Memang ada benarnya, seorang wanita bergelar isteri itu memerlukan seseorang untuk dia berbual dan berkongsi rasa yang ada. Orang tersebut pastinya orang yang paling dekat dengannya iaitu suaminya sendiri. Penting bagi suami menjadi pendengar yang baik, mendengar segala luahan dan cerita yang isteri ingin kongsikan.
Fahamkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini.
Isteri, dia perlukan seseorang untuk berbual.Untuk bercerita, mengadu, meluahkan dan berkongsi pandangan.
Bukan apa, dalam kepenatan dia menjalankan tugas sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu, sebagai seorang menantu, sebagai seorang pekerja, sebagai seorang peniaga, sebagai seorang anak, ada ketikanya dia rasa nak menangis, rasa sedih, rasa tertekan, rasa memberontak, rasa letih, rasa tak larat, rasa penat, rasa nak give up, rasa stress dan sebagainya.
Semua rasa ada…
Perlukan Pendengar Yang Baik
Dan dia perlukan seseorang untuk dia berkongsi rasa ini.Untuk dia bercerita tentang apa yang dilaluinya.Bagaimana keadaannya, apa yang ada dalam fikirannya. Dia tak mintak seseorang itu untuk faham dan terus selesaikan semua masalah-masalahnya.Dia cuma perlukan seorang pendengar yang baik sahaja.Supaya kurang sikit semak di dadanya, kusut di fikirannya dan beban di hatinya.
Seseorang tu bukanlah orang luar, bukanlah orang jauh, bukanlah orang yang takde pertalian dengan dirinya.Seseorang itu adalah orang yang paling dekat dengannya. Seseorang itu adalah orang yang ada pertalian dengannya. Seseorang itu adalah orang yang tinggal sekali dengannya. Hari-hari dia nampak, hari-hari dia jumpa.
Harap Suami Mendengar
Seseorang itu adalah suaminya. Inilah orang yang diharapkan seorang isteri untuk mendengar luahannya, ceritanya, isi hatinya, aduannya, masalahnya dan segala-galanya tentang apa saja yang dilalui dan di alaminya. Hari demi hari..
Tolong cari masa, bagi ada masa untuk isteri, dengar apa yang isteri nak kongsi. Dia mungkin perlukan dalam 10-30 minit ja sehari. Tak lama pun. Sebelum nak tido tu, cuba berbual, tanya dia, sembang-sembang dengan dia.Mesti ada benda yang dia nak cerita…DENGAR!
Orang perempuan ni, dia suka berfikir…benda yang tak sepatutnya dia fikir pun, dia akan fikir…dia banyak terbeban dengan benda yang bukan-bukan.Kurangkan bebanan tu dengan cara mendengar apa yang dia nak luahkan.Nampak KECIL, tapi itu dah mampu untuk menguatkan dirinya semula untuk menempuhi hari-hari yang mendatang.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Memang ada benarnya isteri perlukan seseorang untuk dia berbual, berkongsi rasa dengan orang yang paling dekat dengannya. Suami jadilah seorang pendengar yang setia.
Sumber: Firdaus Shakirin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerana Adanya 3 Keistimewaan Ini Dalam Solat, Buya Hamka Dilindungi Dari Godaan
Godaan nafsu itu amat menakutkan sekali. Lagi-lagi untuk para suami yang sering jauh dari isteri. Sekali kau gagal tepis, selamanya menyesal.
Sama ada lelaki biasa, ulama mahupun pemimpin negara, ‘godaan’ hati lagi-lagi untuk memiliki wanita selain isteri akan tetap pernah mereka lalui.
Penulis dan ulama terkenal Indonesia, Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang lebih dikenali dengan nama Hamka ini pun tak lari dari godaan ketika bermusafir ke Amerika.
Perkongsian indah dari Puan Normujaidah Osman, menerangkan apakah ciri keistimewaan yang ada dalam solat sehingga mampu menjadi benteng keimanan yang utuh dan lindungi diri dari godaan nafsu.
Kisah Buya Hamka 2 Bulan Bermusafir Ke Amerika
Saya terpaku apabila membaca pengalaman Prof. Dr. HAMKA di Amerika pada tahun 1952.
Ketika menjadi tetamu Kerajaan Amerika dan dibawa ke Denver, seorang pekerja hotel telah bertanya kalau – kalau beliau mahu ditemani tidur oleh seorang gadis muda.
Pada waktu itu, beliau sudah bermusafir selama dua bulan tanpa ditemani anak dan isteri.
Lelaki berusia 44 tahun dan masih sihat.
Masakan hatinya tidak bergetar apabila menerima tawaran sebegitu.
Namun, tahukah tuan dan cik puan apa yang beliau fikirkan?
Pada saat pelayan hotel itu masih tersenyum-senyum simpul, yang terlintas di fikirannya adalah – SOLAT!
Ketika itu beliau baru saja selesai solat jamak qasar Maghrib dan Isyak.
Malahan bekas air wudhuk juga belum hilang.
Solat Subuh Prof. Dr. HAMKA Lebih Khusyuk Dari Biasa
Lalu, beliau berkata kepada dirinya :
‘Kalau aku telah tidur pada malam ini dengan perempuan yang lain, meskipun isteriku tidak melihat dan tidak tahu, bagaimana esok pagi, aku akan sembahyang subuh?
Padahal dalam doa iftitah aku selalu menyebut:
Tidak ada sekutu bagiNya dan inilah diperintahkan kepadaku dan aku adalah salah seorang daripada mereka yang telah menyerahkan diri kepada Tuhan.’
Bisik Prof HAMKA lagi,
‘Bagaimana aku akan mengucapkan bacaan itu pagi-pagi?
Tentu aku akan malu mengucapkannya.
Tentu pagi-pagi aku akan malu untuk mengerjakan sembahyang dan kesilapan ini akan menyebabkan aku terus menerus silap, akan malu meneruskan solat kerana berdosa!’
Lalu, beliau dengan tegasnya berkata :
“No, thank you.” Lantas, menutup pintu kamarnya.
Keesokan harinya, setelah beliau mendirikan solat subuh, beliau merasakan solatnya kali ini, lebih khusyuk daripada biasa!
Suatu hal yang jarang beliau rasakan dalam solat- solat sebelumnya.
Apa Ada Dalam Solat Rasulullah SAW
Ini kisah yang saya baca dalam tafsir Al- Azhar yang menerangkan tentang
mafhum Surah Al-Ankabut : Ayat 45 :
Bacalah daripada apa yang telah diwahyukan kepada engkau daripada al-Kitab dan dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari yang keji dan yang mungkar. Dan sesungguhnya ingat akan Allah itu lebih besar. Dan Allah mengetahui apapun yang kamu perbuat.
Prof Dr. HAMKA, ketika mentafsirkan ayat ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) diberi bimbingan oleh Allah tentang cara bagaimana memperkuatkan jiwa dalam menghadapi tugasan dakwah kepada manusia yang sangat berat itu.
Perkara pertama yang baginda perlu lakukan ialah selalu membaca- baca, merenungkan serta memahami wahyu – wahyu yang diturunkan kepada baginda.
Kedua, hendaklah baginda mendirikan sembahyang kerana sembahyang itu akan mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar.
Allah ya Allah.
Sungguh Allah mahu saya menangis keranaNya.
Ditemukan saya dengan ayat – ayat indahNya dan tafsiran-tafsiran serta kisah – kisah yang membuatkan tubir mata saya basah dengan air mata.
3 Keistimewaan Yang Ada Dalam Solat
Prof. HAMKA membawakan pendapat Abu Aliyah yang mengatakan bahawa solat itu hendaklah dilatih mendirikan tiga keistimewaan.
Sekiranya tiga keistimewaan itu tiada, maka tidaklah bererti solat itu.
Keistimewaan-keistimewaan itu adalah :
1. AL – IKHLAS – yang bererti semata – mata satu tujuan , iaitu semata- mata kerana Allah.
2. KHASSYAH – yang bermaksud takut kalau – kalau Allah tidak memerima solat itu.
3. ZIKRULLAH – ingat kepada Tuhan dalam hati disertai dengan sebutan mulut.
Kata Abu Aliyah lagi :
a. Ikhlas itu mendorong kita untuk berbuat sesuatu yang makruf.
b. Khassyah pula akan mencegah kita daripada melakukan perkara – perkara yang mungkar.
C. Zikrullah pula ialah seluruh ayat Al- Quran dan bacaan yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk dibaca. Zikir akan menyuruh kita yang baik dan melarang kita perkara yang mungkar.
Begitulah Hebatnya Kualiti Solat Ulama Terdahulu
Penerangan Prof. Dr. HAMKA ini benar- benar menjentik jiwa saya.
Apakah selama ini, ketika solat, saya benar-benar mendirikan ketiga-tiga keistimewaan ini – ikhlas, khassyah dan zikrullah?
Kerana jika tidak, solat saya itu tidak akan bisa mencegah saya daripada berbuat perkara yang keji dan mungkar.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Kisah Buya Hamka menjadi bukti begitu hebatnya kualiti solat alim ulama terdahulu sehingga solat itu benar-benar mencegah mereka daripada perkara yang keji dan mungkar.
Aduhai diri,
Renung-renungkan lah.
Adakah solat kamu benar-benar diterima Tuhan?
Apakah hati kamu telah sepenuhnya kamu serahkan?
Apakah sudah kamu bawa ikhlas dan khassyah bersama-sama zikrullah yang kamu sebut-sebutkan ?
Duhai diri,
Solat itu – perbaiki!
Duhai diri,
Hadirkan lah hati!
Hanya semata-mata kerana Ilahi.
Moga- moga dengan mengingati Ilahi, di dalam solatmu nanti, akan menjadikan solatmu lebih bererti kepada amalan- amalanmu yang lain-lain lagi sehingga setiap denyut nadi kehidupanmu akan menjadi ibadah kepada Rabbul Izzati.
Allahumma aiinna ala zikrika wasyukrika wa husni ibadatik.
Ya Allah,
Bantu kami dalam mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan memperelokkan ibadah kami kepadaMu.
Sumber/Foto : Normujaidah Osman, Hamba yang rindu pada Tuhan.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bantulah! Kesemua Jari Anak Istimewa Ini Terpaksa Dipotong, Selepas Kaki Kanan Masuk Dalam Rim Motor
Ujian keluarga anak istimewa ini bertimpa-timpa. Di sebalik kejadian jari kaki kanan anak istimewa ini yang terpaksa dipotong kesemuanya, ada kisah pilu lagi menyayat hati tentang keluarganya.
Kisah anak istimewa ini dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh. Yang mendapat perkhabaran kisah ini daripada sahabatnya, Wan Amirul.
Jari Kaki Terpaksa Dipotong Kesemuanya
Katanya, adik Arissa Amani mengalami kemalangan. Disebabkan kemalangan itu, kakinya telah masuk ke dalam rim motor waktu pulang sekolah dengan ayahnya.
“Jari kakinya terpaksa dipotong kesemuanya.”
Lebih pilu, Adik Arissa ini dari kalangan keluarga asnaf. Yang mana, adik Arissa merupakan murid pendidikan khas. Ibunya tidak kerja untuk menjaga dia dan anak-anak. Ayah pula kerja tak tetap. Sekadar buat part time sahaja.
Ketika ini, Adik Arissa berada di PPUM. Dijangka terpaksa memakai kaki palsu. “Entah berapa pula kosnya, aku pun tak pasti.”
Hidup Berubah, Selepas Ayah Kemalangan & Hilang Pekerjaan
Dulu kehidupan mereka stabil masa ayah kerja elok. Selepas ayah kemalangan teruk tahun lepas, pekerjaan pun hilang. Keupayaan dia bekerja pun terhad. Koma ayahnya masa tu, namun mujur nyawa masih panjang.
Dan kini, keluarga ini ditimpa ujian lagi.
Amanat Cikgu Mohd Fadli, “Kawan-kawan yang berdekatan, bolehlah ziarah beliau jika mahu. Jika ingin menghulur sumbangan, sangat-sangat dialu-alukan.
“Ini nombor telefon ibu mereka jika ada yang mahu menghubungi serta menghantar apa-apa bantuan. Oh ya, mereka tinggal di PPR Lembah Subang. Yang berdekatan kalau nak melawat ke apa ke, hubungi je ibunya ya.
0163916085 – Umi Kalsom
Mereka ditimpa ujian. Ujian itu bukan hanya untuk mereka, bahkan untuk kita juga samada kita cakna atau biar sahaja.
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh, Hidup biar berjasa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Mahathir Pantang Tengok Rambut Saya ‘Bulat’ Di Dahi, Mesti Dia Betul-Betulkan!” Allahu, Inilah #RelationshipGoals Sebenar!
Malam tadi kita semua menjadi saksi peristiwa terpenting dalam sejarah negara. Kemenangan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 menandakan ‘ayahanda dan bonda’ bakal kembali, sekaligus membuatkan ramai mak mak menarik nafas lega secara tiba-tiba.
Saya pun merasa excitement yang sama. Agak panjang doa saya menjelang Subuh tadi. Tak lupa saya kirimkan ummul kitab Al-Fatihah buat dua warga emas ini, kerna sayang pada mereka serasa macam ibu bapa kandung pula. Apabila melihat wajah Tun di kaca TV, rasa macam nak ‘throwback’ kenangan manis ni sebagai iktibar bersama.
Angin Putrajaya tiba-tiba sejuk walaupun matahari terik menggigit ubun-ubun. Hari tu saya tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana dengan satu perasaan aneh. Entah bangga, atau berdebar, demi Allah saya tak tahu.
Itu perasaan paling indah untuk saya. Tanggal 14 Mac, dua tahun lepas. Sewaktu saya belum ditugaskan menerajui Mingguan Wanita dan masih berkhidmat untuk majalah Nona bagi melahirkan cover depan eksklusif bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sempena edisi Ramadan 2016.
Tugasan saya adalah menemu bual bonda Tun Siti, sementara Editor Nona iaitu Kiffy Razak bersama Tun Mahathir. Kesempatan hari kemenangan ini, izinkan saya mengimbau terowong memori, mengenang kembali kenangan bersemut itu dengan semua pembaca Mingguan Wanita yang disayangi.
Mereka Adalah #RelationshipGoals Kita
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya saya. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambah rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
62 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia macam orang biasa jer. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 92 tahun.
“Nanti Orang Tak Faham Kita Melawak”
Sambung beliau lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Tapi pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan melucukan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan supaya nampak natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya cuba suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri baju yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
“Orang Tak Tanya Harga Perhiasan Mutiara”
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Jarang Dapat Jenguk Anak-Anak
Bercerita lanjut tentang keakraban pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk saya gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram.
Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu,” cerita beliau sambil tersenyum.
“Dalam keluarga, kami tak amalkan favoritism langsung. Kasih sayang kami sama rata untuk semua anak-anak, menantu dan cucu. Saya selalu berpesan, jagalah silaturahim dengan sebaik-baiknya. Sentiasa pelihara hubungan antara suami isteri dan adik-beradik. Penuhkan hidup ini dengan kasih sayang, insyaAllah terjamin kebahagiaan,” ucap Tun Dr. Siti Hasmah.
“Saya Tahu Orang Sayang Pada Dia”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal saya penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat.
Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat peribadi, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” akhiri Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Begitulah antara intipati perkongsian yang saya tulis dalam majalah Nona edisi Jun 2016 lalu. Sesungguhnya keseluruhan isinya adalah lebih panjang dan menyentuh hati, tapi cukuplah kali ni kita sentuh tentang kisah bonda seorang. Boleh baca versi penuh dalam majalah Nona, ada amanat Tun dan anakanda Datin Paduka Marina Mahathir yang lebih padu. Sehingga kita berjumpa lagi!
Salam sayang dari Editor Mingguan Wanita,
Norzalina Mohd Alias
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI