Jangan Ditambah Kesedihan Mak Ayah Adam Rayqal, ‘Bayi Yang Ditemui Meninggal Di Rumah Pengasuh'

Pagi ini selain kes penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibicarakan di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, negara dikejutkan dengan berita kematian adik Adam Rayqal yang dijumpai di rumah pengasuh dalam peti sejuk beku 2 pintu.

Sejak semalam, berita kehilangan Adam Rayqal menjadi viral dan ramai yang membantu menyebarkan dengan niat agar akhirnya anak kecil usia 5 bulan ini ditemui. Ya, Adam Rayqal akhirnya ditemui tapi dalam keadaan yang cukup menyayat hati.

Dalam tersebarnya berita sebegitu, ada juga sisi negatif netizen yang memberikan komen tak agak-agak, ‘suci bak malaikat’. Hadamkan teguran yang dibuat oleh bapa viral kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammad ini. Jagalah kata-kata agar tiada hati yang makin terluka.

Anak Ini Dijumpai Dalam Peti Sejuk Beku 2 Pintu

Acapkali ada berita kehilangan, kita semua bersatu dan sepakat untuk membantu supaya anak yang diberitakan hilang itu kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Dan butang share, print screen serta apapun gambar dan teks dilaungkan sebanyak-banyaknya di medan media sosial kita.

Maka, ianya viral.

Seperti semalam, kehilangan Adik Adam Rayqal berjaya dibuat dengan cukup berkesan apabila kita sama-sama berjuang menyebarkannya semoga sesiapa yang nampak, membawanya pulang.

Usianya 5 bulan. Awalnya diberitahu yang anak ini dilarikan seorang lelaki yang pecah masuk ke rumah pengasuhnya.

Lalu malam tadi, dapatlah berita yang menyakitkan. Anak ini dijumpai di dalam peti sejuk beku 2 pintu di rumah pengasuh yang masih lengkap berpakaian di dalam sebuah beg. Beliau sudah meninggal dunia.

Lalu ianya tersebar sekali lagi, 200 share, 10,000 share. Dan kali ini ia membawa perit beribu kali ganda.

Banyaknya komen yang secara tak langsung membantai si ibu kerana sibuknya pergi kerja, sepatutnya tak perlu kerja. Sepatutnya juga menjaga anak sendiri di rumah.

IKLAN

Ada yang siap perli-perli ala ugamawan ‘syukurlah saya jaga anak saya sendiri, saya sanggup berhenti kerja demi anak-anak, anak-anaklah permata saya, alhamdulillah’.

Dan belum lagi komen yang bukan-bukan. Dari sedih, jadi mahu maki pula membacanya.

Inilah Malaysia Kawan-kawan

Kita sepakat membantu, kita juga bersatu menolong. Namun ada segelintir dari kita yang suka persoal, suka begitu begini apabila ada sahabat kita, keluarga kita ditimpa musibah.

Dalam bab 6 (Fikiran dan Rasa Seni), naskah ‘Peribadi’ tulisan Buya Hamka, Buya berpesan yang kita ini seharusnya membereskan apa yang ada di dalam fikiran terlebih dahulu, sebelum meluahkannya di mana-mana.

Perkataan beres itu sangat kuat. Yang mana ianya perlu ditafsir, diletakkan dalam compartment sabar, kemudian diteliti beberapa detik barulah kita luahkannya dalam bentuk perkataan atau perbuatan.

Sekiranya apabila kit abaca 1-1 hal, mendengar 1-1 hal dan melihat 1-1 hal, kita tidak ada respon untuk meneliti, memuhasabah serta menasihati diri untuk tenang dari membuat ulasan, maka hati kita boleh rugi dan hancur berkali-kali.

Kesukaan dan kebencian ini harus diasingkan. Saya merayu sangat-sangat.

IKLAN

Bayi adalah satu bentuk kecintaan, kasih sayang serta luahan hubungan antara suami isteri. Dan kematian dalam bentuk begini, bukan untuk dipersoalkan, namun untuk kita hadam, belajar dan melihat semuanya dalam banyaknya bentuk yang sedang ada di sekeliling kita.

Kemudian, kita tanam dalam diri. Kita di sebelah yang mana.

Sebelah kasih sayang, atau di sebelah kebencian. Ibu dan ayah bayi ini sedang bersedih. Dan kita semua, menambah-nambah lagi keruntuhan hati itu dengan komen begitu.

Pilih.. Mahu Jadi Siapa Di Medan Sosial

Kawan-kawan yang baik,

Media sosial ini medium yang tidak terdidik. Kita gunakannya dengan membeli telefon. Kemudian memuat turun aplikasi dan menggunakannya mengikut hak-hak kita sendiri.

Kita pilih mahu jadi siapa di medan itu. Jadi diri sendiri, jadi ibu penyayang, jadi isteri yang berlumba-lumba, jadi suami yang menayang-nayang, jadi anak yang lawa, segak, jadi politician yang berjuang, jadi pengusaha restoran yang berusaha, apa sahaja. jadilah.

IKLAN

Semua ini tidak ada langsung latihan khas, sekolah hebat serta mana-mana institusi yang mengajarkannya untuk menggunakan dengan akal dan hati. Tak ada.

Namun kawan-kawan, asbab tidak terdidik ini, menjadikan kita ini sebagai orang lain. Yang diluarnya dikenali sebagai begitu begini, namun di tulisannya begitu begini pula.

Kita manusia sahaja. Yang mana pusinglah ikut mana pun, balik-balik hati kita yang dilihat. Objek yang kita tak boleh lihat itu, hari ini boleh dipandang melalui apa yang kita tuliskan, kemudian up.

Sungguh, kadang-kadang, dari memenangkan hati sendiri, eloklah kita diam, biar otak memaksanya supaya jadi santun dan sopan. Dan seluruh tubuh termasuk mata, kaki, serta apa sahaja bentuk yang memalukan dan mengaibkan diri sendiri itu akan setuju dengan hati kita.

Dan pada waktu itu kita sedar kita sedang puas melihat banyaknya cela diri sendiri berbanding orang lain. Lalu perbaikinya perlahan-lahan tanpa media sosial.

Hubungan otak dan hati ini saling berkait, jika ke2-2nya bersatu menuju kemuliaan, maka baiklah yang keluar, hebatlah yang menonjol. Dan pastinya, ada keistimewaannya selepas kita pergi nanti.

Tak mungkin Allah berikan kelebihan teknologi, pembangunan serta media sosial yang sangat hebat hari ini sekadar saja-saja. Pasti ada yang boleh kita bereskan untuk kehidupan yang lebih baik.

Begitulah.

Sumber/Foto : Khairul Hakimin Muhammad, nasihat untuk diri sendiri.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI