
Isi Kandungan
ToggleKehilangan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah ditelan, apatah lagi pemergian dua insan yang tersayang serentak. Sudah tentu ia menjadi sejarah yang tidak dapat dilupakan keluarga ini apabila setelah allaryarham ibu selamat dikebumikan, abang pula menyusul mengadap Ilahi.
Allahuakbar! Beratnya ujian… Berat mata memandang, lagi berat mahu yang memikul. Semoga seluruh ahli keluarga ini tabah dan dikurniakan kesabaran menghadapi ujian ini. Ikuti luahan Mohd Shari Saidin di akaun Facebook miliknya:
“Kesedihan yang tidak dapat diungkapkan,” demikian luahan seorang lelaki setelah dua insan tersayangnya meninggal dunia dalam tempoh sehari.
Arwah Orang Paling Kuat Uruskan Ibu
Mohd Shari Saidin, 33, hanya mampu meratapi pemergian ibunya, Ishah Kasa, 65, yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu dan abang sulungnya, Shuhaimi Saidin, 43 tahun menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam urusan pengebumian ibu mereka di Tanah perkuburan Felcra Lubuk Sireh di sini selesai, 27 Jun lalu.

Menurut, Juruteknik komputer di Sekolah Menengah Raja Puan Muda Tengku Fauziah, arwah abangnya iaitu Shuhaimi, antara orang kuat yang menguruskan jenazah semasa pengebumian ibu mereka.
“Masa ibu meninggal, arwah selalu beri saya kata-kata semangat, arwah minta saya kuat dan tak sangka benar kata-kata arwah, saya perlu kuat untuk melunaskan tanggungjawab yang besar demi keluarga ini setelah dia meninggal dunia.
“Abang orang yang paling tenang semasa tahu ibu sudah tiada (meninggal dunia). Seperti tidak percaya dan apa yang berlaku bagaikan mimpi. Kisah ini ibarat drama televisyen yang telah disusun atur,” katanya satu-persatu.
Mengadu Pedih Di Dada Sebelum Rebah
Jelasnya, arwah abangnya hanya mengadu pedih di bahagian dada dan memberitahu matanya kelabu sebelum rebah kira-kira sejam selepas selesai pengebumian ibu mereka.
“Waktu itu jam 11.30 pagi, kami rehat seketika selepas selesai urusan pengebumian ibu. Tiba-tiba abang mengadu sakit dada dan rebah.
“Seluruh anggota badannya sudah sejuk dan kami bergegas bawa ke hospital Kangar. Namun selepas menerima rawatan, jam 1 petang abang disahkan meninggal dunia,” katanya.

Abang Amat Menghormati Ibu, Bapa
Di samping itu, menurut Mohd Shari, allahyarham Suhaimi ialah seorang yang peramah dan sentiasa menghormati ibu bapa.

“Kehilangan ini membuatkan diri saya kosong seketika. Kini tinggal saya seorang sahaja lelaki dalam enam beradik. Kini aku terpaksa menggalas tugas sebagai waris buat keluarga ku, tugas yang berat untuk aku galas,” katanya.
Menurut Mohd Shari, urusan pengebumian diteruskan pada hari yang sama dan jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 6.30 petang.
Allahyarham Shuhaimi meninggalkan seorang balu dan lima anak.
MW: Semua orang pernah merasai kehilangan, hanya orang yang melaluinya tahu betapa peritnya sebuah kehilangan. Rasa rindu yang tak mampu tertanggung dan tak mampu juga diungkap. Al-fatihah untuk kedua-dua arwah dan mereka ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin.
Sumber/ Foto: SinarOnline
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sekali Dua Orang Buat Silap, Bila Dah Selalu Curang, Perpisahan Jalan Terbaik

Isi Kandungan
ToggleBukan sekali Bella Astillah dicurangi suami, Aliff Aziz. Malah berkali-kali. Namun, Bella tetap memaafkan kerana ada banyak hati yang perlu dijaga.
Sehinggalah Ramadan ini, satu demi satu kecurangan Aliff disebarkan di media sosial. Terkini, bersama gadis 17 tahun yang dikenali sebagai Nismell dan hari ini tersebar pula gambar intimnya dengan janda anak satu.
Hati isteri, walau setabah mana pun, bila sudah peluang diberi kepada suami. Dan suami tak reti-reti nak memanfaatkannya, lama-lama dia akan tawar hati juga.
Tak mahu terseksa lagi, Bella buat tindakan berani. Memfailkan permohonan cerai di mahkamah.
Dan petang tadi, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Bella dilepaskan dengan talak satu. Biarpun berita ini perit. Lagilah terjadi di bulan yang mulia ini, namun Bella menyifatkan inilah jalan terbaik untuk dirinya dan Aliff.
Suami Selalu Curang
“Suami selalu curang. Sekali dua semua orang buat silap. Apabila lebih, itu adalah pilihan. Jadi, perpisahan yang terbaik.”
Lebih enam tahun, Bella dan Aliff saling mengenal, melalui banyak perkara bersama. Apa pun tak mudah untuk Bellah melalui kehidupan sebagai ibu tunggal. Membesarkan anak lelakinya yang masih perlukan perhatian ibu dan ayah.
Biarpun demikian, Bella terlihat kuat. Fokusnya kini cuma untuk meneruskan kehidupan dan memberi yang terbaik untuk anaknya.
“Saya tak nak hidup dalam suasana negatif.” Akui Bella yang sudah pun memaafkan bekas suaminya itu. Kerana, baginya biar apa pun yang terjadi, sampai bila-bila Aliff tetap ayah pada anak mereka.
Sejak Bella mendedahkan kisah kecurangan suami, tak sedikit yang mengecamnya. Ada yang mempertikaikan kesetiaannya dulu. Sungguh, Bella tak berdendam sebaliknya percaya setiap orang pun pernah berbuat salah.
Semakin Kurang Beban
“Memang beban itu rasa berkurangan.” Kehidupan baru ini menamatkan kontroversi yang melanda rumahtangga Bella dan bekas suaminya itu.
“Saya muhasabah diri dan Aliff pun sama. Memang masih ada sayang. Cuma berikan ruang dan waktu untuk muhasabah diri.”

Terdahulu, Aliff yang sebak melafazkan talak satu pada 3.45 petang di hadapan Hakim Syarie Izzat Syazli Murshid selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25.
Permohonan cerai itu difailkan Bella Astillah selaku plaintif pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Semoga Aliff dapat belajar dari episod duka yang terjadi dalam rumahtangganya. Sememangnya seorang suami itu bukanlah sekadar memiliki isteri, tapi memahami akan tanggungjawab sebenar-benar sebagai seorang suami.
MW : Mendoakan semoga Bella tabah menjalani kehidupan ini. Dan sentiasa dimurahkan rezeki untuk membesarkan permata hatinya.
Sumber/Foto : Harian Metro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doa Asmaul Husna Selamatkan Ustazah Shadiya Dan Ustaz MK Azman Sekeluarga

Isi Kandungan
TogglePada bulan April 2018 lalu masyarakat telah dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa penceramah agama ustaz Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman bersama isterinya ustazah Shadiya Abbas dan dua orang anak mereka, Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya.
Mengimbas kembali kemalangan tersebut, ustaz MK Azman berkata musibah itu berlaku pada pagi Rabu, 11 April 2018.
“ Malam sebelumnya selepas kuliah di Gombak, saya mengambil kereta di bengkel yang terletak di Rawang. Lebih kurang pukul 2.00 pagi kami bergerak balik ke Kedah. Keadaan dari segi fizikal masa itu saya memang tidak cukup rehat. Tetapi kami mengejar masa untuk balik ke kampung mengambil emak yang mahu mengerjakan umrah.
“Kami singgah sebentar di Tg Malim untuk berhenti minum dan makan. Isteri mencadangkan agar saya tidur terlebih dahulu jika tidak larat. Tetapi saya tidak mahu. Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di Hentian Rawat dan Rehat Tapah, kami berhenti minum. Saya tidur seketika dan bangun semula untuk solat subuh.
“ Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan lori-lori. Dua kali terserempak dengan lori dan hampir-hampir jugalah kemalangan. Entah bagaimana pada kali ketiga, ketika saya hendak memotong sebuah lori itu, lori itu masuk ke arah kanan. Tidak sempat saya hendak brek, terus terlanggar belakang lori. Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi,” ujar ustaz MK Azman.
Hentaman itu menyebabkan Ustaz MK Azman dan keluarga yang terdiri daripada Ustazah Shadiya Abbas dan kedua anak mereka iaitu Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya tidak sedarkan diri.
“ Selepas perlanggaran saya tidak sedar tetapi saya mendengar panggilan daripada anggota Bomba yang datang menolong. Masa itu keadaan saya itu pejam mata tetapi mampu mendengar suara-suara di sekeliling. Ada yang beri salam dan suruh kami bersabar.
“ Saya jawab salam. Anggota Bomba itu tanya hendak telefon siapa ini. Saya minta dia telefon mak mentua saya kerana telefon isteri saya tidak dikunci. Anak saya yang berumur 7 tahun berada di bahagian belakang kereta manakala anak yang berumur setahun lebih berada di pangkuan isteri. Anak sedang menyusu ketika kemalangan berlaku.
Alhamdulillah setakat ini anak-anak kami itu tidak mengalami sebarang kesan daripada kemalangan yang telah berlaku. Anak saya sedar selepas kemalangan dan beritahu saya pemandu lori yang menolong dia keluar daripada kereta,” sambungnya lagi.
Akibat kemalangan itu juga telah menyebabkan ustaz MK Azman patah Sembilan tulang rusuknya. Dia juga mengalami pendarahan di kepala. Nasib baik tidak serius pendarahan tersebut. Manakala isterinya ustazah Shadiya cedera teruk di wajah dan lengan tangan kanannya patah. Keluarga mereka ini telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Bainon, Ipoh, Perak.
“ Saya masuk hospital pukul 3.00 pagi dan kemudian ditidurkan di ICU. Isteri juga di ICU. Kami berada dalam keadaan separa kritikal. Anak-anak pula selepas kemalangan itu telah dimandikan oleh jururawat. Mereka berdua kemudian telah ditidurkan,” tambah Ustaz MK Azman lagi.

Nampak cahaya putih
Daripada penceritaan anggota Bomba, ustazah Shadiya dan anak yang dipangku berada dalam kedudukan terperosok di bawah ketika mahu menyelamatkan mereka. Anggota Bomba terpaksa memotong kereta untuk mengeluarkan mereka. ustazah Shadiya tersepit manakala anaknya tidak.
Menurut ustazah Shadiya keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana ketika kemalangan itu dia sedang menyusukan anaknya. Dia bersyukur dengan keadaan tersebut.
“ Saya bersyukur kerana ketika kemalangan itu saya memakai tali pinggang keledar. Akibat hentakan saya menggelongsor ke bawah. Anak saya ikut sekali menggelongsor. Dalam keadaan tersebut saya tidak dengar bunyi tangisan bayi. Saya Cuma dengar orang bagi salam. Selepas itu dia suruh sabar. Masa itu saya hanya mampu panggil suami. Saya dengar respons dia. Dia hanya mampu jawab ‘huuh’. Dua kali saya tanya dua kali dia jawab begitu.
“ Semasa kemalangan itu saya tidak begitu yakin yang kami sedang telah mengalami kemalangan. Tidak rasa sakit Cuma rasa tangan tidak boleh bergerak. Ketika itu saya dalam keadaan tertanya-tanya apa yang berlaku. Masa minda dalam keadaan bercelaru itu terlintas satu doa dalam fikiran. Saya hanya ingat doa Asmaul Husna.
“ Saya teringat kalau sesiapa baca doa ini Allah akan makbulkan doa mereka walaupun hanya terlintas dalam hati. Saya baca doa dan minta pada Allah agar semua dalam kereta ini hidup selamat. Selesai baca doa, terus pandangan saya gelap. Saya tidak sedar apa-apa,” imbaunya lagi.
Akibat kemalangan lengan kanannya patah. Mukanya koyak. Hidungnya terbelah. Urat darah hidung putus. Daging bibir sudah tanggal. Doktor telah melakukan pembedahan plastik memperbaiki wajahnya. Kini sesiapa sahaja yang bertemu dengan dirinya sudah pasti akan dapat melihat parut pada wajahnya.
Cerita ustazah Shadiya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia dan suaminya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Anggota polis berkata sewaktu mereka menerima panggilan pertolongan ketika kemalangan itu ingat keluarga ini telah meninggal dunia.
“ Polis berkata lokasi kejadian kemalangan itu adalah lokasi kejadian berdarah. Di situ jugalah di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia. Jadi bila mengetahui kami hidup mereka terkejut sebab dua hari sebelum kejadian kemalangan kami itu, telah ada kemalangan lain yang melibatkan kematian.
“ Saya masih ingat lagi sebaik sedar daripada kemalangan saya perasaan tubuh kami telah diselaputi kaca. Persamaan kami ketika itu adalah kami terpaksa menelan serbuk kaca. Sewaktu di hospital apabila jururawat tanya bagaimana keadaan, saya tidak boleh kata apa-apa. Cuma pada masa itu saya rasa fikiran ini agak lapang sahaja. Saya sudah reda.
“ Masa itu saya sudah sedar yang saya telah mengalami kemalangan. Saya bertanya pada doktor adakah suami dan anak-anak selamat. Anak-anak saya hidup tak? Doktor risau kerana saya asyik bertanya soalan-soalan sama. Selepas itu jururawat memberitahu bahawa suami saya sedang dirawat di bilik sebelah. Manakala anak-anak telah dimandikan dan sedang tidur.
“ Terus saya senyap mendengar penjelasan jururawat. Doktor pula asyik bertanya nama saya siapa dan sebagainya. Dia bertanya begitu untuk melihat sama ada saya berada dalam keadaan waras. Daripada situasi itu saya banyak dapat pengajaran.
“ Semasa dibawa masuk ke hospital saya berada dalam keadaan Nampak dan tak Nampak sahaja. Semasa berada di ICU saya Nampak cahaya putih sahaja. Saya Nampak orang dalam bentuk bayang-bayang. Mujurlah walaupun kaca penuh di muka, kaca itu tidak masuk ke mata. Itu yang membuatkan doktor hairan,” jelasnya.

100 Jahitan Di Muka
Sehingga sekarang, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya masih menjalani proses penyembuhan. Pembedahan plastik memperbaiki wajah membuatkan ustazah Shadiya menerima 100 jahitan pada muka.
Parut di mukanya jelas kelihatan dan mengambil masa untuk sembuh. ustazah Shadiya berharap bengkak pada mukanya akan surut dan kembali seperti biasa.
“ Kami berdua kena reda sepanjang tempoh penyembuhan. Sekarang ini saya perlu melakukan rawatan fisio untuk tangan kanan yang patah. Saya yakin semua yang berlaku ini ada kebaikannya. Ujian ini datang daripada Allah.
“ Saya tidak rasa dukacita atau murung. Kita yakin benda itu berlaku sebab Allah hendak beri satu benda yang lebih baik. Saya yakin selain daripada itu faktor doa daripada orang lain sangat penting. Doa mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan doa orang yang mendapat manfaat daripada kita.
“ Doa orang yang mengenali kita tetapi kita tidak mengenali mereka. Doa sebab mereka berasa kasihan pada kita. Doa-doa ini sangat penting dalam hidup kita. Nasihat saya pada semua buatlah baik pada semua orang sebab kita tidak akan tahu siapa yang akan menyantuni kita,” pesannya.
Akhir kata, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya menasihatkan semua umat Islam agar mengamalkan doa membaca naik kenderaan setiap kali keluar rumah.
“ Kalau kelalaian itu daripada kita atau daripada faktor ketiga yang tidak disangka, doa itu penting. Sebagai orang Islam doa itu senjata kita kerana ia mampu menghalang benda yang kita tidak boleh kawal,” akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Ustazah Shadiya Abbas
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
8 Adegan Pentingkan Diri Di Surau Perempuan, TAK SEPATUTNYA Berlaku!

Isi Kandungan
ToggleSeringkali berlaku apabila solat di shopping mall terutama pada waktu solat yang pendek seperti Maghrib, penuh sesak dengan ramai orang. Dengan keluasan surau dan telekung wakaf yang terhad, masing-masing merebut kesempatan yang ada untuk menunaikan kewajipan yang satu ini.
Namun yang menjadi isunya terdapat segelintir wanita yang bersikap pentingkan diri, tiada ‘common sense’ dengan keperluan orang lain untuk turut mengerjakan solat. Sikap dan perangai yang dikongsikan oleh Puan Izyan Izdihar Shaarani ini antara adegan yang SERING berlaku di surau perempuan. Semoga menjadi teguran dan pesanan buat kita.
Berikut perkongsian tersebut;
Surau perempuan dan adegan yang tak sepatutnya berlaku.
Kita pergilah mana-mana mall pun, kebiasaannya surau perempuan akan lebih sesak berbanding dengan surau lelaki. Nak pulak waktu weekend atau cuti sekolah, fuhhh…macam nak rebut sale happy hour lah gayanya! Ha camtulah nak habaq kata penuh ya Rabbi tu.
Dekat surau perempuan ada lebih ramai kanak kanak, sebab kebiasaannya anak-anak akan suka nak ikut mak. Lagipun akan ada yang akan menyusukan anak dalam surau. So anak anak lebih suka ikut mak.
Jadi, memang surau perempuan kebiasaannya penuh, especially waktu Maghrib.
Orang perempuan ni pulak complicated, ada handbag, ada beg pack, ada beg susu.Yang jenis pakai shawl tu pulak lagilah complicated, nak kena cari tempat sangkut tudung dia. kau terhenggot sikit, kemain dia jeling. Huh! Kadang dia bentang shawl dia kemain besooo makan surface area, dah kurang ruang orang nak solat.
Nak ambik wudhuk pun satu hal. Tak secepat orang lelaki. Perempuan yang pakai mekap ni nak kena buang mekap dulu la, padam itu, padam ini. Dah solat nak lukis dan warna semula itu dan ini.
Jadi,
Isunya disini adalah apabila wujudnya segelintir jenis perempuan yang tiada common sense dan pentingkan diri.
1. Jenis Tak Nak Bawa Telekung, Pakai Telekung Wakaf Surau, Tapi Nak ‘Conquer’
Jenis perempuan macam ni biasanya dia akan buat jenis solat pakej combo. Contoh solat Asar hujung waktu, lepas tu tunggu sekejap terus nak solat Maghrib. Lantak dia lah. Itu dia punya pasal. Isunya adalah apabila dia pakai telekung surau, lepas tu dah habis solat Asar tak nak buka telekung tu. Dia nak pakai terus telekung tu untuk Maghrib. So dia duduk je diam diam je kat sejadah sedangkan orang lain tengah menunggu kat belakang tunggu telekung untuk solat Asar.
Eh hellooo…dah lah tu bukan telekung kau kau nak main cop cop gitu, boleh tak jangan selfish sangat? Dahulukan orang yang nak solat asar tu ha. Pernah sekali, ramai gila orang tak dapat solat Asar di surau SOGO masa tu sebab begitu ramai mangkuk hayun dok melepak taknak bangun atas sejadah sambil pakai telekung wakaf sebab tengah tunggu Maghrib!
2. Jenis Suka Cop Tempat Solat, Walhal Wudhuk Pun Belum Ambil
Kalau surau tu tengah lengang, tak apalah. Ni tak, orang tengah beratur panjang untuk ambil wudhuk, dia baru masuk surau, gigih ambil telekung surau yang tinggal sepasang dua je yang tu, lepas tu bubuh kat sejadah dengan beg beg dia. Lepas tu baruuuuuuu dia nak pergi beratur ambil wudhuk.
Dahlah beratur tu panjang. Kalau kau bagi orang lain yang dah ada wudhuk tu solat dulu, dah boleh dua tiga round dah orang solat kat situ. Ni orang yang dah ambil wuduk tu terpaksa berdiri terjegat sambil tunggu ada ruang kosong untuk solat. Entah apa apa!
3. Jenis Suka Mekap Atas Sejadah
Dah habis solat tu, bangunlah! Kau nak mekap mekap atas sejadah tu apehal. Tak nampak ke penuh surau ni orang tengah beratur nak solat pulak. Mekap lah kat toilet ke dekat rak kasut ke tepi tong sampah ke ah mana manalah janji bukan dekat ruang orang solat. Benda simple pun tak boleh fikir. Tahu nak cantekkkkkkkk je, attitude out. Hahah!
4. Jenis Kalau Boleh Nak Mandi Dekat Tempat Wuduk
Bila orang ramai, sentiasa utamakan benda yang wajib sahaja. Islam cukup mengutamakan sikap mempermudahkan orang lain. Bila kau tengok orang ramai beratur, tak payahlah kat situ jugak kau nak berus gigi, cuci muka pakai scrub bagai. Setakat cuci muka untuk tanggalkan mekap tu ok lah, ni yang lebih lebih ni dah kenapa. Gi balik mandi lah!
Boleh tak buat benda yang wajib je dulu? Yang sunat tu, kalau tak menyusahkan orang lain tak apa, ni kau dah lah masuk surau dah nak habis waktu, kau ambil wuduk je dah bermenet menet, silap haribulan orang lain boleh telepas waktu sebab nak layan karenah kau ni.
5. Jenis Tunggu Member Dalam Surau
Adoii…dah kalau kau period, tunggu lah dekat Starbucks ke, pergi baca buku dulu dekat Kinokuniya ke, shopping kedai DIY main kuda pusing dulu ke apa. Kau bukannya budak kecik yang kena ikut mak dia. Ni duduk buat halaqah tiga empat orang sambil main phone. Bila orang tanya, dah solat ke? Eh saya cuti, tunggu kawan. Aku hambat kau nanti.
Bagilah ruang tu untuk orang solat. Common sense ke laut budak budak sekarang ni. Tudung je ala ala hijabista. Akal nya terlilit sekali dengan tudung tudungnya barangkali. Pernah sekali tu, ada seorang acik guard ni buat pengumuman kuat-kuat dalam surau, dia cakap siapa yang tengah main phone semua keluar. Kat luar boleh main phone. Bagi ruang orang nak solat. Yang period yang tunggu kawan semua tunggu kat luar. You know what?? Ramai betul adik adik anak dara bangun.
Ya Allah…dalam sekawan 7 8 orang tu, yang solatnya 2 orang je gamaknya. Yang lain tu memenuhkan ruang lantai je. Pebendapuntakboleh! Lelaki mana lah yang tergila gilakan diorang ni. Tiber.
6. Jenis Buat Segala Benda Sunat Time Orang Tengah Menunggu Giliran
Kalau kau jenis kuat beribadah, mohonlah datang surau tu awal. Time orang tak tergesa-gesa. Time kau boleh have your own sweet time untuk buat solat sunat qabliah, ba’diah, hajat, tasbih, tahajjud, or even nak baca al ma’thurat ke, sirah nabi ke apa.
Ni time maghrib yang orang dah macam sardin tu lah kau nak solat sunat lah, sujud lama lah, doa siap baca doa arwah tahlil segala lah. Ya Allah….yang orang lain macam terputus nyawa menunggu ruang nak solat. Kesian dekat ibu-ibu yang ada anak kecil. Benda benda sunat ni, buatlah waktu kau bersendirian. Surau dekat mall ni tempat awam, sempit, dan kebiasaannya sangat ramai orang pada waktu waktu tertentu. Bertimbang rasalah.
7. Jenis Buang Cotton Pad Mekap Dekat Tempat Wuduk
Eh dia dah buang mekap bagai sebab nak wuduk sempurna kononnya, terus jadi perangai huduh tinggal cotton pad dia gitu. Banyak cantekk muka kau. Orang seterusnya yang nak ambil wuduk tak selera lah nak tengok sisa-sisa mekap kau tu. Kalau benda tu terjatuh ke lantai, basah kembang sumpah geli. Buatnya termasuk pulak ke lubang air tu, ha dah sumbat. Tak pasal-pasal banjir tempat wuduk tu. Ape ke punya perangai. Buanglah dalam tong sampah. Kalau tak ada, simpan je dulu dalam beg ke apa. Balik kang buanglah.
8. Utamakan Ibu Mengandung, Orang Tua Dan Ibu Bersama Anak Kecil
Yang ni simple. Mana mana pun kau utamakanlah tiga golongan ni. One day, kita semua akan merasa jadi golongan golongan tu. Insya Allah. Masa tu kau tahulah betapa strugglenya nak bersesak di tempat awam.

Kesimpulannya,
Hidup ni, kena fikir untuk senangkan orang lain. Kalau tak mampu sangat, cukuplah jangan menyusahkan orang lain. Agama ni kena faham, jangan ambil separuh-separuh. Benda sunat, tapi jika dibuat pada waktu dan cara yang salah, tak jadi pahala dah. Dikira memberi mudharat dekat orang pula. Bayangkan jika disebabkan kita, ada orang lain yang mungkin terlepas 5 waktunya.
Kau jangan fikir one way,
‘La dah tahu taknak bersesak janganlah pergi mall’. Eh hello, akak cakap bab sikap ni. Sanggup pergi mall time sesak tu pilihan individu, tapi bersikap dengan sikap buruk ni tak sepatutnya jadi pilihan sesiapa.
‘Tulah, siapa suruh solat hujung hujung waktu’. Ini bukan soal awal ke hujung. Ini soal sikap. Kalau Maghrib dari sebelum masuk waktu sampai ke Isyak ha gitulah penuhnya. Bersikaplah dengan baik dan bertimbang rasa tak kira lah bila pun anda solat.
We could make a better world tomorrow by doing a small change today.
Pesan akak satu je, kalau kau jenis pakai baju tak solat friendly, tolonglah bawa telekung sendiri kalau boleh. Disamping hassle free, terjamin bersih, dan kau boleh selamatkan orang yang dah nak terlepas waktu sebab tak ada telekung tu dengan offer yours.
Live beautifully.
MW: Ada benarnya perkongsian teguran ini. Mungkin ada yang tak perasan dan anggap perkara ini remeh tapi sebenarnya menunjukkan sikap kita bagaimana. Surau adalah kegunaan bersama. Berusahalah mempermudahkan segala urusan orang.
Sumber: Izyan Izdihar Shaarani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI