Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, selain perlu membeli keperluan dapur dan isi rumah, ayah-ayah melalui beberapa fasa termasuklah menjadi imam solat berjemaah di rumah.
Bermula solat fardhu, kemudian solat tarawih dan tak lama lagi, ayah-ayah akan menjadi imam solat sunat Aidilfitri pula. Suami di luar sana tak perlu takut, jika ada kesilapan tidak disengajakan tak mengapa. Jangan takut jadi imam solat sunat hari raya, biasalah kalau ada kesilapan tak disengajakan. Pertama kali bukan.
Suami Jangan Takut Jadi Imam
Lelaki yang berhasrat mengimamkan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah dinasihatkan supaya tidak takut seandainya melakukan kesilapan bukan disengajakan ketika menunaikannya menjelang 1 Syawal nanti.
Penceramah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, ia kerana kesilapan kali pertama itu perkara biasa dan sebahagian daripada proses pembelajaran.
Sembahyang Raya Adalah Sunat
Menurutnya, solat sunat Aidilfitri juga memadai diadakan mengikut rukun asasnya iaitu lafaz niat, takbir sebanyak tujuh kali, bacaan Al-Fatihah diikuti surah ringkas, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kali kedua dan bangkit dengan takbir untuk rakaat pertama.
Manakala, katanya, rakaat kedua diteruskan dengan takbir sebanyak lima kali, tasbih, bacaan al-Fatihah dan surah ringkas serta disudahi dengan memberi salam selepas membaca tahiyat akhir.
Ads
“Solat sunat Aidilfitri hukumnya sunat, buat boleh dan bukan berdosa jika tidak menunaikannya.
“Cuma, rasa tidak lengkap sambutan Syawal tanpa menunaikannya dan situasi berbeza kali ini apabila orang ramai perlu melakukannya di rumah dalam suasana normal baharu kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Memang Gementar Pengalaman Pertama
Mohamed Hanafiah, 46, mengakui, perasaan gementar tentunya ada bagi mereka yang pertama kali menjadi imam, tetapi beliau mengingatkan supaya tidak takut sebaliknya niat di hati untuk belajar.
Ads
“Jika silap, mohon ampun dari Allah dan Insya-Allah, Allah ampunkan,” katanya
Mengenai khutbah selesai solat, beliau berkata, ia satu pilihan untuk dilakukan atau sebaliknya.
Namun, beliau mengesyorkan khutbah ringkas diberikan dengan mengambil tajuk berkait rapat dengan keadaan semasa. Katanya, khutbah selepas solat Aidilfitri berbeza dengan khutbah Jumaat, ia tidak wajib dan ada baiknya seseorang itu menyampaikan khutbah biarpun ringkas.
Ads
“Memandangkan kita masih berada dalam ancaman Covid-19, khutbah dengan inti pati mengajak makmum mengingati hari kiamat adalah disyorkan.
“Ia supaya cenderung untuk bertaubat, membaiki diri untuk tidak mengulangi kesilapan lepas dan hijrah kembali kepada fitrah bersesuaian dengan makna Aidilfitri,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini dapat menghilangkan debaran suami atau ayah yang merancang untuk mengimamkan solat sunat aidilfitri tak lama lagi. Niatlah apa yang kita pelajari sepanjang tempoh PKP ini sebagai satu proses pembelajaran.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Puasa sunat Syawal atau puasa enam dilakukan sepanjang bulan Syawal sebaik tamatkan Ramadan. Ketika ini, ramai wanita yang ambil peluang untuk puasa sunat disekalikan dengan puasa qada. Boleh ke?
Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan umat Islam untuk menggiatkan aktiviti ibadah pada sepanjang bulan Ramadan. Ini adalah kerana pada bulan yang penuh berkat ini, Allah ‘Azza wa Jalla membuka pintu langit dengan seluas-luasnya untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya. Pada bulan yang mulia ini juga segala amalan-amalan berbentukketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya.Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila masuk bulan Ramadan, maka pintu-pintu langit dibuka…” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 1899.
Namun demikian apabila Syawal menjelma, terdapat ramai umat Islam yang mula lalai serta alpa dalam mengerjakan ibadah. Syawal dilihat seperti bulan untuk berehat daripada melakukan amal-amal soleh dan digantikan dengan pesta pembaziran, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, memakai pakaian yang tidak mengikut spesifikasi syariat, temasya menonton rancangan televisyen yang berunsur hedonis dan lain-lain lagi.
Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pada bulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada di dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan yang bertakwa dan setelah tamat latihan tersebut ia sepatutnya dapat membantu seseorang untuk mengekalkan ketakwaan tersebut pada baki sebelas bulan lagi.
Justeru itu seluruh umat Islam sewajarnya mengekalkan peningkatan dalam tahap mengerjakan amal ibadah pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain. Di antara bukti bahawa Ramadan telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertakwa adalah dengan mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita. Dalil disyariatkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah sa.w:
“ Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal,maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, No: 1164.
Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:
“Barangsiapa berpuasa enam hari pada bulan Syawalsetelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan di balas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari),yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. – Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam,jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.
Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan puasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagai mana yang ditetapkan oleh para ulamak. Ini jugamerupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi’i.
Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.
Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.
Ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaanya iaitu seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Oleh itu janganlah ketinggalan dari menunaikan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.
Setelah melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini akhirnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akhirnya membenarkan masjid dan surau terpilih untuk menunaikan solat jemaah. Namun ianya perlu mengikut garis panduan dan sop yang telah ditetapkan.
Solat Jemaah Di Surau Terpilih
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kebenaran kepada masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka bagi menunaikan solat Jumaat dan berjemaah termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini.
Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, ia berdasarkan pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei lalu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Tertakhluk Kepada Bilangan Jemaah
Katanya, ketetapan ini juga dibuat susulan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 Jun depan.
"Kebenaran ini juga tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
"Jawi juga ingin mengingatkan agar segala garis panduan dan SOP berkaitan hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan kebenaran bersyarat ini ditarik semula," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, umat Islam diharap dapat meningkatkan amalan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir.
Sumber: Harian Metro
MW: Biarpun solat jemaah telah dibenarkan di masjid dan surau tertentu, namun diharap kita semua menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing. Ambil langkah pencegahan sebaik mungkin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki Bangladesh kahwini wanita lumpuh berusia 69 tahun sebelum dipercayai mempergunakan isterinya untuk mendaftarkan tiga syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.