Sesungguhnya bila maki hamun jadi zikir harian, bagaimana penghujung hayat kita nanti? Cuba bayangkan, mampukah kita menuturkan kalimah syahadah saat malaikat maut menjemput jika setiap saat ketika hayat hanya melontarkan kata-kata kesat serta melukakan hati orang lain.
Ikuti perkongsian Puan Busseroa Abd Jalil dan fahami apa yang dia cuba sampaikan…
Maki…
Lama juga saya tidak menulis panjang-panjang. Tetapi entahlah, hari ini hati saya terasa seperti cedera parah pula walaupun panah cacian tersebut bukan dilontarkan kepada saya.
Kisah bermula pagi tadi ketika seorang sahabat bercerita tentang video makian, maka saya pun melihat video tersebut. Sungguh, saya tidak kenal kedua-dua individu sama ada yang memaki atau dimaki.
Tetapi walau hanya menontonnya sahaja saya terasa seperti terlalu banyak racun yang masuk ke hati saya.
Hati saya menjadi cedera tiba-tiba dan  menjadi sakit teramat-amat,  jadi tidak percaya dengan apa yang saya tonton, jadi murung dan macam-macam lagi.
Mengapa begitu?
Kerana memaki-hamun itu bukan budaya saya. Melontarkan kata-kata kesat seperti itu bukan cara hidup saya. Memalukan, menghina dan sebagainya bukan amalan saya. Saya rasa anda juga sama seperti saya. Jadi ketika menonton toksik seteruk itu hati kita menjadi terkejut dan trauma.
Tetapi bayangkan, di saat menonton sahajapun hati kita sudah terluka, tetapi ada orang yang memilih cara sebegitu sebagai jalan hidup dan cabang rezeki.
Dan yang kian parahnya apabila cara hidup toksik itu berjaya mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain pula.
Kelukaan di hati kita pasti kian teruk apabila membaca komen-komen yang menyokong tindakan memaki-hamun dan memalukan orang lain tersebut.
Ya betul, dia mungkin idola anda tetapi bukan bermaksud semua perkara yang dia buat betul. Ada masa sokong dan ada masa anda perlu menegur.

Maki Hamun Jadi Zikir Harian

Dalam waktu begini, saya teringat pula kepada beberapa buah filem Korea dan Jepun yang pernah saya tonton. Saya tertarik apabila ucapan terima kasih melatari dalam banyak bahagian hidup mereka.
Terima kasih kerana menjadi jiran saya.
Terima kasih kerana menegur saya.
Terima kasih kerana kamu pergi dan pulang dari kerja dengan selamat.
Terima kasih kerana belajar bersungguh-sungguh.
Terima kasih kerana menjadi anak saya.
Dan macam-macam lagi ucapan terima kasih pada perkara-perkara yang kita merasakan tidak perlu pun untuk berterima kasih. Contohnya terima kasih kerana menjadi anak saya. Sedangkan menjadi anak kepada ibu bapa itu bukan ada pilihan pun.
Hakikatnya, bukan ungkapan terima kasih itu yang didambakan tetapi proses melunakkan hati itu yang cuba diterap. Kerana hati itu sifatnya liar. Jika tidak dijinakkan dengan kelembutan maka menggilalah dia.
Seperti kisah yang pernah seorang polis kongsikan beberapa tahun yang lalu. Kata beliau pada suatu malam berlaku kemalangan jalan raya yang dahsyat melibatkan sekumpulan mat rempit.
Salah seorang mat rempit tersebut terpelanting jatuh ke dalam gaung. Ketika ditemui tubuh mat rempit tersebut telah putus di paras pinggang sehingga menampakkan isi perut, tetapi dia masih bernafas dan boleh bercakap.
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 
Lalu anggota polis tersebut, mengajar mat rempit itu mengucap sebab beliau tahu mat rempit tersebut seperti tidak akan dapat  diselamatkan lagi.
Namun, tatkala syahadah diajar, mat rempit itu mengamuk dan memaki hamun dengan berkata dia perlukan rokok. Bukan yang lain. Setelah teruk dia mengamuk dan mencerca lalu polis tersebut memberi sebatang rokok kepadanya.
Kata anggota polis itu, beliau melihat bagaimana organ dalaman mat rempit itu berdenyut tatkala rokok itu disedut dalam dan ketika asap rokok itu dihembuskan, maka terhembus keluar juga organnya yang berlonggok itu. Mat rempit tersebut meninggal dunia dengan hembusan rokoknya yang terakhir itu.
Cerita ini sudah lama. Tetapi kisah ini selalu melekat kukuh di minda saya.  Betullah seperti kata ustaz, biasanya Allah akan takdirkan hayat kita berakhir dengan apa yang kita suka semasa hidup dahulu.

Maki Hamun Jadi Kesudahan

Seperti kisah mat rempit, akhir hayatnya berkesudahan dengan maki hamun dan rokok kerana itu jalan hidupnya dahulu.
Dan bayangkan pula jika hidup kita berpasak pada bicara lisan yang kotor, hati yang kelam, minda yang jahat, lidah yang kesat dan sebagainya semasa hidup?
Adakah di penghujung hayat nanti bicara syahadah mampu kita tuturkan menggantikan perkataan babi, celaka, anak haram dan sebagainya yang dizikirkan sehari beratus kali sebelum ini?
Semoga Allah ampunkan semua kelalaian kita.
MW: Semoga Allah menjauhkan diri dan keturunan kita daripada sikap sebegini. Diharap apa yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua. 
Sumber: Puan Busseroa Abd Jalil
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI