Bila bercakap tentang surirumah mesti orang ingat ia adalah kerjaya ‘tetap’ dan tidak akan habis bagi seorang isteri pada keluarga. Setiap bulan tiada gaji tapi banyak tenang dihabiskan demi keluarga tercinta.
Inilah yang dikatakan kerjaya surirumah. Tapi, percayalah pengorbanan sangat hebat dan tidak mampu ditandingi oleh sesiapa. Jangan terkejut, bila wanita yang bekerjaya hebat, lepaskan jawatan yang bergaji berpuluh ribu dan sanggup berkorban untuk keluarga.
Hebatnya kerjaya surirumah, walaupun tak mewah tapi pengorbanannya tidak mampu dibalas dengan wang ringgit sekalipun. Namun, sekuat mana pun seorang isteri sebagai surirumah tangga, nak tak nak mesti akan lalui rasa sunyi.
Perasaan sunyi itu pasti wujud sebab surirumah hanya ada anak-anak dan dunianya pada keluarga. Mungkin bagi yang sudah biasa bekerja mesti ‘terkejut’ dengan kerjaya barunya itu.
Walau bagaimanapun, jangan terus ada rasa sunyi sebab ada cara untuk surirumah lepaskan segala kesunyian ini. Bahagiakan diri sendiri, seperti yang dikongsikan oleh Wawa Shauqi ini. Istimewa buat seorang surirumah.
Kali pertama jadi surirumah, saya bergelut untuk adapt rasa lonely.
Saya sejenis manusia yang ‘extrovert’. Bersosial adalah nikmat. Dapat bercakap dengan manusia lain itu satu terapi.
Jadi, bila saya berhenti kerja dan tumpu pada tugas menjaga anak, saya jadi canggung.
Bayangkan, setiap hari kita dah biasa bersembang dan bergurau dengan rakan sekerja. Tiba-tiba kena duduk rumah bercakap dengan kuali, penyapu dan berus jamban.
Suami pula waktu tu kerja di pelantar minyak. Nak nampak muka dia, ada tempohnya.
Sampai satu masa, suami berhenti kerja. Katanya kulit Jawa. Mana boleh duduk panas berlama. Padahal saya tau, dia berhenti sebab kuasa cinta pada saya. Ewahh.
Ads
Lepas berhenti kerja, suami berniaga. Tumpang buka kiosk makan di satu restoran. Pagi dia bekerja pejabat, malam sambung berniaga.
Letihnya dia, Allah yang tahu.
Mana ada masa nak layan bini mengadu sunyi.
Nasib baik saya ada anak di sisi. Sekurang-kurangnya, dia jadi asbab saya tak lupa mana rupa manusia. Maklumlah, lama sangat tak bersosial.
Cermin pun dah lama tak tengok. Kalau terjenguk, mungkin terkejut tengok muka sendiri. Sampailah satu masa ni. Ramai pulak yang menjemput kenduri. Satu demi satu saya tolak jemputan, dan biarkan suami pergi sendiri.
Entah kenapa, tiba-tiba jadi segan nak jumpa manusia. Confident tu dah tak ada.
Rasanya sebab banyak tengok kehidupan orang lain kat media sosial. Mereka makin bahagia, makin bergaya dan makin kaya.
Kehidupan saya hanya bergelumang dengan rengek, muntah, kencing dan berak anak.
Ads
Kerja pulak tak semewah kerja rakan-rakan. Orang lain bau wangi ke pejabat. Saya ketiak lecak dek bau masakan. Rasa tak layak nak jumpa kawan.
Waktu saya belajar sakitnya lonely. Mulut tak bercakap tapi kepala bising.
Ini nasihat saya untuk para WANITA seperti saya:
1) Berterima Kasih Dan Puji Diri Sendiri
Bila kita duduk ‘di bawah’, mudah sangat kita nampak diri kita rendah.
Tolong. Belajar berterima kasih pada diri.
Punyalah banyak pengorbanan kita dah buat untuk jaga makhluk lain. Tapi kita selalu lupa nak puji dan berterima kasih diri sendiri.
Cakap ‘tahniah kat diri bila berjaya kawal emosi’.
Ucap ‘terima kasih sebab banyak usahakan kehendak diri’.
Cakap ‘it’s ok harini tak berjaya, sebab esok kita cuba lagi.’
Bila saya belajar buat macam ni, alhamdulillah mudah sangat berdamai dengan diri dan anak-anak.
2) Ikuti Mana-Mana Kelas
Kelas memasak, mengaji, menjahit, baking, penulisan, parenting dan sebagainya.
Untuk apa kelas ni? Supaya kita jumpa circle kita dan ada masa untuk diri sendiri. Kita jumpa kembali potensi kita. Paling penting, untuk kembalikan rasa ada harga diri.
Siapa sangka, dari bermulanya saya ke kelas parenting untuk ‘me time’, akhirnya terjebak berkongsi ilmu di FB. Sampai sekarang.
3) Belajarlah Jadikan Allah Tempat Mengadu
Bila tak ada kawan, kita tak ada tempat mengadu.
Nak mengadu kat kawan lain, dah terasa lain. Sebab kehidupan mereka pun dah tak selari dengan kita. Maka belajarlah ‘bersembang’ dan mengadu padaNya.
Ya, memang lain. Tapi mulalah. Sampai kita jumpa sendiri nkmatnya dan kita rasa tenangnya bila belajar bersandar pada Allah.
Buat PASANGAN pula, ini pesan saya,
1) Pasanglah mata pada setiap usaha mereka. Cari kebaikan yang mereka dah lakukan. Pasangan kita dah mengorbankan kepuasan kerjaya demi isi rumah. Rasa diri tak ada harga selalu ada.
Maka belajarlah memuji. Bantu mereka kembalikan rasa harga diri. Jangan biar mereka mengkritik diri dalam diam. Kerana dari hati yang penuh kritik itu, akan menuturkan kata-kata yang menghiris.
Ads
Dari pujian, kata-kata sayang dan senyum manis, akan mengisi tangki emosi isteri. Bila tangki emosi mereka terisi, jelita dan ayu yang hilang tu akan kembali. Insya Allah.
2) Jadikan bahu tempat untuk pasangan sandar. Dan telinga tempat untuk pasangan meluah. Kadang tu, mulut mereka sekadar nak meluah. Dia nak bercerita. Bukan nak tahu solusi pun. Saja nak bercakap dengan manusia. Itu aje hiburan. Kita aje kawan. Layankan.
3) Beri ruang untuk mereka refresh. Mereka ini mengulangi rutin sama setiap hari. Dalam kepala recycle fikiran yang sama. PC pun kena reboot bila sampai masa. Inikan pula manusia. Ambil tempat mereka sekejap. Hulur duit sekeping 2 dan kunci kereta. Pesan beli aiskrim makan sorang-sorang. Biar kejap mereka lesap. Mudah-mudahan mereka pulang bawa bahagia di hati. Dan senyum di wajah.
Buat semua para wanita. Jangan sesekali rasa diri tak ada harga. Tanpa kalian, tak tertegaknya rumah tangga.
Jangan takut orang tak pandang. Kalau kita pikul tanggungjawab sebaiknya, Allah pandang kita dengan pandangan mulia.
Wawa Shauqi.
8 tahun jadi surirumah professional.
Mingguan Wanita : Bila seorang isteri ambil keputusan untuk jadi surirumah, inilah kerjaya yang paling hebat dan terbaik untuk keluarga.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ramai isteri suka kalau suaminya sentiasa ingat akan dirinya dan mengutamakan dirinya dan anak-anak berbanding hal-hal lain. Maka sebab itulah ada isteri yang cuba mengawal atau kontrol suami. Ops! Itu silap ye puan-puan!
Isteri Kalau Nak ‘Gam’ Suami Ada Ada Caranya
Ada isteri yang terang-terang mengaku, dia memang ‘queen control’. Tapi, benarkah dia bahagia dan hati suami sentiasa melekat pada dirinya? Tidakkah itu hanya membuatkan isteri itu sentiasa stres kerana sentiasa cari jalan supaya suami ‘tunduk’ kepadanya. Bukan dalam erti kata pakai ilmu sihir, tapi dengan cara mengawal suami.
Isteri Boleh Jadi Cemburu Buta!
Sekejap-sekejap telefon suami walau pun tahu suami sedang bekerja. Semua perkara suami kena lapor pada dia. Kalau ‘lupa’ memang perang besar. Kalau di rumah, suami tak dibenarkan keluar tanpa dirinya. Walau pun suami hanya nak keluar bawa anak-anak ke taman permainan, tetap tak dibenarkan. Diajak, tak nak pergi pula dengan alasan penat! Aduh, macam mana tu? Jauh sekali nak benarkan suami keluar dengan kawan-kawan.
Belum lagi bab semak semua call dan whatsapp suami dan sebagainya. Alasan caring, tapi buat suami tertekan. Uih. Tak penat ke asyik nak kontrol suami? Dah masuk bab cemburu buta pun ada. Apakah dengan cara ini hati suami akan sentiasa melekat pada isteri?
Isteri UTAMAKAN Suami
Walau pun ada anak-anak kecil yang perlu diberikan sepenuh perhatian, jangan abaikan suami hingga dia berasakan dirinya bukan lagi jadi keutamaan. Nampak tak logik. Takkan suami cemburu dengan anak sendiri. Bukan soal cemburu, tapi suami tetap ingin isteri mendahului dan mengutamakan dirinya dalam segala hal.
Isteri Iringi DOA Bila Suami Keluar Kerja
Nak ‘gam’ suami agar suami sentiasa ingat kita, bukan dengan cara kawal dia. Bahkan kata orang, lagi kita cuba ikat dia, lagi dia akan jauh daripada kita.
Isteri kena tunjukkan bahawa anda percayakan dia walau pun dia tak ada di depan mata. Tiap kali suami nak keluar bekerja, salam, cium tangannya sambil doakan agar segala tugasannya dipermudahkan dalam mencari rezeki untuk kita dan anak-anak. Ha..bila dengar kata-kata tu, mesti suami rasa bersemangat dan dia juga akan sedar bahawa dia keluar mencari rezeki untuk anak isteri.
Berbeza kalau kita cakap; “abang jangan nak mengatal pulak kat tempat kerja. Nahas saya tahu..”. Agaknya kalau suami tak ada niat nak mengatal, terus ada keinginan. Sebabnya, dia geram. Niatnya bangun pagi keluar cari rezeki, tapi awal-awal lagi isteri dah tunjuk tak percayakan dia.
Nak Isteri Jaga PERUT Suami
Ramai wanita yang mungkin tak rasa ini penting. Ada yang cakap, sama-sama sibuk cari rezeki, suami kenalah faham. Ye, memanglah suami faham. Tapi tidakkah ada rasa kasihan pada suami (dan anak-anak) kalau asyik makan kedai je?
Paling kurang, masaklah seminggu sekali untuk suami. Tak sempat masak sarapan, masak makan malam. Atau hari cuti, boleh masak kan? Tentu dia akan rasa gembira. Tak percaya? Survey dan tanya suami-suami. Siapa yang tak nak isterinya masak? Tapi, mereka faham kesibukan dan kepenatan isteri kerja, sebab itu mereka tak ‘wajibkan’ isteri masak hari-hari.
Tapi rugi bagi isteri yang tak gunakan cara ini untuk ‘gam’ suami. Kalau begini, jangan salahkan suami kalau asyik nak keluar makan di kedai. Sebabnya, dia dah terbiasa makan di kedai daripada di rumah. Apa pun, belum terlambat. Rajinkan diri untuk masak, walau pun sekadar satu lauk. Tengoklah perubahan suami nanti.
Bukan Dengan Cara ‘Kontrol’
Suami Nak Ruang Bersama Kawan
Mungkin ramai isteri yang kurang setuju untuk beri ruang pada suami keluar bersama kawan-kawan. Tapi, kalau nak ‘gam’ suami, ini juga salah satu caranya. Alah, bukan tiap hari, mungkin seminggu sekali je. Anda fikir lah ye, tidakkah lebih baik kalau dia keluar dengan persetujuan dan keizinan anda, berbanding secara diam-diam?
Ada lelaki memang jenis duduk rumah. Tak keluar tak apa. Ada lelaki pula yang suka keluar sebab tapi sebab malas nak gaduh dengan isteri, dia pendamkan saja hasrat. Ini yang kita takut. Nanti dia buat perangai dalam diam lagi susah. Jadi, eloklah bagi ruang untuk dia asalkan kita tahu dia ke mana dan dengan siapa.
Aktiviti Bersama
Tak semestinya hobi bila dikatakan kena buat aktiviti bersama. Ada suami yang suka ajak isteri keluar walau pun sekadar nak ke pasar. Tapi isteri pulak bagi macam-macam alasan. Malas bersiap lah, banyak kerja rumah lah.
Tak terfikirkah wahai isteri, itu tandanya suami nak luangkan masa dengan anda? Tak apa kalau perlu bawa anak bersama. Bila kita buat aktiviti bersama, ia makin mendekatkan perasaan kita. Tak perlu kawal, kita dah ‘gam’ hati suami.
Nak Isteri Yang Tak Demand
Adatlah orang perempuan, banyak kehendak. Tapi, tolong tengok kemampuan suami. Kalau pun suami mampu, tapi asyik minta itu ini, tak patut juga.
Mungkin suami tak lafazkan dengan kata-kata tapi di sudut hati tentu dia sedih dengan perangai isteri yang seolah-olah tak pernah rasa cukup. Nak ‘gam’ hati suami, jadilah isteri yang sentiasa bersyukur dan menyejukkan hati suami. Kalau suami ada masalah, ambil tahu walau pun tak mampu bantu. Picit bahunya, pasti dia lebih lega dan rasa anda prihatin pada dirinya.
Terpulang Masing-Masing
Mungkin ada yang tak setuju dengan apa yang ditulis ini. Terpulang pada diri masing-masing. Apa pun, isteri adalah individu yang paling ‘kenal’ hati suaminya macam mana. Jadi, pasang strategi ikut kesesuaian. Tapi, KAWAL suami bukan jalan terbaik untuk ‘gam’ hati suami pada isteri. Berapa banyak suami yang kononnya dikawal isteri tapi di belakang isteri bukan main lagi, hingga ada yang sampai kahwin lagi!
Berat mata memandang, berat lagi bahu anak memikul.” beg sekolah berat, risiko scoliosis! Iaitu masalah tulang belakang bengkok. Perkara ini lambat laun akan memudaratkan kesihatan anak anak dalam jangka panjang.
Mak ayah sudah tentu bimbang dengan isu ini, apatah lagi melihat anak yang masih kecil terpaksa mengangkut beg berat. Bukan isu manjakan anak tetapi kasihan pada anak kecil kerana kesan membawa beg berat ini akan menjejaskan kesihatan mereka kelak.
Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Anak Memikul
Ikuti perkongsian Dr Taufik Razif ini dan hadam baik baik ya mak, ayah:
Bahaya beg sekolah berat pada anak
1. Beg sekolah wajib tak boleh lebih 10 peratus daripada berat anak. Kalau berat anak 20 kilogram (kg), beg sekolah kena lebih kurang 2 hingga 3 kg sahaja.
2. Beg yang berat melampau pada anak boleh cederakan otot di bahagian belakang anak terutamanya pada bahagian otot erector spinae.
3. 58.3 peratus sakit belakang pada murid sekolah dikaitkan dengan membawa beg sekolah yang berat.
4. Kesan lain yang boleh terjadi pada murid yang membawa beg berat adalah masalah sakit kepala, sakit leher, bahu dan risiko skoliosis ( tulang belakang bengkok ke tepi ).
5. Paling dirisaukan sebenarnya adalah kesan jangka panjang bila anak sudah besar nanti.
6. Tolong sangat bila anak balik nanti periksa dan timbang beg sekolah anak masing masing.
7. Elakkan beli beg beroda untuk anak anak terutamanya jika anak anak kita kena menaiki tangga untuk ke kelasnya.
” Berat mata kita memandang, berat lagi bahu anak yang memikulnya ”
Tolong sampaikan ilmu ini pada pasangan dan keluarga kita yang ada anak yang masih bersekolah ya.
Cari Beg Yang Sesuai
Dalam masa yang sama Dr Taufik turut menyarankan dan cadangkan beberapa cara untuk mengurangkan berat beg sekolah anak anak, antaranya:
1. Cuba tukar beg, cari material yang ringan dan selesa
2. Keluarkan isi yang tak penting daripada beg
3. Bincang dengan pihak sekolah untuk tinggalkan sebahagian buku di sekolah dan sebagainya
4. Kita sebagai ibu bapa ada hak untuk suarakan pandangan kita
5. Kesihatan anak kita, masa depan mereka
Mingguan Wanita : Isu beg berat ini bukan isu baru, tapi sudah menjadi perdebatan saban tahun. Sudah tentu perkara ini membimbangkan mak, ayah apabila tiada tindakan penyelesaian dapat dilakukan. Semoga anak anak mak ayah sentiasa dilindungi Allah dan berharap ada pihak yang dapat menyelesaikan masalah beg berat ini secepat mungkin.
Ramai para isteri yang memanjakansuami masing-masing. Sebenarnya bukanlah isteri tidak boleh memanjakansuami tapi janganlah sampai memakan diri. Apabila suami terlalu dimanjakan ada kemungkinan untuk suami ‘lupa’ tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Mana tidaknya apabila semua urusan diselesaikan oleh isteri maka si suami sudah berasa cukup selesa. Perbuatan memanjakan suami hingga keterlaluan akhirnya akan memakan diri para isteri. Pada akhirnya isteri juga yang makan hati.
Berikut perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Beliau berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes rumah tangga.
Punca
Alasan biasa sebagai punca ialah suami kurang dapat layanan isteri, tak memahami dan macam-macam lagi. Secara konklusinya jawapan-jawapan tersebut betul tetapi kurang tepat.
Jawapan yang paling tepat dan menjadi punca utama kepada wujudnya cinta baru di hati suami terhadap wanita lain ialah sikap isteri sendiri yang terlalu memanjakan si suami.
Jangan Langgar Dua Syarat
Saya bukan menghalang para isteri memanjakan suami tetapi biarlah manja dan kasih sayang yang bertempat. Boleh manjakan suami dengan kata-kata rindu, belaian sayang, pujukan manja, layanan mesra dan pelbagai tindakan lain selagi manja tersebut tidak melanggar dua syarat utama iaitu; pertama; tidak mengambil alih peranan dan tanggungjawab suami. Kedua; tidak mencabuli hak anda sebagai seorang isteri.
Islam tentukan seorang suami wajib dihormati tanpa pengecualian disebabkan si suami diberikan dua peranan yang besar terhadap isteri dan anak-anak iaitu menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak serta mendidik dan membimbing anak-anak ke jalan yang Allah redai.
Malangnya, dalam dunia serba moden dan maju kini, seakan-akan tanggungjawab ini tidak lagi menjadi perkara perlu dilaksanakan.
Jangan Sampai Dia Lupa Tanggungjawab
Bahagi Segala Perbelanjaan
Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan konsep bahagi sama rata atau kongsi dua – sewa rumah bahagia dua, bil air bahagi dua, bil elektrik bahagi dua, dah macam teman serumah tapi tidur sekatil. Malah ada kes, nak beli susu dan lampin anak pun kosnya dibahagi sama rata.
Bukan tak boleh berkongsi tetapi anda sengaja membiarkan suami anda gagal melaksanakan tanggungjawabnya yang patut yang Allah SWT tentukan kepadanya sebagai seorang suami dan seorang bapa jika mempunyai anak-anak.
Isteri Lebih Berwang
Memang diakui, ramai isteri hari ni yang bekerja malah ada kes, pendapatan isteri lebih tinggi daripada pendapatan suami. Tak ada salahnya jika isteri memilih suami yang kurang pangkat atau kurang pendapatan berbanding pangkat atau pendapatan anda.
Hanya pesan saya, pastikan anda benarkan suami menggunakan wang hasil pendapatannya terlebih dahulu untuk menampung segala perbelanjaan keluarga. Bila duitnya dah tak cukup, barulah gunakan duit anda pula.
Tanggung Suami
Paling malang bila makin ramai isteri yang membiayai segala keperluan rumah tangga sebab suami tak bekerja. Prinsip perkahwinan bukan hanya untuk membenarkan dua insan bernama lelaki dan wanita bersatu atas dasar cinta dan kasih sayang sebaliknya syariat juga tentukan perkahwinan adalah untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri melaksanakan peranan dan tanggungjawab.
Terdapat tiga kategori tanggungjawab iaitu:
1- tanggungjawab tersendiri seorang suami yang menjadi hak isteri,
2- tanggungjawab tersendiri seorang isteri yang menjadi hak suami; dan
3- tanggungjawab bersama suami isteri yang menjadi hak anak atau anak-anak
Tanggungjawab
Tanggungjawab tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan dengan syarat berusaha peringkat maksima tanpa menganiayai diri sendiri, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.
Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak intim suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormati suami sepanjang masa dan menyenangkan hati suami.
Bantu Boleh Tapi…
Sementara tanggungjawab bersama suami isteri ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga. Andai masing-masing berusaha melaksanakan segala tanggungjawab dinyatakan sebaiknya, akan ada pihak yang menerima hak dan kesannya akan wujud bahagia.
Saya merayu dan memohon kepada para isteri semua: jangan ambil alih peranan suami dalam perbelanjaan keperluan anda, anak-anak dan rumah tangga. Bantu tetapi tuntut semula jumlah yang anda bantu sebagai hutang yang perlu suami bayar apabila suami berkemampuan membayarnya semula. Bukan mengajar anda berkira tetapi saya hanya mohon agar anda berjaga-jaga. Percayalah! Bila suami terasa beratnya beban menjadi suami kepada seorang isteri, dia akan lebih menghargai anda, insya-Allah…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Polis mengesahkan tiada unsur buli dalam kes tikaman pelajar Tingkatan Empat di Bandar Utama. Siasatan awal menunjukkan insiden tidak berkait dengan perlakuan buli, menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.