Kejar Pendapatan Lumayan, Graduan Universiti Berhenti Kerja Pejabat Nekad Jadi Tukang Cuci! Siapa sangka walaupun bekerja sebagai tukang cuci namun tetap boleh menjana pendapatan lumayan, berbanding pekerjaan lain. Meskipun mempunyai pendidikan tinggi, graduan universiti ini nekad berhenti kerja pejabat dan memilih untuk menjadi tukang cuci secara profesional.
Berhenti Kerja Pejabat
Seorang wanita di China tular kerana mampu membeli rumah selepas berhenti bekerja di pejabat, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Liu Xiaoli dari Henan merupakan graduan universiti yang pernah bekerja sebagai pekerja pentadbiran di pejabat. Kerjaya itu bagaimanapun tidak menghasilkan pendapatan lumayan buat dirinya.
Jadi Tukang Cuci
Ibu kepada dua anak itu akhirnya memutuskan untuk menukar pekerjaan sebagai tukang cuci.
Ads
“Anak saya mula bersekolah dan ibu bapa saya semakin tua. Saya memerlukan lebih banyak wang.
“Selepas menjadi tukang cuci, saya takut untuk memberitahu ibu bapa saya dan tidak mahu mereka dimalukan,” kata Liu dalam temu bual bersama media tempatan, Ding Duan Xin Wen.
Kewangan Bertambah Baik
Selepas setahun menyembunyikan pekerjaan itu, Liu akhirnya mendedahkan kebenaran kepada ibu bapanya. Mereka ternyata menerima pilihan Liu.
Liu semakin bersemangat apabila mendapat sokongan mereka. Setelah bekerja sebagai tukang cuci profesional selama dua tahun, keadaan kewangannya bertambah baik.
Ads
Dia kini berjaya membeli dua rumah dan kereta hasil kerja kerasnya menawarkan khidmat pembersihan dari rumah ke rumah.
Kisah wanita itu menarik perhatian ramai pengguna di media sosial. Video memaparkan aktivitinya membersihkan rumah mendapat lima juta tontonan.
Mingguan Wanita: Biar apa pun pekerjaan, jika rajin berusaha tidak memilih kerja mampu mendatangkan pulangan yang lumayan. Apatah lagi kerjaya sebagai tukang cuci profesional memang ada permintaan ramai dan mampu mendapat keuntungan.
Memang ada benarnya kadangkala terdetik rasa ‘cemburu’ di hati apabila melihat kawan-kawan seronok dan bahagia melancong ke serata dunia, tanpa perlu ‘bergelut’ melunaskan tanggungjawab dan komitmen yang menanti. Namun sebenarnya, rezeki untuk melancong itu bukanlah titik bahagia semata-mata, tuhan kurniakan nikmat buat setiap hambanya dalam pelbagai cara.
Ada kawan aku hubungi semalam. Dia cerita betapa cemburunya dia melihat kawan-kawan dapat travel sebebasnya.Dia rasa tertekan sebab tengok kawan-kawan update post travel ke sana sini. Bila ada tiket flight terus beli. Tahu-tahu sahaja sudah ada gambar bercuti di luar negara. Mudahnya.
Sedangkan dia pula sibuk uruskan anak enam orang yang masih kecil. Masih sibuk mengurus baju sekolah, mengatur kerja rumah dalam masa yang sama masih bekerja menambah rezeki untuk keperluan rumah.
Sesekali bawa anak ke Langkawi. Itu pun, kena berkira-kira supaya bajet bulan itu tidak lari. Setiap sen pun kena kira, supaya perut dapat terisi. Kena fikir supaya komitmen bulan-bulan terus terpenuhi.
Aku faham sangat, sebab selalu fikir benda yang sama.
Bagi yang mengharapkan travel, aku cuma boleh kata bersabarlah. Orang yang travel ini, kita selalu lihat apa yang ada di FB atau IG, sedangkan kita tidak tahu apa keadaan dan situasi.
Orang yang travel ini mungkin jodohnya belum kunjung tiba.
Orang yang travel ini mungkin zuriatnya belum datang masa.
Orang yang travel ini mungkin baru diberhentikan kerja.
Sedangkan kita bergembira dengan anak-anak, suami sentiasa disisi. Suami dan anak-anak suatu nikmat. Kita ada satu ikatan yang tidak semua rasa.
Sementara kita beri rezeki dan peluang untuk berseronok dengan keluarga, nikmati dan syukuri. Sebab bila anak sudah besar nanti, maka tinggalkan kita sendiri lagi.
Masa membesarkan mereka tidak boleh diulang semula. Sehingga satu masa kita terasa anak-anak sudah besar, tanpa kita sedar.
Jangan letak travel itu sebagai titik bahagia semata-mata. Memang benar, travel boleh membuatkan seseorang itu gembira, tapi Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Kita uruskan rezeki yang ada untuk selesaikan tanggungjawab pada anak dahulu. Itu adalah bahagian mereka.
Kita percaya setiap perkara akan berlaku mengikut zon masa. Masa kita belum tiba. Masa orang lain mungkin cepat pula.
Mungkin Tuhan tahu sukat rezeki yang mencukupi, supaya kita tidak susah untuk travel nanti. Supaya kita benar-benar dapat nikmati travel yang memberi makna dan ingatan sepanjang masa.
Mungkin satu masa nanti Tuhan himpunkan kita dan anak-anak bersama. Sesungguhnya travel dengan anak-anak dan keluarga adalah satu nikmat yang tidak terperi.
Kalau bukan di dunia, di akhirat kelak nanti.
Catatan kembara #277
Irwan Dahnil
Tour Leader Anak Tiga
Glasgow, Scotland
Mingguan Wanita:Setuju sangat, ada benarnya tak perlu rasa ‘cemburu’ dengan orang yang berpeluang melancong merata dunia. Rezeki setiap orang tak sama,jangan letakkan ‘travel’ satu-satunya cara untuk capai bahagia.Ini kerana Tuhan kurniakan nikmat itu dengan pelbagai cara.
Kenangan seumur hidup. Itulah yang boleh digambarkan oleh setiap pengantin baru. Duduk bersanding di atas pelamin yang indah bersama pasangan tercinta.
Persandingan menjadi detik bersejarah dan ditunggu-tunggu oleh setiap mempelai yang mendirikan rumahtangga. Masa inilah sanak saudara jauh dekat dan kawan-kawan datang untuk meraikan. Maklumlah raja sehari dan kenangan seumur hidup.
Namun, kita hanya merancang, Dia Yang Lebih Mengetahui. Ada juga cerita tentang pasangan yang tak sempat untuk bersanding bersama. Lebih menyayat hati bila pasangan pergi semasa inai masih merah di jari.
Walau bagaimanapun, lain pula halnya dengan pengantin lelaki ini. Segalanya telah dirancang dan majlis akan nikah berlangsung dengan penuh kebahagiaan. Tapi, sedihnya bila tiba hari persandingan, pengantin lelaki terpaksa bersanding seorang diri tanpa isteri di sisi. Ini pun boleh juga dijadikan kenangan seumur hidup.
.
Menurut Syaf dalam video tiktoknya. Isteri tersayang diuji masalah kesihatan dan terpaksa ditahan di pusat perubatan pada hari persandingan mereka.
Cukup terkilan kerana dia teringin sangat untuk menyarungkan busana songket bersama isteri dan meraikan hari penuh bermakna itu. Dalam video tersebut juga, kelihatan pengantin sebak di pentas pelann dan makan beradab tanpa ditemani isteri.
.
Lagipun, pasangan ini telah lama menanti detik bersejarah ketika musim PKP lagi. Walau bagaimanapun, dia reda dan berharap pengalaman ini bakal diganti dengan sinar bahagia.
.
Dalam perkongsian juga, dia turut mengatakan sebelum ini mereka terpaksa tangguh pernikahan dan sehari sebelum nikah pula dia dapat panggilan PULAPOL dengan inai masih merah di jari.
.
Mingguan Wanita : Kalau dah tertulis. Kita dah rancang elok-elok, tapi DIA Lagi Maha Perancang. Nanti buat majlis bersanding bertiga la pula ye. Tahniah kerana bakal dapat cahaya mata nanti.
“Tak boleh nak hadam fikiran mak ayah” Lotus Birth, Allahu bayi terbaring uri diletak sebelah besen ‘berpasir’.
Bersalin sendiri di rumah. Ibu hamil punya pilihan yang terbaik buat diri mereka. Namun janganlah pertaruhkan keselamatan diri dan bayi anda. Jika kawasan tempat tinggal adalah jauh daripada hospital, sebaiknya pilihlah untuk bersalin di hospital.
Ini kerana jika timbul masalah perubatan kecemasan, rawatan segera dapat diberikan untuk menyelamatkan nyawa ibu atau bayi.
Paling merisaukan, ada pasangan yang memilih untuk bersalin sendiri di rumah dengan proses melahirkan anak di dalam air (water birth). Ini mungkin akan diikuti oleh kelahiran plasenta sama ada di dalam atau di luar air.
Bukan itu saja, ada juga yang memilih Lotus Birth yang mana bermaksud tali pusat anak tak dipotong. Uri pula dibiarkan bersama dengan bayi sampai lah tertanggal sendiri. Dalam 3 ke 10 hari.
Menerusi perkongsian Dr. Rusyainie Ramli menerusi akaun Facebooknya walaupun sudah tahun 2022 namun masih ada wanita yang masih berani mempertaruhkan nyawa sendiri dan anak.
Penerangan dari Dr. Rusyainie banyak manfaatnya. Mak ayah yang bakal menimang cahaya mata tolonglah fikirkan keselamatan. Janganlah risikokan diri sendiri dan juga nyawa anak kecil yang tidak berdosa.
“Water birth dah diharamkan di negara kita sejak 2015 walaupun di pusat perubatan swasta. Bersalin sendiri di rumah tanpa kehadiran petugas perubatan berkelayakan adalah sesuatu yang sangat berani menduga takdir.
Saya pernah mengendalikan mak bersalin sendirian di rumah. Saya yang pucat lesi bila saya tiba, bayi yang baru lahir tu langsung tak bernafas. Dah lah kawasan yang pedalaman. Memang separuh nyawa kami berusaha.
Mujur juga akhirnya bayi tu menangis sebelum kami bergegas membawa dia dan maknya ke hospital yang tersangat jauh. Belum dicerita keadaan mak tu lagi. Tu kami yang ada kemahiran dan kelulusan dalam bidang perubatan. Mereka yang sengaja ni, tak terfikir ke sebarang kejadian buruk yang boleh berlaku? Allahuakbar.
Doula duli cikebum, saya dah tak nak mengulasnya. Sebab dah tahun 2022 pun masih ada yang berani mempertaruhkan nyawa sendiri dan anak demi janji bulan bintang yang ditabur. Kalau lah beranak tu mudah sangat, mengapa masih ada mortaliti?
Sebenarnya, ada kes-kes yang sampai di telinga saya tentang komplikasi bersalin di rumah. Ada yang bayi meninggal. Bayi tak diberi Vitamin K sampai mengalami pendarahan dalam otak. Neonatal jaundice yang mak ayah tak mahu bayi dirawat walaupun tahap teruk. Mak pula sampai tinggal nyawa-nyawa ikan dek post-partum haemorrhage.
Saya berdiam diri saja bila diberitahu cerita berani umat seagama saya yang terasa siri maksum. Benda ni mudah, pilihan masing-masing. Mungkin ni lah cara alam nak kurangkan populasi manusia yang songsang pemikirannya. Pada saya, mak ayah begini, jawab lah nanti di depan Tuhan, atas apa yang telah mereka pilih. Saya dah malas nak ambil pusing sebenarnya.
Lotus birth tu asalnya dari nama mat salleh Amerika, Clair Lotus Day, pada tahun 1974 yang beranak tapi tak nak potong tali pusat anak dia. Tiada kaitan dengan bunga teratai.
Lotus birth bermakna tali pusat anak tak dipotong. Uri pula dibiarkan bersama dengan bayi sampai lah tertanggal sendiri. Dalam 3 ke 10 hari.
Pada mereka yang ala-ala alami ni, kata mereka bayi akan sakit bila dipotong tali pusat. Pelik betul. Bayi sebaik saja dilahirkan, sistem pernafasan, peredaran darah tidak lagi bergantung pada plasenta tadi. Plasenta sudah tak ada gunanya pun lepas beberapa minit bayi lahir.
Uri yang keluar tadi mereka basuh dengan air. Lepas tu bungkus dengan kain. Tak lama dulu, mak ayah letak segala herba-herba termasuk minyak aromaterapi supaya uri tu tak busuk. Mereka angkut la uri dalam besen tu sekali bila bayi diangkat ke sana sini dalam rumah. Mereka biarkan sampai tali pusat tu jatuh sendirinya. Bayangkan berapa hari tu?
Fesyen terbaru sekarang, bayi tu berbaring sebelah besen yang saya syak berisi pasir yang biasanya kita gunakan untuk najis haiwan peliharaan kita. Uri tu diletak dalam pasir tu lah. Entah lah, saya tak boleh nak faham dan hadam apa yang bermain dalam fikiran mak ayah ni.
Kajian dah tunjukkan lotus birth tiada kebaikan pun. Keburukan lagi ada la. Sebab plasenta tu dah jadi tempat untuk pembiakan kuman dan disebabkan tali pusat bersambung pada bayi, senanglah bayi mendapat jangkitan akibat tisu uri dan tali pusat yang mereput. WHO dah bagitahu yang Delay Cord Clamping tu 2-3 minit saja. Bukan berhari-hari macam tu.
Lotus birth bukan ajaran Islam. Walaupun dalam Islam tak ada terangkan betul-betul cara nak uruskan uri bayi, tapi pandangan ulama’ Islam suruh kita uruskan uri anak tu dengan cuci bersih dan tanam dalam tanah. Sekalikan dengan pensel, paku bagai tu kepercayaan khurafat.
Kita ni kena berpatah balik pada landasan ilmu yang betul berdasarkan nasihat mereka yang pakar dalam bidangnya. Kenapa lah mesti melawan arus? Apa yang mahu mereka ni tunjukkan pada dunia? Yang mereka tu manusia pilihan Tuhan?
Nauzubillahiminzalik. Semoga Allah SWT membuka ruang di jiwa raga mereka untuk kembali ke pangkal jalan sebelum mereka ditimpa musibah yang buatkan mereka menyesal seumur hayat. Nyawa manusia tu bukan boleh dibeli ganti,” nasihat Dr Rusyainie Ramli.