Baru celik tengok dunia, ada yang sanggup tinggalkan bayi dalam surau. Apa salah anak ini, sehingga jadi mangsa orang dewasa yang mahu selesaikan masalah hidupnya dengan cara begini.
Menurut laporan siasatan, polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah surau di Taman Daya pada tengah hari 7 Jun lalu.
Lelaki Tinggalkan Bayi Dalam Surau
Menurut polis, bayi tersebut ditemui oleh seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun ketika datang ke surau berkenaan untuk menunaikan solat sekitar jam 12 tengah hari. Saksi kemudian menghubungi pihak polis dan hospital untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati seorang individu dipercayai lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an telah meletakkan bayi tersebut di kawasan berhampiran tabung surau sebelum beredar dari lokasi.
Ads
Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kasihan Si Kecil Jadi Mangsa Orang Dewasa
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Ads
Polis kini sedang giat mengesan individu yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melalui talian hotline 07-2182323.
Dalam hal ini, polis menyeru masyarakat agar menggunakan saluran bantuan yang tersedia sekiranya berdepan masalah atau kesukaran, demi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
7 hari bertarung nyawa di ICU, bapa dua anak meninggal terlibat kemalangan kereta dipandu remaja Rohingya tiada lesen.
“Macam mana remaja Rohingya umur 15 tahun boleh bawa kereta sampai menyebabkan anak saudara saya bertarung antara hidup dan mati. Berapa ramai lagi yang perlu jadi mangsa sebelum tindakan diambil?”
7 Hari Bertarung Nyawa Di ICU
Dalam kemalangan melibatkan motorsikal dan sebuah kereta dipandu remaja 15 tahun berbangsa Rohingya yang tidak memiliki lesen kenderaan di Rusila, Terengganu, Nurul berkongsi emosi sedih malah katanya dia menahan sabar sejak dari hari pertama anak saudaranya dilanggar remaja terlibat.
Melihat penderitaan yang dilalui Allahyarham sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia akhirnya meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku.
Dalam kemalangan itu, Saifullah mengalami kecederaan yang sangat serius termasuk retakan panjang pada tempurung kepala, pendarahan teruk di beberapa bahagian otak, pendarahan dalam mata, kecederaan parah pada muka serta beberapa bahagian tulang rusuk dan kaki yang patah.
Lebih membimbangkan, sebahagian otak bahagian depan mangsa dilaporkan mengalami kerosakan serius akibat hentakan kuat.
Sepanjang menerima rawatan, Allahyarham bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.
Doktor juga tidak dapat memberikan jaminan sama ada beliau mampu meneruskan hidup atau sebaliknya berikutan kecederaan otak yang dialami.
Menurut Kak Nur, kemalangan tersebut didakwa melibatkan seorang remaja Rohingya berusia 15 tahun yang memandu tanpa lesen.
Perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan keluarga mangsa, terutama mengenai aspek penguatkuasaan dan keselamatan awam.
“Mana pihak bertanggungjawab? PDRM buat apa? Macam mana budak umur 15 tahun boleh memandu kereta?
“Kalau rakyat tempatan memandu tanpa lesen, cepat sahaja tindakan diambil. Jadi macam mana perkara seperti ini boleh berlaku sampai menyebabkan orang lain kehilangan nyawa?” katanya.
Beliau turut mendakwa kejadian membabitkan warga Rohingya bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan dan berharap tindakan lebih tegas dapat diambil bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.
“Kami cuma nak tahu, adakah anak saudara saya akan mendapat pembelaan yang sewajarnya?
“Nak tunggu berapa banyak kes lagi baru tindakan diambil? Berapa ramai lagi yang perlu jadi mangsa?” luahnya.
Selepas tujuh hari bertarung nyawa di ICU, Saifullah akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.59 pagi.
Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak yang masih kecil.
Namun apa yang lebih meruntun hati keluarga adalah keadaan anak sulung Allahyarham yang masih belum memahami bahawa bapanya sudah tiada.
Menurut ahli keluarga, kanak-kanak itu sangat rapat dengan Allahyarham dan hampir sepanjang masa bersama bapanya.
Malah pada hari kejadian, Allahyarham dikatakan sedang dalam perjalanan untuk mengambil anak sulungnya sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.
Selepas urusan pengebumian selesai, anak kecil itu dikatakan tertidur di atas riba sepupunya di hadapan kubur bapanya.
Apabila terjaga, soalan pertama yang ditanya adalah:
“Mama, papa mana?”
Menurut ahli keluarga, sehingga kini kanak-kanak itu masih mencari bapanya.
Ketika melalui rumah sewa yang pernah didiami Allahyarham, dia dikatakan berulang kali memanggil nama bapanya sambil melihat ke arah rumah tersebut.
“Papa… papa… mana papa?”
Lebih menyayat hati, ketika dibawa melihat jenazah buat kali terakhir, anak kecil itu dipercayai tidak mengenali bapanya kerana kecederaan serius yang dialami Allahyarham menyebabkan sebahagian wajahnya berubah.
Kini, di sebalik kesedihan kehilangan seorang suami, ayah dan anak, keluarga berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan keadilan dapat ditegakkan agar tragedi yang meragut nyawa Saifullah tidak berulang kepada keluarga lain. Al-Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suasana ceria sesi latihan ragbi bertukar duka apabila seorang pelajar lelaki tingkatan dua meninggal dunia selepas dilapor rebah secara tiba-tiba di sebuah sekolah menengah di Telok Mas.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang juga merupakan penghuni asrama sekolah berkenaan didapati pengsan ketika sedang duduk mendengar taklimat yang disampaikan oleh jurulatihnya sejurus sesi latihan dihentikan untuk berehat.
Ketika kejadian, arwah baharu sahaja menjalani latihan fizikal kira-kira 15 minit sebelum pihak jurulatih mengarahkan semua pemain berhenti untuk berehat.
Bagaimanapun, ketika sedang duduk berkumpul mendengar taklimat, arwah tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas yang sebelum pihak sekolah segera membawanya untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut ahli keluarga, arwah tidak pernah mengadu mengalami sebarang masalah kesihatan kronik atau menunjukkan simptom sakit sebelum menyertai latihan sukan tersebut.
Mangsa juga disifatkan sebagai seorang anak yang ceria dan tidak pernah menceritakan sebarang masalah sepanjang tempoh tinggal di asrama sekolah.
Menurut bapanya, Aswandi menyangka anaknya sekadar mengalami kecederaan ketika menjalani latihan ragbi. Baginya, kecederaan seperti patah tangan atau hentakan di kepala adalah perkara yang mungkin berlaku dalam sukan lasak itu. Namun sangkaannya meleset.
“Saya ingatkan macam biasa budak main ragbi, mungkin tangan patah atau cedera di kepala. Tapi bila cikgu cakap dia rebah dan ambulans dah datang, masa itu saya terus rasa lain macam. Tak sangka itu rupa-rupanya panggilan yang mengubah seluruh hidup kami,” luah Aswandi dengan penuh sebak.
Jasad mangsa kini ditempatkan di unit forensik untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di kampung halaman.
Pemergian remaja itu bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam buat ibu bapanya, malah turut dirasai rakan-rakan, guru serta komuniti ragbi yang mengenalinya.
Semoga roh Allahyarham Muhammad Raiyan Nufael dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sejak semalam, video memaparkan pertengkaran seorang pasangan suami isteri di sebuah restoran makanan segera di Senai, Johor menjadi perhatian ramai selepas tular di media sosial.
Rakaman berdurasi pendek itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap wanita dan anak kecil yang berada di lokasi kejadian. Malah ada yang membuat andaian bahawa pasangan tersebut sedang berdepan krisis rumah tangga.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan kini tampil memberi penjelasan mengenai insiden yang berlaku serta berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman singkat yang tidak menunjukkan keseluruhan situasi sebenar.
Menurut Mohd Hakeem Latif, 32, kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada April lalu dan bukannya insiden yang baru berlaku seperti yang disangka ramai.
Menurut Mohd Hakeem, ketika kejadian berlaku dia sedang berdepan tekanan emosi kerana perlu bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan.
Pada masa sama, isterinya pula bekerja syif pagi dan sering perlu bekerja lebih masa bagi memenuhi keperluan pekerjaan.
Situasi itu menyebabkan jadual keluarga mereka menjadi agak sukar untuk diuruskan, terutama melibatkan penjagaan anak kecil.
“Saya datang ambil dia balik kerja jam 6 petang, tetapi dia pula perlu bekerja lebih masa.
“Itulah yang menyebabkan saya marah. Tetapi perkara itu sudah lama berlaku, bukannya baru-baru ini,” katanya.
Beliau mengakui dirinya seorang yang mudah marah dan kadangkala meninggikan suara apabila berdepan tekanan.
Namun begitu, Mohd Hakeem menegaskan bahawa dia tidak pernah bertindak kasar atau menggunakan kekerasan terhadap isteri mahupun anak mereka.
“Saya memang seorang yang baran hingga meninggikan suara, tetapi saya tidak pernah naik tangan terhadap isteri ataupun anak saya,” katanya lagi.
Salah satu perkara yang turut menjadi perhatian netizen dalam video tersebut ialah tangisan anak kecil pasangan itu.
Ramai yang membuat andaian bahawa kanak-kanak berusia dua tahun itu menangis kerana dimarahi atau berasa takut dengan pertengkaran ibu bapanya.
Bagaimanapun, Mohd Hakeem menjelaskan perkara sebenar jauh berbeza daripada persepsi yang timbul.
Menurutnya, anak mereka menangis selepas terjatuh akibat tersadung ketika berjalan di kawasan koridor dan bukannya kerana dimarahi atau dikasari.
Penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham yang terus berlarutan dalam kalangan masyarakat.
Penularan video berkenaan ternyata memberi kesan besar kepada kehidupan pasangan suami isteri tersebut.
Mohd Hakeem berkata ramai individu menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan selepas rakaman itu tersebar luas.
Malah ada yang menggesa isterinya supaya memfailkan perceraian kerana menyangka berlaku masalah serius dalam rumah tangga mereka.
Namun beliau menegaskan bahawa perpisahan bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya.
“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik dan saya tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya.
Beliau turut menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran besar dalam hidupnya.
Sementara itu, Nurul Ain turut tampil menjelaskan bahawa hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan stabil.
Menurutnya, ramai netizen membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di sebalik rakaman tersebut.
“Kami baik-baik sahaja. Ramai yang membuat andaian sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.
Nurul Ain turut mendedahkan bahawa selepas suaminya bertukar pekerjaan di Kulai, urusan menjaga anak menjadi lebih teratur berbanding ketika beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini.
Malah, wanita yang kini sedang hamil tiga bulan itu mengakui lebih tenang dengan perubahan jadual kerja suaminya.
Penjelasan yang diberikan pasangan suami isteri ini wajar didengari. Namun, rakaman yang tular itu turut mengingatkan masyarakat bahawa setiap tindakan, kata-kata dan emosi yang diluahkan di hadapan pasangan serta anak-anak mempunyai kesan tersendiri.
Dalam apa jua keadaan, rasa hormat, komunikasi yang sihat dan kemampuan mengawal kemarahan kekal menjadi asas penting dalam membina keluarga yang selamat dan sejahtera.
Tester minyak wangi yang pecah secara tidak sengaja menyebabkan sepasang suami isteri terpaksa membayar lebih RM1,000 dalam satu kejadian di sebuah butik minyak wangi...