Walaupun kesihatannya tidak mengizinkan, pelawaan kami untuk merakamkan gambar beliau bersama dua putera tercinta bagi menghiasi muka depan majalah Mingguan Wanita tidak dihampakan. Tetap anggun dari dulu hingga kini, Datin Hajah Fouziah Gous menerima kunjungan penulis dan jurugambar di kediamannya dengan penuh senyuman.

Seperti kebiasaan tatkala mengadakan sesi penggambaran di kediaman beliau, kami dijamu dengan pelbagai hidangan enak. Beliau memang terkenal dengan sifat pemurah dan baik hati sejak dari dulu lagi.

Suatu masa dahulu, wajah beliau sering kali menghiasi layar televisyen dengan lakonan yang tak kurang hebatnya. Setelah berumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Datuk Mohd. Zhafran Md Yusof pada 2013, model dan pelakon ini sudah jarang membuat kemunculan di dalam drama atau filem. Malah beliau mula menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan minuman sarang burung untuk kesihatan.

Walaupun begitu, beliau tetap aktif dalam dunia seni hiburan. Malah, kemunculan beliau bersama suami tercinta sering menjadi tumpuan lensa kamera.

Terima Anugerah

Siapa tidak kenal dengan minuman sarang burung dengan jenama FG Walet. setelah hampir 10 tahun kerja keras dan enam tahun berada di pasaran, baru-baru ini Fouziah Gous telah menerima Anugerah 100 Top Young CEO 2019 bagi kategori wanita dalam bidang perniagaan, dalam satu majlis berprestij yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Pengiktirafan tersebut diberikan terhadap kejayaan produk minuman sarang burung FG Walet yang telah mencipta fenomena baru dalam pasaran minuman kesihatan sarang burung negara.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini yang sekali gus membuktikan bahawa produk minuman sarang burung FG Walet telah diterima ramai.Terima kasih kepada suami, keluarga, staf Zhafou Trading, ejen seluruh Malaysia dan para pelanggan yang mempercayai produk minuman sarang burung FG Walet,” katanya.

Fouziah turut meluahkan rasa terharunya di atas kepercayaan dan pengiktirafan yang tidak disangka-sangka ini.

“Penyelidikan terhadap FG Walet bermula lebih 10 tahun lalu. Berada di pasaran enam tahun lalu dan sehingga kini perkembangannya begitu menggalakkan sehingga boleh dikatakan pertumbuhannya sangat luar biasa dan di luar dugaan,” ujarnya penuh bangga.

Selain FG Walet, Fouziah Gous juga turut aktif dengan perniagaan kesihatannya yang dikenali sebagai Fighters Den Malaysia (FDM) yang mengkhususkan dalam seni mempertahankan diri muay Thai dan boxing.

“Kalau tengok rangkaian bisnes saya lebih kepada gaya hidup sihat sebab itu adalah saya. Bagi saya walau apa pun yang anda ingin lakukan, anda kena buat apa yang anda suka dan minat barulah dapat kekal lama,” katanya lagi.

“Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain,” Datin Fouziah Gous

Produk Artis Sering Laris

Menjadi kelaziman bila ada produk yang dikeluarkan oleh selebriti terkena, pastinya produk tersebut akan menjadi buah mulut dan laris di pasaran. Turut ditanya tentang isu berkenaan, menurut Fouziah menjadi selebriti dan mempunyai produk sendiri ada kekuatan dan kelemahannya juga. Paling penting bagaimana untuk kekalkan ia dan bukan hanya sekadar muncul mengikut trend semasa.

“Tak dinafikan memang senang nak pasarkan produk bila bergelar selebriti, tapi biasanya ia tak akan tahan lama jika produk itu sendiri tidak boleh bertahan. Tujuan utama saya hasilkan FG Walet adalah untuk saya berikan manfaat kepada orang ramai. Dari masa ke semasa akan ada penambah baikkan untuk produk ini supaya ia kekal lama dan boleh pergi jauh. Strategi saya untuk hasilkan produk yang kekal lama, tengok sarang burung orang akan ingat FG Walet, orang ingat Fouziah Gous, perniagaan yang begitu saya inginkan. Bukan ikut trend sahaja.

“Bagi saya yang paling penting berkualiti dan servis. Apa yang boleh guna, kita manfaatkan. Sesetengah perkara ada peluang dia tapi kalau salah guna pun tak boleh juga. Sebagai selebriti kita adalah public figure, silap sikit warganet akan mempertikaikan. Bukan sahaja nama terpalit, malah produk yang kita jual turut dibabitkan. Ada kelebihan dan ada keburukannya juga, kita ambil dari sudut kebaikan dan kena tahu atur strategi, jangan main buat sahaja. Kena ada perancangan. Jangan kerana nak duit cepat, nak untung besar semata-mata, buat produk tak gunakan bahan yang sebetulnya. Bukan tak boleh berniaga, tapi kena jujur supaya produk yang kita hasilkan itu akan kekal lama dalam pasaran,” ujarnya lagi.

Tahun 2019 menurut Fouziah adalah tahun bermakna buat dirinya. Segala perancangan yang dibuat untuk perniagaannya mengikut apa yang diimpikan.

“Tahun 2019 adalah tahun bermakna buat perniagaan saya. Berkat kerja keras kami semua, segala perancangan yang dibuat berjalan dengan lancar. Impian saya, ingin produk ini dikenali ramai. Kalau orang buka chiller dekat stesen minyak atau pasar raya orang tahu ada FG Wallet. Daripada hanya 30 stesen minyak petronas yang terima produk saya ini, kini produk saya telah berada di hampir semua stesen minyak Petronas, insya-Allah tahun ini juga masuk pasar raya, farmasi dan dijual melalui ejen.

“Selain itu, produk saya juga turut dijual di Go Shop dan kini kami sedang dalam proses untuk memasuki pasaran Vietnam. Ini semua cita-cita saya ketika mula buat bisnes ini dan alhamdullilah tahun ini bagaikan semuanya dipermudahkan, produk saya kini semakin mendapat tempat di hati orang ramai,” katanya tentang produknya.

“Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain,” Datin Fouziah Gous

Keluarga Tetap Keutamaan

Meskipun sibuk dengan rutin harian sebagai seorang pelakon, pengacara dan usahawan, ibu kepada Zeeshan Yusuf, empat tahun, dan Zaheen Yusof, dua tahun, ini tidak menjadikan itu alasan untuk mengabaikan keluarga tersayang.

“Kalau fikir kita tak ada masa dengan anak-anak kita akan jadi seperti apa yang kita fikirkan. Allah beri rezeki pada saya bukan untuk saya simpan sendiri. Mungkin dalam rezeki saya juga ada terselit rezeki orang lain sebab itulah saya perlu ada pembantu untuk saya tak abaikan anak-anak saya.

“Contohnya kalau saya pergi gym, jika anak-anak tak tidur dan perlukan saya, saya bawa mereka bersama dengan bantuan pembantu. Kalau saya bersenam, mereka juga boleh buat aktiviti mereka di sana. Dekat ofis pun sama, saya tengah meeting atau ada perbincangan, saya boleh nampak anak-anak saya. Itu cara saya spend time dengan anak-anak walaupun mempunyai rutin yang agak sibuk sepanjang hari.

“Cuma saya akan rasa bersalah bila saya langsung tak bercakap dengan anak-anak seharian. Jadi apa yang saya buat bila balik saya akan bercakap dengan mereka, bergurau, berborak terutamanya pada waktu malam. Itu cara saya luangkan masa bersama anak-anak. Begitu juga dengan suami, saya mungkin bukan seorang isteri yang selalu ada di rumah. Saya dan Zhaf kami berdua masih muda tapi kami saling berkomunikasi antara satu sama lain walaupun hanya call untuk tanya nak makan apa?

“Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain,” Datin Fouziah Gous

“Dalam usia sekarang ini, kami berdua mempunyai cita-cita yang sangat tinggi. Apa yang kami impikan untuk diri sendiri dan anak-anak terlalu tinggi, jadi untuk capai itu semua bukan mudah, jadi kami berdua kena usaha sama-sama. Tapi dalam waktu yang sama janganlah abaikan suami dan anak-anak.

“Pendek kata, anak-anak memang selalu dengan saya. Kereta saya memang sentiasa penuh dengan barangan mereka, malah di pejabat juga turut ada bilik khas untuk mereka. Walaupun pejabat dekat, saya bawa mereka dan itulah cara saya luangkan bersama keluarga saya. Kalau suami balik rumah, dia akan tanya jika saya masih di pejabat, dia juga akan sertai kami. Paling penting jangan bandingkan kehidupan kita dengan orang lain kerana hidup kita dan orang lain tak akan pernah sama,” katanya.

*********************************************************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Datin Hajah Fouziah Gous, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu September, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.

“Jangan Bandingkan Kehidupan Kita Dengan Orang Lain,” Datin Fouziah Gous

Penyelaras & Teks: Shahrina Azlin Abdullah
Foto: Nurul Niza Suhaimi & Noryanti Saharuddin
Solekan: Nurul Mf (Ig : @Makeupbynurulmf)
Busana: Massimo Dutti & Koleksi Peribadi Anak-Anak Fouziah Gous
Hijab: Waarna
Aksesori: Poh Kong

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI