Ternyata kali ini Diana Rafar alami alahan teruk ketika hamil dan cukup berbeza, barangkali berbeza simptom mengandungkan anak lelaki dan perempuan. Diana banyak menghabiskan masa di rumah kerana sering berasa lesu dan letih. Paling teruk sepanjang kehamilan dirinya tidak mampu tidur malam dan sentiasa dalam ketakutan. Nafsunya untuk bersolek dan mencantikkan diri juga hilang serta-merta.
“Sehingga satu tahap saya nak jawab panggilan pun tidak mampu. Ada juga orang kata, alahan ni makin bertambah baik apabila usia kandungan menjangkau usia empat bulan. Tetapi tidak pada saya, alahan berlaku sehingga ke malam mahu bersalinkan Kayla. Saya masih tidak mampu tidur lena. Saya mudah semput kerana bayi terlalu padat dalam perut.
“Jadi bagi mempercepatkan proses bersalin, saya terpaksa diinduce. Dr bimbangkan kesihatan saya terjejas. Sepanjang hamil kali ini, abang (Zamarul) banyak shooting di luar Kuala Lumpur , jadi saya sering dalam ketakutan kerana takut terberanak di rumah.
“Pengalaman hamil dan bersalin kali ini sangat berbeza. Banyak pula simptom tipu-tipu. Antaranya turun tanda seperti keluar lendir dan terasa seperti pecah ketuban. Tetapi rupa-rupanya bukan simptom sebenar nak bersalin, apabila saya pergi check rupanya belum lagi nak bersalin. Lebih kurang empat, lima kali jugalah asyik dapat simptom sebegitu,” ungkap Diana sambil tertawa.
Ads
Amalkan Surah Untuk Permudahkan Bersalin
Akibat mengandung kali ini Diana mengalami pelbagai dugaan termasuklah tidak sihat serta sering ketakutan, ibu beranak dua ini banyak menghabiskan masa luangnya dengan membaca beberapa surah sebagai pelindung diri antaranya Surah Yasin. Waqiah, Ar-Rahman, Yusuf dan Maryam. Hingga satu saat jelas Diana, dirinya seakan taksub membaca surah-surah ini bagi menenangkan hatinya.
Ternyata amalan ini banyak membantu mempermudah Diana ketika proses bersalin. Diana tidak mengambil masa yang terlalu lama di dalam dewan bersalin, hanya dalam masa kurang dua jam sakit, dia selamat melahirkan Kayla Reysha pada 22 Ogos 2017 dengan berat 3.47 kilogram di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC), Shah Alam.
“Siapa sangka berbulan-bulan menanggung alahan, Alhamdulillahlah ketika bersalin dipermudahkan Allah. Berkat membaca surah-surah untuk ibu mengandung, Diana mudah bersalin tanpa sebarang bantuan termasuklah epidural. Rahsianya adalah surah-surah itu yang banyak membantu urusan Diana bersalin tanpa sebarang komplikasi yang teruk,” jelasnya.
Ads
Berpantang Cara Tradisional
Diana mengakui terlibat secara tidak langsung dalam bidan spa, jadi dirinya amat selesa berpantang cara tradisional. Malahan sejak kecil lagi, dia terbiasa mengikut petua dan amalan nenek moyang daripada segi cara berpantang, jamu, ubat-ubatan yang perlu diambil, mandi herba dan sebagainya.
Ketika zaman anak dara, Diana mengakui mengikuti amalan-amalan ini. Secara automatiknya ketika bersalin pun, wanita ini mengambil langkah yang sama. Dirinya sama sekali tidak akan mengikut cara moden kerana telah dididik sejak kecil untuk menjaga badan secara tradisional mengikut amalan turun-temurun nenek moyang.
“Sekali pun untuk memilih terapi, Diana akan jadi cerewet dan cuba membeza-bezakan mengikut pengalaman sendiri. Seperti sekarang Diana memang bertungku, mandi herba, bersauna, bertangas, makan jamu, minum air halia dan macam-macam lagi.
Ads
“Saya memang ikut cara tradisional ketika berpantang. Saya makan jamu yang diamalkan keluarga kami sejak turun-temurun. Jaga pemakanan, jadi saya rasakan tidak susah untuk turunkan berat badan jika mengikut cara berpantang yang betul.
“Jangan langgar pantang, makanan yang tak boleh jangan ambil. Tetapi jangan pula diet, cuma kawal pemakanan dan ambil makanan yang elok dan baik untuk ibu yang berpantang,” katanya lagi.
Hikmah Perpisahan, Kayla Rezeki Tak Terduga
Setiap manusia ditimpa musibah dan tragedi, begitu juga yang dialami oleh Diana Rafar dan Zamarul Hisham. Perpisahan yang telah terjadi biar pun sementara, sudah pasti menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka berdua. Namun siapa sangka Kayla adalah hikmah perpisahan yang berlaku.
Hikmahnya, mereka berdua dikurniakan rezeki seorang lagi anak selepas tragedi itu berlaku. Dirinya cukup bersyukur kerana setelah sekian lama menanti, kini dirinya sekali lagi berpeluang menimang cahaya mata, lebih-lebih lagi cahaya mata perempuan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mingguan Wanita (MW) Talkshow kini berwajah baru, bakal bersiaran tidak lama lagi dengan serba-serbinya baru. Akan mula ditayangkan pada 8 Julai 2019 nanti pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dan akan ditayangkan lima kali seminggu di saluran Astro Prima 105 dan Prima HD 121. Lebih menarik lagi, MW Talkshow kali ini juga turut menampilkan lima selebriti terkenal tanah air bagi mengelolakan program bual bicara Mingguan Wanita.
Siti Elizad, Erra Fazira, Sherry AlHadad, Norman Hakim dan juga Radin Amir adalah hos-hos baru yang akan menjadi wajah yang akan mewarnai program MW Talkshow.
Mengekalkan format asal iaitu mengetengahkan pelbagai topik dan perkongsian menarik mengenai wanita, kisah rumah tangga dan isu-isu kekeluargaan. MW Talkshow musim baharu ini turut menambah pengisian elemen baru bagi menambah baik lagi kandungan format asal agar kekal relevan, segar dan menarik untuk ditonton masyarakat masa kini.
Mempunyai lima tema yang berbeza setiap hari, iaitu Kesihatan dan Kecantikan yang akan dihoskan oleh Siti Elizad dan Erra Fazira, Selasa dengan tema Makanan dan Travelog yang menampilkan Siti Elizad dan Radin Amir, Rabu pula memaparkan Kisah Masyarakat & Gaya Hidup menggandingkan Siti Elizad dan Sherry Alhadad. Khamis pula dengan Cerita Dalam Kain menampilkan Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim sebagai hos.
Jumaat pula menampilkan pengisian berkaitan dengan Motivasi, Inspirasi dan Kerohanian yang menampilkan Siti Elizad bersama Personaliti jemputan seperti Dato’ Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya dan juga Imam Muda Asyraf. Pemilihan selebriti dan personaliti ini berdasarkan kepada populariti, kredibiliti serta karakter mereka yang menepati konsep program MW Talkshow.
Lima hos selebriti yang mewarnai musim baharu Mingguan Wanita Talkshow, bakal bersiaran 8 Julai ini.
“Saya Miliki Cara Yang Tersendiri, Orang Lain Tidak Mampu Jadi Elizad.”- Siti Elizad
Tidak perlu diragui lagi kredibiliti lakonan Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 35, dalam melakonkan watak air mata. Ternyata bakatnya dalam dunia lakonan amat menyerlah. Terbaru Siti Elizad terlibat dalam drama Puteri Yang Ditukar adaptasi sinetron Indonesia.
Paling terbaru Elizad juga terpilih menjadi salah seorang hos utama bagi program Mingguan Wanita Talkshow. Sudah tentu dia teruja untuk mengacarakan program berbentuk bual bicara yang memaparkan isu-isu semasa tentang wanita.
“Happy dan sudah pastinya bersyukur! Sebab saya memang jenis suka bercakap, jadi ini adalah satu platform baru untuk saya gunakan pok pek pok pek saya secara live dengan penonton.
“Perkara yang mendorong saya untuk menerima tawaran ini adalah disebabkan saya sukakan “ DEBAT “ . Berdebat tentang isu terkini untuk membuatkan kita tahu apa yang jadi keadaan sekeliling,” ujarnya lagi.
Apabila ditanya tentang persiapan diri sendiri apatah lagi Elizad adalah hos utama, jawabnya, “Buat break down dan briefing penting bersama keluarga. Saya lebih tekankan kepada konsep santai dan live. Jadi tidak perlu pura-pura formal, cara ini secara tidak langsung akan membuatkan audiens lebih dekat dengan kita. Saya hanya menjadi diri saya sendiri “ happy go lucky !”, tambah pelakon cantik ini lagi.
Apa Sahaja ‘Sapu’
Seperti mana selebriti lain, figura ini mengakui dirinya terlalu cintakan kariernya, oleh itu tidak menjadi masalah besar buatnya sama ada bakal memberi fokus kepada bidang pengacaraan sepenuhnya selepas ini. Baginya, apa sahaja tawaran yang diterima sama ada lakonan atau pengacaraan, dia akan menerima dengan hati terbuka, Apa sahaja sapu.
Biar pun sedari awal dapat mengagak jadual kerjanya nanti sudah tentu akan lebih sibuk memandangkan bersiaran lima hari seminggu. Tetapi sokongan daripada suami yang selalu memberi kata-kata semangat membuatkan Elizad lega.
“Walaupun saya akan bersiaran lima kali seminggu untuk Mingguan Wanita Talkshow musim kedua ini, tidak menjadi masalah kerana suami sangat memahami. Selagi saya suka untuk aktif dalam industri suami akan menyokong dan mendoakan,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai mana orang lain tidak boleh jadi Siti Elizad. Oleh itu, untuk program Mingguan Wanita Talkshow nanti, dirinya sedari awal tekankan akan menjadi diri sendiri dan ceria kerana semua orang mengenalinya seperti itu.
Erra Teruja Untuk Kongsi Pandangan Dan Pendapat
Erra Fazira, nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni tanah air. Merupakan salah seorang hos yang akan mewarnai program bual bicara Mingguan Wanita Talkshow musim baru bersama barisan selebriti lain, Erra berasa sangat bertuah kerana dipilih sebagai salah seorang pengacara tetap. Erra akan bersiaran selama dua hari iaitu pada hari Isnin (bergandingan bersama Siti Elizad) dan hari Khamis (bergandingan bersama Siti Elizad dan Norman Hakim).
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bertuah kerana dipilih oleh pihak Astro untuk menjayakan rancangan Talkshow Mingguan Wanita. Mereka mahukan kelainan dan pilihan selebriti sebagai pengendali rancangan kerana mahukan sesuatu yang lebih mantap. Topik yang bakal saya kendalikan bersama Elizad pada hari Isnin, kesihatan dan kecantikan. Insya-Allah banyak yang kami boleh kongsi. Saya dan Elizad tak pernah ada masalah dan kami akan duduk bersama untuk membincangkan lebih mendalam bagaimana untuk memberikan yang terbaik.
“Pada hari Khamis pula, saya digandingkan bersama Elizad dan Norman Hakim. Cerita Dalam Kain nama topik yang bakal kami bincangkan. Dengar nama ‘Cerita Dalam Kain’ macam ngeri kan, sebenarnya topik ini berbicara mengenai kisah rumah tangga. Jadi topik ini sangat menarik kerana bukan saja wanita malah golongan lelaki juga boleh memberikan pendapat mereka. Saya kenal Norman dan dia memang seorang yang suka berbicara. Agak mudah bila bekerjasama dengan mereka yang petah dan juga boleh berkongsi permasalahan yang biasa dialami oleh pasangan yang sudah berkahwin.
“Walaupun Norman jenis yang banyak cakap tapi dalam bual bicara ini kami tak boleh cakap panjang. Kerana hanya beberapa minit durasi yang diperuntukkan. Jadi kami bertiga kena duduk berbincang dan pastikan pandangan dan mesej yang kami disampaikan dengan baik kepada penonton Mingguan Wanita,” jelas Erra mengenai program yang bakal dihoskan nanti.
Sherry Ingin Belajar Kawal Emosi Dalam MW Talkshow
Bakatnya di dalam dunia pengacaraan tak dapat disangkal lagi. Malah, dia di antara pengacara yang bijak dan berilmu dalam mengendalikan setiap program yang diamanahkan kepadanya. Baru-baru ini, Sherry Alhadad telah diumumkan sebagai salah seorang hos bersama di dalam Mingguan Wanita Talkshow musim kedua.
Pemilik nama sebenar, Shariffah Mariam Binti Syed Abdullah Al Hadad, dilahirkan pada tanggal 17 November 1984, sebelum ini lebih dahulu dikenali sebagai seorang pelawak dan pelakon, sebelum laris sebagai pengacara. Ternyata wanita yang masih bujang ini memang berbakat besar dan seorang artis yang serba boleh.
Cabaran Berbeza
Bila ditanya, apakah yang mendorongnya menerima tawaran mengendalikan program bual bicara Mingguan Wanita yang lebih berinformatif ini, dia ada jawapan tersendiri.
Menurut selebriti yang tampil semakin langsing ini, mengelolakan Mingguan Wanita Talkshow merupakan satu cabaran baru buat dirinya.
“Orang dah kenal saya mengacarakan program hiburan, komedi. Jadi MW Talkshow ini suatu benda yang baru untuk saya. Kalau ikutkan saya jenis yang suka membaca, memerhati banyak benda yang dapat memberi inspirasi kepada saya. Kadang-kadang benda yang kecil pun boleh buatkan saya terinspirasi dengan sesuatu perkara. Kalau sebelum ini orang lihat saya berkomedi, kali ini penonton akan tengok saya dalam versi lain. Jadi cabaran untuk saya adalah bagaimana saya nak handle emosi ketika mengacara kerana saya tak suka dengan kesedihan, kesukaran dan perkara-perkara yang menyentuh hati. Jadi bila saya perlu kelolakan topik-topik yang berkaitan dengan kesengsaraan orang lain, kepayahan hidup orang lain, saya rasa emosi saya bakal terusik.
“Bagi saya, tujuan saya berada di situ adalah untuk cuba memberi harapan kepada mereka dan menyatakan bahawa kehidupan ini sebenarnya indah. Tuhan sentiasa akan melindungi kita dan itulah antara cabaran saya yang mana saya perlu tahu bagaimana untuk saya handle emosi saya sendiri dan juga emosi tetamu yang dijemput dalam topik kisah masyarakat yang akan saya kelolakan bersama Elizad nanti,” ujar Sherry tentang tugas barunya sebagai hos MW Talkshow.
Ketika ditanya perbezaan mengacarakan program bual bicara secara langsung dengan program lain yang pernah dikelolakannya menurut Sherry dia perlu lebih peka dan tidak terlalu mengikut kepada skrip yang diberi.
“Saya dah biasa bersiaran secara langsung, tapi bila mengacarakan program berbentuk bual bicara, sedikit sebanyak mengajar saya untuk sentiasa peka dengan perbincangan yang dibuat ketika bersiaran. Bagaimana nak kaitkan jawapan yang diberi dengan soalan selanjutnya dan sebagainya. memang kadang-kadang kami dah diberi skrip tapi untuk saya sendiri impromptu itu lebih menarik, lebih jujur.
“Bila dah selalu buat program live, saya perasan bila bertanyakan soalan-soalan yang lebih jujur dari hati kita, saya dapat rasakan jawapan yang diberikan oleh tetamu juga lebih jujur. Saya juga perlu berjaga-jaga dalam penggunaan Bahasa supaya tidak ada yang berkecil hati. Sebab kalau tak susun ayat kita betul-betul mungkin orang akan salah anggap berdasarkan intonasi yang dilontarkan. Jadi perkara-perkara sebegitu saya perlu jaga dan paling penting saya perlu sering membaca, mengetahui kejadian-kejadian terkini dan sentiasa up-to-date dengan keadaan semasa untuk saya guna pakai ketika mengacarakan program MW Talkshow kelak,” jelasnya.
Perlu Peka Dengan Keadaan Semasa Dan Banyak Membaca Persiapan Norman Hakim Jadi Pengacara
Bidang pengaracaan mungkin bukan forte utama buat Mohamed Nurhakim Zaidon atau lebih dikenali sebagai Norman Hakim. Menjadikan kata-kata Richard Branson sebagai inspirasi untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya, Norman yang merupakan suami kepada Memey Suhaiza turut disenaraikan sebagai salah seorang daripada lima selebriti yang akan mengacarakan program bual bicara Mingguan Wanita Talkshow musim baharu.
“Sebelum ini saya pernah juga menjadi pengacara dalam beberapa program televisyen, tapi semuanya lebih kepada fitness dan juga menceritakan tentang kerjaya yang rata-ratanya berkenaan dengan dunia lelaki. Memetik kata-kata Richard Branson, Pengarah dan Pengerusi Virginia Group, “If somebody offers you an amazing opportunity but you are not sure you can do it, say yes – then learn how to do it later!”. Jadi tawaran untuk mengacarakan program bual bicara Mingguan Wanita saya terima walaupun bukan forte saya. Saya boleh belajar perkara baru terutamanya dalam bidang pengacaraan yang berbentuk bual bicara.
“Bagi saya selain ini adalah peluang untuk peningkatan perkembangan karier saya dalam industri seni, ia juga beri satu pengalaman baru untuk saya mengacarakan program bual bicara yang lebih informasi dan memaparkan kisah-kisah yang dekat dengan masyarakat. Kriteria yang ada pada diri saya yang adalah membawa imej lelaki yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Akan ada isu semasa yang akan diketengahkan dan kita cari jalan penyelesaian,” ujar Norman tentang peranannya sebagai salah seorang hos baru dalam MW Talkshow.
Radin Ingin Buktikan Kemampuan Diri
Radin Amir Effendi atau nama komesialnya Radin Era FM bukanlah satu nama asing lagi dalam dunia pengacaraan. Selain bergelar penyampai radio sepunuh masa, Radin juga banyak mengacara di Astro.
Seperti selebriti lain, Radin juga tidak kurang melakukan beberapa persediaan. Dari segi persediaan, sudah tentu pemuda yang berasal dari Ipoh, Perak ini mempersiapkan diri seadanya, antaranya dengan mengikuti kelas Pak Nil. Selain itu dirinya juga lakukan perbincangan bersama team produksi dalam memastikan dirinya mampu memberi yang terbaik sepanjang program Mingguan Wanita Talkshow Musim Kedua.
Sudah tentu menjadi penyampai di radio dan hos di tv cukup berbeza. Namun dirinya menganggap ianya adalah cabaran untuknya untuk mengawal keadaan apabila perlu bercakap seorang ketika di radio dan bercakap bersama audiens ketika di tv.
Di samping itu, sudah tentu mengelolakan program “live” memiliki keseronokan yang tersendiri. Tambahan lagi dia bakal bergandingan dengan Siti Elizad yang juga cukup profesional dalam bidang pengacaraan pada setiap hari Selasa.
“Jika dibandingkan dengan hos terdahulu, ia bergantung kepada persepsi masing-masing. Bagi saya ianya tidak menjadi masalah yang besar buat diri saya kerana setiap orang memiliki pandangan dan pendapat tersendiri.
“Insya-Allah dengan izin Tuhan dengan barisan hos kali ini, program Mingguan Wanita Talkshow akan beralih kepada satu fasa yang lebih bagus. Sebagai manusia biasa, saya mendoakan segalanya berjalan lancar dan sudah tentu akan melakukan yang terbaik.
“Sekiranya penonton melakukan perbandingan ianya adalah hak mereka,terpulanglah pada mereka. Paling penting kami telah melakukan yang terbaik untuk program Mingguan Wanita Talkshow musim kedua,”ungkapnya lagi.
Teruja Dengan Amanah Yang diberikan
Radin diamanahkan untuk slot travel dan food, sudah ia menjadi sebab utama empunya diri menerima tawaran ini. Dirinya sendiri gemar melancong dan sangat cintakan makanan, oleh hal yang demikian dia sangat teruja untuk berkongsi dengan audiens jika memiliki ruang dan peluang.
Selain itu mungkin program ini bakal menjadi platform buat Radin mempelajari sesuatu yang baru. Dalam masa yang sama, Radin merasakan peluang ini adalah peluang keemasan bagi membuktikan dirinya bukanlah sekadar penyampai radio tetapi dalam masa yang sama mampu bergelar hos TV.
Dia sentiasa mengharapkan orang dapat menerima bakatnya dan memandang kebolehan dan potensi diri yang ada padanya.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh kelima-lima hos ini, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Julai, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Penulis: Shahrina Azlin Abdullah & Nursyazwani Mehat
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Agak-agak ada tak peminat anak saudara Anzalna Nasir, si kembar The Angguns atau nama sebenar mereka Anggun Darleesa dan Anggun Darleena Mohd Azwan di kalangan pembaca MW?
Haaa… sebelum Anzalna post gambar dan video mereka dalam IG, The Angguns ini dah ada pengikutnya sendiri. Malah mereka juga telah mendapat beberapa tajaan.
“Sebaik The Angguns ini dilahirkan, keterujaan followers semakin bertambah. Ramai yang mahu menaja mereka. Saya tahu setiap hari ada sahaja orang yang akan menghantar barang atau produk untuk menaja The Angguns.
“Saya tahu The Angguns ini ada peminat kerana apabila kami keluar bersama, sudah pasti The Angguns menjadi tumpuan.”
“Kelahiran mereka ini amat menggembirakan keluarga kami. Kehadiran mereka menceriakan keadaan. Kalau pada ketika itu kita ada masalah dan tiba-tiba The Angguns ini ada di hadapan mata, seperti terlupa masalah yang sedang dihadapi. Sejak adanya The Angguns ini ia telah mengubah hidup kami semua. Ia juga telah merubah perangai emaknya, Diana.
Bila Tengok ‘Anak Buah’, Bukan Senang Nak Besarkan Anak
Akui Anzalna, kehadiran anak-anak buahnya itu boleh dikatakan sebagai cara melatih dirinya bergelar ibu pada suatu hari nanti.
“Saya perhatikan mereka dan saya sedar agak susah juga untuk membesarkan anak. Sekurang-kurangnya saya boleh belajar daripada pengamatan itu. Saya dan suami sebenarnya memang sengaja menghabiskan tahun-tahun awal perkahwinan untuk kami berdua sahaja.
“Malah emak mentua saya juga pernah berkata, biarlah kami berdua nikmati masa berdua ini dahulu. Tidak perlu tergesa-gesa menambah ahli keluarga dan tidak perlu tertekan untuk segera menimang cahaya mata.
Tak Sedia Ada Anak Atau Macam Mana?
“Saya bukannya tidak mahu anak tetapi mahu habiskan masa berdua terlebih dahulu. Ditambah pula kami berdua jenis yang suka travel. Pada tahun lepas kami telah menghabiskan masa travel ke beberapa buah Negara berdua. Pada tahun ini kami berharap dapat travel berdua lagi,” akuinya lagi dia dan suami tidak ada masalah dalam hal berkaitan anak.
“Kami sebelum kahwin telah melakukan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya. Tidak ada masalah pada kami berdua. Cuma kami belum ada rezeki untuk mendapat anak. Lagipun saya selalu sibuk dan tidak fikir serius mengenai anak.”
Anzalna dan suaminya Hanif dikategorikan sebagai pasangan suami-isteri yang sama cantik dan sama padan. Berikutan dengan itu jugalah sudah pasti ada cabaran perlu dihadapi dalam memastikan rumah tangga sentiasa bahagia.
“Kami berdua mempunyai perangai yang sama. Jadi apabila dia buat benda yang saya tidak suka, dia tahu saya tidak suka. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami boleh saling faham-memahami. Apabila kami telah memahami diri masing-masing, itu yang menyukarkan kami untuk bergaduh. Itulah yang buat kami bahagia,” ujarnya.
Jelasnya lagi, suaminya tidak pernah menghalang dia untuk melakukan apa sahaja. Namun sebagai seorang isteri, Anzalna tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri untuk melayan suaminya itu sebaik mungkin.
“Saya suka memasak. Malah saya suka mencuba resipi yang terdapat Facebook. Boleh dikatakan masa cuti saya gunakan untuk memasak. Suami saya pula jenis makan ikut masa sebab itu saya suka memasak,” tambah Anzalna.
Memang benar, saiz tubuh Zulin Aziz kurus dan jauh berbeza daripada sebelumnya. Namun menurut Zulin, beratnya mungkin sudah bertambah sedikit memandangkan ketika itu baru saja menyambut Syawal. Suasana bertambah ceria dengan sikapnya yang gemar berjenaka dan selamba.
Jaga Makan Dan Bersenam Rahsia Saya Kurus
Boleh berlakon, melawak, mengacara dan kini menjadi penyampai radio (DJ). Pada awal kemunculannya dahulu, artis cantik manis ini memiliki saiz badan yang besar. Tetapi kini, ramai yang terperanjat apabila pada tahun lepas, dia muncul dengan tubuh yang jauh lebih langsing dalam satu program TV. Sejak itu, ramai yang tertanya-tanya, apa rahsia dan apa yang mendorong dirinya semakin langsing dan cantik? Zulin sedar pasti ramai peminat yang ingin tahu apakah yang telah dilakukannya sehingga pernah mencatatkan penurunan sehingga 10kg dalam tempoh sebulan.
Menurut Zulin, sebagai wanita dan lebih-lebih lagi bergelar selebriti, tentunya dia ingin tampil lebih menarik di khalayak ramai. “ Niat untuk kurus itu datang daripada diri saya sendiri. Saya terfikir, kalau saya tak bermula sekarang, nak tunggu sampai bila lagi? Semakin tua usia kita, semakin susah nak kuruskan badan. Jadi saya ambil langkah untuk mula diet secara sihat.
“Selain itu, saya seorang yang gemar bergaya dan suka beli pakaian yang ‘fashionable’. Tapi kadangkala pakaian yang saya beli itu saya tak boleh pakai. Nak cari penaja pakaian juga susah. Jadi, itu yang menguatkan lagi tekad saya untuk menguruskan badan. Badan saya pula jenis ‘gemuk air’ kata orang. Cepat naik dan cepat turun. Jadi kalau makan banyak dalam sehari pun berat saya boleh naik. Itu yang saya perlu berhati-hati. “ Ujar Zulin memulakan perbualan.
Cara Konventional
Setiap orang ada cara untuk menurunkan berat badan, sama ada dengan mengambil ubatan tertentu, bersenam dan sebagainya. Zulin juga ada cara tersendiri. “ Saya berjaya menurunkan berat badan menerusi kaedah konvensional iaitu bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat, setelah tidak lagi mempercayai produk pelangsing badan. Terus terang, sebelum ini saya pernah ambil produk-produk untuk kuruskan badan. Macam-macam produk kurus yang telah saya cuba. Memang berkesan pada mulanya namun saya kecewa apabila berat badan kembali meningkat secara mendadak apabila berhenti mengambilnya. Lebih teruk, berat badan saya bertambah berganda-ganda daripada berat asal. Tentulah saya rasa kecewa. Lagi pun, bagi saya tidak ada jalan mudah di dunia ini apabila kita hendak mencapai sesuatu. Perlu ada usaha berterusan, termasuklah dalam soal menurunkan berat badan.
“Pengambilan pil pelangsing bukan jalan terbaik untuk kurus kerana ia hanya memberi kesan sementara sahaja dan sebab itu saya cekalkan hati untuk melakukan kaedah sebenar dan lebih selamat iaitu bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat. Ia juga boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan jika tersilap memilih ubat seperti kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Saya juga tidak berani membuat pembedahan seperti sedut lemak. Bagi saya, kaedah perawatan itu ada risikonya. Mungkin tidak sekarang tapi di kemudian hari. Lebih elok pilih cara selamat. Memang perlu usaha lebih tapi kesannya berkekalan,” tambah Zulin yang tidak lokek berkongsi rahsia dia lebih langsing.
Khidmat Jurulatih Peribadi
Menurut Zulin lagi, cara terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat jurulatih peribadi yang boleh membantu seseorang itu untuk melakukan rutin senaman yang lebih berkesan. “Semua orang boleh bersenam sendiri. Tapi biasalah. Kalau tanpa jurulatih, kita akan bersenam ikut kehendak kita sendiri. Bila bersenam dan penat, kita terus berhenti. Sebaliknya, jika menggunakan khidmat jurulatih peribadi, kita kena ikut arahan mereka. Saya masih ingat lagi, pada awal dahulu, saya sampai menangis kerana ‘dipaksa’ bersenam oleh jurulatih. Bila saya cakap saya tak boleh dan tak mampu, dia tetap paksa saya dan yakinkan saya bahawa saya boleh tapi kena kuat semangat. Lama kelamaan, saya makin terbiasa dengan rutin senaman tersebut.
“Apabila kita menggunakan khidmat jurulatih, ia akan menjadi satu cetusan semangat untuk kita kerana ada orang yang akan sentiasa ‘awasi’ senaman dan pemakanan seharian kita. Jadi, saya sarankan jika mampu dan ingin hasilkan terbaik, dapatkan khidmat jurulatih peribadi. Bukan tak boleh bersenam sendiri, tapi disiplin diri kena tinggi dan semangat kena cekal. Jangan penat, terus berhenti.
“Joging juga bentuk senaman yang boleh membantu kita menguruskan badan. Tapi seperti yang saya cakap tadi. Kena konsisten dan cekal. Jangan hari ini joging, tapi esok lusa dah malas. Dengan bersenam, kita dapat membuatkan badan kita ‘fit’ dan tidak lembek. Kulit juga akan menjadi lebih cantik. Itu bezanya jika kita kurus tanpa melakukan senaman. Tubuh akan nampak ‘mengeleber’ dan tak cantik.” Tambah Zulin lagi.
Jaga Pemakanan
“Satu lagi aspek penting adalah menjaga pemakanan seharian kita. Sebenarnya salah tanggapan jika kita nak diet, kita tak perlu makan. Sebenarnya kita tetap kena makan tapi mesti jaga pemakanan kita. Macam saya, memang saya kawal pengambilan nasi dan gula. Saya banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Gula hanya daripada buah-buahan yang saya ambil. Pendek kata, jangan ambil makanan yang menggemukkan. Apabila kita jaga pemakanan kita, disertai dengan senaman, insya-Allah berat badan kita boleh diturunkan. Tapi bukan mudah nak kawal makan. Kita kena sentiasa katakan pada diri, kita boleh dan kalau kita kurangkan makan, kita tetap boleh hidup. Tak ada orang mati sebab kurang makan.” Ungkap Zulin lagi.
NOTA:
Wanita ini antara artis muda yang berbakat besar di negara ini. Pemilik nama sebenar, Farah Azleenda Abd Aziz, 28, atau lebih dikenali sebagai Zulin Aziz orangnya ceria dan ‘happy go lucky’. Bahkan cukup mudah bila berurusan dengannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...