
Celik saja mata waktu pagi, kepala mak-mak terus berkira-kira apa yang patut dilakukan untuk hari ini. Inilah kerja hari-hari yang mak ayah buat. Memikirkan dan mencari rezeki demi membesarkan anak-anak.
Apabila anak sudah berjaya, giliran anak-anak untuk membantu dan membalas jasa mak ayah. Namun, berapa ramai yang mampu berbuat demikian. Kononnya, anak-anak sudah mempunyai keluarga sendiri pula.
Akhirnya, ada mak ayah yang kerja sehinggalah usia lanjut. Sedihnya. Sebagai anak, jangan abaikan tanggungjawab dan ingat apa yang telah mak ayah korbankan semasa kita kecil.
Malah, mak ayah sebenarnya tahu apa yang ada pada anaknya. Perasan tak, mak ayah tidak pernah sekali meminta duit belanja daripada anak-anak. Dia tidak mengharapkan, cuma sebagai anak kenalah fikir tanggungjawab dan balas jasa mereka.
Daripada perkongsian Dr Ahmad Samhan, cukup menyentuh perasaan tatkala berbual bersama pesakitnya yang agak berusia. Bersyukur kerana anak-anaknya mampu membalas jasa mak ayah.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Jangan Ingat Sudah Balas Jasa. Sebenarnya Kita Masih Lagi Tumpang Rezeki Mak Ayah
MULIAKAN Mak Ayah. Itulah Kunci SYURGA Dan REZEKI Dunia Penuh Keberkatan
Info Lebih Menarik DI SINI
Kerja Untuk Besarkan Anak
“Wah, cantik biskut tawar!”
Sempat aku berseloroh setelah melihat kilauan gelang emas ketika lengan baju di singsing.
“Eh, takdelah doktor. Hasil simpanan baki duit anak-anak kirim bulan-bulan”
“Berkilat lagi ni. Baru beli ke?”
“Iya. Masa muda-muda tak sempat merasa. Duit banyak nak guna. Nak besarkan anak-anak”
Pendamkan Hasrat Hati
Itulah mak.
Hasrat hati untuk memiliki dipendam demi kepentingan anak-anak. Kehendak anak mesti didahulukan.
Ketika makan, mak lah orang terakhir akan jamah makanan. Dibiarkan dulu suami dan anak-anak makan biar puas.
Sesekali di kuis lauk. Cubit sedikit. Tak sanggup cubit lebih biar anak-anak dapat makan lebih. Biar kenyang.
Tiada Cuti
Itulah mak.
Setiap hari dialah orang paling awal bangun dan paling akhir tutup mata.
Jika ditanya kerja apa yang tiada cuti, kerja jadi mak dan ayah.
Walau letih,walau sakit. Terus kuat demi anak-anak.
Hargai mereka. Kasihilah mereka. Sayangilah mereka.
Mak dan ayah itu satu. Perginya dia tiada ganti. Selagi ada, cintailah dia.
Kerana saat dia sudah pergi, kita akan merasa bagaikan mati.
Masa bersama mak dan ayah tak lama. Masa berlalu sangat pantas. Sekejap saja mereka sudah berusia.
Luangkan masa bersama mereka. Setelah mereka pergi, saat itu kita akan merindui kehadiran mereka.
MW: Hargailah mereka selagi mak ayah masih ada.
Sumber: Dr. Ahmad Samhan
-menghargai setiap saat bersama mereka-
“Abang Nanti Jangan Lupa Datang Sekolah, Zulfa Ambil UPSR Hari Ini..”

Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.

Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Bila Anak Dah Kahwin, Mentua Jangan Lah Anggap Menantu Macam Orang Luar

Salah satu masalah rumah tangga, ada mentua tak boleh nak ngam dengan menantu sebab kononnya perangai mereka itu tak seperti yang dibayangkan.
Maklumlah, tengok anak menantu orang lain, elok perangainya tetapi kita sendiri tak bahagia. Lagi teruk, bila anak menantu ada masalah, mentua hanya back up anaknya. Yang buruk-buruk, katanya itu bukan dari belah keturunannya!
Allahu… malanglah menantu yang mempunyai mentua sedemikian rupa. Tidak semua mentua bersikap seperti ini tapi ada. Untuk renungkan bersama, jemput baca perkongsian daripada saudara Firdaus Shakirin ini.
Apa hak mertua untuk masuk campur…?
Kepada yang bergelar ibu mertua, anda patut tahu batasan anda untuk mencampuri urusan rumah tangga anak anda. Hak untuk masuk campur tu hanya dibolehkan dengan tujuan menasihati anak menantu agar hubungan mereka tak berakhir dengan penceraian, bukan membuatkan mereka bercerai.
Menasihati… mengajar… membimbing… ingat mengingati akan tanggung jawab untuk satu sama lain.
Dan bukannya ingin mengetahui apa yang anak menantu tengah buat, ingin mengetahui ke mana anak menantu ingin pergi, cuba membanding-bandingkan cara menantu dan cara dirinya, cuba mencari salah menantu, sukar untuk menerima seadanya diri menantu itu.
Menantu yang hadir dalam hidup seorang mertua itu adalah orang yang menjadi pilihan anaknya. Bila anaknya mengahwini orang tersebut, dengan izin dan redha dari mertua itu sendiri, maka mertua perlulah berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima kehadiran “orang baru” dalam keluarga kita.
Dia mungkin tak seperti yang kita jangka, tapi dia PILIHAN ANAK KITA. Jangan anggap dia macam ORANG LUAR.
Kena Elak Masuk Campur Tangan
Mertua yang campur tangan dalam rumah tangga anak-anaknya ini bukanlah satu urusan yang mudah untuk ditangani. Mertua yang baik kefahaman agamanya, akan membiarkan anaknya menguruskan dan mengendalikan rumah tangganya sendiri tanpa perlu campur tangan dari dirinya. Dia hanya akan mengingatkan anaknya supaya menghargai isteri, ingat pengorbanan isteri, jangan sia-siakan isteri KERANA dia juga seorang isteri. Dia lebih tahu apa yang seorang isteri mahukan dari seorang suami.
Biasanya orang berkahwin dengan harapan untuk membentuk keluarganya sendiri dan bukannya mertua yang membentuk keluarganya menjadi seperti yang dikehendaki mertua. Mertua, tolong belajar untuk menerima hakikat ini.
Jangan terlalu masuk campur dalam urusan rumah tangga anak menantu. Jangan rosakkan rumah tangga anak-anak disebabkan JAHILnya diri kita menjadi seorang mertua.
Ikut 11 Tindakan Strategik Isteri Nabi Ibrahim ‘Siti Hajar’ Kendalikan Diri & Keluarga, No. 10 Paling Hebat Kesannya

Kenalkan wanita bernama Siti Hajar? Isteri Nabi Ibrahim a.s dan ibu kepada Nabi Ismail a.s. Suaminya telah diperintahkan oleh Allah agar membawa Siti Hajar ke satu tapak kota purba bernama Faran, kini dikenali dengan nama Makkah. Bayangkan ketika itu, Siti Hajar yang mengandung ditinggalkan dalam keadaan mengandung di kawasan yang tiada siapa pun diami.
Lihat apa yang Allah mahu ajarkan kepada isteri-isteri. Bagaimana kisah Siti Hajar ini boleh membentuk diri kita menjadi suri yang hebat. Baca perkongsian daripada Dr Najah Nadiah Amran ini.
Hajar adalah contoh betapa pentingnya seorang wanita untuk berfikir di luar kotak, strategik, mencari solusi. Bukan fokus masalah. Fokus kepada solusi. Cari pelbagai option yang ada.
11 Tindakan Strategik
Apakah yang dapat kita ambil pengajaran daripada Hajar, isteri Nabi Ibrahim @ ibu Nabi Ismail a.s?
1. It is okay to seek for explanation. Hajar bertanya berulang kali mengejar Nabi Ibrahim.
2. Nabi Ibrahim tidak menjawab. Then she got the message. Jadi dia tanya untuk kepastian: Adakah ini perintah daripada Allah?
3. She had to face it. Dia dan anaknya akan ditinggalkan kerana perintah Allah.
4. Orang kata gambaran kesusahan itu seumpama mendaki bukit. Hajar memang experience pendakian itu.
5. Susah itu muncul apabila putus sumber makan minum (untuk teruskan kehidupan), putus hubungan, jarak jauh putus hubungan sosial – terkontang-kanting sendirian mengurus diri dan anak kecil tanpa support.
Sekali pun sudah ‘putus’ dengan sumber di atas, Hajar tidak putus pergantungan dengan Allah kerana dia yakin, Allah takkan biarkan mereka begitu sahaja.
6. Hajar berulang alik 7 kali antara Safaa dan Marwah.
Ini mengajar kita semua tentang banyak perkara dalam hidup ini kita terpaksa lakukan berulang-ulang kali.
7. Hajar buat. Dia tidak tunggu/peluk tubuh. She walked the walk. She just do it. Kalau bukan kita siapa lagi. (point ini tertinggal tadi)
8. Hajar – tunjukkan tentang perkara biasa dihadapi oleh seorang ibu – yang kepenatan, emosi turun dan naik, material susut – tetapi dia jaga hatinya terhadap Allah, Allah takkan tinggalkan dia dan anaknya.
Hajar memahamkan kita terjemahan sebenar hadith qudsi daripada Nabi Muhammad : ana fi zanni abdi bii. Aku (allah) menurut apa yang disangka/difikirkan oleh hambaku.
As for Hajar, she always has good expectation of Allah. (jiwa yang positif, fikirkan perkara positif).
9. Kisah Hajar ini menunjukkan kepada kita, Allah akan berikan yang ‘baik’.
Baik di sisi Allah ini sukar untuk kita nilai semasa kita mengalami situasi terdesak.
Tetapi kisah Hajar menunjukkan Allah Maha Baik.
Contohnya dari tiada sumber minum dan makanan, terjumpa punca air zamzam.
Dari punca air itu menjadi telaga yang tak kering di tanah gersang yang Hajar diami.
Dari tempat yang Hajar dan Ismail terdampar tanpa sesiapa, akhirnya asbab air zam-zam mereka tidak lagi terputus dari dunia.
Makkah mula dikerumuni, didiami – tak pernah putus-putus didatangi manusia dari seluruh pelusuk dunia sehingga ke hari ini.
Ismail, Anaknya yang kecil itu akhirnya dewasa menjadi insan istimewa. Bersifat ‘halim’ (surah al-shaafat 101) seorang yang halus budi pekerti dan perkiraan. Antara Nabi yang mulia dan daripadanya lahirnya keturunan Nabi dan Nabi Muhammad.
10. Hajar berfikir dengan penuh strategik. Apa-apa tindakan mestilah berimpak. Ada kesan positif dan berpanjangan.
Hajar adalah contoh betapa pentingnya seorang wanita untuk berfikir di luar kotak, strategik, mencari solusi. Bukan fokus masalah. Fokus kepada solusi. Cari pelbagai option yang ada.
Contohnya bagaimana beliau menyediakan tali pinggang yang boleh memadamkan jejak dia dan Nabi Ibrahim kerana bimbang diketahui orang dalam perjalanan mereka ke Makkah.
Dan kedua, apabila beliau membuat tindakan cepat menakung air zam-zam agar tidak mengalir dan hilang begitu sahaja.
Dengan kudrat dan kecerdikannya, air zamzam sampai ke hari ini terus berfungsi.
11. Dengan usaha Hajar itu, didapati doa Nabi Ibrahim akhirnya dimakbulkan Allah taala. Sesungguhnya perancangan Allah Maha Halus. Usaha disertai doa. Doa beserta usaha.
Makkah menjadi negeri yang subur, didatangi orang, sehingga makmur dan keturunan Nabi Ibrahim mendirikan solat. Inilah doa Nabi Ibrahim dan point di atas adalah latar kepada peristiwa doa ini – ayat 37 surah Ibrahim.
Kuliah Dhuha Muslimat, Surau Al-Hidayah, Taman Mulia
Sumber/Foto: Najah Nadiah Amran via Mingguan Wanita