‘Kahwin lain boleh, nafkah anak tak bagi.’ Orang lelaki, jangan hanya pandai buat anak. Lepas buat anak, bercerai kemudian lupa tanggungjawab.
Bila penceraian berlaku, yang berpisahnya suami dan isteri. Tidak terputus hubungan ayah dan anak-anak. Anak-anak masih menjadi tanggungjawab seorang ayah.
Kahwin Lain Boleh
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Kahwin lain boleh, nafkah anak tak boleh bagi…
Bila bercerai, yang diceraikan itu isteri, bukan anak. Bila sudah terputus hubungan, yang putus itu dengan isteri, bukan anak…
Anak itu tetap anak kandung, malah anak itu tetap darah daging sendiri. Nama anak tetap dinasabkan atas nama ayahnya. Hendak kahwin berapa kali pun boleh, asalkan nafkah anak yang dijaga bekas isteri itu dibayar dan ditunaikan.
Ads
Orang pompuan sudah set dalam kepala dia, “Orang lelaki ini hanya pandai buat anak.”
Sebab yang jaga anak itu adalah orang perempuan dan yang besarkan anak juga adalah ibunya. Bila sudah bercerai atau berpisah, tetap juga anak-anak dijaga oleh orang perempuan…
Orang Lelaki
Si ayah hendak merapu, mahu bebas atau ingin bercinta memadu asmara dengan sesiapa pun, bekas isteri tak mahu tahu. Bukan suami dia lagi, buat masa ini dia hanya mahukan nafkah anak dari bekas suami. Itu saja.
Tak perlu dia kena naik turun mahkamah dan tak perlu dia upah peguam atau tak perlu dia saman-menyaman. Jika bekas suami lelaki yang baik, ada lagi akhlak dan nilai-nilai seorang ayah dalam diri, maka dia akan tunaikan hak si anak tersebut…
Dia kena jaga kebajikan dan pendidikan serta hubungan anak dengan ayah kerana itu semua masih di bawah tanggungjawab dia, kewajipan dia sebagai seorang lelaki yang berstatus ayah…
Ads
Benda ini, kalau tuntutan bekas isteri tidak dipeduli, tak dihiraukan, buat tak layan. Maka terlepaslah tapi sekadar di dunia. Di akhirat, tetap tak lepas…
Sangkut bang…sangkut…
Mingguan Wanita : Buat mak-mak di luar sana yang berdepan dengan masalah ini iaitu bekas suami culas bayar nafkah anak, anda berhak membuat tuntutan di mahkamah. Jangan biarkan anak terseksa.
Adatlah hubungan menantu mentua, ada pasang surutnya. Cuma janganlah terlalu tenggelam dalam kebencian sehingga tak nampak baiknya mentua. Begitulah sebaliknya mentua memandang menantu.
Apa pun, suami mahupun anak lelaki itu sendiri kenalah memainkan peranan yang bijak menyelesaikan konflik antara isteri dan juga ibu sendiri. Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Perkongsian Puan Ezatul Marini tentang ibu mentuanya ini ‘sweet’ sungguh. Ada pelajaran yang boleh diambil teladan oleh pasangan anak-anak muda yang baru mendirikan rumahtangga.
2 NOVEMBER 1996
Selepas Asar, 22 tahun lepas, kami tinggalkan emak di tempat istirehat abadi. Dengan esak tangis dan rasa sayu sebak kami tinggalkan emak di kawasan lapang itu. Terhentilah hingga di situ segala bakti dan kebaikan yang dapat kami sumbangkan untuk emak dan tamatlah sudah episod menagih doa yang baik-baik dari emak buat kakak-kakak ipar dan suami saya.
ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Semasa dijemput pulang, emak berusia 67 tahun. Bertubuh besar (125Kg) dan bersosok tinggi, saya tidak pernah mampu memegang emak dengan kuat setiap kali emak selesai mandi.
Rutinnya, selesai mandi, emak akan laungkan nama encik K kerana hanya beliau yang cukup gagah untuk memimpin emak berjalan dari bilik mandi ke ruang tengah rumah.
Saya pernah mencuba tunjuk kuat dan akhirnya kami sama-sama terjelepok di pertengahan jalan. Emak hanya ketawa bila saya minta maaf.
Emak rajin memasak dan memang airtangan emak sedap selalu. Dek kerana keadaan kesihatannya, emak tidak mampu berdiri untuk memasak. Jadi dapur memasak diletakkan di lantai, emak akan duduk di depannya dan kita bertugas membantu emak ambilkan apa sahaja yang emak minta.
“Mimi, ambikkan pinggan.”
“Mimi, letak pelengat ni kat situ.”
“Mimi… hihihi marah awak ye Mak panggil banyak kali,” itu pengakhiran skrip setiap kali emak panggil saya lebih dari 3 kali dan emak dah nampak saya mula rimas duduk bangun berkali-kali.
Tapi sampai kah hati kita hendak simpan rasa marah bila emak cukup bijak memujuk. Ada saja kata- kata lucu yang akhirnya buat kita tergelak sendiri.
Memandu Dari PJ Ke Keramat, Demi Sebekas Kuih
Emak sangat sayangkan cucu-cucunya. Semasa emak tutup usia, cucunya ada 6 orang – Amirul, Hasrul, Ainil, Salwa, Hadi dan si kecil Aida. Yang berlima itu tinggal di Keramat, di kuarters TNB Keramat dan si kecil Aida yang pada waktu itu berumur lingkungan 8 bulan, sekali- sekala emak yang mengasuhnya.
Punya emak sayang pada cucu-cucunya, bila dia menggoreng jemput-jemput pun kalau terkenang, kami akan disuruh hantarkan ke rumah kakak ipar. Memandu dari Petaling Jaya ke Keramat demi menghantar sebekas kuih? Kami OK aje, dapat juga jumpa mereka yang keletah dan manja.
Emak sangat “resourceful”. Dek kerana emak tak mampu berjalan dan berdiri, “walker” si kecil diikatkan tali yang dipegangnya. Kalau dah jauh cepat- cepat ditarik dekat dengannya. Waktu senggang emak gunakan untuk mengajar mengaji dan berzanji.
Saya yang waktu itu baru sangat menjadi menantunya sesekali diminta gantikan beliau mengajar mengaji. Untuk kanak- kanak saya OK aje tapi kalau untuk makcik-makcik biasanya saya angkat tangan.
Emak juga selalu minta saya belajar berzanji yang akhirnya hanya sempat saya tuntut ilmunya sekejap sangat sebelum emak semakin uzur.
Bila Suami Anak Manja Emak Mentua ku
Rutin waktu makan pula, setiap hari emak akan minum segelas susu Anlene, jadi tugas saya membancuh susu tersebut dan letakkan di meja sementara tunggu emak habis mengajar mengaji.
Lepas makan biasanya emak akan duduk di ruang depan, menonton TV. Banyak kali kita akan tergelak sendiri bila tertangkap emak yang sudah tertidur sambil duduk. Biasanya cepat- cepat saya hulurkan kusyen.
“Hihihi…emak tak tidor pun. Mata emak memang macam ni,” tu memang jawapan standard. Waktu petang, terutamanya kalau cuti emak suka minum-minum di depan anjung. Setiap yang lalu-lalang semua ditegurnya, kadang-kadang diajak singgah minum. Bila kita tegur atau tanya siapa, jawapannya mudah, “Entah, mak pun tak konal…sajalah tegur.”
Encik K anak manja emak. Kadangkala sebelum tidur emak akan panggil anak lelakinya itu mintak tolong urutkan atau garu belakangnya dengan sikat bulat dan saya tidak terkejut langsung bila terpandang encik K mencium tapak kaki emaknya. “Syurgakan?” itulah selalunya jawapan encik K
Suamilah Penyelesai Konfrontasi Menantu, Mentua
Hubungan saya dengan emak tidaklah sentiasa harmoni. Ada juga sesekali berlaku kecil hati dan pergeseran. Pernah juga kedua-dua kami konfrontasi, tetapi untungnya, encik K bertindak sebagai orang tengah yang bijaksana. Cepat- cepat saya mohon maaf dengan emak dan kami berbaik semula.
Aduhai, dalam rumah itu ada 4 orang sahaja. Ayah, sentiasa dalam biliknya dan ayah memang pendiam. Encik K, kalau angin berlian dalam mulutnya sampai memang tak akan bercakap langsung. Jadi saya hanya ada emak yang selalu memujuk dan menjadi kawan saya bercerita.
Saya bernasib baik dikurniakan kakak-kakak ipar dan biras yang menolak “sengketa”. Ada apa pun perasaan kecil hati atau terkilan, kakak-kakak selalu gunakan pendekatan memaafkan dan “move on”.
Dah lama sangat kami berkumpul dalam keluarga yang sama jadi sebolehnya kami raikan apa sahaja yang berbeza.
Saya rindukan nikmat beremak mertua. Sebagaimana, Farida Jalal dalam Kuch Kuch Hota Hai sebutkan pada Shah Rukh Khan (Rahul Khanna), dia rindu nak mengumpat menantu dek kerana menantunya meninggal awal, saya juga rindukan perasaan beremak mertua.
Bukanlah pula bermaksud untuk mengata dan mengumpat atau bermusuh dengannya tapi rindukan suasana berkumpul dan belajar banyak perkara dari emak mertua yang baik dan sporting sepertinya.
Kenangan gambar lama bersama ibu mentua.
Penting Letak Allah Dan Suami Diawalnya..
Saya tidak mahu kongsi tips bagaimana sepatutnya melayan dan menyantuni emak mertua kerana saya pun tak sempat mengecap perasaan itu lama. Cukuplah sekadar saya katakan dalam menangani dan menyantuni keluarga mertua, selalu letakkan Allah dan suami diawalnya.
Kalau kita mampu bina hubungan yang harmoni dengan keluarga suami, adakah suami kita akan bahagia atau sebaliknya? Kalau suami kita gembira agaknya ada tak doa baik- baik yang akan beliau khususkan untuk kita?
Benar, memang wujud keadaan bilamana mentua dan ipar duai memberi cabaran, itu saya tidak akan nafikan. Doalah sebanyak-banyaknya agar semuanya jadi baik-baik belaka.
Carilah titik tengah yang mampu leraikan sedikit kekusutan atau perasaan kurang enak yang kita atau mungkin mereka simpan.
Al fatihah buat emak. 22 tahun tanpa emak, kami sunyi dari gurau senda dan lagu-lagu yang emak nyanyikan untuk dodoikan cucu-cucu. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah selalu memayungi emak.
MW : Al fatihah untuk mentua Puan Ezatul, ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Wanita atau isteri memang sensitif, bukan perasaan semata tapi seluruh anggota tubuh sebab dialah perawat keluarga. Jika isteri tiada perasaan atau kurang sensitif sudah tentu tak lengkaplah sesebuah keluarga.
Sikap seorang isteri dan ibu yang sensitif segala hal secara tak langsung memberi impak positif kepada Keluarga. Ikuti perkongsian Siti Suryani Yaakop ini dan hadam baik-baik iya.
Isteri Wajib Sensitif Bukan Perasaan Semata
Dikatakan orang perempuan ini sensitif.
Betul. Tapi bukanlah sahaja daripada perasaan dia semata-mata.
‘Seluruh anggota tubuh dia pun turut sama sensitif. Sebab apa Tuhan jadikan begitu?
Sebab dia penjaga dan perawat satu keluarga. Kalau tak sensitif jiwa dia, dia tak ada rasa, intuition, gerak hati.
Telinga dia. Kalau masa anak kecil dulu, tak payah tunggu baby itu meraung. Cukup ‘hek’ je, kadang mak sudah terjaga. Buka lampu. Tengok apakah kebendanya (apa yang berlaku).
Tangan dia. Super sensitif. Kadang dia tengah mandikan anak itu pun, dia sudah tahu budak itu nak demam.
Belum periksa suhu lagi. Baru acah-acah hendak demam saja. Panas sikit saja daripada biasa. Dan memang. Memang betul anak itu nak demam.
Mata dia. Pakailah cermin mata tebal mana pun, tajam lagi. Cuba kalau dia jumpa rerambut dalam lauk. Dari tengok gitu saja, dia tahu itu bulu ketiak ke, bulu hidung ke, bulu kaki ke.
Hidung dia. Ini hyper power. Kalau ada orang kentut dalam kereta, dia boleh kenal. Itu milik siapa. Anak dia ke, suami dia ke. Dia tahu bezakan walau dari bau pahit itu hendak dekat sama. Ada bezanya. Perempuan saja tahu.
Kena Sensitif Sebab Isteri Perawat Keluarga
Allah buat berbeza-beza. Isteri bab perasaan dan gerak hati ini dia tinggi. Kalau punya emosi keras kejung, dia tak boleh support emosi seluruh ahli family. Anak merajuk. Suami stres kerja. Kalau dia tidak ada sense ini, mana mereka semua hendak meluah rasa.
Suami pula bab kerja keras-keras lepas itu perhabis duit dekat ahli keluarga, dia hebat.
Tenaga dia tinggi. Siapa yang mampu kerja macam nak mati siang malam, lepas tu habis duit bayar bil, beli makan, bayar kereta, bayar bedak isteri padahal dia sendiri pun tak pakai bedak.
Dan timbal balik itulah yang akhirnya membentuk sebuah FAMILI!
Selamat pagi.
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
MW: Hidup berkeluarga ini saling melengkapi, jika isteri sensitif segala hal, suami pula sebaliklah. Barulah bahagia rumah tangga yang dibina.
Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak apabila dapat membahagiakan hati kedua mak ayah tercinta. Terharu sungguh melihat video yang dikongsikan oleh pelakon Emma Maembong atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Embong, 26, membuat kejutan istimewa buat ayah tersayang, Ismail Embong, 70, dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah yang selama ini menjadi idaman ayahnya.
Menurut pelakon Awak Suka Saya Tak ini, kejutan istimewa itu adalah bersempena dengan hari jadi ayahnya baru-baru ini.Emma berkongsi detik istimewa itu di laman Instagram miliknya, serta ada meluahan perasaan bagaimana dia mula bekerja semenjak umur 15 tahun untuk membantu bapanya sebagai seorang pelukis.
“Dari kecik kawan-kawan mesti cerita “ ayah aku CEO”, “ayah aku kerja besar”, “ayah kau Emma cuma pelukis je. Boleh hidup ke? Kau pula tak sekolah macamana mana nak jaga ayah kau.
“Dari umur 15 dah mula berkerja untuk bantu ayoh. Belajar membaca sendiri, belajar erti hidup. Bila kita berjalan banyak benda perlu berlajar sendiri. Banyak cabaran dan dugaan tapi apa-apa pun yang jadi usaha paling penting.
“And This is for you ayoh. Thank you sebab jaga Tima dengan baik. Dari kecil sampai besar. Tima cuma nak ayoh dan mama bangga dengan Tima. Hope you like. Love you so much ayoh,”
A post shared by EmmaMaembong (@emma_maembongofficial) on
Setahun Kerja Keras Kumpul Duit
Emma Maembong berkata, dia perlu menabung untuk menghadiahkan ayahnya dengan sebuah kereta mewah idamannya. Malah menurut Emma, dia sudah tahu keinginannya ayahnya itu sejak setahun yang lalu.
“Tahun lalu ayah ada naik kereta Mercedes milik kawan saya dan dia sangat suka dengan kereta itu. Tapi memikirkan harga agak mahal, ayah diam sahaja.Sejak itu, saya nekad bekerja keras untuk kumpul duit. Sepatutnya hari lahir ayah bulan April lalu tapi ketika itu wang simpanan saya tak cukup lagi.”
“Alhamdulillah selepas setahun menyimpan, saya dapat hadiahkan kereta itu kepada ayah,” kata pemenang Ratu Telenovela dua tahun berturut-turut ini.”
Mengulas mengenai kemenangannya pada Sabtu lalu di Anugerah Telenovela 2018, Emma, 26, akui dia masih lagi dalam keadaan yang terkejut kerana tidak menyangka takhta Ratu Telenovela sekali lagi menjadi miliknya.
“Saya hadir malam itu hanya untuk memberi sokongan. Tidak menjangka sebarang kemenangan pun.Lagipun saya fikir, tak kanlah juri nak pilih saya lagi tahun ini sebab tahun lalu dah menang. Tambahan pula, ada ramai lagi pelakon-pelakon yang hebat.Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua juri kerana memilih saya,” ujarnya.
Emma sebelum ini memang diketahui begitu rapat dengan ayahnya dan sering berkongsi pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama ayahnya di laman Instagram. Tahniah buat Emma Maembong, semoga bertambah dimurahkan rezeki kerana membahagiakan ayah tersayang. Pengorbanan orang tua pastinya takkan dapat terbalas namun kita sebagai anak berusahalah untuk berbakti dan menggembirakan hati mereka dengan dengan apa juga cara selagi mereka masih bernyawa.
Ibu Aizzat tak mampu lupakan tragedi anak mati dibuli, "bibirnya lebam. Bibir itulah juga saya pernah susu dan suapkan nasi.Tanyalah pada mana-mana ibu, jika...