Isteri bukan saja uruskan hal rumahtangga, makan pakai suami dan anak-anak tapi juga sebagai menteri kewangan. Inilah yang aling penting bila urus duit diserahkan kepada isteri.
Sebagai ‘menteri kewangan’ dalam keluarga, bukan bermaksud isteri sesuka hati menggunakan duit yang diberikan oleh suami. Sebaliknya kena bijak dan pandai dalam berbelanja dan menyimpan.
Bayangkan kalau suami isteri boros dan masing-masing tidak urus kewangan keluarga dengan baik, mahunya tak sampai hujung bulan duit dah habis. Belum lagi kalau berlaku kecemasan, mana nak ‘korek’.
Jadi, sebab itulah isteri kena jadi menteri kewangan, terutamanya kalau suami jenis boros. Isteri bukan ‘ceti’ tapi rasanya kalau bab-bab duit, memang boleh dipercayai dan serahkan saja pada dia untuk uruskan.
Apa yang dikongsikan oleh Dr Azizul Azli Ahmad ini betul sangat. Tip yang boleh isteri gunakan bila dah jadi menteri kewangan untuk uruskan perbelanjaan keluarga.
1. Jadi isteri bukan hanya cantik bila ada bulu mata lentik sahaja, tetapi harus bijak urus kewangan keluarga tercinta.
2. Lepas kahwin suami harus percayakan isteri atau mohonlah jawatan ini dari suami. Jaga kewangan keluarga waktu suami mencari rezeki.
3. Tugas pertama isteri mesti tahu pendapatan bulanan pasangan kita. Jika dapat lihat slip gaji yang dia ada lebih mulia.
4. Catat semua perbelanjaan keluarga, dari yang kecil sampai yang besar. Ambil resit tiap kali berbelanja, simpan dan jaga.
IKLAN
5. Sediakan satu Perancang Kewangan Keluarga, tahun ini kita nak ada berapa simpanan?.
Jika nak ada RM4000/12 bulan . Sebulan kita kena simpan RM333, seminggu kena simpan RM 83.00 sahaja. Boleh begitu?
6. Usaha tambahkan pendapatan keluarga, banyak peluang berniaga sekarang ini. Dari jual mekup ada merkuri sampai tudung seksi warna warni! (Jangan jual perkara yang rosakkan agama dan kesihatan sesama manusia)
7. Usaha kurangkan perbelanjaan tak perlu, jangan bagi suami hisap rokok lagi. Suruhlah dia hisap sudu atau apa sahaja yang percuma sedia ada.
8. Buat garis panduan belanja, contoh tak perlu tudung mahal untuk tutup aurat. Tak pakai Duck pun tak mengapa, janji terjaga aurat kita semua.
IKLAN
9. Kenakan denda jika tak ikut panduan. Contohnya denda jika suami kahwin lagi, mintak sebuah rumah sebagai hadiah galang ganti hantaran.
Mingguan Wanita : Isteri ni lebih cakna sikit dalam urus kewangan keluarga. Semua dia buat untuk masa depan keluarga. Paling penting, suami keluar cari rezeki dan isteri yang ada pekerjaan, bolehlah bantu mana yang mampu untuk ringankan beban suami.
Isteri mana yang tak risau kalau suami berperangai ‘pelik’, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan jejaknya. Pantang bergaduh, berhari-hari malah berbulan-bulan dia ‘hilang’ dan akhirnya akan muncul secara tiba-tiba.
Terasa diri tak dihargai selayaknya sebagai seorang isteri, ditinggalkan umpama tiada perasaan. Malah lebih malang, nafkah pun tak diberikan.
Ikuti luahan rasa seorang isteri yang dijawab oleh kaunselor & penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, yang juga merupakan kolumnis ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang isteri yang telah menjalani hidup berumah tangga selama 13 tahun lamanya. Suami itu adalah pilihan hati saya sendiri.
Sempat Bermadu
Sebenarnya pada awal perkahwinan, saya merupakan isteri kedua dan selama setahun saya sempat hidup bermadu. Ketika itu suami adil bergilir-gilir di antara rumah saya dan isteri pertama. Namun jodoh suami dan isteri pertamanya tidak panjang dan mereka bercerai. Akhirnya saya satu-satunya isteri suami.
Puan, terus terang, lebih banyak air mata yang tumpah sepanjang perkahwinan kami, berbanding gelak ketawa. Namun, demi sayang, saya tetap cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini. Suami bekerja sendiri tapi saya tak pernah merungut dan sedia hidup bersederhana.
Perangai Pelik
Puan, suami saya ada satu perangai pelik, suka menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepanjang itu dia takkan akan jawab telefon atau SMS/whatsapp saya. Kami tak pernah bertengkar teruk. Bila saya menasihatinya tentang sesuatu perkara, andai dia terasa, dia secara tiba-tiba saja akan menghilangkan diri selama berhari-hari.
Keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun lalu. Puas saya fikirkan kenapa tapi saya tak dapat cari jawapannya. Paling lama, tahun lalu, selama tiga bulan dia menghilang tanpa berita. Sepanjang tempoh itu, segala perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri.
Suami juga tidak pernah ambil endah tentang hal lain sehingga abang saya meninggal dunia pun dia tidak muncul. Bila saya whatsapp, tak dibalas walau pun saya tahu dia sudah membacanya. Selang beberapa hari, hanya dibalas dengan ‘ok’. Agaknya kalau saya meninggal pun dia takkan ambil kisah.
Pejabat Agama
Akibat ditinggalkan selama tiga bulan, saya merujuk kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mereka minta saya membawa suami bersama untuk sesi kaunseling tapi sudah pasti tidak dihiraukan oleh suami. Saya juga pernah ke mahkamah syariah tapi melihatkan proses yang rumit, membuatkan saya putus harapan untuk menegakkan hak saya.
Kini, ketika saya menulis kepada puan, suami sudah sebulan menghilang. Puas saya cuba hubungi tapi tidak diendahkannya.
Saya amat tertekan dengan keadaan ini dan saya inginkan nasihat untuk saya keluar daripada masalah ini. Sabar saya sudah hilang kerana selama ini saya sudah terlalu banyak memendam rasa. Air mata menjadi teman setia. Tapi sampai bila harus saya bersabar andai dia tidak juga berubah?
Sebenarnya sikapnya yang suka menghilang itu pernah dilakukan ketika bersama isteri pertama sehingga bekas isterinya menuntut cerai secara fasakh kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah. Apakah itu juga yang patut saya lakukan?
Keluarga saya tidak tahu akan masalah saya ini kerana saya tidak suka berkongsi kisah rumah tangga hingga boleh memburukkan suami pula. Dengan ibu mentua pula, pernah saya mengadu tapi saya pula dipersalahkan kerana dia terlalu percayakan anaknya itu.
Puan, selama ini saya banyak bersabar dan tak putus-putus berdoa agar saya diberikan pertunjuk terhadap kemelut yang saya sedang alami ini. Namun saya semakin tertekan. Apakah tindakan sewajarnya yang boleh saya ambil? Bantulah berikan saya nasihat.
Isteri Tertekan, Kuala Langat Selangor.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assaalamualaikum puan yang dirahmati Allah….
Perjalanan hidup dalam alam berumah tangga pasti ada pelbagai ujian dan rintangan. Ada orang dikurniakan pasangan yang punya tanggungjawab, penyayang dan mengambil berat hal isteri dan anak-anak. Makan, pakai , tempat tinggal dan kenderaan disediakan mengikut kemampuan yang ada. Kebanyakan isteri bukan sangat mengharapkan suami menyediakan pakaian, makan, tempat tinggal dan wang yang mewah untuknya. Memadai punya tanggungjawab, ambil berat, dan menyayangi anak isteri pada setiap waktu. Ikatan kasih yang ditunjukkan akan menjadikan isteri semakin setia dan kasih.
Setia
Mengikut teori, majoriti isteri lebih setia terhadap suami berbanding suami terhadap isteri (namun ini bukan satu yang tepat seratus peratus). Hatta hingga suami sakit, isteri akan setia menjaganya hingga ke akhir hayat. Setia walaupun suami mengabaikannya dan anak-anak atau mengambil kesempatan terhadap kesenangan isteri. Asalkan dia tidak ditinggalkan, demi anak-anak khususnya.
Bukan mudah untuk menangani suami yang ada sejarah hidupnya sendiri. Sekadar nasihat dan bimbing dia belum pasti berjaya..kerana situasi itu telah sebati dalam hidupnya, malah sifat keegoan mereka yang kuat. Kehilangan suami untuk beberapa tempoh masa mesti ada sebabnya kenapa dia menghilang. Sudahkah puan mengetahui punca dia menghilang? Sebagai seorang isteri, saya rasa puan pasti tahu ke mana dan apa yang dia buat. Jika tidak diketahui, cuba cari maklumat dari rakan-rakannya, saudaranya, malah boleh juga bertanya daripada bekas isterinya. Biasanya orang yang sebegini ada aktiviti yang dia lakukan. Mungkin juga berkaitan dengan dadah (maaf), aktiviti santai bersama rakan-rakan (mungkin judi, lepak-lepak, clubbing), atau aktiviti yang tidak langsung memberi faedah kepada diri, malah yang memberi kemudharatan pada dirinya. Mungkin juga ada wanita lain.
Puan tidak perlu membuat penafian pada diri sendiri terhadap apa aktivitinya yang dibuatnya. Mungkin ia memudaratkan diri dan keluarga. Lihat pada kewangannya, adakah digunakan secara yang betul dan diberi kepada keluarga atau lebih banyak dihamburkan kepada aktiviti yang tidak berfaedah? Perceraiannya dengan isteri pertama dahulu, adakah disebabkan dia tidak mahu dimadukan atau kerana keterlibatan suami dia dengan aktiviti yang memudaratkan?
Ubat Jiwa
Dalam kemelut menghadapi ujian dalam hidup, dalam Quran surah al-Baqarah ada menyebut…hadapilah ujian hidup yang kamu hadapi dengan SABAR DAN SOLAT. Mungkin saya atau orang lain senang berkata. Tapi itulah ubat untuk merawat jiwa. Banyakkan zikir mohon pertolongan Allah. Bangun setiap malam mohon bantuan Allah. Banyakkan solat..membaca al-Quran…kerana dari sini puan akan ketemu ketenangan. Ianya memerlukan usaha yang istiqamah (berterusan) dan membina kekuatan dalam. Kata alim ulama, kekuatan dalaman diperolehi dengan membanyakkan solat malam. Ini adalah makanan rohani, inilah ubat “kuat” kepada ujian hidup….. vitamin kepada kekuatan dalaman untuk menghadapi kemelut dalam ujian hidup. Jika kuat di dalam, maka apa jua ujian dalam hidup dapat dihadapi dengan tabah.
Cuba dapatkan jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan suami daripada sumber yang saya sebutkan. Apabila puan telah mendapat jawapan kepada persolan ini, puan boleh beri kata dua kepadanya adakah dia mahu hidup dengan puan atau meneruskan aktivitinya? Beri dia pilihan. Pilihan ini diberikan setelah puan menasihatinya dan membimbingnya, malah telah sekian lama mendoakan perangainya untuk berubah. Jangan takut kepada “kehilangan”.
Mungkin pilihan yang minta dibuat ini menjadikan dia sedikit gentar. ( Namun mungkin tidak). Lihat kepada “jaraknya”. Sejauh mana tindakan puan memberi kata dua itu memberi kesan kepadanya, hanya puan yang tahu. Lagi puan tunjukkan sifat takut terhadap kehilangannya, maka selagi itu dia berani dengan aktivitinya yang suka menghilangkan diri. Jika puan sudah tidak mampu menanggung kerenahnya, maka puan boleh cuba – katakan kepadanya jika awak (abang) pergi kali ini, maka awak tidak perlu balik lagi selepas ini. Ini mungkin gertakan yang mungkin dia tidak kisah atau boleh jadi juga dia rasa terancam.
Kuat
Apa jua reaksinya puan mesti kuat. Kuat menghadapi ujian hidup. Seperti yang saya katakan, jangan takut kepada kehilangan jika itu yang ditakdirkan (itu pun setelah puan menasihati, membimbing dan bersabar dengan karenahnya). Saya pernah mempunyai klien yang mempunyai suami yang baran dan ego yang tinggi. . Alhamdulillah dengan kebijaksanaannya “mengurus keadaan”, membina kekuatan dalamannya selama beberapa tahun, bersabar dan melakukan aktivitinya sendiri dengan tidak menumpukan perasaan dan emosinya terhadap suami, kini dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan agak baik, walaupun dia masih tidak mendapat apa yang dia harapkan daripada suami.
Puan juga boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika tidak sangat menumpu kepada suami, kurangkan pergantungan emosi dan perasaan terhadap suami, pelbagaikan aktiviti yang bermakna dalam kehidupan, sibukkan diri dengan aktiviti yang diminati atau yang menambah pendapatan, seperti berniaga secara kecil-kecilan, mencari peluang berniaga atau aktiviti riadah, kemasyarakatan yang akan menjadikan puan lebih sibuk sehingga puan tidak sangat memikirkan tentang dirinya. Cuba cipta keadaan “bukan puan yang mencarinya…tetapi dia sendiri yang akan kembali ke pangkuan puan”, semuanya bergantung kepada bagaimana puan menangani kerenahnya, mengurus emosi puan, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baik aktiviti. Bergantung harap kepada Allah..bukan kepada manusia.. Insya Allah puan akan mendapat ketenangan. Wallahualam…
Ada sesetengah suami suka lebihkan aktiviti luar daripada manjakan isteri dan anak-anak di rumah. Masuk saja hujung minggu, terus plan nak keluar dengan kawan-kawan. Yang isteri? Makan hati dalam diam.
Cubalah renungkan dan bayangkan kalau berlaku situasi seperti yang saudara Firdaus Shakirin bayangkan ini, mampu tak bertahan?
Bila Suami Lebihkan Aktiviti Luar
Kita sebagai suami ni, kadang-kadang tak sedar ada perkara yang kita buat, isteri tak suka. Cuba kita tukar tempat, isteri buat apa yang selalu kita buat.
Apa jadinya…
Kita balik kerja, tengok isteri kat ruang tamu. Kita pergi dapur buka tudung, tak ada makanan, baju penuh dalam mesin basuh, rumah berselerak. Kita tanya isteri, “Awak tak buat apa-apa ke kat rumah?” Isteri jawab, “Tak sempat bang… dari tadi saya sibuk dengan PuBG ni.
YES! winner, winner chicken dinner! Bang, nanti saya habis main game, saya buat tau, tak pun abang pergi tapau luar je lah.”
Kita tengah makan, isteri cakap, “Abang makan dulu, saya nak keluar lepak jap kat kedai mamak depan tu, member ajak, jangan risau, semua gegurl. Pinggan letak dalam sinki, kejap.lagi tidur sendiri, tak payah tunggu saya balik. Mungkin saya balik lewat kot kejap lagi. Saya bawa kunci rumh siap-siap, bye bang.”
Kita tengah relax tengok tv, isteri cakap, “Abang, hujung minggu ni saya dengan kawan-kawan nak pergi memancing. Tenghari atau petang saya balik la. Abang jaga anak-anak jap time saya tak ada kat umah, nanti saya bawa balik ikan. Kita buat masak stim, tak pun 3 rasa. Air elok kalau nak mancing time-time macam ni.”
Hujung minggu, sedap-sedap tengah baca paper, isteri pakai helmet, jaket kulit, seluar jeans. Kita tanya, ” Nak ke mana tu yang..?” Isteri jawab, “Alaa abang ni, lupa lettew, kan saya dah beritahu abang, hari ni saya ikut konvoi motor geng-geng Ysuku, kami ride pergi naik Genting, turun Cameron Highlands, lalu Cherating, pastu otw balik singgah kat Hadyai. Abang ni, benci tau. Abang nak kirim apa-apa tak…?”
What? Apa kita rasa…?
Kita mesti nak dia duduk rumah dengan kita kan. Jaga anak, spend time sama-sama, buat kerja rumah sama-sama, keluar jalan sama-sama, bersiar-siar dan sebagainya.
Bukan Tak Boleh Tapi Biar Berpada
Macam itu la yang isteri rasa, bukan dia tak bagi kita main game, bukan dia tak bagi kita melepak, berkonvoi ride motor bagai tu tapi berpada-padalah. Jangan sampai kita melebihkan dan mengutamakan aktiviti luar lebih dari dia dan anak-anak. Dia pun perlukan kita di rumah walaupun tak buat apa-apa tapi cukup sekadar ADA dirumah dengannya. Janji ada… tu je.
Nak tanya pasangan pun malas? Allah… kalau terus dengan sikap ini, macam mana nak baiki hubungan suami isteri?
Ya, masih ramai yang anggap pasangan dah selesa dengan keadaan sekarang tetapi hakikatnya ada suami isteri makan hati dalam diam.
Contoh mudah ada dalam perkongsian saudara Akhtar Syamir kali ini, cubalah ajar diri tanya pasangan apa yang patut dibaiki dalam hubungan. Atau mungkin tanya dari sudut hati yang paling dalam.
Cuba Tanya Pasangan
Tanya. Terlalu penting perkataan ini. Dalam perhubungan suami isteri, jika tidak bertanya, belum tentu kita akan tahu apa yang bermain di fikiran pasangan.
Jangan cakap pasal faham memahami. Jangan cerita la dari pandangan mata kita boleh faham isteri atau suami. Tak semestinya dan tak selalunya betul.
Kena selalu bertanya. Soalan yang paling jarang kita tanya pasangan apabila sudah lebih 5 tahun berkahwin ialah apa yang pasangan kita mahukan. Keinginan dia semasa mula kahwin dengan selepas 5 tahun pastinya berbeza. Kita sendiri pun berubah selepas 5 tahun berkahwin. Sama ada ke arah lebih baik, atau ke arah lebih buruk.
Lebih baik apabila pasangan punya kemahuan semakin banyak dipenuhi. Yang buruk ialah apabila semakin hari, pasangan kita semakin memendam rasa. Ada yang tak kena. Tapi tak dapat diluahkan. Kerana pasangannya tidak pernah bertanya.
Tak Semua Mampu Meluah
Meluahkan bukan perkara yang mudah. Kita takkan tahu apa reaksi dari luahan kita itu nanti. Itu sebabnya ramai yang simpan perasaan itu dalam-dalam. Mungkin kita tak sedar, ada benda yang kita terlepas pandang sejak kita berkahwin. Mungkin juga ada benda yang kita buat semakin menjengkelkan pasangan kita.
Itulah sebabnya perlu bertanya.
“Sayang, boleh I tahu apa yang U nak?” “Sayang, ada tak benda yang U nak?”
Jika tiada jawapan atau dia mengelak, pandang tepat mata pasangan anda. Tanya dia lagi.
“Sayang, kalau ada apa-apa yang U nak, bagitau je”.
Dari sekecil-kecil permintaan, hinggalah ke sebesar-besar pendedahan. Dengar selepas bertanya. Jangan tanya dan biar ianya tergantung. Pasti ada yang boleh membuatkan perhubungan itu menjadi lebih erat.
Salah Seorang Kena Mulakan Dulu
Jangan marah jika pasangan tidak pernah bertanya, kerana tidak menjadi kesalahan jika kita yang bertanya dahulu. Ingatlah yang perhubungan ini adalah dua hala. Tak semestinya perlu gerak kedua-duanya serentak. Mungkin anda yang perlu mulakan dahulu.
Jangan pula marah bila ada benda yang perlu diubah atau diperbaiki. Nanti, soalan-soalan selepas itu pasti tidak akan dilayan lagi.
Tanyalah apa pun. Nak makan apa? Nak minum apa? Apa yang boleh anda bantu? Apa yang boleh menggembirakan pasangan? Apa yang membuatkannya tidak selesa? Apa yang disukainya. Bagaimana anda boleh memudahkan urusannya. Bagaimana anda boleh menenangkan jiwanya. Tanya sahaja. Jangan tunggu.
Jika pasangan menunggu terlalu lama, mungkin akan ada orang lain yang sudi bertanya. Berhati-hatilah.
Tidak kira dalam pergaulan seharian ataupun medium tanpa sempadan, pasti anda pernah melihat wanita bergelar isteri tanpa rasa segan silu ‘bergurau mesra’ dengan suami orang ataupun lelaki bukan mahram.