Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 anjuran Mingguan Wanita dan NONA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta MyMall telah melabuhkan tirainya dengan menerima lebih 10 ribu pengunjung selama tiga hari di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya baru-baru ini.
Karnival ini menampilkan lebih daripada 100 reruai yang mempamerkan pelbagai produk daripada usahawan wanita tempatan, termasuk produk kecantikan, makanan, dan fesyen.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat antaranya termasuklah isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad, YAM Tengku Temenggong Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din serta Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd Syamil Fahim.
Acara ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti bengkel dan forum keusahawanan antaranya termasuklah sesi perkongsian bersama, sesi santai bersama selebriti usahawan, serta persembahan artis tempatan.
Ads
Antara selebriti dan usahawan yang berkongsi ilmu mengenai bidang perniagaan termasuklah Cikgu Samm seorang usahawan yang aktif dalam memberikan bimbingan kepada usahawan tempatan mengenai cara memborong produk dari China secara dalam talian, usahawan dan pereka kasut terkenal, Christy Ng, jurusolek dan personaliti media sosial, Mek Dinda dan beberapa lagi personaliti dan usahawan tempatan.
Selain itu, platform e-dagang MyMall, yang diterajui oleh KUSKOP, turut menyediakan sesi taklimat untuk para usahawan tempatan dalam usaha membantu mereka memahami kaedah mengembangkan perniagaan melalui strategi digital terkini.
Ads
Sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai tawaran menarik oleh para peniaga di samping beberapa aktiviti pentas yang berjaya menarik minat para pengujung antaranya termasuklah pertandingan ratu karoks, ratu jengga dan beberapa aktiviti lain.
Ads
Acara Kemuncak
Di malam kemuncak Karnival Usahawan Wanita 2024, seorang pengunjung bertuah telah menerima hadiah istimewa berupa penginapan 2 hari 1 malam di The Villas, Sunway resort Hotel bernilai RM5,000.00.
Penganjuran Karnival Usahawan Wanita 2024 berjaya mencetuskan gelombang perubahan dalam kalangan komuniti, terutama golongan wanita, untuk mendalami ilmu dan potensi perniagaan mereka, serta memperkukuh jaringan perniagaan dalam komuniti keusahawanan Wanita. Semoga inisiatif seperti ini diteruskan pada masa akan datang untuk terus memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita mencapai kejayaan.
Mudahnya nak menjadi pemilik bisnes dengan adanya saluran yang tepat dan pengetahuan mengenainya. Jadi, wanita kini tidak boleh lagi menjadikan alasan sebagai suri rumah untuk tidak mempunyai pendapatan sendiri.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mewujudkan MyMall sebagai inisiatif digital yang inovatif, membuka peluang luas kepada Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) serta koperasi untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Dengan matlamat utama untuk memperkukuhkan ekosistem keusahawanan digital Malaysia, MyMall menyediakan platform percuma yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pengguna dan pembeli secara lebih meluas, membantu mereka memanfaatkan ekonomi digital secara optimum.
MyMall menawarkan akses kepada pasaran digital secara percuma, membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan mereka tanpa kos yang tinggi. Sehingga kini, lebih daripada 2,600 usahawan telah menyertai MyMall, dan platform ini telah mencatatkan jumlah jualan mencapai RM8.85 juta.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen KUSKOP dalam membantu memperkukuhkan daya saing usahawan tempatan, terutamanya bagi mereka yang berhadapan dengan cabaran untuk memasarkan produk secara fizikal.
Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 yang dibawakan oleh Mingguan Wanita dan Majalah NONA bakal berlangsung dari 8 hingga 10 November ini telah mendapat sokongan penuh daripada KUSKOP, melalui salah satu inisiatif digital utama mereka, MyMall.
Karnival tersebut menjadi satu platform pembangunan ekosistem keusahawanan digital, MyMall yang merupakan sebuah platform percuma yang membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) serta koperasi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian.
MyMall akan membuka reruai bagi memperkenalkan platform ini kepada lebih ramai wanita usahawan. Usaha ini bertujuan untuk menarik minat dan memberi kesedaran kepada golongan wanita tentang manfaat menggunakan MyMall untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih luas.
Selain itu, MyMall akan menawarkan peluang pembiayaan, sesi latihan keusahawanan, dan strategi pemasaran digital, yang semuanya bertujuan untuk memperkasakan wanita usahawan dengan ilmu dan akses kepada kemudahan yang diperlukan dalam era perniagaan digital.
Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 bakal menjadi platform terbaik untuk para wanita menjelajah potensi besar dalam perniagaan digital dengan MyMall. Jom kunjungi Karnival Usahawan Wanita Malaysia 2024 bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, hujung minggu ini!
Sepanjang bulan Oktober lalu, Hard Rock Hotels, Cafes, dan Casinos di seluruh dunia ‘berubah warna merah jambu’ dengan mengambil bahagian dalam usaha mengumpul dana untuk menyokong Hard Rock Heals Foundation®, cabang kebajikan Hard Rock, di mana hasil kutipan akan disalurkan kepada American Cancer Society dan badan amal tempatan.
Hard Rock Hotel Desaru Coast terus memperkukuhkan dedikasi mereka terhadap bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan mempromosikan pengesanan awal dan pencegahan dalam komuniti Johor.
Projek istimewa yang telah berlangsung selama lima tahun itu telah menunjukkan komitmen Hard Rock Hotel Desaru Coast mengumpul dana untuk ‘Prosthesis Project’ bersama Breast Cancer Support Group (BCSG) Johor Bahru, yang telah menyumbangkan prostesis yang mengubah kehidupan kepada 100 orang penyintas kanser payudara.
Salah seorang artis paling ikonik Malaysia, Sheila Majid, menunjukkan sokongan beliau untuk bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan menandatangani gitar eksklusif untuk Hard Rock Hotel Desaru Coast.
Gitar ini akan menjadi tumpuan utama kempen PINKTOBER, mengingatkan kita tentang bagaimana muzik dapat menyatukan komuniti dan menginspirasi tindakan untuk tujuan yang bermakna. Anda boleh melihat gitar ini di acara PINKTOBER Tribute Night Event.
Tetamu hotel juga berpeluang menyokong bulan PINKTOBER dengan pelbagai cara di Hard Rock Hotel Desaru Coast. Sama ada anda menikmati menu istimewa PINKTOBER di Sessions, mendapatkan barangan eksklusif PINKTOBER di Rock Shop, atau sekadar menikmati suasana, anda turut menyumbang kepada pergerakan global untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.
Pada tahun ini, kerjasama Hard Rock Hotel dengan BCSG menjadi lebih bermakna dengan menghasilkan resipi berkhasiat daripada kebun komuniti yang diusahakan oleh Chef Eksekutif Halim Chek Lah bersama sekumpulan penyintas kanser payudara.
Inisiatif ini bukan sahaja menekankan kepentingan pemakanan sihat untuk pencegahan kanser, malah memperkasakan penyintas dengan berkongsi perjalanan mereka melalui sajian yang menyihatkan. Buku resipi ini dijual pada harga RM40 dan semua hasil jualan akan didermakan kepada BCSG.
‘Prosthesis Project’ adalah inisiatif yang kami sertai sejak lima tahun lalu bersama BCSG. Projek ini bertujuan menyediakan prostesis yang berkualiti kepada mereka yang telah menjalani pembedahan mastektomi. Melalui hasil kutipan dana, kami telah membantu menyediakan prostesis kepada lebih 100 wanita, menjadikan hidup mereka lebih selesa dan yakin,”ujar Chef Halim.
Sebagai seorang chef, saya percaya makanan bukan sahaja mengenyangkan perut tetapi juga dapat menyatukan komuniti. Melalui projek ini, saya dapat menggunakan kemahiran saya untuk mencipta resipi yang menyokong gaya hidup sihat, khususnya bagi mereka yang sedang pulih daripada kanser payudara,”ujarnya lagi
Saya berharap projek ini akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai pejuang kanser di luar sana. Kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan terus memberi inspirasi kepada mereka melalui program kesedaran dan aktiviti kulinari.
Sokongan anda, sama ada melalui pembelian buku resipi atau menghadiri acara kami, sangat bermakna. Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberikan semangat kepada mereka yang sedang berjuang. Setiap langkah kecil membawa impak yang besar.
Chef Halim mengakhiri perbualan dengan harapan bahawa usaha kecil ini dapat mencetuskan gelombang perubahan positif dalam kehidupan ramai individu. Projek ‘Prosthesis Project’ adalah bukti nyata bagaimana gabungan kreativiti, komitmen, dan kasih sayang dapat memberikan harapan kepada mereka yang memerlukan.
Penggunaan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia, terutamanya dengan penambahan stesen pengecasan di kawasan bandar utama. Namun, perjalanan ke Pantai Timur sering dianggap mencabar oleh pemilik EV kerana infrastruktur pengecasan yang masih terhad.
Baru-baru ini, saya diberi kesempatan menyertai konvoi khas untuk pemandu wanita anjuran MyZEVA, dengan kerjasama TNB Electron, Gentari, dan ChargeSini. Konvoi ini membawa kami menjelajah Pantai Timur selama tiga hari, melalui perjalanan yang menyeronokkan, apatah lagi memandu beberapa jenama kenderaan EV yang baharu dan semakin dikenali di Malaysia.
Ini merupakan kali kedua penulis berpeluang mengikuti konvoi khas anjura MYZEVA ini di mana tahun lalu, kami memandu kereta EV ke Kuantan, Pahang. Tapi kali ini perjalanan semakin ‘jauh’ sehingga ke Kelantan dan Terengganu.
Pengalaman memandu kenderaan EV tahun lalu telah membuka ruang dan peluang untuk saya memiliki sendiri kenderaan EV setelah merasai sendiri keseronokan dan kelebihan memandu kenderaan EV terutamanya di ibu kota.
Perjalanan bermula dari TNB Bangsar, Kuala Lumpur, menuju Kota Bharu sejauh 600km. Saya berpeluang memandu GAC Aion Y Plus, MPV elektrik lima tempat duduk yang menawarkan reka bentuk “one-box” unik dengan ruang dalaman yang luas. Aion Y Plus menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan DC sehingga 80 kW, membolehkan pengecasan pantas sepanjang perjalanan kami ke Pantai Timur.
Meskipun terdapat beberapa stesen pengecasan sepanjang perjalanan antaranya termasuklah di antaranya Pahang Technology Park di Gambang. Di sini, pengecas DC 60kW Gentari membantu mengecas bateri dalam masa hanya 20 minit, membolehkan kami meneruskan perjalanan tanpa kebimbangan.
Selain itu, jika anda tidak ingin berhenti di RnR, anda juga boleh merancang untuk singgah ke Petron Kampung Gemuruh di mana jaraknya kira-kira 124km dari RnR Paka. Di sini, Petron dengan kolaborasi bersama TNB Electron telah menyediakan stesen pengecas EV – menawarkan output sebanyak 34kW yang boleh diakses menggunakan aplikasi Go To-U.
Harga pengecasan yang ditawarkan adalah RM1.40 per kWh, menjadikannya pilihan yang berpatutan untuk pengecasan sebelum sambung perjalanan ke Kota Bharu.
Sepanjang perjalanan dari Paka ke Kota Bharu, saya berpeluang mencuba Neta X. Ia dilengkapi motor elektrik berkuasa tinggi 120 kW, NETA X mampu mencapai kelajuan 0-100 km/h dalam masa 9.5 saat. Bateri LFP 62 kWh memberikan jarak pemanduan sejauh 480 km (NEDC) dengan satu cas penuh, sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Untuk mengekalkan penggunaan tenaga yang optimum dengan baki jarak dari Petron Kg. Gemuruh ke Hotel Perdana sekitar 147km, mod perjalanan yang digunakan adalah mod ECO. Ini bagi memastikan penjimatan tenaga yang baik sebelum tiba ke lokasi pengecasan yang seterusnya.
Hotel Perdana di Kota Bharu juga menyediakan kemudahan pengecasan yang komprehensif, membuktikan usaha meningkatkan akses pengecasan EV di Pantai Timur semakin giat dilakukan.
Untuk tetamu yang menginap di hotel, anda disarankan untuk menggunakan pengecas AC dengan kuasa output 11kW dan 22kW. Ini bagi menjimatkan kos pengecasan – yang mana ia ditawarkan pada harga RM0.90 per kWH.
Selain dua pengecas AC, Hotel Perdana Kota Bharu juga turut menampilkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2yang boleh digunakan untuk pilihan pengecasan pantas pada harga RM1.50 per kWh. Hari pertama perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan tamat dengan jayanya dan masa untuk berehat.
Hari kedua pula, saya berpeluang memandu Xpeng G6 yang memiliki kecekapan penggunaan yang sangat bagus dengan purata penggunaan tenaga sekitar 15Wh/100km atau 6.67km bagi setiap 1kWh.
Secara teori, bateri 87.5kWh membolehkan Xpeng dipandu sejauh 583km untuk satu pengecasan penuh. 2. Xpeng G6 hanyalah seberat 2025kg – sebuah kenderaan elektrik yang menawarkan gabungan antara kuasa dan keselesaan.
Sebelum bergerak ke Kuala Terengganu, kami sempat singgah di Dataran Rehal, Kota Bharu bagi sesi merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kenderaan yang terlibat dalam konvoi media wanita ini.
Kami mengucapkan selama tinggal buat bandar Kota Bharu sekitar jam 10.30 pagi di mana kami meneruskan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu Petron Selising. Di sini, kami berhenti untuk makan tengahari sambil menerokai stesen pengecas terbaru oleh TNB Electron di cawangan Petron ini.
Petron Selising ini merupakan stesen minyak yang pertama hadir dengan stesen pengecasan untuk kenderaan elektrik di Kelantan. Penambahan lokasi pengecas EV di Petron Selising akan menjadi lokasi strategik terbaru bagi TNB Electron untuk memudahkan akses pengguna EV di kawasan ini.
Menurut TNB Electron, penawaran ini adalah selari dengan misi mereka – di mana kira-kira 100km perjalanan, anda akan menemui stesen pengecas EV yang seterusnya (jarak antara Petron Kg Gemuruh ke Petron Selising adalah sekitar 117km).
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan jaringan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur tetapi juga membantu mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.
Dengan adanya pengecas DC berkapasiti tinggi iaitu 100kW di Petron Selising, pemandu EV kini mempunyai pilihan untuk mengecas dengan pantas ketika melalui laluan ini. Kemudahan pengecasan ini diharap dapat memudahkan perjalanan jarak jauh, khususnya bagi mereka yang melakukan perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur dan sebaliknya.
Selepas selesai makan tengahari, konvoi meneruskan perjalanan ke Pantai Penarik sebelum tiba ke destinasi seterusnya. Sebelum menamatkan hari kedua yang bakal melabuhkan tirainya di Raia Hotel & Convention Centre, konvoi berhenti di Mydin Gong Badak untuk menerokai stesen pengecasan EV yang disediakan oleh ChargeSini.
Dengan kehadiran ChargeSini di pusat membeli-belah kegemaran rakyat Terengganu, nampaknya, pengguna EV di kawasan Terengganu mungkin akan lebih tersenyum lebar. Ini kerana langkah ini memberi peluang kepada pengguna untuk mengecas kenderaan mereka sambil membeli-belah atau menguruskan urusan harian di pusat beli-belah tersebut.
Stesen pengecasan yang disediakan oleh ChargeSini ini menawarkan satu pengecas DC 60kW dengan dua nozel CCS2. Dan untuk pengecasan di pengecas ini, harga yang ditawarkan adalah RM1.39 per kWh.
Berdasarkan pengalaman rakan-rakan media yang membuat perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada hari ketiga, rata-rata sudah mula memahami ‘rentak’ pemanduan kenderaan EV berbanding hari pertama perjalanan ke Kota Bharu.
Mana tidaknya, kenderaan elektrik bukan sahaja tampil dengan prestasi yang bertenaga tetapi juga menawarkan pelbagai ciri bantuan pemanduan yang menjadikannya stabil dan mudah dikendalikan walaupun dalam perjalanan jarak jauh.
Mengenai pengecasan pula, untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu, kami berhenti hanya berhenti sekali untuk pengecasan iaitu di Pahang Technology Park di Gambang. Ini kerana ia merupakan destinasi yang paling ideal untuk berhenti sebelum meneruskan perjalanan semula ke TNB Bangsar, Kuala Lumpur.
Disebabkan konvoi ini menampilkan bilangan kereta EV yang banyak, maka ia beri kesan kepada tempoh menunggu kami di Pahang Technology Park. Ini kerana jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Pahang Technology Park agak jauh, sekitar 328km. Jadi, apabila tiba di stesen pengecasan Gentari ini, masing-masing mempunyai peratus bateri yang rendah iaitu kira-kira 5% hingga 10%.
Pengalaman memandu tiga model EV yang berbeza selama tiga hari ini benar-benar membuka mata saya tentang potensi kenderaan elektrik. Memandu kenderaan elektrik (EV) dari Lembah Klang ke Pantai Timur merupakan pengalaman yang cukup berbeza dan menarik.
Sebelum memulakan perjalanan, perancangan rapi adalah kunci. Pengguna EV perlu menyemak lokasi stesen pengecas sepanjang laluan, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih terhad infrastrukturnya.
Aplikasi navigasi EV dalam kenderaan menjadi sahabat setia sepanjang perjalanan. Selain itu, memastikan bateri dicas penuh sebelum bertolak adalah langkah penting untuk mengelakkan sebarang kebimbangan.
Salah satu momen yang menarik adalah ketika berhenti di stesen pengecas. Ia memberikan peluang untuk berehat seketika, menikmati pemandangan atau mencuba makanan tempatan seperti lemang di Bentong atau ikan patin masak tempoyak di Temerloh. Pengecas pantas biasanya mengambil masa sekitar 30-45 minit untuk mengecas 80%, memberikan masa yang cukup untuk merehatkan badan.
Perjalanan ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon. Perasaan bahawa anda menyumbang kepada usaha memelihara alam sekitar sambil menikmati keindahan semula jadi Pantai Timur menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.
Walaupun bilangan stesen pengecasan di sepanjang laluan Pantai Timur maish lagi terhad, namun disebabkan perancangan yang teliti tentang jarak dari satu stesen ke stesen yang lain yang masih lagi dalam jumlah kilometer yang tidak jauh, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebimbangan kehabisan kuasa bateri.
Untuk pengetahuan anda, menjelang tahun yang mendatang, TNB Electron turut menyasarkan untuk membuka lebih banyak lagi stesen pengecasan bateri – dengan jarak dari satu stesen ke stesen yang lain sekitar 120km menjadikan pemanduan lebih tenang dan selamat.
Jika anda seorang pemandu wanita yang ingin mencuba pengalaman memandu EV sambil menikmati keindahan Pantai Timur, itinerari ini mungkin menjadi panduan terbaik untuk anda. Perjalanan ini bukan sahaja mendekatkan saya dengan keindahan alam, tetapi juga menunjukkan kepada saya bahawa masa depan pemanduan benar-benar berada dalam tangan teknologi elektrik.
Memandu kenderaan EV ke Pantai Timur adalah pengalaman yang memerlukan sedikit perancangan tetapi memberikan kepuasan tersendiri. Selain menjimatkan kos dan mesra alam, ia juga membuka perspektif baharu tentang masa depan pengangkutan di Malaysia.
Secara keseluruhannya, pengalaman memandu EV ke Pantai Timur menawarkan cabaran, tetapi juga keseronokan yang tiada bandingan, dengan manfaat alam sekitar yang lebih bersih dan pengalaman pemanduan yang lebih nyaman.
Bagi wanita yang ingin mencuba, pastikan anda bersedia, dan nikmati perjalanan anda dengan tenang dan yakin!
Buang bayi lelaki baru lahir belakang rumah bongkar sumbang mahram dua beradik bawah umur di Besut. Ketahui kronologi penuh, siasatan polis dan tindakan lanjut.