Alangkah bahagianya hati seorang isteri apabila seorang suami begitu prihatin dengan susah payah dan penat lelah isteri. Sayangnya, ramai suami tak nampak semua itu.
Wajah kelat isteri, dikatanya ingkar dari arahan suami. Walhal wajah kelat itu sedang PENAT. Bukan mudah nak urus rumah. Lagi bila anak rapat-rapat, kecil-kecil pulak tu.
Hadam ingatan yang Ustaz Ebit Lew nukilkan untuk dirinya sendiri. Satu ingatan yang cukup baik untuk suami fahami.
Kerana, inilah yang sebenarnya seorang isteri amat-amat harapkan. Suami yang prihatin dan faham akan susah payahnya.
Kasihan Bidadariku Ini Penat, Tak Sempat Dating Berdua
Paling bahagia dapat kayuh basikal berdua dengan bidadari tercinta. Kasihan bidadariku ini penat dan tak sempat masa dating berdua. Miss u sayang.
Ada sekali bila sampai rumah tengah malam. Dah 1 pagi. Tengok bidadari dah tertidur di sofa di ruang tamu. Tunggu suami seperti selalu. Rasa sebak lak.
Ya Allah kasihan bidadariku. Ampunilah dirinya, berilah kesihatan padanya.
Ads
Ya Allah beri syurga firdaus buat dirinya.
Perlahan-lahan beri salam supaya dia tak terjaga dan tutup pintu perlahan-lahan. Saya paling nikmat dan seronok bila lihat bidadari saya boleh berehat sikit. Yerlah mana sempat seorang isteri itu untuk berehat.
Masuk Bilik.. Tengok Ada Dua Bakul Besar Belum Berlipat
Saya masuk bilik tengok ada 2 bakul baju besar belum lipat. Ada sikit-sikit dah lipat. Penatnya bidadari saya.
Saya berusaha lipat semuanya. Terasa sakit pinggang. Terasa jenguh juga menghabiskan semuanya Dan puas juga tengok masa baju anak.
Ads
Sedih sebab tak tahu sangat mana baju anak mana. Sebab semua almari lain-lain.
Anak dah 4 orang. Sebak fikir macam manalah ibu, isteri, seorang wanita buat semua ini seorang diri dalam keletihan. Setiap hari tanpa rehat dan tanpa henti.
Semakin Lama Lipat Baju, Semakin Sebak
Dekat 2 jam lipat baju. Makin sebak rasa. Ya Allah ganjarilah dengan sebesar-besar ganjaran buat bidadariku. Kemudian masukkan dalam almari. Susun ikut almari masing-masing. Maknanya ada 6 almari. Semuanya lain-lain.
Ada baju siang. Baju malam, baju berjalan, baju di rumah. Ada baju tidur. Musim panas musim sejuk. Sedih rasa. Ya Allah.. ada baju kena gantung. Ada baju kena lipat.
Ads
Bila tengok dalam almari. Semuanya cantik kemas.
Hebat seorang wanita. Rupanya nak lipat kain pun penuh kesenian. Penuh ketelitian. Penuh sistem.
Takut bidadari saya terjaga. Kerana saya tahu bidadari saya penat jaga dan urus anak-anak. Itupun saya takkan terbalas jasanya. Ya Allah. Bidadari saya menangis kejut saya. “Kenapa abang buat semua ini. Abang penat berdakwah.”
Sebab abang lelaki. Abang sayang bidadari abang kerana Allah. Abang sihat. Sayang banyak pahala khidmat. Bahagiakan hati sayang buat Allah sayang.Abang nak pegang tangan sayang pimpin masuk syurga.
I love u sayangku bidadariku.
MW : Wahai suami, kalau ustaz Ebit Lew yang jadualnya sangat padat itu pun boleh lupakan rasa penat, bantu isteri lipat baju sebaik balik rumah. Kenapa tidak anda. Tak jatuh maruah pun sebenarnya bantu isteri hilangkan rasa penatnya itu.
“Saya sudah bertaubat, dia tetap tak maafkan.” Ayah tergamak buang anak hamil luar nikah gara-gara kesalahan anaknya itu.
Biarpun anak itu telah sedar perbuatan dan telah bertaubat, sang ayah tetap tidak dapat menerima anaknya lagi, apatah lagi cucunya itu.
Rata-rata netizen bersimpati dengan situasi yang dilalui gadis ini. Kongsi Baitus Solehah, perjalanan hidup yang mendukacitakan…
Apakah ada pelangi dihujung senja?
Saya Sudah Bertaubat
Perjalanan hidup ini telah ditentukan oleh Allah SWT dari awal lagi… Tak kira yang suka atau duka, malah yang bahagia atau derita dan yang senang atau sukar. Segalanya sudah ditentukan…
Masih airmata saya mahu mengalir untuk menaip berkongsi cerita ini. Sayu hati bila berfikir, rupanya masih ada seorang ayah yang kejam dan tidak ada hati kemanusiaan. Mungkin dia cuma fikir hidup cuma setakat di dunia sahaja. Ego sungguh ! Ego kerana tidak menerima qada dan qadar Allah.
Tiga bulan lalu ketika saya membawa pelatih ke sebuah Klinik Kesihatan berhampiran, sedang saya menunggu pelatih menjalani pemeriksaan antenatal, saya didatangi seorang ibu yang agak sebaya saya usianya.
Ibu itu bertanya, ” Ini ummi ke?”
“Hmm…ummi, ada apa ya?”
“Begini, saya ada masalah, anak saya hamil, tadi ketika jumpa doktor, doktor tu yang beritahu saya, cari seorang perempuan selalu berjubah hitam, berniqab dan ramai orang panggil ummi.
Lama saya perhatikan puan, dari puan datang bersama perempuan-perempuan muda yang hamil, saya beranikan diri untuk bertanya sebab saya tak tau nak cari di mana.”
“Ohh, begitu. Mana anaknya?”
“Ini anak saya, hamil 5 bulan. Siapa pun di dalam keluarga saya tak tahu keadaan dia. Boleh puan tolong saya? Ada kekosongan ke di tempat puan?”
“Insyallah , ada . Kebetulan seorang yang baru melahirkan sudah keluar semalam. Boleh lah dia daftar masuk. Bila nak masuknya?”
“Jika boleh hari ini. Nanti lepas balik dari kllinik saya terus ke tempat puan ya, boleh puan berikan alamatnya?”
“Baik, boleh hari ini .”
Ayah Tergamak Buang Anak
Tiba-tiba pelatih ini telah melahirkan bayi pramatang. Pada minggu 33 kandungan, bayi telah lahir dengan berat 1.8 kg (kilogram) sahaja. Bayi dan ibu ditahan di wad selama seminggu. Setelah ibu dan bayi sihat dan selamat, barulah mereka berdua dibenarkan dibawa pulang ke rumah.
Bayi ini mahu dipelihara sendiri oleh pelatih. Tidak mahu diserahkan kepada keluarga angkat. Perancangannya, waris (ibu) akan jemput pelatih untuk diletakkan di rumah ibu saudara pelatih. Tetapi di saat akhir, ibu saudara cuma mahu bayi, tak nak terima dan jaga ibu bayi.
Jadi perancangan waris bertukar. Tak pelah, mereka tak nak jaga ibu cuma nak bayi, maka tak jadi hantar ke sana. Jadi waris bertekad bawa pelatih ni dengan bayinya pulang ke rumah.
Tak sampai sejam, waris menelefon semula, terdengar bunyi esak tangisan di hujung talian. “Ummi, ayah dia tak nak terima.”
“Ayah dia tak nak terima ibu atau bayinya?”
“Dua-dua, ibu dan bayi, ayah dia dah buang dia. Ayah dia tak beri dia masuk rumah. Saya tak tahu nak hantar dia ke mana. Ummi tahu ke tempat lain yang boleh terima anak saya ni?”
Terdiam saya, sambil saya menangis, “Kenapa ayah dia tergamak buang anak? Anak itu sudah taubat dan berubah. Tekad hendak pelihara sendiri bayinya supaya dapat membina masa hadapan yang baru, kenapa ya?”
“Saya tak tahu ummi, suami beri kata pilihan pada saya. Sama ada nak anak atau suami? Saya cuma ada seorang saja anak perempuan, apa saya nak buat ummi? Mana saya nak pilih? Dua-dua ada hak untuk tinggal di rumah inikan?”
“Ya, dua-dua ada hak. Lagi pula , anak perempuan ini masih di bawah tanggungjawab ayah selagi dia belum berkahwin.”
“Ayah dia tak nak ummi, ayah dia tak mahu dia ada dalam rumah ni, ke mana saya nak letakkan dia ummi?”
“Begini sajalah, buat apa ramai orang tahu aib dan maruah dirinya, hantarlah semula dia ke Baitus Solehah. Saya sanggup saja jaga dia sampai mati. Dah ayah dia tergamak buang dia, buanglah dia dunia akhirat.”
“Baik ummi, nanti saya hantar semula ke sana ya.”
Ayah Terus Marah
Rupanya, satu barang pun belum diturunkan dari kereta ketika tiba di rumah tadi. Ketika waris yang bawa pelatih tiba di rumah, ayahnya telah ada di rumah. Apabila melihat pelatih turun kereta bersama bayinya, ayahnya terus marah. Dan berlakulah drama tanpa skrip.
Mereka tiba semula selepas solat maghrib. Ketika tiba, sebaik pelatih turun kereta, terus dia memeluk saya. Menangis di bahu saya, “Ummi, ayah dah buang saya, usahkan anak saya, saya pun ayah tak nak terima. Saya tahu saya dah buat silap. Tapi saya dah bertaubat, ayah tetap tak maafkan saya.”
“Tak mengapalah, mari masuk. Insyallah ummi jaga kamu.” Sambil saya pimpin tangannya masuk ke rumah. Bayinya saya kendong di tangan kanan.
“Bersabarlah dengan ujian ini, bukankah selalu dipesan, yang kamu akan diuji dengan ujian yang besar apabila kamu bertaubat dan ingin berubah menjadi baik? Inilah iman. Insyallah, jika kamu mampu melaluinya dengan redha, Allah akan pimpin kamu di jalan yang benar.”
“Allah nak uji janji dan ikrar kamu, dan kehendak Allah kamu berada di sini. Semoga rahmat Allah bersama kamu sentiasa. Usah risau akan rezeki kamu dan bayi ini, semuanya dalam jaminan Allah, kita hiduplah seadanya.”
Bertangis-tangisanlah kami semua. Padanlah kata bibik, ” Ketika dia pamit mahu pergi tadi, saya tak sedih pun. Rupanya dia pulang semula ke sini.” Bibik lagilah menangis mengogoi sedih melihat dia masuk dengan bahunya saya pimpin.
Sedih yang amat, apabila benar-benar berhadapan kisah nyata. Selalu tengok sinetron saja, cerita sedih yang diarah oleh penulis skrip.
Bagaimana akhiran kisah ini, hanya Allah yang mengetahui. Tinggal dia menjadi penghuni Baitus Solehah semula. Berapa lama tempohnya, hanya Allah yang tahu.
Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali.
Opah Cucu Seribu,
Mak Liza
Mingguan Wanita : Kesilapan yang telah anak lakukan adalah ujian buat semua, sama ada pada ayah atau anak. Memang tak mudah terima kenyataan yang menyakitkan, namun jangan ego hingga hingga membuang anak yang menjadi amanah pada mak, ayah.
Ibu lumpuh ini merupakan atlet sukan angkat berat, pernah dinobat tokoh sukan OKU, tokoh pemimpin OKU dan suri mithali OKU. Kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah satu alasan untuk dirinya berjaya dalam kehidupan. Sebagai seorang insan kerdil tiada yang dapat melawan takdir Yang Maha Esa. Kita semua pasti diuji, ada insan yang diuji dengan kesusahan dan kemiskinan ketika hidup. Ada yang diuji dengan kesakitan, dihidapi bermacam penyakit ketika hidup. Tidak terkecuali insan yang diuji dengan kecacatan dan lumpuh ketika hidup. Begitu jugalah dengan kehidupan yang melanda wanita yang bernama Sharifah Raudzah Syed Akil, 44 yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan ini.
Ibu Lumpuh Ini Merupakan Atlet Sukan Angkat Berat
Ibu kepada seorang cahaya mata yang pernah mendapat pendidikan menengah di SMK Rantau Panjang seterusnya menyambung pelajaran di Pacifuc Institute of Management, Kuala Lumpur & Pusat Pemulihan Cheras ini diuji demam panas ketika berusia dua tahun. Akibat dari itu ditakdirkan Sharifah Raudzah lumpuh dari aras pinggang hingga kaki. Namun nasib anak kedua dari lapan beradik ini cukup beruntung kerana ditakdirkan bertemu jodoh peneman hidup juga dengan seorang OKU yang rajin dan dedikasi, Mohd Kamaruddin Ibrahim. Mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Nik Amirul Mukmin yang sudah berusia 17 tahun.
Sumbang Pingat Kepada Negara
“Walaupun pada zahirnya kudrat seorang OKU lumpuh membataskan pergerakan dan pergaulan saya, namun kekentalan semangat membuatkan saya telah menyumbang pingat pelbagai warna (emas, perak dan gangsa) kepada negeri dan negara dalam Sukan Angkat Berat Paragames di beberapa negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia ,Vietnam,Taiwan dan China.
“Saya beruntung kerana menerusi Sukan Angkat Berat saya telah berjaya membuka mata insan lain dengan kejayaan yang saya perolehi. Saya juga telah menerima beberapa anugerah dan penghargaan, antaranya Tokoh Sukan OKU dan Tokoh Pemimpin OKU. Saya juga tela terpilih menerima anugerah Suri Mithali Kategori OKU pada Hari Saidatina Khadijah yang berlangsung baru-baru ini,” ujar Sharifah Raudzah yang turut aktif sebagai sukarelawan kepada NGO kebajikan.
Tekad & Semangat Kental
Sharifah Raudzah juga memgang prinsip siapa yang berusaha dia dapat (apa yang dihajati) dan sesiapa yang sabar dia akan berjaya.
“Yang bulat takkan datang bergolek, Yang pipih takkan datang melayang, itulah prinsip keramat yang terpasak teguh dalam diri saya dan juga suami. Saya tinggal di Kampung Cawas Tanah Merah dan mencari rezeki halalan thoyyiba dengan mengusahakan perniagaan pelbagai jenis kerepek di rumah.
“Suami pula mencari nafkah dengan kemahiran membaiki radio dan televisyen. Malah kami juga memiliki sebuah kereta yang telah diubahsuai untuk kegunaan OKU. Sebagai seorang OKU saya tanamkan azam supaya berdikari. Saya dan suami juga tidak perlu rendah diri kerana dilahirkan sebagai OKU. Paling penting, kita harus bangkit untuk meneruskan hidup. Jangan terlalu berharap kepada bantuan orang lain tanpa berusaha.Tidak perlu meraih simpati tanpa berusaha sendiri,” sambung Sharifah Raudzah .
Sharifah Raudzah juga berasa sangat gembira kerana dikurniakan suami dan juga anak yang begitu baik. Malah suami juga meupakan pendorong utama dalam kejaannya.
“Saya beruntung kerana Allah jodohkan saya dengn seorang lelaki yang begitu memahami dan banyak berkorban untuk memastikan saya berjaya. Anak juga merupakan pendorong dan juga kekuatan saya. Bukan itu saja saya juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh dari ibu, bapa, keluarga dan masyarakat. Malah kejayaan saya ini juga saya mau jadikan contoh dan ikutan terbaik buat insan lain,” tambah Sharifah Raudzah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sungguh, kalau ikhlas belanja isteri mesti rezeki yang luar biasa akan Allah kirimkan. Ini berlaku dalam situasi seorang lelaki berstatus ayah, saudara Ahmad Affzan Abdullah, yang mana dia sendiri pun tak sangka dapat rezeki berganda selepas belanja anak-anak dan isterinya.
Belanja Isteri Dan Anak
Satu malam, aku bawa keluarga pergi makan di kedai. Biasanya begitulah bila aku dapat tempahan khat. Beri duit pada Mak dan belanja anak isteri. Maklumlah, aku bukannya bergaji tetap.
Sedang kami membelek menu, anak aku tiba-tiba nak order set yang agak mahal.
“Kita pilih yang lainlah ya. Itu mahallah. Yang lain pun sedap juga,” kata isteri aku memujuk.
Beliau isteri yang baik, selalu menjaga situasi ekonomi kami sekeluarga. Sentiasa urus bajet.
Aku fikir, tak mengapalah. Untuk anak isteri makan ini, aku tak berkira sangat. Aku yakin setiap yang kita nafkahkan, pasti Tuhan akan bagi ganjaran.
“Dia nak yang mana?” aku tanya.
Isteri aku menunjukkan gambar set makanan yang anak aku suka itu.
“Tak apalah. Order je. Sekali sekala.”
Sukalah anak aku dapat makanan yang dia nak. Kami pun makan dengan girang.
Esok pagi, aku dapat mesej Whatsapp.
“Zan, akak nak order khat sempena birthday suami akak.”
Alhamdulillah, aku pun cepat-cepat balas.
“Nak saiz berapa besar kak? Biasanya kalau di rumah, saiz 3×2 kaki dah ok.”
Selepas buat congakan (agaknya), pelanggan tadi bersetuju untuk tempah saiz 3×3 kaki.
“Ok, nanti kejap lagi akak bank-in duit.”
Tiba-tiba malam itu, beliau mesej lagi.
“Zan, tak jadilah saiz 3×3. Suami akak nak saiz 4×3 kaki pula. Berapa harganya tu?”
Wah, tambah saiz. Pucuk dicita ulam mendatang. Aku pun bagi harga pada beliau. Nampaknya beliau pun macam dah setuju.
Syukur, aku cadang saiz kecil, pelanggan nak yang lebih besar. Jarang juga jumpa begini. Selalunya memang aku cadangkan yang kecil sebab takut pelanggan ada bajet yang terhad.
Malam itu, beliau masukkan deposit ke dalam akaun aku. Alhamdulillah, lega rasanya bila dapat satu lagi tempahan. Macam kau lega dapat gaji bulan-bulan.
Esok pagi, pada pukul 8.27, aku dapat mesej.
“Zan, sorry sorry. Tukar saiz lagi. Kali ni last. Nak saiz 5×4, melintang,” pelanggan yang sama menghantar mesej buat kesekian kalinya.
“Abang akak kata alang-alang, nak saiz besar terus. Rezeki anak bini awak, Zan.”
Allahu.
Aku teringat set makan yang anak aku suka tempoh hari. Teringat belanja keluarga makan-makan di luar.
Sedikit saja aku korbankan demi kegembiraan anak-anak dan isteri, Tuhan beri balasan dalam bentuk ini. Daripada saiz 3×2 kaki asalnya, pelanggan terus ‘upgrade’ ke saiz 5×4 kaki.
Jangan Berkira Dengan Anak Bini
Kawan-kawan,
Kita ini kadang-kadang terlupa. Untuk diri sendiri, untuk jamu kawan-kawan sekolah, boleh saja kita berbelanja lebih dari biasa.
Tiap malam main futsal, beli PS4, beli rokok, beli gajet, beli segala peralatan untuk hobi kita. Semuanya boleh.
Namun isteri dan anak-anak, makan ala kadar sahaja. Itu pun bercatu.
Berkira.
Anak nak makan sedap sikit, kita kata jangan membazir. Cari ikan yang paling murah di pasar. Jimat.
Isteri pakai baju yang 10 tahun sudah pun, kita tak mahu tukar baru. Katanya, orang lelaki pakai baju tak tukar-tukar pun, okey saja.
Ya, selalunya dengan isteri dan anak-anak, kita selalu bagi alasan berjimat. Kalau dengan orang lain, boleh pula berbelanja.
Prioriti. Kadang-kadang kita lupa yang mana perlu didahulukan.
Aku tidak kata, setiap hari kena belanja anak isteri makan sedap-sedap atau beli baju banyak-banyak. Tidak. Ikut kemampuan masing-masinglah.
Aku pun bukan selalu makan di luar. Waktu dapat projek besar atau tempahan khat lebih sikit, aku kongsilah kegembiraan itu dengan keluarga.
Bila ‘sejuk’, duduk di rumah makan apa yang ada juga. Waktu perlu berjimat, aku berjimatlah. Jangan pula ada duit, tapi gaya kau ikat perut itu sampai menyiksa keluarga.
Aku juga tidak maksudkan supaya kau boros berbelanja. Asal anak kau nak mainan saja kau terus beli walaupun kau berhutang sana sini. Isteri kau nak gelang emas berkoyan-koyan pun kau sanggup pinjam duit dari along. Ini sudah silap.
Yang aku maksudkan ialah jangan berkira untuk keperluan asas mereka. Makan, minum, selesa tempat tinggal, pendidikan, pakaian, beli ubat. Kalau ada duit lebih, guna untuk keperluan mereka dahulu berbanding orang lain.
Betulkan Mentaliti Dulu
Kemudian kau kena betulkan juga mentaliti. Belanja anak isteri ini bukan tips untuk jadi kaya. Apa yang Tuhan beri balik pada kau, itulah yang terbaik. Niatkan untuk dapat pahala dan reda Tuhan. Mungkin Tuhan tidak balas dengan duit, tapi balas dengan rezeki lain.
Aku cerita ini sebagai contoh yang kau mudah nampak, supaya kita semua sedar yang Tuhan itu Maha Kaya. Dia boleh beri rezeki dari jalan yang tak terduga dan dalam apa jua bentuk sekalipun.
Yang penting jangan berkira dengan ahli keluarga. Dahulukan mereka, insya-Allah banyak ganjaran yang Tuhan akan beri sebagai ganti.
“Dan apa pun yang engkau nafkahkan maka itu dianggap sebagai sedekah bagimu hingga kepada suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
“Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengannya engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengannya hingga kepada satu suapan yang engkau berikan ke mulut isterimu.” (Hadith riwayat Muslim).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Saharul Ridzwan diuji sakit di hari jadi isteri, Saharul Ridzwan syukur keikhklasan pasangan menjaganya "aku nampak kasih sayang Allah. Pelakon Saharul Ridzwan memuat naik...