Akur dengan takdir dan jodoh yang tidak berpanjangan, usahawan wanita terkenal Siti Arifah Amin atau lebih dikenali dengan panggilan Joy Revfa walaupun kini bersendirian namun akui kehidupan perlu diteruskan.

Bagi dirinya sokongan keluarga sangat diperlukan, dia juga sangat beruntung kerana ibunya Safiah Abbas dan adik beradik merupakan tulang belakang yang banyak memberi nasihat buat dirinya. Malah anak tunggal kesayangannya, Muhammad Arryan Firdaus, 4 tahun merupakan penghibur hatinya di kala gembira mahupun berduka.

Menyentuh tentang sambutan Ramadan dan Aidilfitri, sebagai seorang ibu sudah pasti jadual kehidupan seharian sangat padat ditambah pula dengan perniagaan yang perlu diuruskan.

“Syukur kepada Allah kerana Muhammad Arryan merupakan penguat semangat saya. Walaupun sibuk namun saya akan pastikan tidak mengabaikan dia. Malah saya juga berusaha membahagi masa antara anak dan perniagaan.

“Rutin sebagai seorang ibu pastinya berat namun hati tetap bahagia melayan karenah anak tunggal Muhammad Arryan. Juga sekaligus tidak henti bertungkus lumus memantapkan lagi empayar MERVE Group Holdings Berhad.

“Disamping itu, saya sibuk juga memasarkan tudung terbaru koleksi saya iaitu Thumbelina by JoyRevfa yang saya kolaborasi bersama Castle Scarves khas untuk jualan sepanjang Ramadan dan Syawal,” ujar Joy yang cukup peramah dan murah dengan senyuman ini.

Joy Revfa Bahagia Melayan Karenah Muhammad Arryan
Bersama anak tersayang di pagi raya.

Kenangan Beraya Bersama Arwah Ayah

Pengasas Empayar Kosmetik, Merve Cosmetics ini juga merupakan seorang yang mempunyai aura luar biasa. Bekas isteri selebriti Hafiz Hamidun ini juga menyatakan Ramadan merupakan bulan untuk menambah ibadah. Ibu muda ini mengakui gemar melakukan persiapan hari raya lebih awal dan tidak suka membeli belah saat-saat akhir.

“Kebanyakan baju raya saya ditaja oleh butik-butik seperti Losravelda, JannahNoe dan Dwen Raha. Dan tudung pula dari koleksi saya sendiri iaitu Thumbelina by JoyRevfa kolaborasi bersama Castle Scarves. Untuk Muhammad Arryan pula saya akan belikan lebih awal kerana tidak mahu tidak suka kelam kabut di saat-saat akhir.

IKLAN

“Persiapan kuih muih, biasanya saya lebih kepada kuih tunjuk. Sebab saya ni jenis yang tak ada kepakaran buat sendiri. Lagi satu saya memang hantu kuih raya, jadi masa raya memang banyak kuih raya yang diborong,” akui Joy yang cukup ceria.

Ditanya tentang aktiviti pada hari raya pertama, Joy tenang mengatur bicara.

“Tugas saya memeriahkan rumah keluarga tercinta bersama sanak saudara. Saya akan menghias rumah dan menolong ibu menyediakan hidangan lazat dan semestinya berpakaian cantik di pagi raya.

“Biasanya kami akan menyambut raya di Shah Alam Sahaja dan kemudian kami sekeluarga akan ke rumah saudara mara dan kenalan rapat,”ujarnya.

IKLAN

Menyentuh tentang pengalaman raya paling indah yang sukar dilupakan Joy mengimbas kembali tatkala arwah ayahnya masih ada.

“Pengalaman hari raya yang paling indah sudah tentu sewaktu arwah ayah iaitu Mohd Amin Awang masih ada. Walaupun ayah telah pergi berjumpa Illahi namun ayah tetap selalu ada di hati saya,” ungkap Joy yang tidak pernah melupakan kenangan sewaktu berhari raya bersama arwah ayahnya terutama sewaktu zaman kanak-kanak.

Joy Revfa Bahagia Melayan Karenah Muhammad Arryan
Ibu dan kakak yang menjadi sumber inspirasi buat dirinya.

Ibu Tunggal Wanita Yang Hebat

Hari raya bagi diri Joy merupakan satu nikmat dan keberuntungan tanpa henti yang Allah limpahi kepada semua hambaNya.

“Tiada pengertian tertentu tentang hari raya tetapi Joy berharap Joy mampu untuk berdiri teguh disamping anak dan keluarga sambil membantu dalam apa jua bentuk kepada saudara-saudara Islam kita.

IKLAN

“Berhari raya sendirian sebagai ibu tunggal Joy rasa sangta bersyukur dan alhamdulillah. Walaupun beraya sebagai ibu tunggal saya tetap rasa bahagia kerana bersama anakanda tercinta dan di kelilingi keluarga serta sahabat-sahabat tersayang.

“Pada saya status ibu tunggal bukan lah penamat segalanya tapi ianya adalah permulaan hidup berdikari seorang wanita yang hebat,”jelas Joy yang tidak pernah lupa untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Kejutan Buat Peminat

Ditanya tentang perkembangan seni dan kariernya, Joy menerangkan bakal membuat kejutan.

“Dalam bidang seni, saya masih lagi dalam proses persediaan untuk belajar lagi. Namun Insya-Allah saya akan buat kejutan sedikit masa lagi. Bagi perniagaan pula saya sedang sibuk dalam usaha membantu rakan-rakan seperjuangan melalui MERVE MILLIONAIRE GROUP (MMG)

“MMG ialah sebuah kumpulan bisnes yang melahirkan usahawan bergelar jutawan. Objektif MMG adalah untuk membantu mereka yang berani dan berazam untuk mengubah taraf kewangan dan seterusnya status kehidupan melalui modal yang sangat rendah iaitu RM150 sahaja.

“Bersandarkan resepi kejayaan saya dan business partner saya, Radz Mohd selama 3 tahun ini, setiap ahli MMG akan ditransformasi melalui resepi teknik 5S menerusi latihan kemahiran perniagaan bertaraf global, Content Creation Development dan sokongan idea serta moral dari pelbagai aspek dalam usaha menjana pendapatan yang lumayan menggunakan produk MERVE Cosmetics.

“Setiap ahli MMG digelar sebagai MERVE Business Expert (MBE) di mana mekanisma MMG adalah berdasarkan perniagaan Affiliate di platfom digital ataupon tradisional. Jadi saya seikhlas hati ingin menyeru mereka yang benar-benar ingin mengubah taraf hidup terutama dari segi kewangan untuk sama-sama jadi rakan kongsi saya tak kira ibu tunggal, pelajar, abang mahupun pakcik. Tapi yang penting mereka yang betul-betul berani nak ubah taraf kewangan mereka,”ungkap Joy mengakhiri perbualan.

Ucapan Hari Raya Buat Peminat Dan Pembaca Mingguan Wanita

“Sekali lagi Joy menyeru sahabat-sahabat di luar sana yang masih struggle dalam kehidupan terutaamnya kewangan dan juga semangat hidup. Sesungguh Allah berfirman bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain. Jadi bantu diri anda dahulu dan bantu saudara kita yang lain. Insya-Allah. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan semoga Allah SWT memberi ganjaran syurga buat anda semua.”

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI