Kerana Adanya 3 Keistimewaan Ini Dalam Solat, Buya Hamka Dilindungi Dari Godaan

Share

Godaan nafsu itu amat menakutkan sekali. Lagi-lagi untuk para suami yang sering jauh dari isteri. Sekali kau gagal tepis, selamanya menyesal.

Sama ada lelaki biasa, ulama mahupun pemimpin negara, ‘godaan’ hati lagi-lagi untuk memiliki wanita selain isteri akan tetap pernah mereka lalui.

Penulis dan ulama terkenal Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih dikenali dengan nama Hamka ini pun tak lari dari godaan ketika bermusafir ke Amerika.

Perkongsian indah dari Puan Normujaidah Osman, menerangkan apakah ciri keistimewaan yang ada dalam solat sehingga mampu menjadi benteng keimanan yang utuh dan lindungi diri dari godaan nafsu.

Kisah Buya Hamka 2 Bulan Bermusafir Ke Amerika

Saya terpaku apabila membaca pengalaman Prof. Dr. HAMKA di Amerika pada tahun 1952.

Ketika menjadi tetamu Kerajaan Amerika dan dibawa ke Denver, seorang pekerja hotel telah bertanya kalau – kalau beliau mahu ditemani tidur oleh seorang gadis muda.

Pada waktu itu, beliau sudah bermusafir selama dua bulan tanpa ditemani anak dan isteri.

Lelaki berusia 44 tahun dan masih sihat.

Masakan hatinya tidak bergetar apabila menerima tawaran sebegitu.

Namun, tahukah tuan dan cik puan apa yang beliau fikirkan?

Pada saat pelayan hotel itu masih tersenyum-senyum simpul, yang terlintas di fikirannya adalah – SOLAT!

Ketika itu beliau baru saja selesai solat jamak qasar Maghrib dan Isyak.

Malahan bekas air wudhuk juga belum hilang.

Solat Subuh Prof. Dr. HAMKA Lebih Khusyuk Dari Biasa

Lalu, beliau berkata kepada dirinya :

‘Kalau aku telah tidur pada malam ini dengan perempuan yang lain, meskipun isteriku tidak melihat dan tidak tahu, bagaimana esok pagi, aku akan sembahyang subuh?

Padahal dalam doa iftitah aku selalu menyebut:

Sesungguhnya solatku dan ibadahku, bahkan hidupku dan matiku, semuanya adalah untuk Allah, Rabbul alamin.

Tidak ada sekutu bagiNya dan inilah diperintahkan kepadaku dan aku adalah salah seorang daripada mereka yang telah menyerahkan diri kepada Tuhan.’

Bisik Prof HAMKA lagi,

‘Bagaimana aku akan mengucapkan bacaan itu pagi-pagi?

Tentu aku akan malu mengucapkannya.

Tentu pagi-pagi aku akan malu untuk mengerjakan sembahyang dan kesilapan ini akan menyebabkan aku terus menerus silap, akan malu meneruskan solat kerana berdosa!’

Lalu, beliau dengan tegasnya berkata :

No, thank you.” Lantas, menutup pintu kamarnya.

Keesokan harinya, setelah beliau mendirikan solat subuh, beliau merasakan solatnya kali ini, lebih khusyuk daripada biasa!

Suatu hal yang jarang beliau rasakan dalam solat- solat sebelumnya.

Apa Ada Dalam Solat Rasulullah SAW

Ini kisah yang saya baca dalam tafsir Al- Azhar yang menerangkan tentang
mafhum Surah Al-Ankabut : Ayat 45 :

Bacalah daripada apa yang telah diwahyukan kepada engkau daripada al-Kitab dan dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari yang keji dan yang mungkar. Dan sesungguhnya ingat akan Allah itu lebih besar. Dan Allah mengetahui apapun yang kamu perbuat.

Prof Dr. HAMKA, ketika mentafsirkan ayat ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) diberi bimbingan oleh Allah tentang cara bagaimana memperkuatkan jiwa dalam menghadapi tugasan dakwah kepada manusia yang sangat berat itu.

Perkara pertama yang baginda perlu lakukan ialah selalu membaca- baca, merenungkan serta memahami wahyu – wahyu yang diturunkan kepada baginda.

Kedua, hendaklah baginda mendirikan sembahyang kerana sembahyang itu akan mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar.

Allah ya Allah.

Sungguh Allah mahu saya menangis keranaNya.

Ditemukan saya dengan ayat – ayat indahNya dan tafsiran-tafsiran serta kisah – kisah yang membuatkan tubir mata saya basah dengan air mata.

 

3 Keistimewaan Yang Ada Dalam Solat

Prof. HAMKA membawakan pendapat Abu Aliyah yang mengatakan bahawa solat itu hendaklah dilatih mendirikan tiga keistimewaan.

Sekiranya tiga keistimewaan itu tiada, maka tidaklah bererti solat itu.

Keistimewaan-keistimewaan itu adalah :

1. AL – IKHLAS – yang bererti semata – mata satu tujuan , iaitu semata- mata kerana Allah.

2. KHASSYAH – yang bermaksud takut kalau – kalau Allah tidak memerima solat itu.

3. ZIKRULLAH – ingat kepada Tuhan dalam hati disertai dengan sebutan mulut.

Kata Abu Aliyah lagi :

a. Ikhlas itu mendorong kita untuk berbuat sesuatu yang makruf.

b. Khassyah pula akan mencegah kita daripada melakukan perkara – perkara yang mungkar.

C. Zikrullah pula ialah seluruh ayat Al- Quran dan bacaan yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk dibaca. Zikir akan menyuruh kita yang baik dan melarang kita perkara yang mungkar.

Begitulah Hebatnya Kualiti Solat Ulama Terdahulu

Penerangan Prof. Dr. HAMKA ini benar- benar menjentik jiwa saya.

Apakah selama ini, ketika solat, saya benar-benar mendirikan ketiga-tiga keistimewaan ini – ikhlas, khassyah dan zikrullah?

Kerana jika tidak, solat saya itu tidak akan bisa mencegah saya daripada berbuat perkara yang keji dan mungkar.

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

Kisah Buya Hamka menjadi bukti begitu hebatnya kualiti solat alim ulama terdahulu sehingga solat itu benar-benar mencegah mereka daripada perkara yang keji dan mungkar.

Aduhai diri,

Renung-renungkan lah.

Adakah solat kamu benar-benar diterima Tuhan?

Apakah hati kamu telah sepenuhnya kamu serahkan?

Apakah sudah kamu bawa ikhlas dan khassyah bersama-sama zikrullah yang kamu sebut-sebutkan ?

Duhai diri,
Solat itu – perbaiki!

Duhai diri,
Hadirkan lah hati!
Hanya semata-mata kerana Ilahi.

Moga- moga dengan mengingati Ilahi, di dalam solatmu nanti, akan menjadikan solatmu lebih bererti kepada amalan- amalanmu yang lain-lain lagi sehingga setiap denyut nadi kehidupanmu akan menjadi ibadah kepada Rabbul Izzati.

Allahumma aiinna ala zikrika wasyukrika wa husni ibadatik.

Ya Allah,

Bantu kami dalam mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadah kami kepadaMu.

Sumber/Foto : Normujaidah Osman, Hamba yang rindu pada Tuhan.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

IKLAN