
Allahu, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.Sakit tidak pernah sesekali mengenal usia. Siapa sangka budak perempuan ini baru berumur 10 tahun, namun telah disahkan menghidap kanser ovari.
Tanpa memahami apa yang dilaluinya berjuang dengan penyakit ini, Nur Nadira Balqis Abdul Khalid cekal meneruskan kehidupan tanpa ovari kanan selepas melakukan pembedahan pada Ogos tahun lalu.
Kanser Ovari Tahap 3
Menurut ibunya, Siti Khalijah Che Hat, 51, selepas pembedahan, Nur Nadira Balqis atau lebih mesra dengan panggilan Balqis banyak menghabiskan masa dengan melukis dan berubah menjadi pemalu.
“Pada mulanya dia mengadu sakit perut, saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor mendapati terdapat ketumbuhan di ovarinya, selepas itu pembedahan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan doktor mengesahkan Balqis mengidap kanser ovari tahap tiga.
“Kini dia sudah tujuh kali melakukan rawatan kimoterapi, namun saya perasan selepas disahkan menghidap penyakit itu Balqis berubah menjadi seorang yang pemalu dan kurang bercakap,” katanya ketika ditemui di Kampung Yoi, Pokok Sena, di Alor Setar.
Tumpang Rumah Adik
Ketika ditemui, ibu kepada lima orang anak ini sedang berehat dan masih lemah selepas menjalani pembedahan membuang bisul di belakang tengkuknya di HSB minggu lalu.
Dia berkata, ketika ini, dia dan Balqis terpaksa menumpang di rumah adiknya Mohd Dizan, 41, di kampung berkenaan berikutan tidak mempunyai kenderaan untuk berulang alik setiap hari ke HSB bagi mencuci luka pembedahannya.
Dalam masa yang sama juga, katanya, Balqis juga perlu dibawa ke HPP sebulan sekali untuk rawatan lanjut.
Pendapatan Tak Sampai RM500 sebulan
“Saya dan suami hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak sampai RM500 sebulan, tambahan di musim hujan, pendapatan kami akan turut terjejas, saya sekeluarga hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
“Tiada sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan, hendak beli baju raya untuk anak-anak pun tidak mampu, mujurlah anak sulung dan kedua saya sudah bekerja dan mereka lah yang membeli baju raya untuk adik-adik,” katanya yang berasal dari Batu 19, Kampung Bukit, Jalan Naka, Pokok Sena.
Sementara itu, nasib yang menimpa Balqis mendapat perhatian Pengarah Malaysia Global United Pageant 2019 (MGU 2019) yang juga duta kanser kanak-kanak, Tracie Tan dan Presiden Duta Kanser Kanak-Kanak Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib.Ketika kunjungan itu, mereka menyerahkan makanan asas serta wang tunai untuk membeli baju raya.
Orang ramai yang ingin membantu adik Balqis dan keluarga boleh hulurkan sumbangan ke akaun Maybank Siti Khalijah (152023491757) atau menghubunginya menerusi nombor 013-4679548.
MW: Semoga adik Balqis cepat sembuh dan cekal melawan kanser ovari yang dihidapinya pada usia muda. Diharap orang ramai dapat membantu keluarga yang sedang dalam kesusahan, lebih-lebih lagi pada bulan ramadan yang mulia ini.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Mengandung 11 Bulan Lebih Dari Biasa, Hujung Perkongsian.. Boleh Buat Anda Sayu!

Lapan tahun lalu, detik 6 Ramadan menjadi catatan sukar dilupakan buat wanita ini. Dia bukan saja perlu melalui kehamilan paling panjang 11 bulan, malah cuma sempat menatap wajah anak sulungnya untuk 1 hari sebelum bayinya itu dijemput pulang ke perkampungan akhirat.
Setiap detik kehamilan dicatat kemas-kemas. Jangan sampai dirinya terlupa, dia pernah mengandungkan anak paling luar biasa. Kerana tiket untuknya ke syurga sudah Allah sediakan di sana.
Ikuti perkongsian Puan Nur Azreen Salleh
Catatan Ramadan 2009
Pertengahan Syawal tahun lalu, aku mula alami alahan bau-bauan dan beberapa alahan lain. Yang sebelu ini tak pernah terjadi dalam hidupku. Berita kehamilanku sangat disenangi oleh ahli keluarga terutama suamiku yang bakal bergelar bapa buat kali pertama..
Pada peringkat awal kehamilan, aku cukup fokus dengan pantang larang orang tua-tua, dan juga nasihat doktor..
Maklumlah, ini kali pertama dan belum ada pengalaman.. Semuanya berjalan lancar sehinggalah satu berita yang aku terima, yang merubah segala suasana gembira dan bahagia dalam kehidupanku… Doktor mengesahkan bayi dalam kandunganku “anencephaly”…
Apa Itu Anencephaly
Bayi yang tidak mempunyai tempurung kepala. Dapat dikesan melalui kaedah scan. Pertumbuhan tempurung kepala yang tidak lengkap menjadikan saraf tunjang bayi tidak terbentuk dan otak bayi berada di luar.
Bayi boleh terus hidup selagi berada dalam kandungan kerana hidupnya di dalam rahim bergantung pada uri.
Bayi tidak akan dapat bertahan untuk hidup lama selepas dilahirkan kerana hidup seseorag manusia perlu bergantung pada otak dan saraf tunjang.
Mengikut rekod Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, bayi sebegini biasanya akan terus meninggal dunia ketika dilahirkan. Ada juga yang bertahan paling lama 2 hari.
Diari Mama Bermula
Mac 2009 (usia kandunganku 6 bulan)
Ketika inilah bayi dalam kandunganku disahkan sebagai bayi Anencephaly. Untuk mengesahkannya, suami membawaku berjumpa banyak doktor agar dapat melihat pandangan yang berbeza.
Namun, semua doktor berpendapat yang sama. Baik doktor biasa, mahupun pakar.. kerajaan dan juga swasta..
Ketika pengesahan dilakukan, aku diberikan tempoh seminggu untuk membuat keputusan sama ada ingin meneruskan kandungan sehingga cukup bulan atau menggugurkan kandungan tersebut.
Sudah semestinya aku tidak sanggup membunuh anak dalam kandunganku yang sudah mula aktif bergerak dan menendang2 perutku.. begitu jugalah pandangan dari kedua belah pihak keluargaku dan keluarga mertua..
ALLAH telah memberinya nyawa dan mengapa aku harus membunuhnya walaupun aku tahu aku tetap akan kehilangannya nanti.ALLAH yang memberi, maka ALLAH jugalah yang sepatutnya mengambilnya semula.
Maka keputusanku adalah untuk membawanya bersama-sama dalam kandungan sehingga cukup 9 bulan dan aku terus cuba bersedia menerima takdir pemergian anak sulungku ketika kelahirannya nanti.
April 2009 (usia kandungan 7 bulan)
Ketika ini, doktor kerajaan sibuk meneliti masalah bayiku. Pelbagai ujian dilakukan; ujian darah, ujian air gula, semuanya untuk mencari punca kenapa ia jadi begini.
Setiap kali di hospital atau di klinik, doktor pasti akan scan dan memerhati perkembangan bayiku. Sehinggalah suatu hari doktor kata “Baby awak kecik, due awak bukan 13 jun ni. Kalau ikut size sekarang, due awak 13 Ogos maknanya kandungan awak baru berusia 5 bulan bukan 7 bulan”
Sejak itulah, tarikh due aku ditukarkan ke bulan Ogos. Aku dan suami sangat tidak puas hati dengan pertukaran tarikh itu. Takkan due aku hampir sama macam kakak iparku sedangkan aku mengandung 2 bulan sebelumnya.
Dulu, aku dah disahkan hamil sedangkan kakak iparku masih berusaha mendapatkan zuriat selepas keguguran anak sulungnya.
Kini, doktor menjangkakan due aku pada 13 Ogos sedangkan due kakak iparku 14 Ogos.. cuma selang sehari. TAK MUNGKIN..
Aku dan suami merujuk pada pakar swasta kerana pakar kerajaan yang menukar due tersebut tidak mahu pertimbangkan apa yang kami perkatakan.
Maka pakar swasta bekerjasama dengan beberapa doktor klinik lain yang biasa aku kunjungi ketika awal kehamilanku.. mengkaji semula kes ini. Akhirnya mereka sependapat, due aku tetap 13 Jun.
Tetapi kerana bayiku tidak normal, doktor tetapkan jangka kehamilanku takkan lebih dari 18 Julai. Fakta tersebut berdasarkan tarikh aku disahkan mengandung dan rekod-rekod saiz baby setiap scan yang aku jalani di awal kehamilanku.
Jun 2009 (genap 9 bulan)
Aku masih tiada rasa sakit untuk melahirkan. Macam yang doktor pakar swasta kata, “baby awak x normal, mungkin lambat skit.. paling lewat 18 Julai”. Aku dan suami terus sabar menunggu dan kesakitan contraction sudah mula wujud.
Namun ia tidak kuat dan tidak kerap seperti contraction orang yang dah nak bersalin.. Ia datang selang sehari..
Julai 2009…
Tiba tarikh 18 Julai seperti yang dikatakan pakar swasta. Belum ada tanda-tanda melahirkan. Contraction yang dirasai sebelum ini masih sama. Tidak terlalu kuat dan tidak kerap.
Sesekali ia datang. peritnya tuhan saja yang tahu sehingga satu ketika aku tidak mampu menahan sakit, aku buat keputusan menyelesaikan masalah ini di hospital swasta.
Tidak sanggup menunggu hospital kerajaan yang menetapkan due aku 13 Ogos. Aku mahu segera bersalin, mengeluarkan anak dalam kandungan ini secepat mungkin.
Aku penat menunggu, aku letih menanggung sakit, aku harus menyelesaikannya dengan segera.
Aku tak mampu lagi. Aku lemah! Sedangkan orang sekeliling yang mengandung kemudian dari aku, semuanya telah selamat melahirkan. Aku makin down memikirkan semua itu. Aku dan suami merujuk pakar swasta lagi.
Tapi Katanya
“Awak memang boleh bersalin normal.. kalau tak sakit, kita boleh masuk ubat dan paksa baby keluar.. tapi bukan masalah kos awak bersalin normal di swasta (sekitar 1-2 ribu yang aku jangkakan aku mampu membayarnya)
Masalahnya bayi awak tu. Kosnya mahal memandangkan tempurung kepala dia takde, bila lahir nanti otaknye berada di luar. Jadi, bayi awak memang kena masuk ICU untuk rawatan rapi. Takut jangkitan kuman kerana kita semua tak tahu berapa lama dia boleh hidup.
Ada yang 2 jam, ada yang 2 hari, ada yang 2 minggu. Walau apapun, selagi dia hdup, kita mesti jaga dia dengan jagaan rapi sedangkan kos ICU di hospital swasta mencecah belasan ribu hanya untuk 1 malam.
Bukan saya tak nak bagi awak buat kat hospital swasta, tapi kalau awak bazirkan duit awak berpuluh ribu pun, akhirnya awak tak dapat apa-apa. Sedih je.. Jadi saya nasihatkan awak tunggu je la hospital kerajaan. Lebih murah dan mereka jaga rapi bayi awak nanti. Itu yang sebaik-baiknya.
Aku & Suami Terdiam
Ada betulnya kata doktor pakar swasta tu. Sekurang-kurangnya dia tak fikirkan keuntungan hospitalnya. Dia lebih concern pada pesakitnya. Niat aku untuk ke hospital swasta terbatal begitu sahaja juga niat untuk membuat pinjaman peribadi belasan ribu bagi tujuan itu juga terbatal. Aku pasrah..
Ogos 2009
Sakit contraction yang aku alami terlalu kuat pada suatu pagi. Suami bergegas menghantarku ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR). Tiba di sana, pemeriksaan dilakukan. Namun pintu rahim masih belum terbuka untuk bayi keluar. Aku diarahkan pulang.
10 Ogos 2009
Berlaku turun darah dan aku sekali lagi dibawa ke HTAR untuk pemeriksaan. Doktor tetap menegaskan pintu rahimku belum terbuka dan aku harus menunggu.
Selepas meneliti rekod kesihatanku, doktor mendapati aku adalah pesakit anemia(kurang sel darah merah) maka aku terus ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut. Doctor bimbang sekiranya berlaku turun darah lagi, ia akan menjejaskan kesihatanku.
Satu malam aku di wad bersalin Hospital Besar Klang (nama lama HTAR), tiada keluar darah walau sedikit pun..
11 Ogos 2009
Aku yang berada di wad bersalin sangat teruja melihat ibu-ibu disamping bayi yang baru dilahirkan. Mula terlintas di fikiran “Bila la anak dalam kandungan ku ni nak keluar”. Tak sabar rasanya. Dan tak tertanggung lagi seksa ini.. Oh tuhan, tolong daku!
Ketika lawatan oleh doktor yang memeriksa pesakit dari katil ke katil, terlintas untuk aku bertanya tentang bayi dalam kandungan ku. “Tak boleh ke doktor paksa je dia keluar atau operatelah saya untuk keluarkan bayi ni”
Doktor pakar yang turut bersama doktor biasa terus menarik kerusi dan duduk di sebelah katilku. Sessi kaunseling bermula. Pesakit dari katil lain semua memerhati doktor duduk di katil aku paling lama berbanding pemeriksaan dengan pesakit di katil lain hanya 5-10minit.
Kena Kaunseling…
Kata pakar kerajaan ini sambil diperhatikan doktor biasa yg lain:
“Kes awak ni tak sama macam kes normal yang lain.. Anak awak tak normal. Biasanya kes mcm ni kalau kita masukkan ubat dan paksa dia keluar pun, tetap tak jadi apa-apa, takkan ada tindak balas terhadap ubat tu. Sebaliknya risiko besar yang perlu si ibu tanggung.
Antara risiko besar tu adalah bila dah masuk ubat untuk paksa, tapi tak jadi apa-apa
1) Akan berlaku turun darah yang banyak. Awak sakit, tapi anak awak tak keluar juga. Awak dah la anemia, tak cukup darah. Boleh ancam NYAWA awak. (aku takut bila doc sebut pasal nyawa).
2) Bila dah paksa, tapi tak jadi, kita terpaksa operate awak. Kalau operate, awak akan kehilangan banyak darah. Pun boleh ancam nyawa awak. Lagipun, kalau awak operate, awak kena tunggu 2 tahun untuk mengandung balik. Tunggu luka operation tu betul-betul sembuh. Sebab awak anemia. Tak boleh suka-suka nak mengandung balik. Dua tahun campur 9 bulan lagi nak ngandung, lebih kurang 3 tahun baru awak dapat anak. Pihak hospital cuba nak kurangkan tempoh sedih awak dengan masalah anak sulung awak ni.
3) Sakit yang teramat sangat kala paksa atau operate. Bahaya untuk nyawa awak sebab awak ni ada anemia.
Jadi Sekarang…
Saya benarkan awak discharge.. awak balik rehat dan tunggu je. Awak kena sabar. Kes macam awak ni perlukan kesabaran tahap paling tinggi. Banyak pesakit kes macam awak ni yang stress dan mengalami gangguan mental.
Kalau mengandung normal, bila sampai due, tapi tak sakit juga, kita bagi tempoh tambahan seminggu. Paling lama 10 hari. Takkan lebih 10 hari. Sebabnya, kita nak jaga baby tu. Kita takut dia lemas atau dah mula buang najis kat dalam tu yang boleh menyebabkan dia lemas.
So, kalau dah 10 hari lepas due, kita memang akan paksa atau operate. Kita kena selamatkan baby tu daripada lemas.
Kes Awak Lain
We dont bother bout your baby anymore. We care bout your health, we want to safe u coz your baby, kalau lahir pun, memang tak boleh survive. So, for what kita nak risau pasal dia?? Kita patut risau pasal u. So kalau kes normal kita bagi limit 10 hari extra je.
U punye kes, xde limit. As long baby tu hidup dalam kandungan tu, awak boleh teruskan sampai sakit sendiri nak beranak. Kalau tak sakit juga, awak boleh teruskan lama mana pun.. but 1 day, awak tetap akan sakit untuk beranak.
Trust me. Dia tetap akan keluar. Unless kalau dia dah matured kat dalam, n dah mula buang najis, then dia lemas n meninggal kat dalam perut, walaupun awak tak sakit, kita tetap akan keluarkan dia. Of coz la, sebab dia dah meninggal for what u nak keep dia kat dalam
so, u kena banyak-banyak sabar. Kalau u dah fade-up dan tak sanggup nak teruskan kandungan, u boleh bagitau kita. Kita boleh paksa keluar atau operate. Tapi itu kehendak awak, dan semua risiko yang saya bagitau tadi, awak tanggung sendiri. Its your decision. Hospital punya decision, nak awak sabar dan tunggu je. Banyak rehat n jangan stress. Nanti effect mental awak.
13 Ogos 2009
Maka hari ini tibalah tarikh yang diberikan hospital kerajaan. Namun belum ada tanda-tanda bayiku ingin keluar ke dunia ini. 19 Ogos aku akan ke hospital lagi untuk pemeriksaan, tapi bukan untuk mendapatkan tarikh baru bersalin.
Tiada lagi tarikh baru selepas ini hanya perlu menunggu dan terus menunggu. Oleh yang demikian, aku dan suami masih terus menunggu dengan penuh sabar dan aku percaya, semua ahli keluarga juga begitu. Apa yang mampu kami lakukan cuma berdoa mengharapkan yang terbaik.
Kepada semua yang banyak memberi nasihat, kata semangat dan motivasi untuk aku dan suami.. TERIMA KASIH kami ucapkan. Inilah perjalanan mengandung 11 bulan yang aku lalui.
walaupun penuh keperitan dan penderitaan, namun ia satu pengalaman paling berharga yang pernah aku lalui sepanjang hidupku. Aku tak serik mengandung lebih lama dari usia kandungan biasa (9 bulan) kerana aku tahu ALLAH memberi peluang lebih lama untuk aku bersamanya sebelum ALLAH menjemputnya kembali.
Semoga ramadan yang akan datang tak lama lagi membawa rahmat dan menyelesaikan semua masalah ini. Aku yakin, pasti ada hikmah di sebalik semua ini.
To My Lovely Baby..
Mama n Papa akan tetap sabar menunggu kelahiranmu. Walau apapun keadaan dan bentuk fizikalmu nanti, kami redha, dan kau tetap anakku hingga akhirat nanti.
Mama tak pernah menyesal membawa kamu dalam rahim mama selama ini.. Mama gembira dapat bersama kamu walaupun hanya seketika..
Mama bangga kandungkan kamu 11 bulan lebih lama dari biasa.. Andai ditakdirkan memang umurmu tak panjang, mama yakin kamu akan doakan mama n papa dan tunggu kami di syurga kelak…
Tanggal 26 Ogos 2009
Bayi Puan Nur Azreen selamat dilahirkan ke dunia secara normal. Waktu lahirnya 5.30 petang bersamaan 5 Ramadan. Meninggal keesokan harinya 27 Ogos 2009 bersamaan 6 Ramadan jam 6 petang.
Hasil Kajian
Punca anenchephaly mengikut pendapat doktor menerusi kajian adalah kekurangan acid folic dalam badan si ibu.
“Tapi doktor yang attend saya maklumkan, kajian menunjukkan 5% je berpunca dari acid folic. Saya sendiri tak pernah skip makan folic acid sejak awal mengandung. Lepas kes ni, saya di sarankan ambil folic acid setiap hari selama 3 bulan sebelum rancang untuk hamil semula.”
Kini
selepas 4 tahun kehilangan anak sulungnya, Allah anugerahkan cahaya mata pengganti permata hatinya itu.
Al Fatihah buat si comel Zuhairah Raudhah Binti Mohd Zulkhairi. Nama indah yang membawa maksud Bunga Taman Syurga.
Sumber/Foto: FB Nur Azreen Saleh
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ajar Pesakit Mengucap Ketika Nazak, Jururawat Ini Hanya Mampu Tahan Sebak

Jururawat adalah insan yang paling dekat dengan pesakit terutamanya jika pesakit itu ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ketua Jururawat Azneza Aziz yang bertugas di Wad Perubatan 5, Wad Neuro dan Endokrin Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) punyai kisah yang boleh dijadikan pengajaran kepada semua.
Kerjaya Azneza sebagai jururawat bermula setelah tamat pengajian kursus kejururawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz PPUKM.

“ Jururawat ini adalah cita-cita saya semenjak kecil. Malah masa kecil dahulu saya selalu main-main jadi jururawat. Kini sudah hampir 17 tahun saya berkhidmat. Cabaran yang paling besar saya alami adalah apabila berhadapan dengan orang yang meninggal dunia.
” Sebenarnya semasa mula bekerja, perkara sebegitu amat susah untuk saya hadapi. Ditambah pula saya jenis orang yang akan menangis kalau melihat pesakit meninggal dunia. Memang sedih. Peristiwa yang paling saya ingat sekali adalah seorang pesakit wanita yang tua.
“Wanita tersebut menghidap penyakit buah pinggang. Setiap pagi seperti biasa saya akan melihat pesakit. Saya akan bercakap dengan wanita tersebut. Tetapi pagi itu, saya hendak beri dia sarapan pagi. Tiba-tiba saya lihat dia sudah meninggal dunia. Sedih juga perasaan saya mengetahuinya kerana sewaktu kematiannya anak-anak tidak ada di sekeliling.
“Perkara yang paling sukar saya hadapi juga adalah apabila hendak mengajar mengucap kepada pesakit yang dalam keadaan nazak. Sebenarnya kesukaran yang dihadapi adalah untuk menahan sebak dan air mata yang mahu keluar apabila berada dalam situasi sebegitu.
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam dan juga seorang jururawat untuk mengingatkan pesakit sementara warisnya tidak ada di sisi,” ujarnya yang mengakui pengalaman itu sangat berharga.

MENANGIS DENGAR TAKBIR RAYA
Azneza masih ingat kali pertama dia menyambut raya sebaik berkhidmat sebagai jururawat.
“Kami mempunyai giliran untuk bertugas di wad semasa hari raya. Jika tahun ini kami dapat cuti raya maknanya tahun hadapan kami kena bertugas. Biasanya jururawat baharu memang kena bertugas pada hari raya.
“Saya ingat lagi ketika masih baharu jadi jururawat memang saya tidak dapat balik raya. Sedih juga pada mulanya. Ditambah pula sebelum bekerja kita sudah biasa pagi raya itu dapat mencium tangan emak dan ayah di kampung yang terletak di Kuantan, Pahang.
“Memang saya tidak boleh mendengar orang bertakbir dan lagu raya sebab saya akan menangis. Saya ingat lagi ketika hari raya pertama saya kerja syif pagi. Bila balik dari kerja petang itu saya terus tidur sebab tidak mahu mendengar takbir sebab takut sebak.
“Pagi esoknya sampai sahaja di wad, suasana raya itu telah terasa apabila waris yang datang melawat pesakit mengenakan berbaju raya. Mereka turut membawa juadah raya. Masa itu barulah saya rasa seronok,”ceritanya.
SUAMI DAN ANAK-ANAK MEMAHAMI
Perasaan sedih itu semakin lama semakin berkurangan setelah lama bekerja. Apabila dia telah berkahwin dan kemudian gilirannya perlu bekerja di pagi raya, Srikandi bernama Azneza menerimanya dengan hati terbuka.
“Pagi saya bekerja, pada sebelah petang saya dan suami balik beraya di kampung yang terletak di Raub. Dapatlah juga merasa suasana raya. Kalau orang lain dapat bersalam dengan emak dan ayah pagi raya, saya pula hanya dapat melakukannya pada waktu malam.
“Suami dan anak faham situasi saya. Biasanya sekarang kalau saya bekerja pada hari raya, mereka akan menunggu saya dan kemudiannya kami beraya bersama-sama di KL. Suami sudah faham, kalau berkahwin dengan seorang jururawat, itulah yang dia lalui,”katanya.

MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Meriah! redONE Bersama Mingguan Wanita, Santuni Anak-Anak Yatim & Asnaf

Bulan Ramadhan adalah masa terbaik untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan mendekati golongan yang kurang bernasib baik. Mengambil inisiatif ini, redONE Foundation mewujudkan satu program yang diberi nama Colours of Ramadhan untuk membantu anak-anak yatim dan asnaf yang kurang berkemampuan.
Menariknya tahun ini, redONE Foundation berkolaborasi bersama Mingguan Wanita untuk menganjurkan Program Colours of Ramadhan menyantuni anak-anak yatim dan asnaf di negeri Johor.
Dua buah rumah kebajikan dipilih dalam program yang berlangsung selama dua hari, iaitu Rumah Anak Yatim Shafar, Johor Bahru dan Rumah Amal Qasih Cahaya Sumayyah, Pontian. Antara aktiviti Colours of Ramadhan yang dilakukan adalah membersihkan dan menghias surau serta mengadakan kelas mengaji Al-Quran.
![]() | ![]() |
Lan Solo dan Amira Othman antara artis yang turut serta menceriakan program Colours of Ramadhan redONE bersama Mingguan Wanita ke rumah anak-anak yatim di Johor.
Tentunya, kehadiran dua artis jemputan iaitu Lan Solo dan Amira Othman menyerikan lagi suasana dan memberi kegembiraan kepada anak-anak ini. Seharian mereka melayan anak-anak ini dengan ceria.
Anak-Anak Yatim Ini Rapat Bagaikan Adik-Beradik
Ketua Hal Ehwal Korporat redONE, Megat Ishak yang turut serta dalam program ke rumah-rumah anak yatim dan asnaf ini berkata, “Objektif program Colours of Ramadhan kali ini adalah untuk sama-sama menghayati bulan Ramadhan bersama mereka yang kurang bernasib baik, iaitu anak-anak yatim piatu,”
”Jadi kita berbuka puasa dan mengadakan aktiviti dengan mereka, supaya mereka tak rasa tersisih dari masyarakat.” Malah sepanjang bersama anak-anak di Rumah Anak Yatim Shafar, beliau turut kagum dengan anak-anak yatim tersebut.
”Saya senang melihatkan keakraban anak-anak yatim ini yang rapat seperti adik-beradik. Mereka juga menyambut kehadiran orang ramai ke rumah mereka dengan tangan terbuka malah boleh bergelak tawa serta melakukan aktiviti bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, pengasas Rumah Anak Yatim Shafar, Fauziah Shaik menjelaskan pihaknya tidak berdepan dengan masalah bekalan, namun ada perkara lain yang memerlukan bantuan ramai.
“Alhamdulillah, cukup makan. Namun, kami alami kekurangan dari segi bantuan pembelajaran. Terutamanya sukarelawan, guru-guru yang untuk mengajar anak-anak.
“Mereka (anak-anak yatim) datang ke sini kebanyakannya sehelai sepinggang. Baju sekolah, yuran PIBG atau pun aktiviti di sekolah, semua kita yang menanggungnya.
”Sekiranya ada di luar sana yang ingin bersedekah kepada anak-anak yang kurang bernasib baik, amatlah dialu-alukan.Terutama dari segi sukarelawan untuk mengajar atau membuat aktiviti bermanfaat untuk anak-anak ini mahupun keagamaan,” katanya
Aktiviti Colours of Ramadhan di Rumah Anak Yatim Shafar berakhir untuk hari pertama. Keesokan harinya, krew program Colours of Ramadhan ini akan mengunjungi rumah amal yang lainnya.
Anak-anak Yatim, Asnaf Ini Berhak Tinggal Bersama Keluarga
Program Colours of Ramadhan redONE bersama Mingguan Wanita memasuki hari kedua. Pada hari kedua ini, krew program meneruskan lawatan ke Rumah Amal Qaseh Cahaya Sumayyah. Di sini, mereka akan menjalankan misi Colours of Ramadhan dengan anak-anak di bawah naungan rumah amal ini.
Rumah kedua ini lebih unik kerana anak-anak yatim dan asnaf yang ada dikumpulkan di sekitar Pontian. Yang mana, senarai nama mereka diperoleh daripada sekolah, ibu-ibu tunggal dan kemudian dikumpulkan di dalam satu aktiviti.
Menurut pengasasnya, Sarimah Mohamad Lasim, “niat asal saya memang nak ada panti asuhan, rumah kebajikan saya sendiri. Tapi belum ada kemampuan. Saya kalau boleh, tak nak tengok rumah-rumah kebajikan yang mengumpulkan anak-anak yatim atau fakir miskin.
”Masyarakat Malaysia ini sebenarnya prihatin, ramai lagi golongan dermawan dan hartawan yang kita boleh ajak bersama-sama untuk membantu mereka, agar dapat membiarkan anak-anak ini tinggal bersama keluarganya.
”Kenapa kita tak nak ubah pemikiran mereka bahawa anak-anak ini mesti ada satu keluarga. Mereka berhak untuk mendapat kasih sayang keluarga bukan diasingkan,” jelasnya.
Melihat kepada objektif rumah ini, Megat begitu tertarik malah terharu dengan apa yang diusahakan pengasasnya. “Rumah ini lain daripada yang lain dan objektif mereka ini menunjukkan mereka ini perlu dibantu. Dan ini buat saya terharu. Mereka bukan saja golongan anak-anak yatim tapi ada keluarga yang asnaf,” katanya.
Sejajar dengan program yang berlangsung, pihak redONE Foundation ini juga mengharapkan agar lebih ramai lagi membuka mata untuk memahami akan kesukaran yang dialami anak-anak ini. Malah, sama-sama ringan tulang untuk menghulurkan bantuan kepada mereka. Terutama Ramadhan, kerana inilah masa terbaik untuk memanjangkan amalan bersedekah.
Jika anda ingin menghulurkan bantuan berbentuk wang ringgit kepada kedua-dua buah rumah ini boleh menderma di nombor akaun tertera :
Rumah Anak Yatim Shafar : 551593517469 (MAYBANK)
Atas nama : Pertubuhan Kebajikan Shafar
Rumah Amal Qaseh Cahaya Sumayyah : 01108010029295 (BANK ISLAM)
Atas nama : Cahaya Sumayyah Resources
Kekal Berhubung Dengan Yang Tersayang, Lebih Bermakna Dengan Pelan Postpaid Hybrid50U!
Dengan musim pandemik yang melanda membuatkan ramai orang terputus hubungan dengan yang tersayang. Mana taknya, bukan sahaja mereka kena duduk di rumah, malah nak merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman pun tak boleh. Kini, hanya panggilan telefon dan Whatsapp sahaja sebagai pengubat rindu.
Namun begitu, tidak semua orang mampu untuk berbuat demikian. Kebanyakannya terikat dengan data dan panggilan yang mempunyai had membuatkan mereka sukar untuk berhubung.
Dengan pelan tanpa had, redONE Hybrid50U anda tidak perlu risau kerana biarpun jauh dari yang tersayang, anda akan tetap berasa dekat. Boleh hubungi mereka bila-bila masa yang anda inginkan.
Pelan ini menyediakan data dan panggilan tanpa had ke semua rangkaian. Selain itu, pelan ini turut menawarkan 10GB data berkelajuan tinggi kepada penggunanya. Jangan risau, anda hanya perlu membayar RM50 sahaja sebulan dan menariknya, anda tidak akan terikat dengan kontrak apabila melanggan ke pelan ini.
Jika anda pernah disenarai hitamkan, jangan bimbang. Gunakan pelan ini dengan tenang. Apalagi dengan rangkaian 4G LTE terluas yang ditawarkan. Di kawasan pedalaman pun boleh dapat line!
Dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), redONE sentiasa memberikan kemudahan terbaik kepada para pelanggannya. Dengan itu, mereka boleh terus berhubung di media sosial dengan mereka yang jauh di mata, tapi dekat di hati.
Jika berminat untuk melanggan pelan Postpaid Hybrid50U, boleh lawati Kedai Rakan Niaga redONE yang terdekat atau layari redONE.com.my.
Penafian : Program ini dirakamkan pada tahun 2020 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Berkuat Kuasa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI