Sabar sangat diperlukan saat ditimpa ujian hidup, nasihat untuk sabar memang mudah diucapkan. Tapi bagaimana pula dengan orang yang menanggung ujian berkenaan. Berapa lama individu harus bersabar atau adakah kesabaran itu akan ada noktahnya?

Ikuti perkongsian daripada Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION, yang pernah disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/

Sabar Dan Ujian

Ujian hidup yang melanda manusia memang ada had masa. Begitu juga dengan kesabaran yang diperlukan semasa ujian melanda, juga ada had masa. Berapa lama had masa bagi sesuatu ujian dan kesabaran, semua itu ketentuan Ilahi. Segala-galanya berada dalam ilmu serta kehendak Ilahi yang mahu menduga tahap keimanan dan ketakwaan hamba-Nya.

Rahsia Ilahi dalam menentukan tempoh masa ujian dan kesabaran tentu ada hikmahnya. Oleh itu, tempoh masa kesabaran tidak harus dipersiakan. Individu perlu melakukan sesuatu yang bermanfaat agar ganjaran kesabaran yang disediakan untuk orang-orang yang bersabar akan individu peroleh. “Hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

Tempoh Masa Sabar

Tempoh masa dalam kesabaran harus dijadikan sebagai proses untuk individu kembali kepada Tuhan. Memang tidak dinafikan, antara punca mengapa manusia diuji adalah dek dosa yang mereka kerjakan. Ujian hadir sebagai kafarah penghapusan dosa.

Memang manusia berhak memberi komen tentang ujian yang mereka hadapi, namun kesedaran bahawa ujian itu merupakan teguran daripada Tuhan bakal menyuburkan kesedaran bahawa manusia wajib kembali kepada Pencipta. Maka jadilah ujian itu sebagai tanda kasih-sayang Tuhan agar insan kembali kepada-Nya.

Sabar Memang Tak Semudah Diucap, Namun Ia Adalah Penawar Hidup Terunggul!
Bila kesedaran sebegini tertanam dalam lubuk hati maka sudah tentu tempoh masa dalam kesabaran itu dapat diisi dengan taubat dan istighfar, diikuti dengan zikir membesarkan dan memuji Ilahi, disertai dengan doa agar diselamatkan daripada ujian. Individu sedar bahawa bantuan dan pertolongan Tuhan tidak akan datang melainkan setelah individu benar-benar meyakini kekuasaan Tuhan ke atas dirinya.

Sebenarnya bila proses mendekatkan diri Tuhan ini dapat direalisasikan dalam tempoh kesabaran maka itulah rezeki daripada Tuhan. Itu tanda Tuhan mengasihi hamba. Berapa ramai manusia yang masih lalai dan alpa walau saban masa Tuhan ‘menegur’ mereka dengan perbagai ujian hidup.

Proses yang berulang

Memang tabiat manusia mudah lupa. Manusia kembali kepada Tuhan bila mereka diuji. Manusia kembali lupa bila mereka dilimpahi dengan nikmat kesenangan hidup. Lalu Tuhan uji lagi agar mereka kembali bersabar serta kembali kepada Tuhan.

Sesungguhnya itulah keindahan kasih sayang Tuhan kepada manusia. Manusia terus diuji dan diuji selagi mereka masih hidup. Bila manusia diuji, mereka dituntut untuk bersabar. Kesabaran mereka diberikan tempoh masa tertentu supaya mereka dapat melalui proses penyucian diri kembali kepada Ilahi.

Mati penamat segalanya

Jika ditanya sampai bila manusia akan diuji dan berapa lama manusia perlu bersabar maka jelaslah bahawa kematian adalah penamat segalanya (ada orang berdoa minta cepat mati kerana sudah tidak tahan menempuh ujian).

Hakikat ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kehidupan ini merupakan ujian Tuhan dan kesabaran adalah penawar terbaik agar manusia dapat mempersiapkan amal-amal soleh untuk bertemu Allah SWT di akhirat. Tempoh kesabaran memotivasikan individu untuk beramal dengan sepenuh hati dan menyerahkan urusan hidup kepada Ilahi secara total dan istiqomah.

https://www.mingguanwanita.my/terbukti-anak-yang-baik-dengan-mak-ayah-hidup-dipermudahkan-doa-dimakbulkan/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI