Bila Isteri Suri Rumah, Ini 7 Perkara Yang Patut Suami Lakukan, Baru Rumah Tangga Manis Selalu

Ramai wanita yang mungkin dengan berat hati terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata. Tindakan itu memang wajar dipuji kerana bukan semua wanita mampu mengambil tindakan yang bakal merubah besar dalam kehidupan mereka selepas itu.

Si isteri membuat pengorbanan itu demi untuk keharmonian rumah tangga. Maka, sebagai suami, anda perlu menghargai isteri dan jangan ambil kesempatan di atas pengorbanan isteri itu.

Berikut perkara yang boleh dilakukan oleh suami sebagai penghargaan buat isteri:

1. Wang Saku
Apabila tidak bekerja, isteri sudah hilang punca pendapatan. Hanya mengharapkan suami untuk menanggung segala perbelanjaan. Setiap bulan anda akan memperuntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan rumah. Jangan lupa untuk ‘selit’kan juga elaun untuk isteri. Sekurang-kurangnya isteri ada duit untuk digunakan di saat kecemasan. Isteri juga pastinya ada keinginan untuk memiliki sesuatu barangan. Wang itu yang akan disimpan dan dikumpul sedikit demi sedikit. Kemudian dia akan beli setelah cukup wang, tanpa perlu meminta wang tambahan daripada anda.

IKLAN

2. Tanda Terima Kasih
Sebagai isteri, tiada apa lagi yang lebih penting selain daripada disayangi dan dihargai oleh suami di atas pengorbanan mereka menjaga keluarga. Apa salahnya, sesekali bila dapat gaji, bawa isteri dan anak-anak makan di luar. Tak perlulah isteri memasak pada hari itu. Itu juga masa untuk isteri rileks setelah setiap hari terkejar-kejar uruskan anak-anak.

3. Beli Hadiah
Bila ada duit lebih, apa salahnya belikan hadiah untuk isteri seperti baju baru dan sebagainya. Walau pun tidak bekerja, tapi mereka boleh memakai pakaian cantik ketika keluar menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke pasar dan sebagainya. Takkan anda sanggup biarkan isteri selekeh saja sedangkan anda mampu? Kalau isteri anda kelihatan menarik, anda juga yang tumpang bangga. Itu bermakna anda pandai jaga isteri.

IKLAN

4. Bantu Kerja Rumah
Suami juga boleh bantu isteri membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan atau menyapu sampah. Tentu isteri akan rasa terharu dan ini juga menunjukkan sifat timbang rasa suami pada dirinya. Walau pun penat bekerja, anda masih sanggup membantunya.Bantu menjaga anak-anak jika anda lihat isteri sedang sibuk di dapur dan sebagainya. Pasti dia akan rasa bersyukur memiliki suami yang bertimbang rasa. Ingat, kalau anda rasa anda sudah penat seharian bekerja, apakah anda rasa isteri tidak penat seharian di rumah? Malah, ramai wanita yang mengaku, duduk di rumah lagi memenatkan daripada bekerja di pejabat!

IKLAN

5. Jangan Ego
Ada suami yang bersikap ego dan tidak mahu langsung membantu isteri menjaga anak-anak atau melakukan kerja rumah ketika hari cuti dengan alasan sudah penat bekerja sepanjang minggu. Aduhai suami, anda kena ingat. Isteri bukan orang gaji ye. Apa kata anda beri isteri ‘cuti’ sehari dan benarkan dia keluar bersama rakan-rakan atau memanjakan diri di spa. Anda pula ambil uruskan anak-anak sendirian. Baru anda tahu, betapa ‘mudahnya’ tugas isteri di rumah!

6. Ucapkan Terima kasih
Sesekali apa salahnya anda lahirkan rasa terima kasih anda kepada isteri kerana sudi menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga dengan baik sepanjang anda keluar mencari rezeki. Pasti isteri akan rasa anda menghargai dirinya.

7. Jangan Pandang Rendah
Ada suami yang anggap peranan sebagai suri rumah itu mudah hingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Kononnya suami penat keluar bekerja sedangkan tugas isteri mudah saja, hanya duduk di rumah saja jaga anak. Hinggakan sanggup mempelekehkan isteri di depan orang lain. Jangan begitu, anda sepatutnya sentiasa menjaga maruah isteri yang sanggup tidak bekerja demi keluarga. Walau pun isteri seorang suri rumah, tapi mereka juga ‘bekerja’ di rumah malah kerja mereka 24 jam tanpa henti, tanpa gaji.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI