Keprihatinan terhadap komuniti adalah asas kepada sebuah perniagaan yang mampan. Justeru, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan menjadi cerminan komitmen syarikat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Dengan pendekatan yang menyeluruh, Keyfield mengambil inisiatif untuk membantu golongan memerlukan, menyokong pembangunan pendidikan, dan memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
Setiap langkah diambil dengan penuh kesedaran bahawa keprihatinan bukan hanya sekadar sumbangan material, tetapi juga usaha menyebarkan kebahagiaan, inspirasi, dan harapan.
Nilai-Nilai Teras Jadi Panduan
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield, Datuk Darren Kee mendedahkan dia berpegang teguh dengan nilai-nilai teras iaitu ‘RICH’ untuk berjaya sebagai pemimpin dalam menjalankan perniagaan sewaan kapal syarikat Keyfield.
Menurut Darren, R bermaksud ‘Respect’ (Hormat), I untuk Intergriti, C untuk ‘Contentment’ (Bersyukur) dan H untuk ‘Humanity’ (Berperikemanusiaan).
“Contentment ini unik, agak berbeza dari korporat lain. Contentment bagi saya rasa bersyukur, berterima kasih dengan rezeki yang saya peroleh. Bukan puas, saya masih ingin teruskan perkembangkan perniagaan,” katanya.
Dari segi berperikemanusiaan, Keyfield mempunyai tagline tersendiri – Keriangan Berkongsi (Joys of Sharing). Ini merupakan salah satu ciri kemanusiaan yang amat penting dalam budaya kerja Keyfield.
Menerusi podcast Apa Cerita? yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, Darren berkata Keyfield giat dengan program CSR sejajar dengan tagline ‘Keriangan Berkongsi.’
Ads
“Kami membantu orang asli melalui sistem penapis air untuk mendapat air yang lebih bersih, membaik pulih surau dan gereja, memberi bantuan kepada anak yatim piatu dan golongan asnaf, menderma kepada persatuan basmi miskin, menolong golongan yang memerlukan pada musim perayaan. Amalan ini harus kita buat terutama apabila kita dalam keadaan lebih baik daripada orang lain.
“Dari segi kewangan, jika mampu, kita bantu. Inilah masanya kita beri balik kepada masyarakat,” ujarnya.
Kata Darren, amalan bersedekah ini sebenarnya untuk memperbaiki diri sendiri bukan mengharapkan balasan.
“Tetapi bukan bila kita bersedekah, kita mengharapkan balasan. Itu salah. Bila kita buat sedekah sebenarnya untuk perbaiki diri sendiri kerana kita diberi peluang untuk menolong orang lain.
Ads
“Saya ada baca satu buku berjudul Seeking A Life Balance. Antara nilai-nilai Islam dalam etika kerja adalah seperti Amanah, Ikhlas, Itqan dan Taaawun. Nilai seperti ini kita perlu amal dalam etika bekerja.
“Kapal-kapal Keyfield juga diberi nama yang mencerminkan nilai nilai sedemikian, antaranya Keyfield Amanah, Keyfield Itqan, Keyfield Compasssion, Keyfield Kindness, Keyfield Grace.
“Bila seseorang itu bekerja, dia terima balasan seperti gaji dan pengiktirafan. Sebenarnya anda kena tahu kerja itu adalah ibadah.
“Anda perlu selesaikan tuntutan kerja sekurang-kurangnya mencapai apa yang dijangka dari tugasan yang diberi.
Selain itu, pengalaman mengatasi masalah kewangan semasa membina kapal di China pada tempoh gemelut kapal kerana kemerosotan industri minyak dan gas membuatkan Darren berpegang kuat kepada amanah dan menepati janji dalam dunia perniagaan.
Ads
Bagi Darren, tanpa amanah, tidak mungkin Keyfield dapat mencapai kejayaan seperti hari ini.
Tambahnya lagi, seseorang perlu mendapat kepercayaan daripada orang lain sebelum menjadi seorang yang berjaya. Darren juga menekan konsep memanfaatkan orang lain sebelum memanfaatkan diri sendiri dalam bidang perniagaan.
“Sebagai CEO ini tidak sepatutnya sentiasa duduk dalam pejabat lama sangat. CEO patut keluar mencari perniagaan dan peluang baru. CEO patut peka terhadap struktur kos perniagaan, aliran wang tunai.
“Syarikat seharusnya mempunyai sistem yang baik untuk beroperasi dengan sendiri. Itulah yang kami cuba capai.
“Saya pengamal agama Buddha, salah satu amalan yang digalakkan adalah kurangkan “Keakuan Diri”. Kedamaian Batin (Inner Peace) juga dapat membantu seseorang lebih tenang menjalankan tugas.
Sebelum menutup sesi bual bicara, Darren memberi nasihat kepada individu yang ingin menjadi versi diri yang lebih baik.
“Nasihat saya adalah jadilah orang yang lebih penyayang, lebih memahami. Bantu sebanyak yang anda boleh, jangan terlalu berkira sangat.
“Dalam hidup, banyak kebaikan yang anda buat, orang akan perhati dan menghargai.
“Yang paling penting, anda rasa bahagia dengan diri sendiri. Jangan terlalu banyak bergelut dengan diri sendiri. Hidup boleh jadi lebih tenang jika tidak terlalu bersaing. Ikhlas dan buat yang terbaik,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai usaha dilakukan oleh ahli perniagaan untuk memastikan jenama mereka kekal relevan di pasaran meskipun terdapat banyak persaingan yang sihat dalam sesebuah perniagaan yang diceburi.
Antara cabang mengembangkan bisnes adalah dengan memperkenalkan sistem ejen yang amat popular suatu ketika dahulu. Jika ada beranggapan sistem menghargai ejen itu sudah tidak relevan dalam dunia perniagaan, hal itu sebaliknya ditepis kuat oleh ahli perniagaan popular, Said Saiful Fazli.
Said Saiful Fazli
Said yang menjalankan empayar syarikat Saudagaar Asia (S-Asia) menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab itu tegas dengan pendiriannya tetap melihat ejen sebagai harta berharga.
Malah Said berkata, melihat kejayaan ahli perniagaan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mencipta jaya dan fenomena dengan menjaga hati pelanggan, dia juga enggan mempersiakan ejennya.
Justeru, tidak pelik kesungguhannya itu melayakkan Said dilabel sebagai ‘founder berhati ejen’.
“Kalau ada menganggap sistem ejen sudah tak relevan, mereka itu barangkali tidak berfikir panjang dalam berkata-kata. Tak apa, itu cara orang lain. Tapi saya tetap melihat ejen sebagai lubuk penting dunia niaga.
“Jadi tradisi menghargai ejen melancong sebagai penyuntik semangat tetap diteruskan. Setiap tahun lebih empat kali kita raikan ejen dengan bercuti sebagai terapi diri.
Terdahulu jenama ini antara yang kerap membakar semangat ejen dengan bawa mereka makan angin dalam dan luar negara. Antara lokasi yang pernah dijejaki meraikan ejen termasuk Singapura, Dubai dan Club Med Cherating.
Terbaharu, seramai 130 ejen termasuk staf syarikat ini dibawa ke Pulau Langkawi selama 3 hari dua malam awal Februari lalu.
“Menariknya, kami ‘tapau’ satu penerbangan ke sana. Malah pramugari bertugas siap mengalu-alukan keberadaan kami dengan pembesar suara.
“Mungkin ada beranggapan, ala setakat pergi Langkawi saja. Tak kisahlah, dalam atau luar negara, momen dicipta itu sangat istimewa. Tapi saya dimaklumkan ramai ejen yang dirai kali ini tak pernah berkunjung ke pulau yang mengangkat lagenda Mahsuri ini.
“Jadi saya tumpang gembira dengan kunjungan sulung hampir kebanyakan ejen kali ini. Seperti mana takkan hilang jejak sejarah seperti Mahsuri di Langkawi, sebegitu juga saya mahu jenama ChocoAlbab terus beraja di hati ejen dan peminat,” katanya.
Kata Said lagi, sepanjang berada di sana pelbagai aktiviti menarik dilangsungkan.
“Kami melawat kilang gamat dan kilang batik. Kami menaiki kereta kabel. Lawatan ke situ tentunya tak lengkap tak berkunjung ke Pekan Kuah dan Dataran Helang.
“Aktiviti di hotel juga tak dilupakan. Malah makan malam bertemakan Melayu Klasik turut diadakan,” katanya.
Dalam pada itu, Said bersyukur jenama yang diperkenal sejak April 2021 itu juga terus diterima ramai.
“Syukur, masuk kedai serbaneka dan premis makanan, banyak produk kami ada dijual di kaunter. Pendek kata, produk ini boleh didapati dengan mudah di hampir semua kedai berhampiran anda.
“Kami guna sistem ‘reseller’ dan ia sekali gus membantu ramai usahawan menjana pendapatan,” katanya.
Berita baik buat wanita di Selangor! Kerajaan Selangor menerusi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat melancarkan insentif penjagaan anak bagi wanita bekerja atau Insentif Mamakerja pada Khamis.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, ia dilancarkan sebagai pelaksanaan perkara keempat dalam Lima Tekad 100 Hari diumum Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini.
“Insentif ini bertujuan mengangkat martabat wanita bekerja yang mempunyai anak-anak serta memastikan wanita terus kekal dalam sektor pekerjaan.
“Program baharu Kerajaan Perpaduan negeri Selangor ini akan memberi manfaat berjumlah RM1,000 kepada seramai 5,000 ibu bekerja bagi meringankan beban penjagaan anak-anak terutama dari segi kos,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Insentif Mamakerja di sebuah hotel di Seksyen 14 di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Anfaal ketika berucap memaklumkan statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor adalah rendah iaitu 69.9 peratus berbanding lelaki sebanyak 83.5 peratus.
Selain itu, menurutnya, kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation di Selangor pada tahun 2020-2022 turut menunjukkan wanita bekerja menghadapi cabaraan kos penjagaan anak yang tinggi.
“Justeru, melalui tema ‘Selangor Penyayang: Memartabat Penjaga, Melindungi yang Dijaga’, insentif MamaKerja menjadi dorongan penubuhan kerangka ekonomi penjagaan atau ‘care economy’ yang bakal menawarkan solusi jangka panjang dan holistik khusus bagi golongan sasar iaitu penjaga, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Anfaal berkata, Insentif MamaKerja juga merupakan strategi serampang dua mata bagi menyokong partisipasi wanita dalam tenaga buruh selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat di mana tumpuan khas diberikan kepada wanita dan institusi keluarga.
5,000 Wanita Kembali Bekerja Di Selangor
Gambar Hiasan
Selain itu, menurutnya, RS-1 juga menggariskan kepentingan sektor penjagaan dan penyediaan pusat asuhan yang berkualiti seperti taska, tadika dan transit yang menjadi sistem sokongan bagi wanita bekerja.
“Dengan terwujudnya pusat penjagaan berkualiti, pasti dapat menjamin keselamatan dan pembangunan kanak-kanak, dalam masa yang sama kaum ibu dapat bekerja dengan lebih tenang dan meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.
Antara syarat kelayakan bagi memohon Insentif Mamakerja termasuklah rakyat Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun, bekerja dan bermajikan, berpendapatan isi rumah berjumlah RM8,000 dan ke bawah dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang anak berumur 12 tahun ke bawah serta pengundi di Selangor.
Permohonan bagi Insentif MamaKerja akan dibuka pada 1 November menerusi aplikasi Selangkah dan pemohon perlu melengkapkan permohonan dengan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan.
Penerima yang layak akan menerima bantuan tunai ke akaun masing-masing dalam tempoh 14 hari bekerja selepas status permohonan berjaya.
Sejarah tercipta apabila penyanyi nasyid yang juga ahli perniagaan, Dr Idzu, melalui firma kejuruteraan tisunya, Cell Tissue Technology Sdn. Bhd. (Cell Tissue) menyerahkan dua unit mesin 3D Bioprinter bernilai RM450,000 kepada Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regenaratif (CTERM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyerahan mesin pencetak canggih LUMEN X Gen 3 dan Bio X Gen 3 ini mencetus satu era baharu dalam penyelidikan perubatan di Malaysia di mana UKM menjadi universiti tempatan pertama yang dilengkapi kemudahan 3D bioprinting terkini.
Menurutnya, pemberian ini adalah sebagai menyokong visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam penyelidikan perubatan maju di rantau ini.
“Sebagai pelopor kejuruteraan tisu di dalam negara, saya merasakan amat pentingnya untuk penyelidik tempatan didedahkan dengan teknologi terkini supaya dapat memperkayakan penemuan dan penciptaan ilmu baharu yang bermanfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap sumbangan hampir setengah juta ringgit ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh UKM melalui penemuan yang memberi impak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Dr Idzu kongsi rezeki.
Menyedari hakikat bahawa misinya sebagai pembangun, pendukung dan pemain utama dalam bidang Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regeneratif ini begitu besar, Dr. Idzu berharap agar kerjasama erat antara industri dan institusi pengajian tinggi dapat memastikan kedudukan Malaysia terus setanding atau malah mendahului negara lain di Asia dan dunia.
“Dengan penyerahan 3D Bioprinter ini, penyelidik UKM kini berpeluang untuk mengoptimumkan potensi peralatan berteknologi tinggi ini bagi membantu penyelidikan dan inovasi dalam bidang perubatan regenerative,” katanya.
Dr. Idzu turut mengumumkan penawaran program Diploma in Regenerative Medicine hasil kerjasama Cell Tissue dengan American Board of Regenerative Medicine (ABRM) dan UKM melalui Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regenaratif (CTERM) bermula tahun hadapan.
Hadiahkan UKM mesin 3D Bioprinter bernilai RM450,000
Selain itu, beliau turut menawarkan Biasiswa Dr. Idzu Baharin High Impact Innovation khusus untuk penyelidikan peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (Phd) yang mensasarkan untuk melahirkan generasi penyelidik akan datang yang seterusnya dapat membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah Timbalan Dekan HEJIM Prof. Dr. Marina Mat Baki, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Siswazah Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, Ketua Jabatan CTERM Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Mh Busra, Pegawai Saintifik Utama CELLINK Dr. Itedele Namro dan Ketua CELLINK Asia Pasifik Ms. Tomoko Bylund.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Zahnita nekad bercerai, suami tiada usaha memujuk. Seperti yang diketahui umum pergolakan rumah tangga di antara bekas supermodel dan pelakon Zahnita dan suaminya, Abdul...