama atau sebaliknya.
“Usia tujuh hingga 12 tahun adalah fasa usia kanak-kanak melalui proses pembesaran yang kritikal. Mereka mudah dipengaruhi rakan sebaya sekiranya ditempatkan di asrama tanpa bimbingan ibu bapa.
“Hubungan dan kasih sayang bermula dari rumah membantu mematangkan fikiran mereka.
“Berbekalkan bimbingan dari rumah, apabila keluar nanti, anak dapat menilai perkara baik dan buruk,” katanya mengulas isu kanak-kanak tujuh tahun maut akibat didera pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Kematian Pelajar Tahfiz
Kematian pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, baru-baru ini dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan. Mangsa yang juga pelajar paling muda dan bersikap manja dengan pasangan suami isteri yang juga pentadbir pusat terbabit, dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain.
Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul. Susulan itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.
Rumah Sebaik-Baik Sekolah
Noor Aziah berkata, ketika ini ramai ibu bapa cenderung menghantar anak ke pusat tahfiz dengan harapan anak mendapat pendidikan agama sempurna.
Katanya, pada masa sama, mereka lupa kerana rumah adalah sebaik-baik sekolah dan ibu bapa sepatutnya bertindak sebagai guru agama dalam membentuk rohani dan jasmani anak untuk menjadi insan sempurna.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Renung-renungkanlah kembali, tujuan sebenar dan kesannya jika menghantar anak-anak seawal usia berjauhan dengan keluarga dan tinggal di asrama. Benar, sesungguhnya sebaik-baik ‘sekolah’ adalah didikan yang bermula di rumah sendiri.
Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Memang ada benarnya ucapan ‘I Love U’ walaupun ringkas namun ia cukup bermakna dan beri makna besar dalam perhubungan suami isteri. Ia menyemai rasa cinta, rasa dihargai dan disayangi sepenuh hati. Namun sebenarnya, ia juga adalah salah satu cara komunikasi dengan pasangan.
Jemput baca perkongsian Cikgu Muhammad Yusof ini sebagai panduan kita dalam melayari rumahtangga.
Lama aku tak menulis kat FB. Entah ada orang baca tak agaknya cerita aku ni.
Hari tu aku ada singgah solat Zuhur kat sebuah masjid. Abis ambil wuduk aku tengok ada sorang mat bangla tengah sembahyang. Muda lagi sembahyang siap pakai key ikat kat kepala. Aku pun takbir dan dia pun jadi imam aku tapi itulah dia sembahyang jenis laju sikit. Mujur dia dah tahiyat akhir dah.
Lepas habis sembahyang aku tengok dia tengah duduk kat kerusi yang ada kat tepi masjid. Depan dia ada sebuah basikal. Atas basikal tu ada mesin rumput. ‘Oh, keje mesin rumput rupanya..’ aku kata dalam hati.
Aku pun dok sebelah sebelah dia nak pakai kasut. Dan, dan time tu dia kata ‘Abang, Allah Maha kuasa, makhluk takda kuasa..’ slang bangla.
Aku angguk. Tiba-tiba telefon dia bunyi. ‘Sikijap abang, bini ada telepon..’.Aku nampak dia tak angkat pun call tu mungkin dia reject call tapi lepas tu dia call semula bini dia. Pom pang, pom pang aku dengar suara dia cakap dengan bini. Muka ada sinyum, aku nampak.
Tanam Azam Pergi Haji Dengan Isteri
Habis dia call, dia kata kat aku: ‘Bini ada telefon. Bini ada bangla. Saiya duduk Malaysia kumpul duit. Tahun depan mahu haji pirgi sama bini..’slang bangla.
Allah, Allah. Hebat betul mat bangla ni.
Walaupun kerja potong rumput je, kerja pulak naik basikal tengah-tengah panas tapi dia solat kat masjid. Lepas tu, siap tanam azam nak pergi haji dengan bini. Kita yang ada kereta selesa, motor power pun belum tentu dapat solat kat masjid kan? Simpanan kat tabung haji pun kejap masuk, kejap keluar kan? Allahu.
Pentingnya Komunikasi Dalam Perhubungan
Satu benda lagi penting yang aku belajar ialah bagaimana pentingnya KOMUNIKASI dalam perhubungan. Ya, komunikasi adalah salah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah perhubungan suami dan isteri.
Kita sebagai suami kenalah tunjukkan rasa kasih sayang kat isteri kita sebagai teman hidup yang paling dekat. Orang kata isteri ni ialah teman sehidup, teman semati.
Kadang-kadang dengan kawan punyalah kita boleh sembang rancak tapi bila bini ajak sembang, kita buat tak dengar je. Ataupun kita main henset. Kesian kat bini kan?
Cuba fikir bila agaknya last korang ucapkan kalimah cinta kat isteri? Mungkin awal-awal kawen kita rajin dok ucap tapi masuk tahun ke lima tahun ke enam ucapan ‘I Love U’ ni hilang entah kemana.
Ucapan ‘I Love U’ ni walaupun ringkas tapi amat bermakna pada isteri. Percayalah cakap aku.
So, pada suami bukan susah pun zaman lani dengan teknologi whatsup, telegram, pergi la ambil henset taip je kat isteri ‘I Love U’.
Percayalah bila bini korang baca mesej korang, mesti dia akan senyum lebar. Betul tak isteri-isteri?
p/s: Isteri-isteri tak payahlah tag suami, buang masa je tapi cubalah share, mana tau tiba-tiba suami terbaca lepas tu dan, dan je suami yang jarang ucap tu tiba-tiba terus mesej, i luv u, ana uhibbuki fillah macam time bercinta dulu. Best kan?
p/s/s: kali ke 18 saya cuba up status ni asyik tulis delete, tulis delete tapi mengambil semangat abang Jakpa On kali ke 3000 aku berjaya jugak upload status ni, Muhammad Yusof. Ok, tak lawak.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, komunikasi sangat penting dalam hubungan suami isteri. Perkataan I Love U walaupun ringkas tapi cukup bermakna, namun ramai yang payah nak ucapkan selepas berkahwin. Rajin-rajinlah ucapkan ayat-ayat cinta buat pasangan iya, semoga dapat semarakkan kembali hubungan dalam rumahtangga macam zaman bercinta dulu.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...