Sebut saja nama Hathim Thai tentu artis, selebriti mahu pun karyawan akan teringat sentuhan magisnya dalam solekan. Amy Mastura, Ziana Zain, Jacyln Victor, Faizal Tahir dan pengalaman dengan produksi filem terkenal seperti S Motion Pictures, Grand Brilliance, Tayangan Unggul dan banyak lagi adalah orang yang pernah mendapatkan perkhidmatan solekannya.

Ini semua tidak termasuk lagi dengan pengalaman dalam dunia komersial, travel VVIP yang memerlukan perkhidmatan solekannya, peringkat antarabangsa dan banyak lagi. Itulah pengalaman yang cukup indah dikutipnya sepanjang 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia solekan.

Menyepi Diri

Hari ini, Hathim Thai Ahmad Nazri, 47 tahun, tidak lagi seaktif dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu selama lima tahun kebelakangan ini dia banyak menghabiskan masa di rumah dengan menguruskan seorang anak angkatnya, Hadzriq Hadkim Hathim Thai Abdullah, 10 tahun. Semuanya kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan dia untuk meneruskan kerjaya seperti dulu.

Penulis turut menghubungi Hathim Thai untuk bertanya lebih lanjut dan berkongsi cerita tentang masalah kesihatan yang dialaminya itu. Menurut Hathim, dia mendiamkan diri bukan tidak ingin berkongsi cerita tetapi sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa sahaja.

“Sebenarnya, selama ini saya mendiamkan diri dan menguruskan kehidupan harian saya seperti biasa kerana tidak suka meminta simpati atau meminta-minta. Bukan apa, saya tidak mahu orang salah faham dan menganggap bila sakit mulalah hebohkan,” katanya lebih memikirkan perasaan anak angkatnya yang dijaga sejak kecil lagi.

Kurang Darah Merah

Bercerita lebih lanjut tentang masalah kesihatannya. Segalanya bermula pada tahun 2014. Selama ini, Hathim tidak pernah tahu badannya kekurangan darah merah. Sehinggalah, dia pitam di rumah.

“Kebiasaan waktu pagi, saya akan mengejutkan ibu sebaliknya pada hari itu, ibu yang mengejutkan saya. Namun, saya tidak dapat bangun dan hanya meminta ibu membawa saya ke hospital.

“Dengan bantuan jiran sebelah rumah, saya dikejarkan ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mendapati saya kurang darah merah dalam badan. Menurut doktor, badan kita perlu ada 15 beg darah merah sedangkan saya hanya ada empat beg darah merah sahaja dalam badan.

“Sudah tentu tidak cukup untuk saya survive. Malah, ia boleh merosakkan buah pinggang. Jadi doktor memasukkan dua beg darah merah ke dalam badan saya untuk memastikan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” cerita Hathim tentang masalah yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, semasa memasukkan darah ke dalam badan, mungkin kerana tekanan yang kuat menyebabkan darah pecah pada bahagian saraf mata. Kesannya saraf matanya berdarah dan memberi risiko untuk mata rosak dan lebih teruk hilang penglihatan.

“Dalam masa yang sama, saya berusaha untuk sembuhkan darah dalam saraf mata dan doktor memberitahu risiko agak tinggi kerana 50 peratus mungkin akan mengembalikan penglihatan dan 50 peratus lagi boleh menyebabkan buta. Kesannya, selepas cuci, mata sebelah kanan saya terus tidak nampak dan sebelah kiri hanya dapat melihat hanya 30 peratus sahaja,” kata Hathim yang kini pergerakannya agak terbatas.

Dialisis Tiga Kali Seminggu

Ekoran daripada masalah yang dihadapi itu, Hathim sekarang perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu dan rawatan tambah darah. Mujurlah, kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Syukur, saya mendapat bantuan sebanyak RM350 sebulan dan kos rawatan turut ditanggung oleh Baitulmal sepenuhnya. Dengan jumlah tersebut, tentunya tidak cukup untuk saya menanggung kehidupan dengan anak angkat,” kata Hathim lagi.

Kuat Demi Anak

Tiada yang Hathim harapkan selain ingin melihat anaknya bersekolah dan membesar seperti anak lain.

“Saya kuat demi kehidupan anak saya. Setiap hari saya berdoa agar saya diberi peluang untuk hidup agar dapat medidik dan membesar anak saya sehingga dewasa. Jika Allah ambil nyawa saya selepas itu, saya reda. Sekurang-kurangnya saya tidak rasa bersalah kerana sudah menjaga amanah yang Allah berikan,” katanya penuh harapan.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah sumbangkan ke Maybank (114066616039) atau BSN (1417441000063110) atas nama Hatim Thai Bin Ahmad Nordin 

Untuk cerita lebih lanjut, dapatkan majalah Mingguan Wanita keluaran Jun vol 2 2019 di pasaran nanti.