Menantu mentua boleh menjalinkan hubungan erat dan harmoni di antara satu sama lain kalau kena caranya. Namun, tak dinafikan, ramai yang mengalami masalah menantu-mentua ini. Biasanya melibatkan mak mentua dan menantu perempuan. Jarang sangat jumpa lelaki yang tidak boleh mesra dengan mentua mereka. Puncanya? Ada banyak punca yang mendorong ke arah ketidakharmonian hubungan itu.

Boleh Hidup Harmoni Sebenarnya…

Ramai je pasangan menantu mentua yang mampu hidup harmoni dan aman damai, tanpa ada sengketa. Hubungan mereka cukup mesra, umpama mak dan anak kandung. Tak ada yang mustahil pun. Tapi, ia tak semudah yang disangka. Sebab itu, masih ramai menantu yang hubungannya setakat ‘okay’ saja dengan mentua.

Mereka TETAP HORMAT mentua sebagai mak kepada pasangan hidup mereka. Tapi tak sampai boleh bertepuk tampar, bergurau senda atau teman tempat berkongsi masalah. Kenapa agaknya hubungan menantu mentua itu hambar dan dingin agaknya ye? Mungkin tip-tip yang MW kongsikan ini boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki hubungan menantu mentua.

Kena Terima Masing-Masing Seadanya

Sebagai menantu, kita seharusnya menerima mak mentua seadanya. Begitu juga dengan mentua. Kena ingat, mungkin banyak beza cara hidup dan latar belakang masing-masing. Jadi, jangan sesekali memperlekehkan cara masing-masing. Contoh mak mentua tak suka dengan masakan menantu. “ Eh, kenapa masak macam ni? Tak sedaplah. Mak kamu tak ajar ke?” Aduh! Bisanya bahasa. Siap dikaitkan dengan mak si menantu pula.

Sepatutnya mentua kena terima cara menantu walau pun mungkin tak berapa kena dengan tekaknya. Dalam masa yang sama cuba beri tunjuk ajar juga agar tak kecilkan hati menantu. Bila menantu rasa mentua dapat terima dan bertolak ansur dengan perbezaan dan kekurangan dirinya, maka dia juga akan melakukan hal yang sama pada mentua. Lama-kelamaan, hubungan ini pasti akan semakin baik juga.

Baca link ini juga:

Mentua Jangan Pandang Silap Menantu Saja, Kalau Salah Beri Tunjuk Ajar!

Mertua Jangan Salahkan Menantu Sahaja, Selidik Dulu Perangai Anak Sendiri Selepas Berumah Tangga

IKLAN

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Kena Saling Beralah, Tepis Ego Kalau Menantu Mentua Nak Hidup AmanAda Menantu Takut Mentua

Ada menantu yang gerun dan takut dengan mentua. Apa saja yang disuruh, akan dilakukan dengan segera. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Mungkin kerana mentua itu jenis yang ‘mulut bising’ atau garang. Kalau lambat buat atau tak seperti yang dimahukan, panjang bebelannya. Lebih sedih, bila disindirnya menantu atau dimarah secara terang-terangan. Maka, untuk menggelakkan itu terjadi, menantu ambil sikap menurut saja.

Dalam keadaan ini, sah takkan timbul kemesraan di antara menantu mentua. Menantu takut nak luahkan apa yang dia rasa dan lebih suka berdiam diri daripada berbual dengan mentua. Silap cakap, nanti kena bebel. Baik diam. Itu tanggapannya.

Bagi menantu yang mempunyai mentua garang, cuba selidik kenapa sikapnya begitu, suka marah-marah. Mungkin dia mengalami stres yang menyebabkan dia bersikap begitu.

Kena Cuba Jalin Kemesraan Dan Ambil Hati

Apa jua yang dilakukan, cuba sentiasa berusaha dalam mengekalkan sesuatu hubungan agar semakin hari semakin baik. Sebagai menantu yang lebih muda harus bersikap lebih bertolak ansur untuk mengekalkan keharmonian bersama. Ibu mentua adalah insan yang membesarkan anak mereka (suami kita), jika mempunyai sebarang percanggahan idea antara anda dan mentua, sebaiknya menunjukkan persetujuan ataupun bantahan dengan cara yang betul agar mereka boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.

IKLAN

Mentua juga begitu. Hargai tiap apa yang dilakukan oleh menantu. Jangan ego dan berat mulut walau sekadar nak ucapkan terima kasih jika dihulurkan pertolongan. Tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata dan perbuatan. Tak semestinya dengan beri hadiah saja.

Kena Ringan Tulang

Sebagai menantu yang baik, bantulah buat kerja-kerja rumah bila balik ke rumah mentua. Ingat, setiap kerja yang dilakukan, jangan hanya kerana ingin mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Lakukan dengan hati yang ikhlas.

Ini tidak, macam mana mentua tak marah kalau balik ke rumahnya, bangun pun lewat. Ke dapur jangan haraplah nak bantu. Bila mentua siap masak, tahu pula bangun ke dapur dan terus makan. Mak ai, memang patutlah menantu begini ‘dipetir’ mentua!

Jangan Rebut Perhatian

Sama ada mak atau isteri, ada hak masing-masing ke atas si anak/suami. Jadi, tak perlu nak berebut perhatian dan kasih sayang. Nanti yang tersepit, si lelaki lah! Apa salahnya, bila balik ke rumah mentua, isteri suruh suami bawa maknya keluar ke pasar berdua. Bukan malas nak ikut, tapi nak beri peluang mak dan anak luang masa bersama.

IKLAN

Hubungan menantu mentua boleh jadi panas kalau masing-masing tak nak mengalah dan bertolak ansur. Alangkah ruginya kerana hubungan itu boleh terjalin harmoni dan penuh kemesraan. Kena ingat, masing-masing akan berjumpa seumur hidup kelak.

Apa pun, beruntunglah mereka yang mampu menjalinkan hubungan baik antara menantu mentua. Tahniah!

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI