Ini satu lagi petua mak ayah boleh praktik untuk lembutkan hati anak-anak semasa sikat rambut anak. Caranya berdoalah ketika menyikat rambut anak-anak yang nak ke sekolah atau keluar berjalan-jalan. Kemudian, cium pipi dan dahinya dan berikan kata-kata yang baik. Baca selengkapnya.
Panduan ini sebenarnya perkongsian daripada Dr Zulkifli Mohamed Sharif yang dipelajari oleh Nadiatul Ashikin Abu Bakar (Nadia Bakar), 32 yang juga ibu kepada Aariz Azri, 6 dan Annur Azri, 22 bulan.
Sikat Rambut Anak Depan Cermin, Mak Bacalah Doa
Rasa nak kongsi sikit pengalaman sebagai emak yang baru “5 tahun jagung” hari ini.
Biasa dengar baca selawat, tiup pada ubun-ubun anak dan bagi anak makan masakan dari air tangan ibu dapat lembutkan hati anak, serta patuh pada ibu ayah kan?
Saya belajar daripada perkongsian Dr Zulkifli Mohamed Sharif yang amalkan sikat rambut anak-anaknya.
Dengan izin Tuhan anak akan patuh dan attach dengan kita.
Saya buat dengan sedikit penambahan sebenarnya.
Waktu sikat rambut anak, sambil baca doa tengok cermin.
Saya ubahsuai sikit perkataan baik kepada cantik. Nak guna “baik” pun boleh.
“Ya Allah, cantikkanlah akhlak Aariz/Annur yang baik ini sebagaimana Kau cantikkan kejadiannya. Amiiiin”
Anak-anak pun aminkan.
Lepas Sikat, Cium Pipi Dan Dahi Anak
Annur tengok saja muka maknya dan aktiviti sikat rambut selalunya berakhir dengan dia nak sikat tu, sambung sikat rambut sendiri. Takpe kusut masai balik. Kasi can dia eksplorasi Dora gitu.
Lepas sikat, saya cium pipi dan dahi anak-anak sambil luahkan kesyukuran depan mereka berdua.
“Ibu syukur ada anak yang baik, rajin tolong ibu macam Aariz/Annur.”
Ada masanya, sebut-sebut dengan nada super excited atas apa-apa kejayaan mereka hari tu.
“Bagus Aariz rajin kemas mainan lepas main. Barulah cantik rumah kita kan?”
Suami pun sama-sama praktis bila beliau sikatkan rambut anak-anak.
Nampaklah kesannya.
Anak pun lebih attach dengan kita.
Harapnya perkongsian ni dapat memberi manfaat kepada ibu ayah sekalian.
Sumber/Foto : Nadia Bakar
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiada Dalil Anak 7 Tahun Kena Berpuasa, Tengok Kemampuannya, Jangan Terlalu Tegas!
Bila usia anak 7 tahun, mk-mak mula merasakan mereka perlu berpuasa seperti orang dewasa lain. Sedangkan pada usia ini tidak wajib pun tapi boleh saja mak ayah mengajar berpuasa.
Tapi paling sedih, bukan setakat mak ayah yang paksa berpuasa pada anak 7 tahun tapi turut melibatkan guru terutamanya bila di sekolah. Sampaikan anak kena menipu kerana terlalu lapar dan dahaga.
Ada cara nak didik anak 7 tahun berpuasa. Lihat kemampuan dan jangan terlalu tegas sampai boleh membuatkan anak mula belajar menipu pula. Ikuti penjelasan daripada Ustazah Norul Huda Bakar, pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Jangan Paksa Anak Puasa, Mak Ayah Kena Pandai Tackle Biar Keinginan Datang Sendiri
Info Lebih Menarik DI SINI
Anak 7 Tahun Dipaksa Puasa
Ada cara betul nak mendidik anak berpuasa terutamanya yang baru menjejak kaki ke sekolah.
Hukum fiqh telah menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadaan. Walaupun demikian, sekiranya kanak-kanak yang telah mumayyiz (yang telah tahu membezakan perkara baik dan buruk) berpuasa, maka sah puasanya.
Walaupun kanak-kanak tidak berkewajipan menunaikan ibadah puasa, menjadi kewajipan kepada ibu bapa pula untuk mendidik dan menyuruh anak-anak berpuasa di bulan Ramadan supaya mereka terbiasa melakukan ibadah berpuasa sehingga ke dewasa. Seperti kata pepatah: ‘Alah bias tegal biasa’.
Para ulama’ fiqh mencadangkan tahap umur kanak-kanak yang sesuai diajarkan dan disuruh berpuasa adalah pada umur 7 tahun. Dengan mengqiyaskan kepada hadith suruhan anak-anak mendirikan solat.
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Bagi pandangan saya, oleh kerana suruhan anak-anak berpuasa tiada dalil secara langsung seperti mana suruhan anak-anak mendirikan solat, selain daripada menggunakan usia 7 tahun boleh juga dilihat daripada aspek uruf kebiasaan masyarakat.
Terdapat banyak cara mendidik anak berpuasa mengikut kaedah dan kesesuaian mak ayah. Namun yang penting ibu bapa perlu mewujudkan suasana beribadah dalam keluarga. Ini kerana bulan Ramadan bukan sahaja membawa suruhan berpuasa semata-mata tetapi juga suruhan ibadah yang lain seperti solat dan mengaji al-Quran.
Mak ayah perlu mengajarkan dan memastikan anak-anak mendirikan solat fardu lima waktu, mendirikan solat terawih, mengajarkan mengaji sama ada membaca iqra’, muqaddam atau al-Quran mengikut tahap anak-anak dan berpuasa mengikut kemampuan anak tersebut.
Mak ayah perlu sentiasa menerangkan kepada anak-anak tentang tuntutan berpuasa yang perlu menahan diri daripada makan dan minum. Mak ayah perlu memastikan anak-anak mengambil makanan yang seimbang dan minum air dengan secukupnya ketika sahur bagi memastikan anak-anak bertenaga ketika di sekolah.
Namun demikian, ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dengan anak-anak sekiranya mereka tidak larat dan tidak mampu meneruskan berpuasa sehingga berbuka. Yang penting, bagi mereka lalui fasa menahan lapar dan dahaga terlebih dahulu. Sekiranya mereka tidak mampu meneruskan berpuasa, mak ayah boleh memberi kebenaran mereka berbuka. Proses ini perlu diteruskan sehinggalah anak-anak ini berjaya menyempurnakan berpuasa seharian.
Tak Semua Mampu Berpuasa Penuh
Asasnya anak-anak perlu diajar dan disuruh untuk berpuasa. Puasa dalam bahasa Arab ialah ‘al-siam’ yang membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum. Justeru, anak-anak ini perlu diajarkan supaya menahan lapar dan dahaga.
Proses belajar berpuasa ini perlu beransur-ansur dan mengikut kemampuan anak-anakmak ayah dan guru-guru perlu memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berpuasa kerana menahan lapar dan dahaga ini bukan perkara yang mudah dilakukan.
Begitu juga bagi anak-anak yang tidak mampu berpuasa sempurna perlu difahami dan diladeni mereka ini dengan sebaiknya seperti menyediakan air minuman untuk mereka minum supaya dapat menyegarkan badan mereka.
Bagi membantu anak-anak berpuasa dengan selesa, ibu bapa atau guru boleh berikan aktiviti yang ringan dan tidak banyak menggunakan tenaga. Berikan ruang anak-anak ini menyegarkan badan seperti mengambil wuduk, membasuh muka, mandi dan tidur. Supaya mereka lebih bertenaga meneruskan puasa sehingga selesai.
Sanggup Minum Sorok-sorok
Bagi pandangan saya, ini adalah cabaran dalam pendidikan ibadah kepada anak-anak. Berlaku perkara ini bukanlah petanda kegagalan dalam mendidik. Tetapi kayu ukur untuk meneruskan lagi usaha-usaha mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik mak ayah dan guru-guru perlu mengambil tanggungjawab sentiasa menegur dan menasihati anak-anak ini supaya suruhan berpuasa tidak dirasakan sebagai paksaan.
Jika dirujuk hadith Nabi SAW tentang suruhan anak-anak solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Berdasarkan qiyas daripada hadith ini memberi kefahaman bahawa anak-anak boleh dihukum dengan hukuman yang tidak memudaratkan sekiranya berlaku keingkaran dalam beribadah.
Bagi pandangan saya dalam perkara ini, sekiranya anak-anak di bawah umur 10 tahun, mak ayah perlu menasihati dan menegur anak-anak ini supaya tidak mengulangi perkara tersebut.
Ajarkan anak-anak supaya meminta keizinan dan kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuka. Bagi anak-anak berumur 10 tahun ke atas, mak ayah juga perlu menasihati dan boleh sertakan dengan sedikit hukuman ringan yang bersesuaian. Ini kerana mereka telah melakukan kesalahan dan hukuman tersebut sebagai pengajaran supaya mereka lebih menjaga perkara-perkara berkaitan dengan ibadah pada masa akan datang.
Dari aspek yang lain, bagi anak-anak yang tidak berpuasa (yang telah dimaklumi tidak berpuasa) memang seharusnya mereka ini makan secara sembunyi-sembunyi atau sorok-sorok. Ini adalah adab yang diajarkan dalam Islam. Bukan kerana mereka ini bersalah tidak berpuasa, tetapi lebih kepada menjaga atau menghormati orang yang sedang berpuasa dan menghormati bulan Ramadan yang sepatutnya kita berpuasa ketika itu. Perkara ini yang perlu dididik kepada anak-anak supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar.
.
Jangan Terlalu Memaksa
Bagi pandangan saya, cara terbaik adalah mengikut kesesuaian cara cikgu-cikgu dengan mengambil kira perkara-perkara asas dalam berpuasa:
i. Pendidikan berpuasa mesti dilaksanakan.
ii. Selagi belum baligh mereka tidak wajib berpuasa.
iii. Perlu berhikmah dengan mengikut kemampuan pelajar. Memberi ruang pelajar berbuka sekiranya pelajar tidak larat meneruskan berpuasa.
iv. Para pelajar perlu sentiasa diingatkan tentang kewajipan berpuasa dan kelebihan beribadah di bulan Ramadhan
v. Para pelajar juga perlu sentiasa diberikan motivasi dan dorongan supaya sentiasa bersemangat untuk beribadah khususnya berpuasa.
vi. Guru-guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dan menyeronokkan pelajar yang berpuasa .
Mingguan Wanita : Tak salah nak ajar anak berpuasa tapi janganlah tegas dan memaksa, elak dari anak menipu dan terpaksa pula minum sorok-sorok. Lagi sedih.
Sumber: Ustazah Norul Huda Bakar, Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jodoh Perlu Sekufu Tak Semestinya Dari Segi Harta, Kedudukan! Yang Penting 3 Kunci Ini
Jodoh perlu sekufu tak semestinya dari segi harta atau kedudukan! Sebaliknya yang paling penting adalah memiliki tiga kunci ini iaitu kunci kenderaan, tempat kerja dan rumah.
Pesanan orang tua ini bukanlah bersikap materialistic tetapi semata-mata ingin masa depan anak mereka lebih terjamin. Biarpun begitu tiga kunci bukanlah penentu kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Jodoh Perlu Sekufu
Menurut Jiha Shuib, mungkin relevan dan mungkin juga tidak perkongsian ini. Cuma ini sekadar tips dan panduan dari orang tua-tua dalam keluarga aku dulu-dulu.
Jodoh perlu sekufu, sekufu pula tidak semestinya dari segi harta atau kedudukan. Mahupun sijil atau Ijazah sama tingkat.
Sekufu Tak Semestinya Dari Segi Harta, Kedudukan!
Boleh jadi dari segi latar belakang keluarga, dari segi cara berfikir, dari segi fizikal, dari segi keserasian bersama. Namun pesanan nenek moyang aku dulu ringkas.
Bagi si gadis ibu bapanya akan terima pinangan bila jodoh yang datang itu sekurangnya ada 3 kunci.
1. Kunci Kenderaan (tak kisah la motor/kereta).
2. Kunci laci/loker/pintu tempat kerja
3. Kunci rumah (sewa/beli/rumah ibu bapa)
Yang Penting 3 Kunci Ini
Simboliknya kunci kenderaan itu adalah keperluan untuk bergerak, waima basikal pun boleh sebab basikal pun mahal kan cuma agak-agak mampu ke tak nak kayuh bonceng berdua.
Kunci tempat kerja tu menandakan si lelaki ada keupayaan memberi nafkah dan menyara isteri. Kunci rumah sudah pasti lah penting, itu pun keperluan dan kewajipan suami.
Sama juga bagi anak lelaki dalam keluarga, kalau nak beristeri pastikan sekurangnya ada 3 kunci ini. Kalau ada kunci ekstra itu bonus lah, contoh kunci peti besi ke kan.
Mahukan Yang Terbaik
Ini bukan bermakna materialistik ya, ini lojik akal. Semua orang tua cuma mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tapi tidaklah 3 kunci ini yang menjadi jaminan kebahagiaan.
Apa yang lebih penting adalah ;
Kau kunci cinta ku di dalam hati mu
Meronta hati ku menangis kerana mu
Kau kunci cintaku di dalam hati mu
Sehingga ku lemas bila Kau tiada disisi ku (bait lagu Ramlah Ram)
Baca Juga Di Sini:
Pilih Pasangan Sekufu, Namun Perkahwinan tetap Kecundang Di Tengah Jalan
Jangan Sampai TERSALAH Pilih, Berkahwinlah Bila JUMPA Lelaki Sesuai, KEMUDIAN Bertawakal
Bahagia Itu Tak Perlu Ditayang, Ini Rukun Rumah Tangga Paling Utama Laki Bini Kena Pegang
Mingguan Wanita : Sekurang-kurangnya bila seorang lelaki telah bersedia dengan ketiga-tiga kunci ini bermakna dia mampu menjadi seorang suami yang baik. Insyallah.
Sumber : Jiha Shuib
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mentua Elak Ganggu Rumah Tangga, Anak Menantu Yang Sedang Bahagia
Bukan semua menantu itu direzekikan mempunyai keluarga mentua yang memahami dan boleh bertolak ansur. Ada mentua, yang tetap mahu campurtangan urusan keluarga anak menantu nya, walaupun anak-anaknya itu sedang melayari bahtera perkahwinan yang bahagia.
Ini realiti yang benar-benar terjadi dalam masyarakat. Cuma, kes sebegini segelintir saja diketahui umum. Apabila terjadinya konflik menantu-mentua, maka yang akan menanggung akibatnya siapa?
Hadamkan perkongsian daripada Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli ini. Apa alasannya untuk mentua dan menantu perlu hidup dalam keadaan harmoni dan kekal bahagia.
Mentua, Anak Menantu Kena Ada Harmoni Untuk Kekal Bahagia
Semalam, ada orang tanya tentang isu tangkapan khalwat seorang wanita yang ada bersama di dalam rumah tersebut bersama anak-anak, suami dan seorang anak angkat yang saya percaya lelaki yang sudah besar. Tangkapan dibuat disebabkan suami tersebut dalam keadaan yang tidak berupaya dan boleh datangkan syak si isteri melakukan perbuatan tidak baik.
Sebagai pengamal undang-undang, kes ini tak wajar untuk saya ulas kerana belum ada dakwaan di mahkamah dan masih ada ruang bela diri bagi wanita tersebut. Cuma yang menarik perhatian adalah kesukaran hidupnya bersama dengan suami yang kurang upaya dan anak-anak ditambah dengan ketegangan dengan mertua yang katanya inginkan duit insuran suami yang mengalami kemalangan.
Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran cuma apa yang perlu kita muhasabah adalah pentingnya hubungan yang baik antara mertua dan menantu. Selalu sangat kita dengar isu begini dan memang banyak perceraian suami isteri disebabkan hubungan tegang kedua-duanya.
Apakah punca yang sering didengari?
Biasanya isu gaduh mentua dan menantu ini adalah disebabkan kelemahan pihak suami untuk mengimbangi antara isteri dan keluarganya. Kadang-kadang suami melebihkan keluarga dia. Ada juga kadang-kadang suami lebihkan isterinya.
Begitu juga yang biasa berlaku di Mahkamah adalah berkaitan dengan perebutan harta. Sebagai contoh, jika sekiranya suami meninggal, rumah yang dibeli oleh suami tersebut akan menjadi pusaka. Maka, mertua tetap akan dapat bahagian meskipun rumah tersebut tidaklah dimiliki oleh mereka. Isu tegang ini akan lebih bertambah jika si menantu ini membuat tuntutan harta sepencarian untuk menambahkan bahagian dia yang selayaknya.
Apa kesan yang berlaku akibat hubungan tegang ini?
Perceraian
Pastinya, kalau suami isteri masih bersama, akan ada ‘possibility’ atau kebarangkalian untuk berlaku perceraian. Sangat banyak isu yang berlaku perceraian di Mahkamah adalah disebabkan mentua kacauganggu rumahtangga. Menantu tak suka mentua. Dan mentua benci menantu yang kononnya mengubah sikap anak lelakinya.
Jagaan Anak
Antara kesan lain, berlaku perebutan hak jagaan anak antara mentua dan menantu. Biasanya perkara ini jika kematian suami. Ibu lawan mertua untuk berebut hak jagaan anak.
Tak kurang juga ketika suami masih hidup pun, mentua lebih kuah dari sudu nak ambil jagaan cucu. Sedangkan, pihak-pihak belum pun berpisah.
Nafkah Anak
Bila dah tak dapat jagaan anak, biasanya isu inilah yang akan bersangkut. Ada isu bapa mentua yang enggan tanggung nafkah cucunya selepas kematian suaminya. Sedangkan dalam syarak, menjadi tanggungjawab datuk menafkahi cucunya selepas kematian bapa kepada anak-anak.
Kadang-kadang, bila lelaki tak mati pun, tapi disebabkan bercerai, nafkah anak enggan ditanggung si bapa sebab isu bertelingkah bekas isterinya dengan mentua. Yang menjadi mangsa sebenar adalah anak-anak. Kebajikan merekalah yang perlu diutamakan kerana mereka adalah amanah Allah yang tak boleh dipisahkan.
Apakah langkah terbaik untuk rawat/elak ketegangan mentua & menantu?
Suami main peranan dengan baik
Seorang anak lelaki bertanggungjawab kepada ibu dia. Seorang suami bertanggungjawab pada isteri dan anak-anaknya. Jadi, lelaki mesti memainkan peranan penting sebagai orang tengah yang boleh mengharmonikan hubungan tersebut.
Saling bermesra
Perlu ada hubungan mesra sejak sebelum kahwin dan selepas berkahwin antara isteri dan mertua. Jika tidak ada pergaulan mesra ketika suami masih hidup, akan bertambah berat jika berlaku kematian.
Jangan libatkan anak-anak
Seteruk mana sekalipun perbalahan antara mertua dan menantu, sebolehnya jangan libatkan anak-anak. Jangan hasut menghasut perkara negatif kepada mereka dengan tujuan membenci sedangkan mereka ini adalah jambatan antara keduanya.
Bertolak ansur
Saya percaya, apa jua keadaan seseorang, sifat bertolak ansur ini penting demi rumahtangga harmoni. Kerana, manusia tidak sempurna, namun kita boleh bertolak ansur untuk menerima kekurangan masing-masing. Menantu terima kekurangan mertua, mertua juga terima kekurangan menantu.
Kesimpulan :
Kes wanita yang ditahan tersebut telah menunjukkan bagaimana isu hubungan mertua dan menantu itu menjadi tegang gara-gara duit insuran dakwanya. Saya percaya setiap orang mungkin ada isu yang sedemikian atau berbeza sedikit puncanya hubungan yang tidak harmoni.
Cuma, apa yang penting, sebagai mertua, elakkan daripada kacauganggu rumahtangga anaknya sekiranya hubungan suami isteri ini baik dan tiada apa-apa masalah. Menantu pula kenalah cuba mengambil hati dan menerangkan dengan baik apa sahaja isu yang timbul. Kena ada sefahaman, jika tidak, tempoh hayat rumahtangga itu, pastinya sekejap sahaja.
Suami atau isteri berkahwin, bukan mereka sahaja. Kahwin juga dengan keluarga masing-masing.
Sumber/Foto : Khairul Fahmi Ramli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI