penyakit kanser

Tahukah anda bulan Februari adalah bulan kesedaran terhadap penyakit kanser. Mendengar mengenai penyakit ini sudah pasti akan membuatkan semua orang takut. Begitu juga dengan saya yang diberi tanggungjawab untuk mengelolakan ruangan Kesihatan dalam Mingguan Wanita.

Jika sebelum menjadi wartawan Mingguan Wanita, saya sebenarnya bukannya pandai bab-bab kesihatan dan perubatan ini. Namun setelah lebih sedekad mengelolakan ruangan ini boleh dikatakan saya sering jugalah bertemu doktor. Bertemu doktor bukannya untuk mendapatkan rawatan tetapi untuk menemuramah mereka.

Kembali semula kepada kesedaran terhadap penyakit kanser ini, tahukah anda apa yang perlu dilakukan bagi sebagai langkah-langkah pencegahan penyakit ini?

IKLAN

Tip Cegah Kanser

Menurut pakar terdapat beberapa cara untuk mencegah kanser. Ia termasuklah:

-Berhenti mengambil tembakau dan elak menghidu asap rokok.
-Ambil makanan sihat dan pemakanan yang seimbang.
-Hadkan pengambilan daging yang telah diproses.
-Pertimbangkan untuk cuba diet Mediterranean yang berfokus pada makanan berasaskan tumbuhan, protein tanpa lemak dan lemak menyihatkan.
-Kekalkan berat badan sihat dan kekal aktif dengan sekurang-kurangnya melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit setiap hari.
-Sentiasa berlindung daripada cahaya matahari. Elak cahaya matahari antara pukul 10.00 pagi dan 4.00 petang kerana pada waktu ini sinaran cahaya matahari berada pada tahap yang paling kuat.
-Dapatkan vaksinasi menentang jangkitan virus yang boleh membawa kepada kanser seperti hepatitis B dan HPV.
-Jangan melibatkan diri dalam tabiat berisiko tinggi. Amalkan hubungan kelamin selamat.

IKLAN

Ok, pernah dengar pasal kanser serviks? Ini adalah kanser yang menyerang serviks kaum wanita iaitu pangkal rahim.

Tetapi hampir semua kes kanser serviks adalah disebabkan oleh kuman human papilloma virus (HPV). Jangkitan HPV adalah penyakit jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku.

IKLAN

Cara Kesan Kanser Serviks

Disebabkan jangkitan HPV tiada tanda, setakat ini cara terbaik untuk mengesan kanser serviks lebih awal ialah dengan melakukan ujian Pap Smear mengikut jadual yang disarankan. Ini juga dinasihatkan oleh pakar sakit puan terkenal negara, Doktor Hamid Arshat.

Kesimpulannya, anda perlu berjumpa doktor dengan kerap bagi melakukan pemeriksaan untuk pelbagai jenis kanser. Ini boleh meningkatkan peluang untuk mengesan sebarang kanser yang tidak dijangka dengan lebih awal lagi.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI