Setiap manusia miliki jalan cerita hidup yang berbeza. Kehidupan juga ibarat mungkin hari ini kita berbahagia dan bergembira, namun esok lusa masih belum ketahuan. Kadang-kadang pernah juga merasakan hidup ini tidak adil kerana berkali-kali kecewa dengan takdir. Namun siapa kita untuk menghalangnya.

Celik

Setiap ujian pasti ada hikmahnya. Mungkin daripada pengalaman getir ini membuatkan mata kita lebih celik melihat kehidupan orang lain. Biar pun berat untuk dipikul, wanita yang sering tersenyum ini siapa sangka sedang bertarung melawan kanser payudara tahap dua.

Lebih menyentuh naluri keibuannya, bila mana anak keduanya juga kemungkinan turut menghidap kanser. Azlina Aziz, 44 tahun langsung tidak malu untuk menceritakan detik awal disahkan menghidap kanser.

Pada awalnya, dia hanya menyedari ada kelenjar bengkak di bahagian payudara. Tanpa membuang masa dirinya ke hospital dan membuangnya. Namun, tidak sampai sebulan kelenjar berkenaan muncul semula tetapi kali ini di bawah ketiak pula.

“Selepas menjalani biopsi, doktor sahkan saya mengidap kanser tahap 2. Jadi, saya terus sahaja buat prosedur mammogram dan scan tetapi tidak kelihatan tanda mencurigakan.

“Saya kemudiannya membuat rawatan pembedahan bagi membuang kelenjar berkenaan dan setelah melakukan biopsi, barulah doktor mengesahkan yang saya penghidap kanser tahap dua.

“Kanser saya mula dikesan pada tahun 2016 dan setakat ini saya telah menjalani enam kali rawatan kemoterapi. Terbaru, sekali lagi pada tahun 2018 ini dikesan ada pula ketulan lain yang tumbuh. Bagaimanapun doktor beritahu jika ketumbuhan itu kecut, saya tidak perlu menjalani apa-apa prosedur,” jelas Azlina satu-persatu.

Kanser Tidak Bererti Harus Menyerah, Azlina Masih Teruskan Hidup Macam Biasa Walau Kanser di Tahap 2

Tidak Membuang Payudara

IKLAN

Dalam masa yang sama, biar pun diserang berkali-kali,Azlina tetap bersyukur  kerana tidaklah sampai ke tahap membuang payudara kerana ia bukan dari sel yang aktif. Buat masa sekarang, ibu ini hanya menjalani rawatan di hospital dan mengambil ubat mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Saya tidak pasti bagaimana boleh menghidap penyakit ini tetapi salah satu sebabnya mungkin juga disebabkan keturunan. Arwah nenek saya ada menghidap kanser payu dara dan sepupu sebelah ayah pula menghidap kanser hidung.

“Selain itu mungkin juga disebabkan saya dulu pernah mengambil suplemen berbentuk jeli sebagai minuman harian. Ketika bekerja di sebuah syarikat mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan diri suatu masa dahulu, saya ada mencuba produk daripada kolagen sebagai suplemen kesihatan,” ungkapnya reda dengan ujian Tuhan.

Kanser Tidak Bererti Harus Menyerah, Azlina Masih Teruskan Hidup Macam Biasa Walau Kanser di Tahap 2
Azlina bersama 20 ‘cancer survivor’ lain hadir untuk sama-sama menjayakan sesi yang cukup bemakna buat mereka.

Ambil Produk Untuk Cantik

Jelasnya lagi, hampir dua tahun dia bekerja di situ dan menjadikan produk tersebut sebagai minuman harian. Pendek kata, Azlina ini dianggap sebagai testimoni kepada produk berkenaan. Baginya, mungkin itu hanya menjadi salah satu faktor, selebihnya berada di bawah kuasa Tuhan.

Nasihatnya kepada semua wanita agar berhati-hati dengan pengambilan produk suplemen yang membabitkan kesihatan. Barangkali hari ini kita sihat dan miliki kulit yang cantik, namun dalam tempoh jangka panjang akan memberi kesan sampingan yang memudaratkan.

IKLAN

Begitu juga dengan anaknya bernama Nadia yang kemungkinan menghidap kanser, akui Azlina, mungkin itu disebabkan pemakaian produk pemutih wajah.

“Anak saya memang ada guna sabun pencuci wajah yang juga bertindak untuk memutihkan wajah seseorang. Mula-mula ada bintik kecil tumbuh di bahagian pipi kanannya. Apabila dia menjalani ujian biopsi, doktor beritahu kemungkinan dia menghidap kanser kulit.

“Walaupun begitu, anak saya seorang yang positif dan kuat seperti saya. Semangatnya tidak pernah jatuh dan kami sama-sama memilih untuk bersikap positif. Insya-Allah akan ada penyembuhnya dan selagi itu saya tidak henti putus berdoa pada Tuhan,” jelas Azlina yang cukup positif berdepan dugaan kritikal ini.

Kanser Tidak Bererti Harus Menyerah, Azlina Masih Teruskan Hidup Macam Biasa Walau Kanser di Tahap 2

 Teruskan Kehidupan Seperti Biasa

IKLAN

Wanita memang hebat dan kadang-kadang diri sendiri sukar mengenal pasti daripada mana datangnya kekuatan. Biarpun Azlina menghidap kanser, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Malah rutin hariannya tetap berjalan seperti biasa.

“Seperti tiada apa-apa yang berlaku, saya pergi kerja macam biasa dan meneruskan kehidupan macam orang lain juga. Saya tidak mahu orang lain tahu yang saya sedang sakit, termasuklah anak-anak. Saya tidak bagi tahu secara direct penyakit ini kepada mereka, tetapi anak-anak tahu jika saya masuk wad untuk menerima rawatan kemoterapi.

“Cuma saya tak benarkan mereka datang menjaga saya. Sebab saya tak mahu mereka nampak ‘down’ bila melihat keadaan saya ketika itu. Dalam hal ini, saya berterima kasih pada suami yang sentiasa bagi sokongan tidak berbelah bagi,” tambahnya yang mempunyai empat orang anak dari usia 7 tahun hingga 23 tahun. Malah dia juga sudah mempunyai tiga orang cucu hasil perkahwinan anak pertamanya.

Rupanya-rupanya ini bukanlah kali pertama Azlina diuji. Bercerita kisah lampaunya, Azlina memberitahu ketika usianya 17 tahun, dia juga pernah berhadapan dengan masalah ketumbuhan tumor di bahagian ovarinya. Keadaan ini menyebabkan darah haidnya datang secara keterlaluan.

Kala itu, dirinya perlu mendapatkan rawatan di hospital dan telah menjalani kemoterapi sebanyak enam kali. Tetapi peristiwa itu berlaku ketika sebelum kahwin dan tidak sangka selepas berkahwin dan miliki cucu, Azlina disahkan pula menghidap kanser payudara.

Kanser Tidak Bererti Harus Menyerah, Azlina Masih Teruskan Hidup Macam Biasa Walau Kanser di Tahap 2
Ditemui ketika dalam majlis ‘Styling Series Warriors Makeover Cancer Awareness’ anjuran @hashtagsrihartamas di Styleannexe dan Coffee Bay.

Letih Lalui Kemoterapi

Azlina mengakui setelah enam kali menjalani rawatan kemoterapi dan sudah tentu kesan dialami sangat meletihkan. Selain rasa nak muntah, demam, termasuklah ulser di mulut dan rambut jadi gugur. Dirinya juga pernah tidur seharian dengan memakai baju yang sama ketika buat rawatan kemoterapi di hospital sehari semalaman gara-gara keletihan melampau.

“Sepanjang tempoh itu, saya memang tidak menjalani sebarang rawatan alternatif dan juga mengambil mana-mana suplemen. Hanya menjalani rawatan di hospital mengikut prosedur di tetapkan.

“Walaupun sudah dua tahun mengidap kanser payudara, saya tidak pernah merasakan diri ini serba kekurangan. Saya menjalani rutin harian seperti biasa, saya pergi kerja dan aktif dalam bersukan terutama bermain bola jaring. Saya reda dengan dugaan Tuhan dan menerimanya dengan hati yang tabah,” tambahnya lagi yang turut mengingatkan kaum wanita segera pergi menjalani rawatan jika ada timbul tanda mencurigakan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI